Pages

Monday, August 23, 2010

Iran lancar pesawat pengebom jarak jauh


GAMBAR yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Iran semalam merakamkan pelancaran pesawat pengebom jarak jauh yang dipanggil Karar di lokasi yang tidak dinyatakan. - AFP


TEHERAN 22 Ogos - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad melancarkan pesawat pengebom jarak jauh pertama tanpa juruterbang, buatan negara ini yang dilaporkan boleh mengenai sasaran pada kelajuan tinggi.
Pesawat bersaiz empat meter panjang dan digelar sebagai Karrar atau penyerang itu, dilancarkan Ahmadinejad sempena Hari Industri Pertahanan Kebangsaan, hari ini.
Karrar diambil sempena nama gelaran imam Syiah pertama iaitu Saidina Ali, dua hari selepas Iran melancarkan peluru berpandu darat ke darat, Qiam (Kebangkitan).
Rakaman stesen televisyen rasmi negara ini menunjukkan Presiden itu menepuk tangan ketika kain biru yang menutupi pesawat itu ditarik untuk memperlihatkan sebuah pesawat pendek yang dicat warna hijau tentera dan tertulis perkataan Jet Pengebom di bahagian sisinya.
Ia kemudiannya menyiarkan pesawat itu terbang dan ucapan Ahmadinejad pada upacara berkenaan yang berlangsung di dewan Universiti Malek Ashtar, di sini.
Sementara itu, laman web stesen televisyen itu melaporkan, pesawat itu mempunyai keupayaan berbeza, termasuk membawa bom untuk memusnahkan sasaran dan mampu untuk terbang dalam jarah jauh pada kelajuan tinggi.
Laman web itu yang juga memetik Menteri Pertahanan, Ahmad Vahidi sebagai berkata, Karrar merupakan simbol serba boleh dan kemajuan industri pertahanan Iran.
Iran telah menghasilkan pesawat pengintip ringan tanpa juruterbang sejak lewat 1980-an.
Sejak 1992, Iran juga telah menghasilkan sendiri kereta kebal, kenderaan berperisai pengangkut askar, peluru berpandu, torpedo dan sebuah jet tempur.
Iran melancarkan program pembangunan senjata semasa perang dengan Iraq pada 1980-88 bagi mengimbangi kesan daripada sekatan senjata oleh Amerika Syarikat. - AP/AFP

No comments: