Pages

Monday, January 25, 2010

Angkara Osama

2010/01/25 DUBAI: Pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden (gambar) mendakwa bertanggungjawab terhadap cubaan meletupkan pesawat di Amerika Syarikat (AS) pada Krismas lalu.


Kenyataan ringkas yang disiar stesen televisyen Al-Jazeera itu turut menyatakan, serangan turut dirancang ke atas kepentingan AS di masa akan datang.

Osama memberi amaran, serangan itu bertujuan menyampaikan mesej sama dengan serangan 11 September 2001.


Beliau turut memuji warga Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab yang didakwa cuba meletupkan bom dibawanya di atas pesawat Syarikat Penerbangan Northwest di Detroit 25 Disember lalu tapi berjaya dihalang penumpang yang menyerangnya.

"Serangan terbaru ini ialah untuk menekankan mesej yang disampaikan wira-wira yang terbabit dalam serangan 11 September.

"Hakikatnya, AS tidak sepatutnya berasa selamat hinggalah kemerdekaan dikecapi warga Palestin," katanya.


Bagaimanapun, tiada pihak mampu mengesahkan suara di dalam rakaman audio itu miliki Osama.

Beliau menegaskan, jika AS sedia bertindak selepas menerima aduan daripada masyarakat dunia, pastinya tindakan seperti itu tidak perlu dilaksanakan.

"Tidak adil kerana AS hidup gembira setiap hari sedangkan warga Gaza menderita dan hidup sengsara.

"Atas sebab itulah, serangan ke atas AS akan tetap diteruskan selagi Washington menyokong Israel," tegasnya.

Kumpulan Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) sebelum ini mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Penganalisis mendakwa kenyataan terbaru itu menekankan beliau masih bertanggungjawab terhadap seluruh rangkaian kumpulan pengganas itu di seluruh dunia. - AFP

No comments: