Pages

Thursday, April 15, 2010

Aku sudah siapkan AZAB untuk mereka



Ketika terjadi perdebatan antara kaum kafir Quraisy dengan Rasulullah s.a.w., Abu Jahal dengan sombong dan biadabnya telah bertanya kepada baginda; "Hei, Muhammad! Bukankah kamu pernah mengatakan bahawa kaum Musa telah disambar petir ketika mereka berkeras hendak melihat Tuhan? Kalau betul kamu adalah nabi kami, kami pun ingin disambar petir!

"Apa yang kami inginkan ini lebih besar daripada keinginan kaum Musa kerana mereka beriman dan menuntut diperlihatkan Tuhan, tetapi kami tidak beriman. Jadi, kalau kami tidak beriman, dapatkah kamu bawa Tuhan kamu itu bersama para malaikatnya ke hadapan kami hingga kami dapat melihatnya dengan mata kepala kami ini?"

Rasulullah s.a.w. tidak terus menjawab pertanyaan itu, sebaliknya bertanya kembali kepada bapa saudaranya itu, "Wahai Abu Jahal, tahukah kamu kisah Ibrahim al-Khalil? Ketika itu dia dibawa ke atas malakut langit sebagaimana ayat al-Quran menyebut, "dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami) di langit dan di bumi agar dia termasuk di dalam golongan orang-orang yang yakin." (Al-An'am: 75).

Rasulullah s.a.w. memberitahu si Abu Jahal, pada ketika itu Allah telah menguatkan pandangan Nabi Ibrahim hingga dapat melihat segenap penghuni bumi. Sewaktu melihat ke sepelosok dunia ini, Nabi Ibrahim tiba-tiba terpandang sepasang lelaki dan perempuan sedang melakukan maksiat. Nabi Ibrahim mengutuk pasangan itu dan mereka pun binasa ketika itu juga.

Kemudian, Nabi Ibrahim melihat satu lagi pasangan, lantas dia mencerca pasangan tersebut. Seperti tadi, lelaki dan perempuan yang sedang leka berzina itu mati ditimpakan azab pada saat itu juga.

Dari atas malakut langit itu, Nabi Ibrahim kemudian terpandang lagi sepasang kekasih sedang melakukan perbuatan
keji. Dia mengutuk pasangan itu, dan kedua-duanya binasa.

Untuk keempat kalinya, Ibrahim sekali lagi melihat sepasang lelaki dan wanita sedang berbuat maksiat. Nabi Ibrahim begitu marah, tetapi ketika hendak mencerca pasangan itu, tiba tiba Allah berseru kepadanya, "Wahai Ibrahim, janganlah kamu mengutuk hamba-hamba-Ku, kerana sesungguhnya Aku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, Maha Perkasa lagi Maha Penyabar.

"Aku melihat mereka berbuat maksiat, tetapi Aku tidak mengazab mereka untuk meluahkan kemarahanKu sebagaimana yang kamu lakukan. Jadi, hindarilah mengutuk!

"Kamu adalah hamba yang Ku utuskan untuk memberi peringatan kepada hamba-hamba-Ku yang lain, kamu bukanlah sekutu dalam penghukuman dan kamu juga tidak mempunya kuasa ke atas-Ku.

"Sedarlah! Hamba-hamba-Ku tidak keluar dari keadaan-keadaan ini; bagi mereka yang berbuat maksiat, aku tidak segera menghukum mereka. Jika mereka bertaubat, aku akan mengampuni dosa-dosa dan menutup aib mereka.

"Aku menangguhkan balasan ke atas sebahagian daripada pelaku maksiat kerana Aku mengetahui daripada sulbi mereka akan lahir anak-anak yang beriman.

Oleh kerana itu, aku bersikap tolak ansur dengan ayah dan ibu yang kafir, sampai mereka melahirkan anak-anak itu. Saat maksud-Ku itu sampai, maka Aku hantarkan seksaan-seksaan-Ku kepada mereka dan mereka akan terseksa dengan azab-Ku itu.

"Janganlah kamu bimbang kerana jika mereka tidak bertaubat dan tidak melahirkan anak-anak yang soleh, Aku sudah menyiapkan untuk mereka azab yang lebih pedih daripada keinginanmu yang membinasakan mereka. Kutukan-Ku sepadan dengan keagungan dan kebesaran-Ku.

"Jadi, wahai Ibrahim, biarkan Aku dengan hamba-hamba-Ku. Aku lebih penyayang daripadamu terhadap mereka, janganlah kamu pisahkan antara Aku dengan mereka. Aku Zat yang Maha Perkasa, Maha Penyabar dan Maha Bijaksana. Dengan pemeliharaan dan ilmu Aku, berlakulah qadak dan qadarKu terhadap mereka."

Sesudah menceritakan kisah tersebut, Rasulullah s.a.w. memberitahu Abu Jahal, "Kamu pun diberi penangguhan oleh Allah sampai lahir dari sulbimu anak yang soleh, ikramah, yang akan menjadi ketua kepada sebahagian daripada urusan kaum Muslimin.

Jika tidak kerana sebab itu, sudah pasti azab sudah pun diturunkan kepadamu. Allah juga menangguhkan seksaan ke atas kaum Quraisy kerana Dia mengetahui setelah itu mereka akan beriman.

"Oleh sebab itu, biarpun dengan kekufuran yang nyata, Dia tidak menghalang mereka daripada mendapat kebahagiaan pada masa akan datang. Atau dengan alasan bahawa akan lahir daripada mereka anak-anak yang mukmin, maka Dia menunda azab si ayah sampai anaknya mencapai kebahagiaan. Jika tidak kerana sebab itu, kamu semua kaum Quraisy sudah pun diazab.

No comments: