Pages

Friday, July 16, 2010

Imam Muda popular di Eropah





FRANKFURT 15 Julai – Media di Jerman dan Switzerland melaporkan secara meluas mengenai program realiti televisyen Malaysia, Imam Muda, terbitan Astro Oasis.
Pada saat kebanyakan negara Barat menganjurkan program bakat televisyen bagi memilih bintang, langkah Malaysia menganjurkan program serupa untuk memilih ‘bintang imam’ menarik perhatian beberapa akhbar di kedua-dua negara itu.
Butiran mengenai program Imam Muda dilaporkan secara meluas oleh akhbar harian – daripada Tagesspiegel, Merkur Online menerusi n-tv.de, Bild.de, Sueddeutsche Zeitung sehinggalah kepada akhbar harian Switzerland, Tagesanzeiger – membuatkan pembaca begitu asyik, seperti yang digambarkan dalam komen mereka terhadap laporan berita itu.
Menerusi program Imam Muda, kira-kira lapan anak muda muncul di televisyen Malaysia pada waktu perdana, lengkap berbaju Melayu dan bersongkok.
Tagesanzeiger menyifatkan calon berkenaan sebagai superstar di televisyen Malaysia dan melaporkan bahawa mereka nampaknya telah menjadi pujaan hati ramai wanita muda.
Berbeza dengan program realiti yang lain, apabila peserta lazimnya menyanyi atau menari, calon program Imam Muda memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran, mengikuti latihan menguruskan jenazah untuk dikebumikan dan berikrar melindungi golongan muda Malaysia daripada seks serta dadah.
Program pencarian bakat yang disiarkan setiap minggu itu diketuai oleh seorang ulama terkemuka, Hasan Mahmud.
Beliau mewujudkan sekumpulan imam muda yang dapat dijadikan contoh dan menggunakan bantuan mereka untuk memerangi gejala keruntuhan sosial dan moral.
Calon berusia antara 18 hingga 27 tahun dipilih berdasarkan kriteria personaliti dan pengetahuan agama mereka.
Seperti juga dalam American Idol dan program bakat yang lain, calon disingkirkan setiap minggu apabila mereka gagal melayakkan diri.
Ramai penonton dan pembaca yang terkejut apabila mendapati sepanjang tempoh program, calon-calon diasingkan dan ditempatkan dalam ruang tidur sebuah masjid – tanpa telefon bimbit, Internet, televisyen dan peralatan moden lain – supaya mereka dapat berfikir sendiri dan tidak perlu bergantung harap kepada bantuan atau galakan dari luar.
“Pemenang pertandingan itu berpeluang menunaikan fardu haji di Mekah, bantuan kewangan melanjutkan pelajaran di universiti di Madinah dan bekerja di masjid,” kata pengulas dalam akhbar harian Tagesspiegel yang diterbitkan di Berlin.
Akhbar Jerman itu menegaskan semua peserta yang mengambil bahagian pastinya dikagumi oleh peminat remaja dan bakal ibu mertua.
“Bagi umat Islam, menantu yang ideal ialah bakal imam kerana mereka berpendidikan dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam,” akhbar itu memetik Iselan Bazar daripada rangkaian Astro Oasis yang menyiarkan rancangan pencarian bakat agama itu. – BERNAMA

No comments: