Pages

Tuesday, August 11, 2015

Lelaki beli cincin guna duit syiling

Lelaki beli cincin guna duit syiling

Kakitangan kedai barangan kemas bertungkus lumus mengira wang syiling lelaki berkenaan.

ANHUI - CHINA. Seorang lelaki membeli sebentuk cincin berlian untuk melamar kekasihnya dengan menggunakan duit syiling 12,000 yuan (RM7,620) yang dikumpulkan.

Liang Liang, 30, yang mengenali teman wanitanya sejak 20 tahun lalu, berjanji untuk melamar kekasihnya sejak mereka kecil lagi.

"Saya akhirnya berjaya mengumpul wang membeli sebentuk cincin untuk melamarnya," katanya dipetik SCMP.

Liang Liang hanya menggunakan basikal untuk membawa wang syilingnya yang mempunyai berat kira-kira 150 kg ke kedai barang kemas itu.

Kakitangan kedai tersebut mengambil masa setengah hari untuk mengira duit syiling berkenaan.

Sementara itu, pengurus kedai barangan kemas berkenaan mengambil keputusan untuk mempamerkan wang syiling berkenaan di kedai tersebut kerana terharu dengan komitmen yang ditujukkan oleh lelaki berkenaan.

"Pengorbanan lelaki itu melambangkan kesucian sebuah cinta," katanya dipetik Yingzhou Evening News.

Terumbu karang terbesar dunia

Terumbu karang terbesar dunia

JIKA dilihat dari pandangan atas, pantai timur Australia seperti berada dalam sebuah oval gergasi. Tetapi sebenarnya, ia adalah The Great Barrier Reef iaitu struktur terumbu karang terbesar di dunia yang dihasilkan oleh organisma hidup.
Terletak di antara pantai Queensland dan pesisir Laut Pasifik, Great Barrier Reef menjangkau keluasan lebih 2,000 kilometer dan mengandungi lebih 2,900 terumbu individu serta lebih 900 pulau.
Disebabkan kepelbagaian jutaan hidupan laut di dalamnya, ada yang menggelar kawasan ini seperti sebuah bandar hidup dalam air yang kesemuanya saling berkaitan.
Mula ditubuhkan sebagai taman negara pada tahun 1975, The Great Barrier Reef telah ditetapkan sebagai Tapak Warisan Dunia enam tahun selepas itu lapor National Geographic. 
Hari ini, 33 peratus daripada kawasan ini dilindungi sepenuhnya, dan pelbagai usaha sedang dijalankan untuk menangani pencemaran, aktiviti memancing dan akibat perubahan iklim.
Dalam satu kajian diterbitkan pada Oktober tiga tahun lalu oleh Proceedings of the National Academy of Sciences, terumbu karang telah kehilangan lebih daripada separuh kulitnya sejak 1985.
Pada November tahun lalu, Google telah melancarkan Google Underwater Street View dalam 3D di Great Barrier Reef. 

Tarikan baharu Gua Cavern 20

Tarikan baharu Gua Cavern 20

KADANG kala, harta alam semula jadi paling luar biasa wujud tanpa ada yang menyedarinya.

Seperti yang terjadi di Somerset, England, lebih tiga tan bahan letupan dan ribuan peledak digunakan untuk mendedahkan gua bawah tanah menakjubkan dengan pembentukan batu yang jarang berlaku.

Pemilik tarikan Wookey Hole nyata terkejut dengan penemuan gua baharu itu yang secara rasmi dikenali sebagai Cavern 20 lapor  Mail Online.

Menurut pengarah Wookey Hole, pelaburan untuk membangunkan gua itu adalah pembangunan paling menarik yang dilakukan terhadap kawasan tarikan tersebut sejak lebih 40 tahun lalu.

Gua yang kini boleh diakses oleh pengunjung untuk kali pertama itu adalah tarikan terbesar di West Country dan mempunyai tasik bawah tanah di mana ia sebelum ini hanya mampu dilihat oleh segelintir penyelam.

Pembentukan batu luar biasa itu juga menghairankan pakar kerana ia biasanya terbentuk oleh air yang mengalir. Bagaimanapun, adalah jarang untuk menemui gua yang mempunyai air mengalir di dalamnya seperti     gua tersebut.

