Pages

Tuesday, January 21, 2014

Piza wajah pengantin untuk kejutan

Manchester: Pasangan pengantin baru yang sangat menyukai makanan segera meraikan majlis perkahwinan dengan mengabadikan potret wajah mereka di atas dua keping piza.
Kieran dan Natasha Morris, dari Bury, Manchester, meminta restoran piza kegemaran mereka mengabadikan wajah mereka di atas dua piza yang berukuran 13 inci diperbuat daripada puri tomato, daging dan jagung.

Restoran piza itu pernah mengabadikan potret artis Nathan Wyburn yang pernah muncul dalam rancangan Britain's Got Talent, selain turut menghasilkan imej seperti ikan duyung, cokelat dan pelbagai lagi.
Dalam tempoh tiga jam, piza istimewa itu siap untuk dihantar kepada pasangan bahagia berkenaan Sabtu lalu.

Kieran berkata, mereka mendapat idea itu untuk memberi kejutan kepada tetamu yang hadir kerana rakan mereka sering berjenaka mengenai tabiat kedua-duanya yang gemar memakan piza.

“Piza yang menampilkan wajah kami menjadi hadiah perkahwinan kepada tetamu. Kami sangat gembira apabila melihat wajah kami di atas piza dan tetamu juga seronok dengan kejutan itu,” katanya dalam satu kenyataan. - Agensi
Foto
PIZA yang mengabadikan wajah Kieran dan Natasha.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/21

Gempa bumi kuat gegar New Zealand


WELLINGTON - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala ritcher menggegarkan New Zealand semalam menyebabkan beberapa bangunan rosak dan perkhidmatan kereta api terpaksa dihentikan.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) memberitahu bahawa gempa yang melanda pukul 3.52 petang waktu tempatan itu berpusat di Pulau Utara Island, kira-kira 115 kilometer dari sini.
Pusat gempa dikesan pada kedalaman 27 kilometer di bawah tanah. Gempa bumi tersebut dirasai di seluruh Pulau Utara dan Pulau Selatan dengan disusuli beberapa gegaran susulan.
Seorang penduduk bandar Eketahuna, Brian Smith berkata, dia dan jiran-jiran yang lain ketakutan apabila kediaman mereka bergegar tetapi tiada sebarang kerosakan berlaku.
"Isteri saya yang berada di taman ketika kejadian tidak boleh berdiri dan terpaksa duduk kerana gegaran yang sangat kuat," katanya.
Pihak polis berkata, tingkap beberapa bangunan dan rumah di pekan kecil itu pecah tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Semua perkhidmatan kereta api di Wellington juga terpaksa dihentikan buat sementara akibat gempa berkenaan.
New Zealand pernah dilanda gempa kuat berukuran 6.3 pada skala Ritcher pada 2011 menyebabkan seramai 185 maut di bandar Christchurch. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2qyhELCor 
Hakcipta terpelihara 

Itik kudung dapat berjalan semula guna kaki bionik



Agensi
DUDLEY mendapat kaki palsu bionik yang dicipta daripada teknologi percetakan 3D.


SICAMOUS, Kanada - Seekor itik yang kudung kaki kanan kini mampu berdiri dan berjalan semula selepas dipakaikan kaki bionik.
Sebuah syarikat mencipta kaki palsu bionik menggunakan teknologi percetakan tiga dimensi (3D).
Itik berusia lima bulan itu, Dudley mengalami kecederaan teruk pada bahagian kakinya apabila diserang sekumpulan ayam ketika berada di sebuah pusat perlindungan haiwan di sini pada Ogos tahun lalu.
Menurut akhbar The Huffington Post, kaki bionik itu direka oleh seorang jurutera mekanikal, Terence Loring menggunakan teknologi percetakan 3D.
Kaki palsu yang diperbuat daripada bahan plastik tahan lasak itu mengambil masa selama dua minggu untuk dihasilkan oleh syarikat Proto3000 di Ontario, Kanada. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2qyh2ULlP 
Hakcipta terpelihara 

Pantai Jurassic jadi tumpuan


Sebahagian daripada pencari harta karun membanjiri pantai Jurassic di Dorset, Britain, berikutan penemuan fosil reptilia marin (gambar kecil) bernilai RM81,517 baru-baru ini. - Agensi
LONDON 20 Jan. - Pantai Jurassic di Dorset, Britain kini dibanjiri ratusan pencari harta karun, selepas penemuan fosil reptilia marin gergasi bernilai 15,000 pound (RM81,517) di sebuah pulau itu pada Boxing Day, baru-baru ini.
Pencari harta karun yang datang dari seluruh dunia itu mencari fosil sepanjang hari di pulau tersebut yang terletak di tapak warisan dunia sepanjang 154 kilometer yang mendapat nama sempena cenuram di situ yang terbentuk sejak 180 juta tahun dahulu.
Rangka ichthyosaur yang hampir sempurna itu ditemukan seorang pengumpul, Alan Saxon, dari Chippenham dekat daerah Wiltshire yang sedang dalam lawatan ke pulau itu selepas Krismas.
Fosil berukuran 1.5 meter itu ditemukan selepas ribut kuat melanda kawasan pantai berkenaan sebelum ia dijumpai di kaki cenuram Black Ven berhampiran perkampungan Charmouth.
Fosil reptilia marin gergasi itu berjaya dikeluarkan selepas lebih lapan jam dan usaha tersebut turut dibantu pencari fosil profesional, Paul Crossley yang menyifatkannya sebagai ‘penemuan luar biasa’.
Crossley ketika ditemubual BBC berkata, bandar pesisir pantai Lyme Regis di Dorset Barat buat masa ini menjadi tumpuan utama pemburu fosil dengan lebih ramai orang membanjiri pantai itu berbanding hari biasa.
“Kami sering menasihati pencari harta karun supaya datang ke pantai ketika air surut dan sentiasa berhati-hati dengan cenuram serta lumpur,’’ katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140121/lu_09/Pantai-Jurassic-jadi-tumpuan#ixzz2qyZuHRma
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, January 20, 2014

Tangan dipotong kerana beri sedekah



DIKISAHKAN bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan ikhlas kerana ALLAH S.W.T."

Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka keluarlah anak gadis orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas kepadanya.

Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya sehingga putus.

Semenjak dari peristiwa itu maka ALLAH S.W.T pun mengubah kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam keadaan yang paling hina.

Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu rumah ke rumah.

Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut.

Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut.

Maka setelah perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan bagi menggantikan pakaiannya.

Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka si suami hendak makan bersamanya.

Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah merahsiakan tentang tangan gadis tersebut.

Maka apabila suaminya menyuruh dia makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabila suaminya melihat keadaan isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan dengan tangan kiri."

Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya.

Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan kembali akan tangan kananmu itu."

Setelah gadis itu mendengar suara tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya dengan menggunakan tangan kanan.

Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka sesungguhnya dia adalah tetamu kita.

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud, "Barang siapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah menghormatiku, dan barang siapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah memuliakan ALLAH S.W.T.

Dan barang siapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia telah menjadi kemarahanku. Dan barang siapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia telah menjadikan murka ALLAH S.W.T."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."


Dipetik daripada blog Detik Islam.com

Remaja Britain 16 tahun berjalan kaki takluki Kutub Selatan



REMAJA itu berjalan kaki merentasi kawasan ais dalam satu ekspedisi latihan di Greenland.


LONDON - Seorang pelajar Britain berusia 16 tahun semalam menjadi individu termuda berjalan kaki ke Kutub Selatan, kata pasukannya.
Lewis Clarke meraikan kejayaan tersebut bersama semangkuk pasta dan keju parmesan yang menjadi hidangan lengkap pertamanya sejak dia mengembara sejauh 1,129 kilometer dari Denmark pada 2 Disember 2013.
Remaja lelaki itu dan pemandu arahnya, Carl Alvey merentasi rantau Antartika menggunakan ski dan tanpa sokongan lain.
Mereka hanya membawa barang makanan semasa melakukan perjalanan jauh dengan menempuh suhu -50° Celsius di bawah paras beku.
"Saya benar-benar gembira dan lega kerana buat kali pertama sejak 48 hari lalu, saya tidak perlu bangun dan mengheret gelongsor salji merentasi lapisan ais dan angin sejuk selama sembilan jam setiap hari," kata Clarke.
Dua pengembara itu tiba di Kutub Selatan pukul 2 pagi semalam (waktu Malaysia).
Clarke yang melakukan perjalanan sukar itu untuk mengutip dana bagi mengisi tabung yayasan belia Putera Charles, akan pulang ke Britain pada Jumaat ini apabila rekodnya disahkan.
Terdahulu, Guinness World Records menyatakan, rekod orang paling muda berjalan kaki ke Kutub Selatan tanpa bantuan anjing atau kenderaan bermotor dicatat oleh gadis Kanada berumur 18 tahun, Sarah Ann McNair-Landry pada Januari 2005. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2qsjbU7kF 
Hakcipta terpelihara 

Pam tayar guna hidung



YONGBING sedang meniup udara ke dalam tayar menerusi saluran paip getah.


CHENGDU, Sichuan - Seorang lelaki China mencipta rekod dunia apabila dia mengepam empat biji tayar kereta menggunakan hidungnya, lapor sebuah akhbar tempatan.
Nie Yongbing, 63, mengambil masa 21 minit untuk melakukan tugas sukar tersebut.
Dia menggunakan kekuatan hidungnya untuk meniup udara ke dalam tayar kereta berkenaan dengan terdapat dua orang dewasa di atas setiap tayar itu.
Nie mula melakukan perkara ganjil itu selepas seorang doktor memberitahu yang dia dapat meningkatkan tahap kesihatannya dengan meniup belon menggunakan hidung.
Sehingga kini, lelaki tersebut masih belum menemui pencabar yang mahu menandinginya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2qsjMMyxc 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, January 19, 2014

Makam ‘firaun hilang’ ditemui

Makam ‘firaun hilang’ ditemuiKeranda Firaun Sobekhotep l ditemui di Abydos di pinggir Kaherah. 

Kaherah: Sekumpulan pakar arkeologi Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat berjaya menemui rangka Raja Senebkay, yang dikenali sebagai ‘firaun hilang’ di Abydos, wilayah Sohag, kira-kira 500 kilometer ke selatan Kaherah baru-baru ini.

Tidak pernah disebut di dalam mana-mana sejarah Mesir kuno, nama Raja Senebkay tercatat di dalam bentuk tulisan hiroglifik yang ditemui bersama barangan yang menggambarkan ia milik keluarga diraja,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Kenyataan berserta gambar penemuan itu juga menunjukkan keranda batu yang rosak teruk di dalam bilik pengebumian tanpa bumbung.

Dinding batunya dihias dengan imej berwarna. Rangka tulang firaun yang disusun diatas kain putih turut ditunjukkan.

“Pada asalnya ia di awet tetapi tubuhnya rosak dan terpisah akibat aktiviti pencuri makam zaman purba,” jelas kenyataan bergambar itu. 

Saturday, January 18, 2014

Rambut dalam perut

Beijing: Doktor berjaya mengeluarkan gumpalan rambut yang memenuhi hampir 70 peratus perut seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di China.
Ibu kanak-kanak terbabit mendapatkan rawatan doktor setelah berat badan kanak-kanak berkenaan semakin susut dan rambutnya mulai gugur. 
Selepas menjalani imbasan CT, doktor mengesan sesuatu yang berukuran hampir satu kaki.

Setelah pembedahan dijalankan, doktor dan ibu mangsa terkejut apabila mendapati gumpalan besar rambut di dalam perut kanak-kanak terbabit.
Foto
DOKTOR menunjukkan gumpalan rambut yang berjaya dikeluarkan.

Ibu mangsa berkata, dia tidak menyangka perbuatan anaknya yang suka memasukkan rambut ke dalam mulut boleh mengakibatkan perkara berkenaan.

Sementara itu, doktor turut menjalankan satu ujian mental terhadap kanak-kanak berkenaan bagi mengesan punca dia gemar memakan rambut, habuk serta barangan pelik yang lain. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

Tentera sembunyi 30 tahun di hutan meninggal dunia

Tokyo: Seorang anggota tentera Jepun yang bersembunyi di hutan Filipina selama tiga dekad kerana tidak percaya yang Perang Dunia Kedua sudah berakhir meninggal dunia pada usia 91 tahun di Tokyo semalam.
Hiroo Onoda yang melancarkan perang gerila di Pulau Lubang dekat Luzon hanya mempercayai yang perang sudah berakhir pada 1974 selepas diarahkan bekas komandernya agar menyerah diri.
Onoda meninggal dunia di Tokyo akibat sakit jantung.

Dia ialah individu terakhir daripada puluhan anggota tentera yang bersembunyi di seluruh Asia yang setia berjuang untuk maharaja Jepun.
Foto
GAMBAR yang dirakam pada Mac 1974 menunjukkan Onoda (tengah) memberi tabik selepas menyerahkan pedangnya di Pulau Lubang, barat daya Filipina.

Dilatih sebagai pegawai risikan dan ketua gerila, Onoda dikerah ke Lubang pada 1944 dan diarahkan agar tidak menyerah diri, tidak membunuh diri dan tetap berjuang hingga pasukan bantuan tiba.

Dia dan tiga lagi anggota tentera terus mematuhi arahan itu walaupun Jepun sudah tewas dalam Perang Dunia Kedua pada 1945.

Tokyo mengisytiharkan mereka sudah mati selepas gagal mencari mereka selama sembilan tahun.

Bagaimanapun, pada 1972, Onoda dan beberapa rakannya terbabit dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera Filipina. Rakan seperjuangannya maut tetapi Onoda berjaya melarikan diri.

Onoda menjelaskan yang dia percaya percubaan memujuknya itu ialah angkara regim boneka di Tokyo yang didalangi Amerika Syarikat. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/18

Biarawati Itali lahirkan bayi laki-laki

Biarawati lahirkan bayi laki-laki di Italia
gambar hiasan biarawati. 
huffingtonpost.com
Merdeka.com - Seorang biarawati dari El Salvador yang mengatakan dia tidak tahu yang dia sedang hamil telah melahirkan seorang bayi di Itali  minggu ini, setelah merasa kejang di bahagian perutnya dan dikejarkan ke rumah sakit.

Biarawati berusia 31 tahun itu dan bayi laki-lakinya dengan berat 3.5 kilogram dilaporkan dalam keadaan baik. Ibu-ibu baru melahirkan lainnya di rumah sakit Rieti mulai mengumpulkan pakaian dan sumbangan untuk dia, seperti dilansir   the Huffington Post, Sabtu (18/1).
"Saya tidak tahu saya sedang hamil. Saya hanya merasa sakit perut," kata biarawati tidak disebutkan namanya itu ketika berada di rumah sakit, seperti dikutip kantor berita Itali ANSA.

Surat khabar dari Itali  La Repubblica mengatakan sang biarawati melahirkan pada Rabu lalu.
ANSA mengatakan biarawati itu menamai bayinya Francesco (Fransiskus), di mana Paus ketika ini juga memilih nama itu sebagai nama gelarannya, dan menjadi salah satu nama paling popular di Itali , di mana Santo Fransiskus dari Assisi adalah santo pelindung.

Namun, pihak rumah sakit tidak dapat dihubungi untuk memberikan komentar.
Biarawati itu dilaporkan berasal dari biara Little Disciples of Jesus di Campomoro dekat Rieti, yang merawat para orang-orang jompo. Dikatakan juga biarawati itu akan menjaga bayinya.Sesama biarawati lainnya mengatakan mereka sangat terkejut mendengar khabar itu.
sumber

Friday, January 17, 2014

Doktor berjaya buang ketumbuhan 36 kilogram

Prague: Ketumbuhan seberat 36 kilogram berjaya dibuang dari dalam perut seorang wanita selepas ia membsar selama beberapa tahun.
Ketumbuhan itu menjadi besar kerana pesakit berusia 47 tahun itu terlalu takut untuk mendapatkan rawatan. 
Sekumpulan pakar bedah di bandar Zlin berjaya membuang ketumbuhan itu dalam pembedahan tujuh jam.

Tanpa ketumbuhan berkenaan, berat badan wanita terbabit turun mendadak daripada 66 kilogram kepada 51 kilogram.
Foto
KEADAAN pesakit wanita sebelum doktor membuang ketumbuhan seberat 36 kilogram dalam perutnya.

Ketua jabatan obstetrik dan ginekologi di Hospital Zlin, Zdenek Adamik berkata, agak pelik apabila keluarga dan rakan wanita terbabit tidak menyedari apa yang berlaku padanya.

“Ketumbuhan itu menyebabkan dia terlantar di katil dan tidak mampu menjalani kehidupan normal,” katanya.

Tidak dapat dipastikan sama ada dia akan sembuh dengan cepat selepas pembedahan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/17

Tak mandi 60 tahun

Tak mandi 60 tahun17 Januari 2014

 FARS - IRAN. Seorang lelaki warga Iran dipercayai tidak pernah mandi sejak 60 tahun lalu kerana percaya ‘kebersihan itu sebagai punca penyakit’.
Haji, 80, dari Dejgah, berang jika beliau terkena air.
Keadaan itu menyebabkan kulitnya menyamai warna tanah dan berkerak.
Penduduk berkata, Haji lebih suka memakan daging landak busuk dan meminum 5 liter air sehari dari air takungan bekas karat.
“Dia mengisi rokok dengan najis haiwan,” katanya.
Menurutnya lagi, Haji tinggal di ‘rumah’ dalam lubang tanah seperti kubur.
"Haji mengalami tekanan emosi hingga membuatkan dia memilih cara kehidupan seperti itu,” katanya yang dipetik  TNews

Ibu tak sangka lahir bayi 5.1kg

Ibu tak sangka lahir bayi 5.1kgSINAR HARIAN
17 Januari 2014

Bayi lelaki seberat 5.1 kilogram yang selamat dilahirkan secara normal.

KUALA KRAI – "Syukur Alhamdulillah, saya dimaklumkan anak dalam kandungan sekitar 3.5 hingga 3.9 kilogram (kg), sebab tu berani bersalin normal, tapi agak terkejut doktor beritahu bayi saya seberat 5.1 kg,” kata Siti Maisarah

Md Nor, 32, yang selamat melahirkan anak kedua secara normal di Hospital Kuala Krai, walaupun saiz bayinya agak besar.

Bayi lelaki dilahirkan Siti Maisarah kira-kira jam 12.47 tengah hari 12 Januari lalu menarik perhatian orang ramai kerana agak besar berbanding bayi yang pernah dilahirkan di hospital ini.

Bayi yang belum diberikan nama itu bukan setakat menarik perhatian orang ramai tetapi juga doktor dan juga jururawat di hospital berkenaan memandangkan mereka jarang menemui bayi sebesar anak Siti Maisarah dan suami, Mohamad Khairul Anuar Abd Aziz, 31.

Bagi Siti Maisarah, dia gembira tidak mengalami sebarang masalah sepanjang mengandungkan dan melahirkan anak keduanya.

Bina bangunan paling tinggi


Sky City mempunyai ketinggian 10 meter mengatasi pemegang rekod dunia ketika ini iaitu Burj Khalifa.
CHANGSHA, China 16 Jan. - Hasrat bilionair China, Zhang Yue untuk membina bangunan tertinggi di dunia setinggi 838 meter dalam tempoh kurang setahun telah mendapat kritikan hebat terutamanya dari segi keselamatan.
Namun, tycoon China berkenaan tetap mahu meneruskan hasratnya membina bangunan itu dengan pelaburan sebanyak AS$1.46 bilion (RM4.672 bilion).
Hal ini kerana beliau telah mempunyai rekod kejayaan membina bangunan menyerupai piramid mesir dan replika Versailles dalam tempoh enam bulan.
Kejayaan membina bangunan tinggi dalam tempoh yang singkat itu disokong oleh teknologi pembinaan pasang siap dan syarikat Yue, Broad Sustainable Building telah mencatat rekod dunia dengan membina hotel setinggi 30 tingkat dalam tempoh 15 hari di bandar Changsha.
Beliau berkata, bangunan yang akan diberi nama Sky City berkenaan mempunyai ketinggian 10 meter mengatasi pemegang rekod dunia ketika ini iaitu Burj Khalifa yang mengambil masa lima tahun untuk dibina dengan kos AS$1.5 bilion (RM4.8 bilion).
"Kami merancang menyiapkan Sky City sebelum hujung tahun ini dan hasrat itu telah menerima tentangan yang hebat. Tidak ramai yang menyokong kami dan terlalu ramai yang dengki.
"Kami akan bina dulu baru mereka akan percaya," katanya kepada AFP.
Sumber rapat daripada pejabat Yue berkata, pekerja sedang bersemangat untuk menyediakan komponen bangunan berkenaan dan menegaskan tidak mempunyai masalah menggunakan teknologi pasang siap bagi membina Sky City.
"Kami boleh siapkannya sebelum Disember ini, malah mampu membina bangunan yang lebih tinggi lagi," kata pekerja-pekerja Yue.
Projek berkenaan telah dilancarkan tahun lalu tetapi dihentikan serta merta oleh pihak berkuasa Changsha kerana permit yang tidak lengkap.
Sementara itu, jurutera pakar bebas berkata, konsep Sky City akan berdepan dengan banyak masalah seperti, rekaan lif, sistem tebatan kebakaran dan kekukuhan struktur bangunan apabila siap.
Pengarah Bangunan Tinggi dan Kehidupan Bandar (CTBUH) iaitu sebuah majlis yang berpusat di Amerika Syarikat (AS), Antony Wood berkata, beliau masih sangsi dengan projek berkenaan tetapi sangat menyanjung tinggi apa yang telah dilakukan oleh Broad Sustainable Building sebelum ini.
"Dalam masyarakat sekarang, jika kamu mahu melakukan sesuatu yang baik, tiada siapa akan percaya. Masyarakat kekurangan sifat kepercayaan dan sentiasa melihat sesuatu yang baik dari sudut negatif," jelasnya.
Yue yang ketika ini berumur 53 tahun, memulakan kerjayanya sebagai penjual produk pendingin hawa sehingga menjadi usahawan pertama China yang memiliki helikopter sendiri.
Beliau merupakan seorang yang rendah diri, makan bersama kakitangan di kantin yang sama, meludah ke dalam tisu tanpa malu semasa bercakap tetapi beliau sentiasa mempunyai visi untuk mengubah bandar-bandar di China.
Beliau juga seseorang yang tidak mementingkan keuntungan semata-mata dalam setiap projeknya dan sangat mengambil berat mengenai alam sekitar - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140117/ek_01/Bina-bangunan-paling-tinggi#ixzz2qbEkzt7M
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Remaja jumpai bom zaman perang



Kane Byrne (kiri) dan Alex Taylor (kanan) menemukan dua butir peledak zaman perang (gambar bawah) ketika melakukan aktiviti mengesan logam di Kent, England, baru-baru ini. - AGENSI
FOLKSTONE, England 16 Jan. - Seorang bapa di sini panik, apabila mendapati anaknya bersama seorang rakan membawa pulang dua peledak peninggalan Perang Dunia Kedua, selepas melakukan aktiviti mengesan logam di sebuah padang di Kent.
Kane Byrne dan Alex Taylor, kedua-duanya berusia 12 tahun, pada mulanya mahu mencari barang perhiasan dan duit syiling, sebelum mereka menjumpai peledak antikereta kebal itu.
Pelajar Sekolah Lelaki Dover Grammar itu dilaporkan melakukan aktiviti tersebut ketika hari cuti ekoran berlakunya banjir.
Karl Byrne, 42, bapa kepada Kane bertindak meletakkan peledak berkenaan di dalam beg dan menempatkannya di taman di belakang rumah supaya bahan letupan itu tidak terdedah kepada cuaca panas yang boleh menyebabkannya meletup.
"Kane mahu menunjukkan kepada saya apa yang dia temui, namun setelah melihat objek berkenaan air muka saya terus berubah.
"Saya berasa panik, namun tetap tenang di hadapan mereka, saya tahu apa sebenarnya objek itu,'' jelas Karl.
Peledak yang boleh membawa kemusnahan dalam lingkungan 1.8 meter jika meletup itu, kemudiannya dilupuskan oleh pihak polis.
"Perkara itu sama sekali tidak akan menghalang saya daripada terus melakukan aktiviti mengesan logam. Bagaimanapun, polis menasihati jika terjumpa sesuatu yang tidak diketahui, saya harus memberitahu ayah terlebih dahulu,'' ujar Kane.
Sementara itu, menurut Taylor, mereka mengorek tanah sedalam kira-kira 0.3 meter dan menemukan peledak pertama, sebelum membawanya pulang ke rumah Byrne.
"Kami bersihkan bom itu dan berhasrat untuk pergi semula ke tempat yang sama sebelum menjumpai peledak kedua bersebelahan tempat peledak pertama,'' terang Taylor. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140117/lu_08/Remaja-jumpai-bom-zaman-perang#ixzz2qbBjvet9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jerung sirip hitam masih belum pupus


Spesies jerung sirip hitam yang disangkakan pupus sejak 110 tahun lalu, ditemukan dijual secara terbuka di sebuah pasar di Kuwait, baru-baru ini. - AGENSI
KUWAIT CITY 16 Jan. - Sejenis spesies ikan jerung yang dipercayai telah pupus sejak sekian lama, ditemukan dijual di sebuah pasar di Kuwait, baru-baru ini.
Jerung bersirip hitam itu dikatakan tidak wujud lagi, malah hanya terdapat satu sampel ikan tersebut yang disimpan bagi tempoh 110 tahun lalu untuk tujuan penyelidikan.
Namun, satu tinjauan di pasar ikan di Kuwait City mengejutkan para saintis apabila sebanyak 47 ekor ikan jerung jenis itu yang sudah dibunuh, dijual secara terbuka kepada orang ramai.
Penduduk tempatan menggelar ikan pemangsa itu sebagai 'Sharg' yang membawa maksud timur dalam bahasa Arab.
Analisis selanjutnya mendapati, ikan itu merupakan ikan jerung bersirip hitam, walaupun pada mulanya dakwaan tersebut disangkal kerana haiwan itu ditemukan di pasar Kuwait City yang terletak 2,896 kilometer dari Yemen, lokasi pertama spesies berkenaan ditemukan.
Saintis mengambil peluang tersebut untuk mengumpul pelbagai maklumat tentang jerung itu sebagai persediaan melaksanakan pelan pemulihan termasuk mengkaji bagaimana haiwan tersebut membesar, jumlah anak yang dilahirkan dan habitatnya.
Malah, saintis juga mula menjalankan kajian terhadap ikan yang ditangkap di Kuwait, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Yemen.
Sebelum ini saintis pernah menemukan dua ekor ikan jerung yang dipercayai daripada spesies yang sama.
Penemuan pertama pada 1985 didaftarkan sebagai spesies baharu, manakala ikan jerung kedua yang merupakan satu-satunya spesies jerung bersirip hitam ditemukan oleh pakar haiwan dan tumbuhan, Wilhelm Hein semasa mengembara ke Yemen pada 1902.
Namun, pada 2008, Persatuan Pemuliharaan Jerung mendedahkan satu lagi penemuan seekor ikan jerung yang disifatkan hampir sama seperti spesies jerung bersirip hitam itu selepas meneroka perairan Yemen. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140117/lu_07/Jerung-sirip-hitam-masih-belum-pupus#ixzz2qbBa2Ihv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'Paus Udara' pesawat masa depan


Pesawat 'Sky Whale' atau 'Paus Udara' mampu memuatkan seramai 755 penumpang pada satu-satu masa. - AGENSI
MADRID 16 Jan. - Seorang pereka bentuk dari Sepanyol berjaya menghasilkan konsep sebuah pesawat komersial futuristik yang menyerupai bentuk sebuah kapal angkasa lepas dan berpotensi untuk dijadikan kenyataan pada masa akan datang.
Pesawat digelar 'Sky Whale' atau 'Paus Udara' yang dilaporkan lebih besar daripada pesawat penumpang terbesar di dunia, Airbus A380 itu, mampu memuatkan seramai 755 orang penumpang yang ditempatkan pada tiga dek mengikut kelas masing-masing.
Setiap kelas yang ditawarkan itu pula iaitu, kelas ekonomi, kelas perniagaan dan kelas pertama masing-masing dilengkapi tingkap canggih bagi membolehkan penumpangnya menikmati pemandangan menarik daripada pesawat.
Bagaimanapun, konsep Sky Whale dipercayai masih belum menarik minat pembuat kapal terbang di dunia untuk membangunkannya.
Pesawat itu menurut pereka bentuknya, Oscar Vinals amat besar dengan mempunyai sayap berukuran 88 meter penjang berbanding 80 meter bagi pesawat Airbus A380 dan 64 meter bagi Boeing 747.
Katanya, pesawat itu akan diperbuat daripada bahan-bahan baharu yang dihasilkan daripada seramik dan gentian komposit, manakala badan pesawat mempunyai fiuslaj berkembar, sekali gus membolehkannya terbang lebih lama tanpa perlu mengisi minyak.
Selain itu katanya, enjin pesawat itu mampu condong sehingga 45 darjah, sekali gus membolehkan Sky Whale berlepas dari kedudukannya tanpa memerlukan sebuah landasan yang panjang seperti mana yang diperlukan pesawat Airbus A380.
Malah, menurut Vinals yang beribu pejabat di Barcelona, sekiranya pesawat itu terhempas, ia akan memisahkan bahagian penumpang dengan bahagian sayap atau enjin pesawat, sekali gus mampu mengurangkan jumlah kematian.
Tambahnya, kesemua teknologi itu adalah untuk mengurangkan seretan, penggunaan minyak dan berat, sekali gus menjadikannya sebuah pesawat paling mesra alam. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140117/lu_06/Paus-Udara-pesawat-masa-depan#ixzz2qbBG6lwm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

RIWAYAT HIDUP AL HASAN AL BASRI


Hasan Al Basri nama penuhnya ialah ; Abu Sa'id al-Hasan ibn Abi-Hasan Yasar al-Basri. dilahirkan di Madinah pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Ibunya bernama Khairah merupakan seorang bekas hamba kepada isteri Nabi Muhammad saw (Ummu Mukminin) yang bernama Hindun binti Suhail atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah.

Ummu Salamahlah yang memberi nama Al Hasan. Beliau adalah seorang wanita Arab yang cerdik dan sangat berilmu. Ummu Salamah adalah diantara segelintir kecil kaum wanita yang celik huruf dan telah meriwayatkan sehingga 387 buah hadis. Beliau adalah ibu susuan Al Hasan

Ayahnya bernama Yasar merupakan bekas hamba kepada Zaid bin Thabit, seorang penulis wahyu Rasulullah saw. Al Hassan membesar dan dididik dirumah Ummu Salamah dan rapat dengan kesemua Ummu Mukminin (isteri Rasulullah) kerana rumah-rumah mereka berdekatan.

Al Hasan menerima hadis daripada Othman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abu Musa al Ash’ari, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah dan ramai lagi. Ali bin Abi Talib merupakan idola Al Hasan yang kuat pegangan agama, kesempurnaan ibadah, kezuhudan menjauhi segala kesenangan dunia, kepetahan, kebijaksanaan, kefasihan dan tunjuk ajar yang mampu menyentuh hati manusia. Al Hasan cuba mencontohi segala akhlak, ketaqwaan dan ibadah Ali bin Abi Talib.

Pada umur 14 tahun mengikuti ayahnya berpindah ke Basrah dan menetap di sana. Dengan ini namanya dikaitkan dengan Basrah dan dikenali dengan Al Hasan Al Basri.

Beliau mempelajari tafsir, hadis dan qiraat Abdullah bin Abbas. Beliau juga mendalami ilmu fikah, bahasa dan sastera daripada sahabat lain.

Al Hasan menjadi ilmuan dan seorang fakih yang terkenal dan dipercayai. Beliau dapat melembutkan hati dan mampu membuat air mata masyarakat berlinangan.

Maslamah bin Abdul Malik merupaka jiran Al Hasan di Basrah, memceritakan mengenai Al Hasan; Hasan sama luar dan dalamnya. Ucapannya selari dengan perbuatannya. Apabila mengajak manusia kepada kebaikan beliaulah yang pertama melakukannya. Apabila melarang manusia melakukan kejahatan beliaulah yang pertama yang meninggalkannya. Beliau zuhud, menjauhi daripada mengambil segala yang ada di tangan manusia lain. Manusia amat mengharapkanya dan sentiasa meminta apa yang ada padanya.

Al Hajjaj bin Yusuf Al Thaqafi pemerintah Iraq yang zalim pernah ditegur kezalimannya oleh Al Hasan. Beliau juga melarang Al Hijjaj membina bangunan-bangunan mewah. Al Hijjaj marah dan ingin memenggal kepala Al Hasan. Setelah dihadapkan kepada Al Hijjaj, Al Hasan membaca doa,” Wahai Tuhanku yang memberikan nikmat dan menjadikan tempat aku berlindung ketika menghadapi malapetakaku, jadikanlah kejahatannya itu sejuk dan selamat untukku seperti mana Engkau jadikan api itu sejuk dan selamat unuk Ibrahim.”

Al Hijjaj terasa gementar dan mempersilakan Al Hasan duduk sambil bertanyakan beberapa masalah agama dan dijawab Al Hasan dengan tabah dan di hurainya sehingga mendalam. Al Hijjaj berkata, “Engkau adalah pemimpin ulama” sambil menghadiahkan Al Hasan minyak wangi.

Banyak kisah-kisah yang menceritakan pengalaman Al Hasan Al Basri ketika berhadapan dengan para pembesar dan pemimpin. Beliau semakin dihormati apabila berhadapan dengan mereka. Hasan menjadi guru di Basrah, (Iraq) dan menubuhkan madrasah di sana. Antara pengikutnya yang terkenal adalah Amr ibn Ubayd dan Wasil ibn Ata, pengasas mazhab Muktazilah.

Hasan adalah penyokong kuat nilai tradisional (orthodox) dan cara hidup zuhud. Menurut beliau takut adalah asas kepada moral dan kesedihan adalah ciri agama; kehidupan hanyalah perjalanan untuk ke akhirat, dan kesenangan hendaklah dinafikan untuk menewaskan nafsu. Hasan al-Basri juga dipandang tinggi oleh ahli sufi kerana sikap zuhudnya. Walau bagaimanapun, beliau bukanlah seorang sufi.

Hasan dikenali sebagai seorang yang suci jiwanya menyamai para sahabat. Dalam politik, beliau menentang sistem pewarisan khalifah dalam dinasti Umayyah tetapi percaya kepada pemilihan khalifah.

Al Hasan meninggal dunia pada usianya 80 tahun pada hari Jumaat di awal bulan Rejab pada tahun 110H, 728 Masihi di Basrah, Iraq. Selepas solat Jumaat jenazahnya disembahyangkan dan seluruh penduduk Basrah mengiringi jenazahnya sehingga di masjid Basrah tidak didirikan solah Asar berjemaah. Al Hasan Al Basir telah berjaya mengisi dunia dengan limpahan ilmu, kata nasihat yang menyentuh hati dan mampu menintiskan air mata.
sumber

NASA akan bina roket terbesar di dunia



GAMBAR yang menunjukkan roket Saturn (kiri) dan Shuttle serta Sistem Pelancaran Angkasa (kanan) milik Amerika Syarikat. - NASA


WASHINGTON - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin mendedahkan beberapa gambar roket terbaharunya yang dikenali sebagai Sistem Pelancaran Angkasa (SLS).
Menurut NASA, SLS yang setinggi 98 meter itu merupakan roket terbesar di dunia.
Kenderaan angkasa lepas itu juga boleh membawa bebanan sebanyak 143 tan.
Ia akan digunakan untuk membawa angkasawan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selain membantu manusia meneroka sistem solar dengan lebih jauh.
"Potensi penggunaan SLS untuk bidang sains akan meningkatkan lagi sinergi bagi tujuan eksplorasi saintifik dan penjelajahan manusia," kata angkasawan dan pentadbir sains bersama di ibu pejabat NASA di sini, John Grunsfeld.
Katanya, selain misi ke ISS, roket berkenaan juga dapat digunakan untuk penerokaan asteroid dan menuju ke planet Marikh.
Roket SLS dijangka dilancarkan buat kali pertama oleh NASA pada tahun 2017. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2qb5gJJx9 
Hakcipta terpelihara