Pages

Saturday, May 2, 2015

Bayi lahir dengan usus, perut dan hati di luar badan



KEADAAN Nell sewaktu dilahirkan dalam keadaan usus, perut dan hatinya berada di luar badan.


NORTHUMBERLAND, Britain – Seorang bayi berusia 14 bulan di sini yang dilahirkan dalam keadaan usus, perut dan hati berada di luar tubuhnya memerlukan bantuan untuk menjalani pembedahan memasukkan semula kesemua organnya itu ke tempat sepatutnya.
Keadaan Nell Marshall yang dilahirkan pada 4 Mac 2014 itu berlaku disebabkan perutnya tidak terbentuk secara sempurna ketika berada di dalam rahim ibunya.
Ibunya, Joanne Marshall, 35, berkata, sekumpulan pakar jantung memaklumkan mereka menemui sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini sejak 30 tahun berkecimpung di dalam bidang perubatan.
“Mereka menemui satu lubang antara pembuluh darah yang keluar dari jantung dan memaklumkan anak kami mungkin tidak mampu hidup lama,” ujarnya.
Sebelum ini, Nell pernah menjalani rawatan pembedahan tampalan kulit khinzir di Hospital Freeman selama lima jam untuk memperbaiki lubang yang berada di pembuluh darahnya.
Selepas setahun, Nell dilihat semakin sihat, namun masih perlu menjalani pembedahan dalam tempoh enam minggu lagi untuk memasukkan semua organ itu ke dalam badannya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Yw6diiV3 
Hakcipta terpelihara 

Jurugambar ‘tergantung’ rakam aksi ngeri


Gambar diambil Alfredo Martinez, menunjukkan aksi Dane Jackson
Gambar diambil Alfredo Martinez, menunjukkan aksi Dane Jackson di air terjun di Sungai Alseseca berdekatan Veracruz, Mexico, baru-baru ini. Agensi
MEXICO CITY 1 Mei – Seorang jurugambar Mexico, bertindak berani mengikat dirinya dengan kabel bagi membolehkan dia mengambil gambar pelagak aksi ngeri, Dane Jackson menggunakan kayak untuk menyusuri air terjun setinggi 30.48 meter di Sungai Alseseca berdekatan Veracruz.
Jurugambar itu, Alfredo Martinez, 42, berkata, mereka memasang kabel sepanjang empat meter di hadapan air terjun tersebut bagi membolehkannya merakam gambar aksi Jackson, 21.
“Saya diberikan isyarat apabila Jackson mula mengayuh kayak dan saya menunggunya tiba di air terjun tersebut.
“Apabila Jackson melalui air terjun tersebut, saya mengambil gambar semua aksinya. Namun keadaan itu berlaku terlalu pantas, hanya dua saat sahaja,’’ katanya seperti dilaporkan laman web akhbar Mirror.
Jackson yang merupakan peserta kayak profesional dari Amerika Syarikat (AS) berkata, dia pada mulanya sudah merancang apa yang perlu dilakukan ketika menghampiri air terjun tersebut, namun segala perancangannya tidak dapat dilaksanakan.
“Apabila saya berjaya dan selamat melakukan aksi ini, saya mengenang kembali apa yang telah saya lakukan.
“Segala yang saya lakukan untuk sampai ke tahap ini, sangat berbaloi,’’ katanya menceritakan aksi yang dilakukannya pada awal tahun ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jurugambar-8216-tergantung-8217-rakam-aksi-ngeri-1.86822#sthash.daq517yz.dpuf

Gadis miliki dua rahim, serviks

Cassandra Bankson dikesan memiliki dua rahim, dua serviks, dan
CASSANDRA BANKSON dikesan memiliki dua rahim, dua serviks, dan dua faraj selepas menjalani imbasan MRI, baru-baru ini. AGENSI
SAN FRANCISCO 1 Mei – Seorang bintang YouTube tergamam apabila diberitahu dia memiliki dua rahim, dua serviks, dan dua faraj selepas menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).
Cassandra Bankson, 22, dari San Francisco, mengambil keputusan berjumpa doktor kerana sering mengalami sakit belakang, lapor Mail Online.
Lebih mengejutkan, pemeriksaan itu juga mendapati, gadis tersebut hanya memiliki satu buah pinggang.
“Pada mulanya doktor hanya mengesahkan bahawa saya mempunyai satu buah pinggang melalui pemeriksaan MRI. Apabila menjalani satu lagi imbasan, doktor juga memaklumkan bahawa saya mempunyai dua faraj, dua rahim dan dua serviks,” katanya.
Keadaan dialami Bankson dikenali sebagai uterus didelphys atau uterus berganda.
“Saya amat terkejut ketika dimaklumkan oleh doktor tentang perkara itu. Namun, kini saya sudah tahu punca mengapa saya sering alami kekejangan di perut.
“Saya juga pasti keadaan sama menyebabkan saya mengalami tempoh haid yang panjang sehingga 30 hari,” katanya.
Bankson yang mempunyai saluran YouTube sendiri, DiamondsAndHeels14, sering berkongsi tips tentang solekan dan kesihatan dengan satu daripada videonya mengenai cara menutup jerawat menggunakan solekan ditonton sebanyak 25 juta kali.
Gadis itu berkata, dia me­nerima keunikannya selain turut mendapat sokongan daripada ahli keluarga.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gadis-miliki-dua-rahim-serviks-1.86843#sthash.ZeMknw7d.dpuf

Friday, May 1, 2015

China bina bangunan setinggi 57 tingkat dalam masa 19 hari


BANGUNAN Mini Sky City setinggi 57 tingkat ini mencipta rekod tersendiri apabila dibina dalam masa 19 hari.


CHANGSHA, China – Sebuah syarikat pembinaan di sini mendakwa menjadi pemaju paling pantas di dunia selepas berjaya menyiapkan bangunan pencakar la­ngit setinggi 57 tingkat dalam masa 19 hari be­kerja.
Syarikat tersebut, Broad Sustai­nable Buil­ding Co. itu membina ba­ngunan yang dinamakan Mini Sky City di Changsha, ibu kota wilayah Hunan pada kadar tiga tingkat sehari dengan menggunakan kaedah mo­dular.
Timbalan Presiden sya­rikat itu, Xiao Changgeng berkata, pihaknya bercadang untuk membina ba­ngunan pencakar la­ngit tertinggi di dunia se­tinggi 220 tingkat dalam hanya tiga bulan selepas berjaya menyiapkan bangunan Mini Sky City tersebut.
Rakaman video kepantasan bangunan itu dibina menjadi popular di laman perkongsian video China selepas dimuat naik ke laman YouTube.
Menurut Xiao, bangunan Mini Sky City yang mempu­nyai 19 atrium, 800 apartmen dan ruang pejabat untuk 4,000 pekerja itu akan mula dijual pada bulan ini.
Beliau memberi jaminan struktur pembinaan bangunan itu selamat dan mampu menahan daripada gempa bumi. –AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3Yq0neQ19 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, April 30, 2015

Wanita hamil ketagih makan batu

Wanita hamil ketagih makan batu
Silva (kanan) mempunyai keinginan pelik iaitu makan batu.

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Kebanyakan wanita hamil biasanya berkeinginan untuk makan coklat, ais krim atau makanan yang lain, tetapi berbeza pula dengan seorang wanita di sini kerana mempunyai keinginan pelik iaitu makan batu.

Keinginan pelik wanita yang dikenali sebagai Silva, 21 itu di siarkan dalam sebuah program My Extraordinary Pregnancy yang dimuatnaik di laman YouTube.

Dalam rakaman itu, Silvia berkata, keinginannya itu akan menyebabkan dia berdepan risiko penyakit dan masalah perut.

"Saya berada sangat sedih, malu tetapi saya terpaksa melakukannya, sesetengah orang mengidam jeruk atau sushi tetapi saya sukakan batu," katanya yang
tinggal bersama dua anaknya.

Rakaman menunjukkan Silvia berjalan-jalan di sekitar kawasan rumahnya untuk mencari batu yang sesuai untuk dimakan bagi memuaskan keinginannya.

"Apabila saya melihat batu-batu, saya rasa terliur. Ia seperti melihat sesuatu yang anda benar-benar mahu makan." tambahnya dipetik Mirror.uk.

Gadis Islam pakai skirt panjang disisih

Sarah dilarang memasuki kelas kerana memakai skirt labuh dan tudung
SARAH dilarang memasuki kelas kerana memakai skirt labuh dan tudung ke sekolah di Perancis. AGENSI
REIMS, Perancis 29 April – Seorang remaja Islam dilarang memasuki kelas, gara-gara memakai skirt labuh berwarna hitam dan berpurdah yang dilarang di negara ini yang mengamalkan sistem sekular, mencetuskan bantahan di Perancis.
Gadis itu, Sarah, 15, dilarang memasuki kelas sejak awal bulan ini oleh Guru Besarnya kerana brpendapat pakaian skirt panjang itu popular dalam kalangan wanita Islam untuk tujuan menutup aurat di tempat terbuka, yang merupakan satu kesalahan di Perancis.
“Gadis itu tidak dibenar mema­suki kelas dan diminta datang semula ke sekolah dengan pakaian yang lebih neutral dan bapanya pula tidak mahu gadis tersebut kembali ke sekolah,” kata Pegawai Pendidikan Tempatan, Patrice Dutot.
Pelajar itu kerap dilihat menanggalkan tudungnya sebelum memasuki premis sekolah di bandar timur laut Charleville-Mezieres, seperti yang ditetapkan undang-undang, katanya.
Berdasarkan undang-undang 2004 yang dikuatkuasakan di Pe­ran­cis, sebarang tudung, kippa Ya­hudi atau tanda salib besar diharam digunakan dalam institusi pendidikan, namun tanda-tanda ke­agamaan yang tersembunyi dibenarkan.
Gadis itu memberitahu akhbar harian Perancis, L’Ardennais bahawa skirt yang dipakainya itu tidak terlalu istimewa dan ia sa­ngat sederhana serta tidak me­ragukan. Tiada tanda agamapun pada pakaian berkenaan.
Kisah sedih Sarah menjadi trend di laman sosial Twitter di Perancis dengan hashtag #JePorteMaJupe­CommeJeVeux, yang membawa maksud “Saya memakai skirt kerana saya suka memakainya.”
“Jika skirt itu dipakai oleh orang berkulit ‘putih’, ia dianggap gaya hippy, jika skirt itu dipakai orang Islam, ia menjadi salah,” kata seorang pengguna laman sosial di Twitternya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gadis-islam-pakai-skirt-panjang-disisih-1.85991#sthash.pI8TWXno.dpuf

Bas dua tingkat disalut emas permata di China


Bas dua tingkat bersalut emas dipamerkan di bandar Jinan, wilayah
BAS dua tingkat bersalut emas dipamerkan di bandar Jinan, wilayah Shandong pada 25 April lalu sebagai cara syarikat emas SJONO menarik perhatian pelanggan. AGENSI
BEIJING 29 April – Sebuah syarikat barangan kemas China menampilkan idea tersendiri untuk menarik pelanggan apabila menghasilkan sebuah bas dua tingkat yang disalut emas dan dihiasi permata emas di bahagian dalam kenderaan itu, kesemuanya bernilai lebih 4.6 juta yuan (RM2.7 juta).
Portal People’s Daily yang memetik kenyataan jurucakap sya­rikat SJONO, Wang Lin sebagai berkata, idea itu merupakan cara untuk memberi peluang kepada pelanggan bertuah menaiki bas mewah berkenaan yang dihiasi lebih seribu barangan kemas.
Malah kata Lin, pembeli bertuah turut diiringi seorang model yang memakai barangan kemas termasuk rantai emas, gelang emas, subang emas dan mahkota yang bernilai lebih 1.9 juta yuan (RM1.1 juta).
Jelasnya, pihaknya menganjurkan peraduan gores dan menang kepada pembeli untuk mencuba nasib memenangi subang emas dan beberapa keping emas, selain menaiki bas mewah terbabit yang kini dipamerkan di bandar Jinan, wilayah Shandong.
“Hampir 80 peratus badan bas berkenaan disalut emas tulen dan barangan kemas yang digunakan untuk hiasan dalaman melebihi berat 80 kilogram,” katanya.
Kebanyakan emas yang dijual di China mempunyai kualiti 24 karat iaitu 99 peratus emas tulen.
Masyarakat Cina mengaitkan emas sebagai tuah yang baik serta lambang kekayaan, dan budaya tersebut masih kekal sehingga ke hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bas-dua-tingkat-disalut-emas-permata-di-china-1.85987#sthash.FzZ5GrrU.dpuf

Sunday, April 26, 2015

Terkejut tangkap pari gergasi

Caleta La Cruz (Peru): Sekumpulan nelayan di sini terkejut selepas seekor ikan pari gergasi seberat hampir satu tan terperangkap dalam jaring mereka.
Seorang nelayan, Franco Vergara berkata, ketika kejadian, dia bersama beberapa rakannya yang menaiki sebuah bot kayu menangkap ikan di kawasan pantai di bandar ini.
“Tiba-tiba bot kami bergoyang dengan kuat dan hampir terbalik.
“Saya terus melihat di sisi bot dan ternampak seekor ikan pari gergasi terperangkap di dalam jaring yang kami pasang,” katanya.
Dia tidak pernah melihat ikan pari seperti itu dan hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Gambar ikan pari itu yang diangkat menggunakan kren dirakam seorang pelancong, Kelly Cruz Cumpen sebelum dimuat naik di laman sosial.
Pari manta antara spesies ikan pari terbesar di dunia.
Haiwan itu yang terbesar pernah direkodkan di Lautan Atlantik mempunyai badan selebar lebih sembilan meter. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:04 AM


KREN digunakan untuk mengangkat pari gergasi di jeti.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46369#sthash.a4N7WDyp.dpuf

Telur burung gajah berusia 800 tahun dilelong

London: Sebiji telur burung gajah yang berusia 800 tahun dijangka dijual lebih £50,000 (RM271,366) dalam satu acara lelongan di sini, tidak lama lagi.
Telur yang 200 kali ganda lebih besar daripada telur ayam itu akan dilelong oleh syarikat lelongan Sotheby’s di sini, pada Khamis ini.
Burung gajah yang boleh membesar setinggi tiga meter dan seberat 445 kilogram adalah burung paling besar yang pernah hidup di dunia.
Haiwan yang hidup di Madagascar itu tidak boleh terbang dan ia pupus 400 tahun lalu akibat diburu manusia.
Kerana saiznya yang besar dan sangat jarang dijumpai, telur burung gajah sangat diminati oleh pengumpul yang kaya.
Sebanyak 25 telur burung gajah yang masih sempurna terdapat di dunia, tetapi kebanyakannya disimpan di dalam muzium.
Bagaimanapun, fosil cebisan telur burung itu masih boleh ditemui di beberapa bahagian di Madagascar.
Seorang penerbit program sejarah, David Attenborough turut memiliki telur burung gajah yang hampir sempurna. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:07 AM


PEKERJA Sotheby’s memegang telur gajah yang akan dilelong syarikat itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46421#sthash.8JtGxqyx.dpuf

Saturday, April 25, 2015

SUBHANALLAH! Seorang Pemuda Islam Telah Menggoncangkan Vatikan


Pada suatu malam di musim panas tahun 1918 M di salah satu perkampungan miskin di Bandar Surat berhampiran sempadan barat India, lahirlah seorang bayi dari pasangan suami isteri muslim. Dia adalah anak pertama mereka ketika mereka sudah mencapai usia tua.

Kanak-kanak ini hidup sebagaimana kebanyakan kanak-kanak yang lain di perkampungan miskin tersebut. Tidak ada yang membezakan antara dirinya dengan yang lain dalam masalah pergantungan kepada kedua orang tuanya dan juga dari segi kecerdasan. Dia mempunyai wajah bulat dan tembam, kulit kehitam-hitaman, tingginya sedang dan penuh bersemangat. Dia selalu mengagumi dengan segala sesuatu dan tidak ada yang menghentikan sifat ingin tahu dalam diri dengan pelbagai persoalan di kepalanya.

Ketika usianya mencapai 9 tahun, bapanya mempunyai hasrat untuk berhijrah bekerja dengan anak bapa saudaranya dengan tujuan mencari pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik. Terasa berat kehidupan di India kerana kepadatan jumlah penduduk yang tinggi dan faktor kekuasaan Inggeris pada masa itu. Oleh kerana itu dia memberitahu hasratnya itu kepada isterinya.

Kerana sangat menyayangi anaknya, dia ingin jika anaknya turut bersamanya dan berjanji kepada isterinya yang dia akan kembali semula selepas setahun. Isterinya merelakan pemergiannya dengan berat hati.

Akhirnya, ayah kanak-kanak tadi berhijrah dan menetap di Kota Dirban untuk beberapa ketika pada tahun 1927 M. Bandar tersebut adalah salah sebuah bandar di Afrika Selatan. Dia berada di bawah tanggungan anak bapa saudaranya dan anaknya pula bersekolahkan di sana. Masa terus berlalu, sudah lapan bulan mereka tinggal disana dan anaknya menunggu masa untuk mendapatkan kembali pelukan ibunya. Beberapa hari selepas itu mereka mendengar berita kematian ibunya. Dua beranak ini terpukul dengan berita kematian tesebut. Akhirnya mereka memutuskan untuk menetap di Afrika Selatan buat selamanya.

Mereka tinggal di bahagian selatan bandar Dirban. Di sana terdapat perkampungan bangsa Negro. Dia melakukan banyak pekerjaan dan mampu untuk menyara anaknya. Masa terus berlalu, seiring dengan usia dan kesihatan juga mula terganggu.

Selepas tujuh tahun menempuhi liku-liku kehidupan bersama anaknya yang masih bersekolah, bapa kanak-kanak tersebut telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1934 M ketika berusia 16 tahun. Dia menamatkan pengajiannya dan mencari pekerjaan. Dia menetap di perkampungan bangsa Negro tersebut yang dia sendiri tidak mengetahui siapa yang akan melindunginya sedangkan negeranya sendiri dan saudara-maranya yang berada di seberang laut tidak mungkin mampu menyeberang untuk membantunya.

Dia banyak bertukar pekerjaan. Akhirnya dia bekerja di sebuah kedai yang pemiliknya adalah seorang Nasrani. Dia adalah salah seorang dari lelaki kulit putih yang tinggal di Afrika Selatan. Pemilik kedai tersebut melihat pada diri remaja itu tanda-tanda kelebihan, amanah, ikhlas dan kejujuran. Sedikit demi sedikit dia mempercayai remaja itu dan berbuat baik kepadanya. Segala-galanya berjalan lancar dan dia bekerja dengan gembira.

Suatu ketika ketenangan tersebut terusik dengan berhembusnya “angin kencang”. Pada suatu hari, seorang pendeta Nasrani melawat sahabat karibnya iaitu pemilik kedai tersebut. Semasa mereka berbual, pendeta itu melihat remaja tersebut dan dari riak wajahnya seperti bukan penduduk asli Afrika Selatan.

Dia boleh bercakap Bahasa Inggeris, Bahasa Zulu [bahasa negara-negara Afrika Tengah dan Selatan] dan Bahasa Urdu [bahasa daerah asalnya]. Remaja itu mempunyai wajah berseri-seri dan cekap dalam berkerja. Usianya ketika itu dalam lingkungan 18 tahun.

Pendeta tersebut bertanya kepada sahabatnya: “Siapa nama anak ini?”

Si pemilik kedai menjawab: “Namanya xxxxx”

Pendeta tersebut bertanya dengan perasaan terkejut: “Seorang Muslim?”

Si pemilik kedai menjawab : “Ya!”

Maka Pendeta itu berkata: “Tidakkah kau tahu bahawa mereka menghina Tuhan kita? dan berkata bahawa Dia adalah Hamba [bukan Tuhan] ? ”

Pemilik kedai itu berkata: “Akan tetapi dia adalah seorang yang jujur ​​dan dipercayai!

Pendeta itu berkata: “Walaupun seperti itu, dia harus masuk Nasrani atau keluarkan dia tanpa di ampun!”

Akhirnya, pendeta itu berjaya menyebarkan fitnah di hati sahabatnya dan dia memanggil remaja tersebut.

Pemilik kedai itu berkata: “Aku ingin menyelamatkan dari kesesatan!”

Remaja itu menjawab: “Apa itu?”

Pemilik kedai tersebut berkata: “Sesungguhnya pendeta ini adalah agamawan yang mulia, dia ingin menyelamatkan pengikut Tuhan yang hilang dan menolong agar engkau menyelamatkan dirimu sehingga Tuhan akan memberkati!”

Remaja ini mengetahui kesanya iaitu menjadi murtad, maka dia berkata: “Tidak, saya Muslim!”

Maka pemilik kedai itu berkata: “Fikirkan dulu sebelum membuat keputusan!”

Namun remaja itu tetap menolak kerana dia mengetahui kecuali ada satu sembahan yang berhak disembah yakni Allah, ada pun Isa adalah Nabiyullah yang muli , tidak lebih.

Maka berkatalah pendeta tersebut menclah pembicaraan remaja itu dan marah dengan keteguhannya terhadap agaman dan menolak murtad. “Apakah kamu tidak tahu bahawa Islam adalah agama berhala, kamu tawaf di rumah [Kaabah] yang didalamnya ada batu dan Rasul kalian beristerikan 9 wanita!”

Kemudian pendeta itu menyebutkan semua kekeliruan dan perbohongan tentang Islam tetapi pendeta itu masih belum dapat meluluhkan hatinya. Remaja itu hanya diam untuk menghormati pemilik kedai dan dia berkeyakinan bahawa pemilik kedai hanya membantu sahabatnya si pendeta itu. Akan tetapi beberapi hari selepas itu, pemilik kedai kembali kepada kebiasaannya peranganya yang suka mencela dan memerangi Islam dengan keyakinannya. Dia tidak boleh membantah kekeliruan itu kerana dia tidak tahu hal tersebut secara sempurna. Maka dia mengambil keputusan yang berada di luar garis kehidupannya, dia memutuskan untuk mempelajari selok belok agama Nasrani.

Untuk permulaan, dia mendekati mubaligh untuk mempelajari kitab-kitab mereka secara ilmiah. Dia memperhatikan Injil, mempelajarinya hingga menghafalnya. Dia membandingkannya dengan Al-Quran dan dia mendapati terdapat banyak perbezaan. Namun dia belum merasa cukup dan belum hilang hausnya. Maka dia melakukan perjalanan untuk membela Islam.

Pertama, dia mengajak untuk berdebat dengan pemilik kedai iaitu tempat dia bekerja. Dia berdebat begitu hebat sehingga pemilik kedai itu tidak mampu untuk berhujah. Kemudian dia mencabar beberapa pendeta dan dia boleh menjatuhkan mereka melalui tangan mereka sendiri dan mereka tidak dapat mempertahankan kebenaran keyakinan mereka di hadapan ribuan orang yang membanjiri forum debat mereka.

Dia mahu menutup mulut orang Nasrani selamanya agar tidak lancang menghina Islam. Dia berhenti kerja di kedai nasrani tersebut. Dia mula menemui orang-orang Nasrani yang datang ke Afrika Selatan dan mengajaknya berdiskusi. Ketika dialog dan debat yang dia lakukan telah banyak dan usianya mencapai tiga puluhan tahun, dia mula berdialog dengan kalangan pendeta Nasrani.

Semenjak hari itu, suaranya ibarat petir yang menggelegar hingga negara-negara barat Nasrani. Gema yang menggoncangkan dewan Vatican. Pembicaraanya bergema di barat dengan perbincangan dan dialog yang terkenal dan melambungkan reputasinya. Dia terus mencabar dan gaungnya tetap menggema hingga hari ini.

Pembicaraan meliputi pertentangan dalam kitab Injil, pusat-pusat kajian Nasrani dan banyak instituso tinggi di barat membentuk jawatankuasa untuk menangkis dan berhujah di dalamn buku-buku mereka melalui penelitian dan kajian yang serius.

Pemilik kedai dan sahabatnya itu telah membangkitkan akal dan hati anak muda muslim ini. Mereka telah membangunkan anak muda yang lemah lembut itu hingga menggemparkan dunia dan menggegarkan Vatican, menggetarkan gereja-gereja mereka dan membongkar banyak kekeliruan dalam agama mereka.

Pemuda tersebut bernama Ahmad Deedat.
ahmad deedat2 Seorang Anak Miskin yang Mengguncang Vatikan
*Diterjemahkan oleh Detik Islam dari sumber islampos.com


Nak Copy Boleh, bagi la kredit sikit yer.!! : http://sehinggit.blogspot.com/2014/06/subhanallah-seorang-pemuda-islam-telah.html#ixzz3YJXSdiHY
Follow us: SehinggitMedia on Facebook

Kembara memburu cinta

Shenzhen, China: Seorang lelaki dari Kanada sanggup mengembara sehingga ke bandar ini semata-mata untuk mencari kekasihnya yang dikenali di Internet.
Jake, 60, itu turut menggantung sepanduk di lehernya dan berjalan di sekitar bandar ini dengan harapan dapat bertemu dengan kekasihnya yang dikenali sebagai RiLi.
Lelaki itu berkata, dia berkenalan dengan RiLi menerusi laman sesawang mencari jodoh hampir setahun yang lalu dan terus jatuh cinta.
Wanita yang menggunakan nama samaran RiLi itu memberitahu Jake, dia berusia 45 tahun, sudah bercerai dan bekerja di sebuah kilang pakaian di Shenzhen.
Agensi Berita Sina melaporkan, selama 11 bulan pasangan itu menghantar lebih 300 mesej di laman sesawang berkenaan dan berkomunikasi menggunakan penterjemah.
Lelaki itu memberitahu dia menghabiskan hampir AS$2,000 (RM7,272) untuk membayar perkhidmatan laman sesawang berkenaan.
Ujarnya, mereka sering mengirim puisi cinta dan masing-masing mengaku saling mencintai.
Bagaimanapun, laman sesawang berkenaan menghalang semua maklumat peribadi menyebabkan dia tiada cara untuk menghubungi wanita itu.
Selepas RiLi gagal membalas pesanan Jake selama beberapa minggu, dia mengambil keputusan mencari wanita itu di China walaupun tidak mengetahui nombor telefon atau nama sebenar kekasihnya itu.
Jake yang menetap di sebuah hotel di sini membuat satu poster yang digantung di lehernya dan berusaha mencari maklumat mengenai RiLi.
Sejak dua minggu lalu, Jake berjalan di bandar ini dengan poster di lehernya dan berharap promosi di laman sosial akan dapat menarik perhatian wanita itu.
“Penduduk di sini sangat peramah. Mereka merakam gambar saya dan memuat naik di laman sosial.
“Saya sangat terharu dengan sokongan yang saya terima ini,” katanya.
Namun, beberapa pengguna laman sosial memberi amaran bahawa RiLi mungkin tidak seperti yang dikenali Jake di laman sesawang berkenaan.
“Saya percaya padanya. Kami berhubung selama 11 bulan dan dapat merasai bahawa dia mencintai saya,” tegasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 12:04 PM


JAKE tidak putus asa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46016#sthash.6CaqhomK.dpuf

Anak lembu 5 mulut

Nirnaul (India): Seekor anak lembu yang dilahirkan dengan lima mulut menarik perhatian penduduk kampung di sini yang menganggap haiwan itu jelmaan Tuhan yang disembah penganut Hindu.
Anak lembu itu akan membuka semua mulutnya setiap kali menghisap susu ibunya.
Ia hanya boleh menghisap susu menerusi dua mulut.
Anak lembu itu dinamakan Nandi, gelaran lain untuk Tuhan Krishna.
Penganut Hindu menganggap lembu sebagai suci.
Kerana keganjilannya, ramai penganut agama itu datang untuk meraikan anak lembu itu dengan sebahagian besar menyembahnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:06 AM


NANDI
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46211#sthash.RZFByvb7.dpuf

Gempar lembu makan biri-biri

Nakuru: Satu keluarga sebuah kampung di Kenya terkejut selepas mendapati lembu peliharaan mereka bertukar menjadi karnivor apabila memakan bebiri sejak minggu lalu.
Charles Mamboleo berkata, dia terperanjat apabila bangun pagi Rabu lalu dan mendapati lembunya memakan seekor bebiri yang ditanduk hingga mati sebelum itu.
Keesokannya, lembu itu makan seekor lagi bebiri walaupun sudah disediakan rumput dan air untuknya makan seperti sebelumnya.
“Selepas kejadian pertama, kami menyangka lembu itu kelaparan. Kami tambah rumput dan air. Tetapi ia masih mengejar biri-biri,” kata Mamboleo.
Dia bimbang lembu itu disihir kerana ia tidak melahirkan anak sejak dibeli.
Isteri Mamboleo, Consepta Kerubo juga menyuarakan kebimbangan haiwan itu akan makan anak mereka.
Bagaimanapun, pegawai pertanian tempatan Albert Kabugi menolak dakwaan lembu itu disihir.
Menurutnya, haiwan berkenaan mungkin kekurangan zat dan mineral yang ditemui pada rumput.
Rumput semakin sukar diperoleh di negara itu kerana kemarau.
Dia bagaimanapun mengaku terkejut dengan kejadian itu dan berkata, ini kali pertama ia mendapat tahu lembuh makan daging. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:10 AM


LEMBU yang dipelihara Mamboleo menggigit seekor bebiri.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46224#sthash.iZFOnLti.dpuf

Switzerland negara paling bahagia di dunia



SWITZERLAND dinobatkan sebagai negara paling bahagia di dunia.


NEW YORK – Switzerland dinobatkan sebagai negara paling bahagia di dunia sebelum ikuti rapat oleh Iceland, Denmark, Norway serta Kanada, demikian menurut satu kajian komprehensif oleh sepasukan ahli akademik di sini kelmarin.
Laporan Kebahagiaan Dunia 2015 merupakan laporan tahunan ketiga untuk mengukur dan memberi penjelasan mengenai tahap kebahagiaan di 158 buah negara bagi mempengaruhi dasar kerajaan di serata dunia.
Finland, Belanda, Sweden, New Zealand dan Australia berada kedudukan 10 teratas senarai itu sekali gus menjadikan negara bersaiz kecil dan sederhana di rantau Eropah Barat menduduki tujuh daripada 10 tangga teratas.
Amerika Syarikat pula berada pada kedudukan ke-15 selepas Israel dan Mexico, manakala Britain menduduki tangga ke-21 mengatasi Belgium dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Perancis berada di tangga ke-29 selepas Jerman yang menduduki tempat ke-26.
Menurut kajian tersebut, antara kriteria yang diambil kira untuk menentukan paras kebahagiaan sesebuah negara termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tahap kesihatan, jumlah penduduk, kebebasan membuat pilihan hidup dan kadar rasuah.

Sementara itu, Afghanistan dan Syria yang dilanda peperangan menyertai lapan negara rantau Sahara di Afrika termasuk Togo, Burundi, Benin dan Rwanda dalam kategori 10 negara paling kurang bahagia.
Walaupun Iraq kini kacau bilau, negara itu berada di kedudukan ke-112 untuk mendahului Afrika Selatan, India, Kenya dan Bulgaria dalam senarai sama.
“Laporan ini memberi maklumat tentang kaedah untuk mencapai kesejahteraan masyarakat,” ujar Pengarah Institut Bumi Universiti Columbia, Jeffrey Sachs – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3YHm8KMH1 
Hakcipta terpelihara 

Pemandu teksi rakam 30,000 selfie


SALAH satu selfie yang diambil oleh Teng Jiazhi bersama penumpangnya.


SHENYANG – Seorang pemandu teksi di China merakam sejumlah 30,000 gambar potret selfie sejak 10 tahun lalu sekali gus mencipta rekod di negara berkenaan .
Pemandu teksi tersebut, Teng Jiazhi atau lebih dikenali sebagai Uncle Teng mengabadikan gambar selfie bersama penumpangnya untuk menceriakan mereka.
Semuanya bermula sedekad lalu apabila Uncle Teng mengambil dua penumpang yang menunggu selama satu jam untuk mendapatkan teksi.
Sebagai tanda terima kasih, mereka memberikannya tip berupa wang tunai tetapi ditolak oleh lelaki berusia 58 tahun tersebut.
Dia kemudian meminta dua penumpang itu yang merupakan pasangan kekasih untuk bersama merakam gambar selfie.
“Ia merupakan foto pertama yang dirakam bersama penumpang. Saya gembira kerana dapat menceriakan mereka.
“Sejak itu, saya tidak mengambil tip tetapi meminta untuk bergambar selfie bersama penumpang,” katanya.
“Saya menjadikan aktiviti bergambar selfie sebagai tradisi di dalam teksi ini,” tambah Uncle Teng.
Lelaki itu yang berasal dari sini terkenal selepas dia memuat naik sebahagian gambar itu di laman sosial popular China, Weibo.
Malah, Uncle Teng turut mencatat namanya dalam buku rekod Shanghai Big World Jinisi Record kerana mengambil 30,000 selfie bersama penumpang dari dalam dan luar negara. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3YHko4kpx 
Hakcipta terpelihara 

Bomoh cilik terus popular rawat pesakit


bomoh cilik Upik dan Evita yang dikatakan mempunyai kelebihan
Bomoh cilik Upik dan Evita yang dikatakan mempunyai kelebihan mengubati pelbagai penyakit.
MUARAENIM – Ratusan pesakit masih mengunjungi kediaman seorang bomoh cilik bernama Taufik Hidayat atau Upik, 11, di sini yang didakwa mempunyai kesaktian serta mampu mengubati pelbagai penyakit.
Portal berita Merdeka.com melaporkan, Upik yang berasal dari Kampung Petanang, Palembang, Sumatera Selatan mula menjadi perhatian ramai kerana dipercayai mempunyai kesaktian menyembuhkan pelbagai penyakit.
Sebelum memiliki kemampuan mengubati pesakit, Upik mengaku pada suatu malam telah bertemu dengan seorang misteri di dalam mimpinya. Sejak itu dia memiliki kemampuan mengubati penyakit dan rumahnya dibanjiri orang ramai untuk meminta dirawat.
Perkara ini berlaku kerana, masyarakat sekitar mempercayai bahawa kanak-kanak itu mempunyai keunikan melebihi orang normal.
Selain Upik yang mempunyai kelebihan luar biasa, seorang kanak-kanak lain, Evita Sari, 10, yang juga merupakan sepupu Taufik sendiri.
Kanak-kanak perempuan itu dipercayai turut mempunyai kuasa mistik dan mampu mengubati orang sakit.
Selain itu, dalam proses mengubati pesakit kedua-dua bomoh tersebut mempunyai ciri-ciri kelebihan yang sama.
Kedua-dua bomoh itu, sama-sama memiliki seutas tasbih dari alam ghaib dan seketul batu kepala buaya yang diperolehi melalui kejadian misteri yang sukar dipercayai logik akal.
Menurut Afyandi, bapa saudara kedua bomoh ini, Evita mendapat kelebihan itu melalui mimpi yang sama.
Namun, Upik yang pertama kali menggunakan tasbih ghaib dan batu kepala buaya itu untuk mengubati orang sakit.
Sejak kebelakangan ini, Evita dilihat turut membantu Upik melakukan rawatan kerana dia turut memiliki ‘kekuatan’ yang sama.
“Mereka mengubati pesakit bersama-sama. Kedua-dua mereka turut mempunyai tasbih ghaib,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bomoh-cilik-terus-popular-rawat-pesakit-1.84408#sthash.5MsBST7h.dpuf