Difahamkan, kerja membangunkan gua itu mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan, dan menelan belanja antara AS$2 juta hingga AS$3 juta (RM8 juta hingga RM12 juta).   

Jumpa semula dompet hilang selepas 30 tahun

Jumpa semula dompet hilang selepas 30 tahun
Derek menunjukkan dompet yang dijumpai semula selepas 30 tahun.
11 OGOS 2015

 NORTHAMPTONSHIRE - BRITAIN. Seorang petani terkejut selepas menjumpai semula dompetnya yang hilang ketika menaiki kereta api sejak 30 tahun lalu.

Derek Gamble, 66, berusia 30an ketika dia kehilangan dompetnya ketika dalam perjalanan menaiki kereta api di kawasan Loughborough.

Apa yang mengejutkan, dompet yang berisi wang kertas £1 dan beberapa duit syiling masih tersimpan rapi malah resit dan slip tempahan percutian masih ada.

Dompet tersebut ditemui tersembunyi di belakang tempat duduk kereta api oleh seorang sukarelawan Michael Massey, 70, ketika dia sedang membaiki kerusi kereta api berkenaan.

Michael kemudianya mengambil keputusan untuk mengembalikan dompet tersebut kepada pemilik asalnya berdasarkan maklumat yang  diperoleh melalui resit yang dijumpai dalam dompet berkenaan.

Derek berkata, dia begitu gembira dan terkejut apabila menjumpai semula dompetnya yang pernah hilang suatu ketika dulu.

"Dompet ini mengimbas kembali kenangan 30 tahun lalu," katanya dipetik Mirror.uk

‘Doktor jalan’ di India


Guna duit pencen baiki lebih 1,000 jalan berlopak

Gangadhara Tilak Katnam digelar sebagai doktor jalan kerana usaha
Gangadhara Tilak Katnam digelar sebagai doktor jalan kerana usaha gigihnya membaiki lebih 1,000 kerosakan jalan di Hyderabad sejak 2011 dengan menggunakan duit pencen sendiri. AGENSI
NEW DELHI 10 Ogos - Kebiasaannya duit pencen akan digunakan untuk menampung kehidupan apabila bersara, tetapi berbeza dengan seorang warga emas di India, yang sanggup menggunakan wang pencen untuk membaiki lebih 1,000 jalan yang berlopak di kampung halamannya di Hyderabad.
Lebih mengagumkan, Gangadhara Tilak Katnam yang dikenali sebagai ‘doktor jalan’, sanggup menghabiskan masa meronda pada setiap hari untuk mencari jalan yang berlopak dan membaikinya sendiri.
Menurut portal Oddity Central, lelaki berusia 66 tahun itu memulakan misi murni tersebut sejak tahun 2011 dengan membawa empat guni kosong bagi mengumpulkan bahan terbuang termasuk tar untuk digunakan menampal jalan berlubang di seluruh bandar.
Menurut bekas pekerja syarikat Kereta Api South Central itu, dia bersara pada Oktober 2008 dan berehat selama setahun selain berkunjung ke Amerika Syarikat (AS) untuk menziarahi anaknya pada 2009 sebelum pulang semula ke Hydershakote di Hyderabad pada 2010 untuk bekerja sebagai perunding agensi perisian komputer.
Jelasnya, pada hari pertama ke pejabat, kereta yang dipandunya terlanggar lopak sehingga menyebabkan lumpur terpercik, ter­kena kepada seorang murid sekolah mengakibatkan baju kanak-kanak itu kotor dan kejadian sama berulang beberapa kali.
“Kemudian satu kemalangan yang berlaku di depan mata saya di Langer House apabila sebuah bas merempuh beca tiga roda akibat terlanggar lopak, menyebabkan seorang mangsa terbunuh.
“Insiden mengerikan itu memberi kesedaran kepada saya untuk membaiki sendiri jalan yang rosak bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan maut berulang,” katanya.
Pada awalnya, Majlis Perban­daran Greater Hyderabad (GH­MC) tidak menggalakkan Katnam memperbaiki jalan kerana mereka mampu menguruskan masalah itu, tetapi terpaksa akur dengan kesungguhan lelaki tersebut sehingga mereka menyediakan sumber dan bahan membaiki jalan.
Malah, Katnam turut mempunyai surat daripada Kementerian Perumahan yang memberi kebenaran kepadanya melakukan kerja-kerja pembaikan jalan bagi mengelakkan salah faham kepada pihak polis jika curiga dengan peralatan yang dibawanya.
“Saya mendapat pencen sebanyak 20,000 rupee (RM1,228) dan menggunakan kira-kira 25,000 rupee (RM1,536) pada setiap bulan untuk membaiki jalan, tetapi selepas mendapat bantuan GHMC, kos berkurangan kepada 15,000 rupee (RM921),” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/8216-doktor-jalan-8217-di-india-1.122949#sthash.he8iK0TH.dpuf

Pengembaraan solo pemuda ke 50 negara


Will Hatton mengembara ke hampir 50 buah negara di seluruh dunia
Will Hatton mengembara ke hampir 50 buah negara di seluruh dunia seorang diri sejak tujuh tahun lalu. AGENSI
LONDON 10 Ogos – Seorang lelaki Britain berjaya melakukan satu perkara yang disifatkan sebagai berbahaya dalam kalangan pengembara apabila menjelajah hampir 50 buah negara di seluruh dunia seorang diri.
Mail Online melaporkan, sejak tujuh tahun lalu, Will Hatton sudah mengunjungi hampir 50 buah negara secara solo tanpa ditemani oleh sesiapa.
Hatton berkata, banyak pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang pengembaraan ber­­kenaan antaranya berjaya men­jelajah ke seluruh pelosok Venezuela, negara yang terkenal dengan aktiviti penculikan de­ngan selamat.
“Sukar untuk melihat pengembara seperti saya di negara berkenaan, walaupun di sana semua barangan murah-murah. Ramai yang kata saya gila apabila berhasrat untuk mengembara ke Venezuela.
“Tidak dapat disangkal negara itu sukar untuk dilawati ter­­utamanya dalam proses pertukaran wang yang melibatkan individu dalam pasaran gelap, namun bagi saya itu semua perkara kecil,” jelasnya.
Kata Hatton lagi, dia pernah dirompak ketika berada di Nepal, India, dan Nicaragua serta mengalami sakit teruk semasa di Banjaran Himalaya.
Ujarnya, pengembara-pengembara yang tidak pernah meninggalkan zon selesa disaran supaya memulakan pengembaraan di negara-negara Asia Tenggara kerana lebih selamat selain mempunyai penduduk yang ramah.
“Persediaan mental dan fizikal amat perlu sebelum memulakan pengembaraan kerana apa sahaja boleh berlaku dan kita perlu pandai menyelesaikan masalah,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pengembaraan-solo-pemuda-ke-50-negara-1.122951#sthash.2W8OqKPO.dpuf

Monday, August 10, 2015

'Tak selamat di sini'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor 
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: It's not safe here (tak selamat di sini), nanti I (saya) jumpa you (wartawan)," kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Amerika Syarikat di sini, sebentar tadi.
Mohd Shukri berkata, beliau akan bertemu media dalam tempoh terdekat namun, terpaksa menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu.
Usaha wartawan untuk menemubualnya gagal kerana beliau dilihat tergesa-gesa meninggalkan terminal sebelum menaiki sebuah kenderaan rasmi.
Ketibaan Mohd Shukri turut disambut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali.
Difahamkan, Mohd Shukri sempat berbual hampir 15 minit di Bilik Orang Kenamaan KLIA di sini sejurus mendarat.
Mohd Shukri berada di Amerika Syarikat sejak 10 hari lalu bagi menghadiri tugasan rasmi SPRM.
Pada Jumaat lalu, Mohd Shukri menarik perhatian media apabila meminta dua pegawainya kanannya yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu Pengarah Bahagian Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Bahagian Strategik Komunikasi Datuk Rohaizad Yaacob dikembalikan semula ke SPRM.
Menurutnya, beliau sedia menawarkan dirinya sebagai ganti kerana kedua-dua pegawai kanan itu bertindak atas arahannya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 11:04 PM


TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dikawal ketat sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Fariz Iswadi Ismail.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/69355#sthash.VKhTlW0E.dpuf

Bigfoot wujud
di Carolina Utara?


Gambar bigfoot yang berjaya dirakam oleh seorang pelancong ketika
Gambar bigfoot yang berjaya dirakam oleh seorang pelancong ketika makhluk berkenaan melintas jalan di daerah Henderson, dalam satu kejadian dekat Ashville, di Carolina Utara baru-baru ini. - AGENSI
NEW YORK 9 Ogos - Seorang pelancong mendakwa dia berjaya merakam video yang membuktikan kewujudan Bigfoot di Carolina Utara selepas melihat makhluk berkenaan melintas jalan di daerah Henderson, dalam satu kejadian dekat Ashville, kelmarin.
Bagaimanapun, video itu tidak akan dapat dirakam Eric Walters tanpa bantuan anjingnya, Zippy yang mengesan makhluk berkenaan terlebih awal sehingga mengakibatkan Bigfoot tersebut melarikan diri ke dalam belukar berhampiran.
Menurut Walters kepada Citizen-Times, ketika kejadian pada pagi kelmarin, dia membawa anjingnya bersiar-siar sebelum mengesan seekor Bigfoot sedang berjalan berhampiran bahu jalan menuju kawasan belukar.
“Sama ada memang betul terdapat Bigfoot di luar sana atau seseorang cuba bergurau dengan kami,’’ kata Walters sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Walters kemudiannya merakam makhluk besar itu menggunakan telefon pintarnya ketika Bigfoot berkenaan sedang berjalan tanpa menghiraukan tindakannya mengambil video dan salakan anjing peliharaan Walters.
Orang ramai sebelum itu memberi amaran kepada Walters bahawa terdapat beruang di kawasan ber­kenaan, sekali gus membuatkan lelaki tersebut memastikan bahawa anjing­nya sentiasa ada dekat dengannya.
“Zippy berubah menjadi haiwan yang berani dan menghalau Bigfoot itu, sekali gus menyelamatkan saya. Saya amat sayangkannya,’’ kata Walters.
Ini bukan pertama kali Bigfoot dikesan di Carolina Utara kerana pada 2011, seorang penduduk Thomas Byers pernah merakam video Bigfoot melintas jalan di daerah Rutherford.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bigfoot-wujud-8232-di-carolina-utara-1.122581#sthash.kbIP5lFy.dpuf

360 batu karang dalam perut wanita


Sebanyak 360 biji batu karang dikeluarkan daripada pundi hempedu
Sebanyak 360 biji batu karang dikeluarkan daripada pundi hempedu Mousumi di sebuah hospital di Bengal Barat, baru-baru ini. AGENSI
MUMBAI 9 Ogos – Doktor di India yang memeriksa punca sakit perut yang dialami seorang wanita terkejut selepas menemukan sebanyak 360 biji batu karang dalam pundi hempedu wanita tersebut.
Mousumi Dam, 49, dari negeri Kolkata di timur India memberitahu bahawa dia mengalami sakit perut yang kronik dan keasidan sejak beberapa bulan lalu sehingga akhirnya wanita itu terpaksa berjumpa doktor bagi memeriksa penyakitnya.
Doktor yang memeriksanya kemudian mendapati, Mousumi menderita akibat batu karang yang teruk dengan ujian mendedahkan, wanita itu mempunyai kelompok besar batu marmar bersaiz kecil di dalam pundi hem­pedunya,
Portal Mirror.co.uk me­la­porkan, Mousumi kemudiannya dirujuk ke hospital di Bengal Barat yang menyaksikan doktor mengeluarkan sebanyak 360 biji batu karang dalam pembedahan yang berlangsung selama sejam.
Dr. Makhan Lal Saha, 59, pakar bedah di hospital itu berkata, dia tidak pernah melihat batu karang dalam jumlah yang banyak dalam badan seorang penyakit sebelum ini.
“Sepanjang menjadi doktor selama 37 tahun, saya tidak pernah melihat batu karang sebanyak ini dalam sebuah pundi hempedu. Ini kali pertama dalam sejarah perubatan di Bengal Barat seorang perlu menjalani pembedahan bagi mengeluarkan sebanyak 360 biji batu karang,’’ katanya.
Makhan berkata, mereka mengambil masa selama 50 minit bagi mengeluarkan batu karang berukuran lima milimeter setiap satu itu.
“Malah, tangan saya terasa kebas apabila saya mengeluarkan batu yang terakhir, dan adalah mengejutkan bahawa kesemua batu karang itu mempunyai saiz dan bentuk yang sama,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/360-batu-karang-dalam-perut-wanita-1.122584#sthash.adEVW8aC.dpuf

Guru keluar kristal dari mata


Kristal putih dikeluarkan dari mata Laura Pones, baru-baru ini.
Kristal putih dikeluarkan dari mata Laura Pones, baru-baru ini. AGENSI
SAO PAULO 9 Ogos – Seorang guru tadika dari bandar Lins di Barzil, menghidap sejenis penyakit pelik apabila sering menangis dan menitiskan air mata kristal.
Menurut portal Mail Online, Laura Ponce, 35, menyedari terdapat ketulan putih yang lembut timbul pada matanya sebelum ia mengeras dan bertukar menjadi ketulan kristal putih.
Kejadian ganjil itu berlaku sering berlaku selama beberapa ming­gu, menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti kerja bagi mengeluarkan sebanyak 30 kristal putih sehari dari matanya.
“Mata saya akan membengkak bagi mengeluarkan kristal tersebut,” ujarnya, sambil menambah kata, dia berasa sangat sakit ketika ketulan kristal itu mengeras.
Ponce menyedari masalah pelik yang dihidapinya itu ketika dia berusia 15 tahun, selepas matanya ‘dipenuhi’ ketulan putih yang tidak diketahui apakah ia.
Ketika kejadian itu mula-mula berlaku, dia bergegas memanggil ibunya, Marissa yang ternyata terkejut melihat kejadian itu, dan dia cuba membantu Ponce mengeluarkan ketulan tersebut dari matanya, tetapi ia terus membentuk kristal yang baharu.
“Kami (saya dan Ponce) cuba mengeluarkan ketulan putih itu dari mata anak saya, kerana saya takut untuk mengeluarkannya, sebelum membawa anak saya mendapatkan rawatan di hospital, dan doktor yang bertugas juga takut melihat keadaan mata anak saya,” ujar Marissa.
Sehingga kini, Ponce masih gagal menemui penawar bagi penyakit ganjil yang dialami sejak 20 tahun lalu itu.
“Dua tahun lalu, ketika di­serang penyakit itu, ia berterusan selama enam bulan dan saya berjaya mengumpul 30 kristal yang keluar dari mata saya setiap hari,” ujarnya yang kecewa selepas terpaksa mengambil cuti kerja selama tempoh tersebut.
Sementara itu, seorang pakar mata dari Hospital de Olhos de Bauru, Brazil, Dr. Raul Goncalves mengakui masalah yang dialami Ponce memang pelik dan dia sendiri tidak pernah berdepan masalah seumpama itu selama 25 tahun berkhidmat sebagai doktor mata.
Ponce kini dibekalkan ubat titis mata oleh Dr. Raul bagi melegakan keadaannya. Namun, dia terus dibelenggu kebimbangan akan berdepan masalah itu seterusnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/guru-keluar-kristal-dari-mata-1.122592#sthash.KtnHu6cB.dpuf

Sunday, August 9, 2015

Polis temui 213 fosil telur dinosaur

Heyuan (China): Polis menyerbu sebuah rumah di bandar ini dan menemui 213 fosil telur dinosaur yang dicuri dari sebuah tapak pembinaan di sini baru-baru ini.
Dalam serbuan di wilayah Guangdong pada 30 Julai lalu, pihak berkuasa turut menemui satu tulang dinosaur yang lengkap.
Jurucakap polis berkata, fosil telur dinosaur itu pada mulanya ditemui di sebuah tapak pembinaan pada Jun lalu.
Menurutnya, sebelum sempat saintis dan penyelidik tiba di lokasi berkenaan, fosil itu dicuri sekumpulan penduduk.
Fosil lengkap tulang dinosaur itu pula dipercayai dicuri di sebuah tapak cari gali di wilayah Liaoning.
Tulang dinosaur itu dikenal pasti daripada spesies Psittacosaurus yang hidup 100 juta tahun lalu.
Kegiatan cari gali haram sering berlaku di bandar ini sejak kali pertama fosil dinosaur dijumpai pada 1996.
Segelintir penduduk mencuri fosil dinosaur untuk dijadikan perhiasan dan ada yang menjualnya di pasaran gelap.
Kekurangan undang-undang bagi menghalang kegiatan berkenaan menyebabkan ramai penduduk terlepas daripada tindakan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 9:09 AM


ANGGOTA polis memeriksa fosil telur dinosaur yang dirampas dari sebuah rumah di Heyuan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68726#sthash.AWRQ7lhk.dpuf

Pengantin jamu 4,000 pelarian

Pasangan pengantin Turki yang berkahwin minggu lalu, menghabiskan hari perkahwinan dengan menjemput 4,000 pelarian Syria di negara itu dengan menyediakan makanan untuk mereka.
Fethullah Uzumcuoglu dan Esra Polat berkahwin di wilayah Kilis di selatan Turki, dekat sempadan Syria yang kini menjadi rumah ribuan pelarian akibat peperangan.
Idea mengadakan jamuan perkahwinan besar-besaran itu adalah daripada bapa pengantin lelaki, Ali Uzumcuoglu, yang mahu berkongsi hari istimewa anaknya dengan ‘saudaranya’ dari Syria.
Pertubuhan kebajikan Turki, Kimse Yok Mu yang membantu pelarian di seluruh dunia, menyediakan satu lori katering untuk majlis itu dan pasangan pengantin berkenaan sendiri dengan pakaian pengantin, melayan mengisikan makanan ke dalam pinggan tetamu.
Esra pada mulanya enggan menerima rancangan itu tetapi mengubah fikiran selepas berpendapat ia bakal menjadi kenangan indah.
“Saya terkejut apabila Fethullah beritahu mengenai idea itu. Selepas berfikir, saya berpendapat ia pengalaman indah. Saya gembira kerana kami mempunyai peluang untuk berkongsi hidangan perkahwinan dengan mereka yang amat memerlukan,” katanya.
Bercakap tentang rancangan awalnya untuk menjemput 4,000 tetamu bapa pengantin lelaki
Menurut Ali, baginya berkongsi makanan yang enak sempena majlis itu dengan mereka yang lebih memerlukan seperti pelarian terbabit lebih baik berbanding dengan keluarga dan rakan.
“Saya amat gembira apabila anak saya menerima idea itu,” katanya.
Sejak perang saudara berlaku di Syria empat tahun yang lalu, lebih empat juta orang melarikan diri dari negara itu dengan ramai tinggal di kem pelarian di negara bersempadan, termasuk Turki. - i100.co.uk.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 8:34 PM


Pasangan pengantin Fethullah Uzumcuoglu dan Esra Polat bergambar di depan lori katering selepas melayan pelarian Syria sebagai tetamu majlis perkahwinan mereka. Foto - Kimse Yok Mu
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68899#sthash.45IoGC1S.dpuf

Kolam renang air kencing

Beijing: Pihak berkuasa kesihatan bandar raya ini mendapati separuh daripada kolam renang awam di sini mengandungi paras air kencing terlalu tinggi.
Dalam pemeriksaan yang dijalankan baru-baru ini, pihak berkuasa itu mendapati sebahagian kolam renang awam itu mempunyai kandungan urea - bahan kimia yang terdapat dalam air kencing - melebihi 3.5 miligram setiap liter air, melebihi had standard kebangsan.
Ada kolam renang yang tidak diselenggara dengan baik mengandungi 20 miligram bahan itu dalam setiap liter air.
Seorang pegawai berkata: “Tidak hairanlah ramai pengguna kolam renang mengadu mata mereka merah setiap kali berenang di situ. Ini kerana sebahagian besar pengguna kencing dalam kolam itu.”
Menurutnya, nitrogen dalam air kencing jika bercampur dengan klorin akan membentuk kloramin, punca yang menyebabkan mata merah.
Katanya, lebih banyak bau klorin di dalam kolam, lebih banyak air kencing di dalamnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:28 AM


GAMBAR hiasan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/69064#sthash.liKSn8Wx.dpuf

‘Hukuman’ sepanjang hayat

Texas: Seorang lelaki yang didakwa memukul bekas teman lelaki kekasihnya diarahkan berkahwin sebagai ganti hukuman penjara 15 hari selepas didapati bersalah atas tuduhan itu.
Hakim Randall Rogers membuat perintah itu terhadap Josten Bundy, 20, kerana menyerang bekas teman lelaki kekasihnya, Elizabeth Jaynes, Februari lalu selepas mendengar mangsa ‘mengeluarkan kata-kata yang menghina Elizabeth.
Ketika menjatuhkan hukuman, Rogers bertanya sama ada berbaloi untuk dia menyerang mangsa, menyebabkan Bundy berkata: “Saya sanggup melakukannya lagi jika kejadian berulang.”
“Kalau begitu saya perintahkan kamu menjalani pemerhatian dan sebagai syarat hukuman ini kamu mesti mengahwininya dalam tempoh 30 hari.
“Kamu juga perlu menjalani kaunseling dan menuliskan ayat dari Bible sebagai syarat hukuman,” kata Rogers.
Kata-katanya itu membuatkan orang ramai yang menghadiri prosiding ketawa.
Elizabeth berkata: “Saya memang terkejut dan muka menjadi merah padam. Hakim kemudian mengarahkan saya berdiri.”
Katanya, bagi mengelak Bundy dipenjara dia dan kekasihnya terus memfailkan permohonan berkahwin menyebabkan mereka hanya mempunyai 18 hari untuk merancang majlis mereka.
Malah ramai keluarga dan rakan tidak dapat menghadiri majlis itu - termasuk ayah Bundy - kerana tempoh yang mengejut.
“Adik-beradik perempuan saya juga tidak sempat datang. Tetapi tidak mengapa, kami akan mengadakan majlis resepsi lebih sempurna sebaik berjaya mengumpulkan wang nanti.
“Apapun saya tidak langsung menyesali hukuman dikenakan ini,” kata Bundy.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:05 AM


Elizabeth dan Bundy menunjukkan sijil perkahwinan mereka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/69238#sthash.rdGVejq3.dpuf

Sungai bertukar kuning



SUNGAI Animas di Colorado yang menjadi tapak rekreasi awam kini terpaksa ditutup sementara berikutan pencemaran sisa toksik dari lombong emas. - AGENSI


SILVERTON, Colorado – Sungai Animas di sini yang terkenal dengan air jernih kebiruan kini telah bertukar menjadi kekuningan selepas berlaku tumpahan 3.8 juta liter sisa toksik baru-baru ini.
Berikutan kejadian itu, sungai berkenaan telah ditutup kepada semua aktiviti rekreasi, manakala Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat bergegas menilai tahap pencemaran dipercayai berpunca daripada sebuah palam penyumbat di Lombong Gold King yang pecah.
Pegawai penguat kuasa bagaimanapun menjelaskan bahawa bekalan air bersih untuk minuman di kawasan terbabit tidak terjejas.
EPA memaklumkan, satu kemalangan berlaku menyebabkan tumpahan sisa perlombongan melimpah ke anak Sungai Cement yang seterusnya mengalir ke Sungai Animas.
“Projek itu bertujuan menge­pam keluar dan merawat air di dalam lombong daripada pencemaran logam. Sisa berasid itu terdiri daripada logam berat dan tanah yang boleh menyebabkan keradangan pada kulit,” kata pegawai EPA, Rich Mylott dalam satu kenyataan.
Pasukan di tempat kejadian masih tidak pasti berapa lama sebelum air kekuningan itu mela­rut. Kejadian pencemaran serupa sebelum ini menyebabkan aluminium, kadmium, zink, besi dan tembaga melimpah ke sungai tersebut. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3iGnuaXrO 
Hakcipta terpelihara