Pages

Friday, January 22, 2010

Rais beri amaran

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

JELEBU 21 Jan. - Kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan perbuatan membakar rumah ibadat di negara ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perbuatan itu tidak dipandang ringan kerana ia akan menjuruskan kepada persekitaran negara yang kucar-kacir.

Kata beliau, sekiranya surau, masjid atau gereja dimusnahkan secara berterusan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, ia secara tidak langsung akan menjejaskan kredibiliti sistem perundangan negara.

"Ini merupakan satu kancah sosial yang tidak seharusnya diteruskan oleh masyarakat di negara ini yang secara jelas akan memecah belahkan perpaduan.

''Saya percaya rakan saya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) akan teruskan bersikap tegas dalam menangani masalah ini," katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Pindaan Perlembagaan UMNO di Dewan Budaya Simpang Pertang di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kejadian dua buah surau di Muar, Johor yang mengalami kebakaran kecil awal pagi ini dipercayai akibat perbuatan khianat.

Kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi di Surau Silaturahim, Jalan Ismail Omar, manakala kejadian kedua di Surau Parit Beting di Jalan Salleh.

Dalam perkembangan lain, Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu menyeru ahli UMNO mentaati pindaan perlembagaan baru tersebut dalam usaha memberikan nafas baru kepada parti berkenaan.

''Menerusi perlembagaan baru ini, ia boleh dijadikan dorongan kepada setiap ahli dalam usaha mendemokrasi UMNO baru," katanya.

No comments: