Pages

Monday, July 5, 2010

Ulama: Haram Kelab Rotari, Kelab Lions


JAKARTA 2 Feb. - Ulama Indonesia hari ini mahu pertubuhan antarabangsa seperti Kelab Rotari dan Kelab Lions diharamkan atas dakwaan ia adalah sebahagian daripada konspirasi Zionis.

Forum Ulama Umat (FUU) mendakwa dua kelab tersebut adalah barisan depan "kafir" Freemason dan pergerakan Zionis dunia yang mengancam Islam di negara ini.

"Mereka mengumpulkan dana dan memberikannya kepada Amerika dan Zionis Israel.

"Kami mendesak semua umat Islam agar tidak menganggotai Kelab Rotari dan Kelab Lions. Jika tidak mereka dianggap sebagai kafir," kata Pengerusi FUU, Atian Ali Mohammad Da'i.

Beliau turut mendesak Presiden Susilo Bambang Yudhoyono agar mengharamkan pertubuhan tersebut.

Bagaimanapun, Raja Juli Antony dari Institut Maarif yang merupakan kumpulan Islam berfahaman sederhana memberitahu akhbar The Jakarta Post bahawa tiada bukti Kelab Rotari dan Kelab Lions mewujudkan ancaman terhadap Islam malah banyak menyumbang kepada pembangunan Indonesia melalui kerja-kerja amal.

Seorang anggota kanan badan Islam tertinggi di negara ini, Majlis Ulama Indonesia (MUI) berkata, pihaknya telah mengharamkan beberapa bentuk amalan yoga pada minggu lalu tetap tidak menyatakan sebarang perkara mengenai dua kelab tersebut.

Kelab perkhidmatan awam yang ditubuhkan seawal 1900 lagi dan dianggarkan mempunyai 2.5 juta anggota di seluruh dunia diharamkan di Indonesia pada 1962 atas sebab-sebab tertentu, namun dibenarkan beroperasi semula pada tahun 2000. - AFP
sumber

No comments: