Pages

Saturday, March 9, 2013

Pameran batu di atas batu di London




SEBONGKAH batu yang diletakkan di atas sebuah lagi bongkah batu dipamerkan di Galeri Serpentine, Hyde Park, London semalam.


LONDON - Para pengunjung di Galeri Serpentine di Hyde Park di sini kini boleh melihat sebongkah batu diletakkan di atas sebuah bongkah lagi batu.
Artis seni terkenal dari Switzerland, Peter Fischli dan David Weiss menghasilkan kerja seni unik itu yang mula dipamerkan semalam. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2Mzi8boeO 
Hakcipta terpelihara 

Hanya 375 kereta McLaren P1 dikeluarkan




KERETA McLaren P1 dipamerkan pada Pertunjukan Kereta Antarabangsa Geneva di Geneva pada 5 Mac lalu.


GENEVA, Switzerland - Sebuah kereta sport berkuasa tinggi keluaran McLaren, P1 yang mempunyai lebih daripada 903 kuasa kuda (hp) akhirnya diperkenalkan pada Pertunjukan Kereta Antarabangsa Geneva di sini baru-baru ini.
Kenderaan tersebut mampu memacu daripada 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) berdasarkan meter laju dalam masa kurang tiga saat dengan kelajuan maksimum mencecah 349km/j.
Kuasa tinggi kereta P1 itu dibekalkan dengan enjin pengecas turbo berkembar V8 berkapasiti 3.8 liter yang menjana 757hp manakala sebuah motor elektrik membekalkan kuasa tambahan sebanyak 176hp
Kuasa tambahan itu dijana dengan menekan butang pada stereng kereta tersebut seperti Sistem Pemulihan Tenaga Kinetik (KERS) yang terdapat pada kereta lumba Formula 1 (F1).
Selain sistem enjin, keserupaan lain yang dikongsi kereta P1 dengan jentera F1 ialah harganya.
Sebuah kereta sport itu berharga sekitar AS$1.15 juta (RM3.57 juta).
Hanya mereka yang terpilih sahaja dapat memiliki P1 kerana menurut McLaren, cuma 375 buah kereta tersebut dikeluarkan di seluruh dunia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2MzhDVTK4 
Hakcipta terpelihara 

Friday, March 8, 2013

Dua amah jadi jutawan



Jeddah: Dua wanita Indonesia yang datang ke Arab Saudi untuk bekerja sebagai pembantu rumah menjadi jutawan selepas mewarisi jutaan riyal daripada suami masing-masing yang sudah meninggal dunia.

Lelaki Saudi terbabit mulanya mengambil mereka sebagai pembantu rumah tetapi kemudian mengahwini mereka.


Seorang daripada wanita itu yang menetap di Riyadh, menerima SR5 juta (RM4.1 juta) minggu lalu sementara dalam satu lagi kes, wanita yang berkahwin dengan hartawan hartanah menerima SR20 juta (RM16.4 juta) baru-baru ini selepas sebuah mahkamah Taif mengarahkan waris jutawan itu membayarnya jumlah berkenaan.

“Kedua-dua wanita itu menerima bahagian kekayaan suami masing-masing menerusi sistem undang-undang Syariah yang dilaksanakan di negara ini,” kata jurucakap kedutaan Indonesia di Riyadh, Shabda Thian.


Beliau bagaimanapun enggan menyebut nama kedua-dua wanita itu.


“Banyak lagi cerita positif mengenai Tenaga Kerja Indonesia di Arab Saudi, bukan setakat penderaan yang sering dilaporkan,” katanya.

Dalam kes pertama, wanita terbabit tiba di Saudi 11 tahun lalu untuk bekerja dengan jutawan hartanah, Ali Ayami di Taif. Mereka berkahwin dua tahun selepas itu.


Perkahwinan mereka tidak berpanjangan kerana lelaki itu meninggal dunia dan meninggalkan beberapa keping tanah serta bangunan apartmen di Taif.

Wanita Indonesia itu menetap di Arab Saudi sehingga dia memperoleh harta peninggalan suaminya itu.


“Dia sudah menerima SR20 juta (RM16.4 juta) dan menanti kira-kira SR90 juta (RM73.8 juta) lagi hasil daripada jualan harta suaminya,” kata satu sumber yang enggan dikenali.


Menurut Shabda, wanita kedua yang berusia 45 tahun mewarisi SR6.3 juta (RM5.17 juta) selepas suaminya meninggal dunia beberapa bulan lalu. Wanita itu sebelum ini bekerja sebagai tukang jahit untuk lelaki itu yang memiliki dan mengendalikan sejumlah besar kedai mainan di Riyadh, ‘ Al-Sogel Toys.’ “Mereka hidup bersama kira-kira 10 tahun sebelum suaminya meninggal dunia pada 2010,” kata Shabda.


Menurutnya, pihak kedutaan bekerja rapat dengan beberapa pihak, termasuk keluarga si mati untuk menyelesaikan tuntutan harta itu. - AN

Imej UFO dirakam Crowe dibincang dengan meluas

GAMBAR objek terbang tidak dikenali yang dirakamkan oleh Crowe disiarkan di YouTube sejak semalam.


SYDNEY - Gambar objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dirakamkan oleh aktor terkenal Hollywood, Russell Crowe dibincangkan dengan hangat di internet, lapor akhbar The Sydney Morning Herald semalam.
Crowe sebelum ini menyatakan imej UFO itu dirakamkan di luar pejabatnya di sini.
Klip video yang disiarkan di laman perkongsian sosial YouTube menunjukkan objek berwarna merah dengan cahaya berwarna kuning melintasi luar tingkap pejabatnya.
Akhbar New York Post turut melaporkan bahawa Crowe memuat naik video itu kerana dia mungkin percaya tentang makhluk asing.
Imej itu menyebabkan isu sama ada terdapat makhluk asing yang telah mendarat di Sydney dibincangkan dengan meluas di internet.
Bagaimanapun, beberapa pakar video dan gambar menyatakan imej tersebut sebenarnya sebuah bot.
Seorang pengguna YouTube memberi komen objek tersebut kelihatan ganjil kerana terdapat teknik muslihat fotografi telah digunakan.
Bagaimanapun, menurut akhbar The Sydney Morning Herald yang memetik agensi berita AAP, Crowe membuat kenyataan di Twitter bagi mempertahankan imej tersebut.
"Saya tidak mengetahui apakah sebenarnya, tetapi menganggap gambar itu sebagai palsu merupakan kebodohan," katanya.
Menurut Crowe, imej itu kelihatan semasa dia mahu merakamkan gambar kelawar keluar dari Taman Botani.
Pelakon berusia 48 tahun dari Australia itu terkenal menerusi filem Gladiator dan Les Misérables. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2MtssL2qt 
Hakcipta terpelihara 

Gunung Berapi Tangkuban Perahu di Jawa Barat dipantau saintis



BEBERAPA pegawai Indonesia memeriksa kawah Gunung Tangkuban Perahu di Subang, Jawa Barat semalam.


JAKARTA - Beberapa saintis Indonesia menyatakan mereka memantau dengan teliti sebuah gunung berapi aktif di Pulau Jawa dan menggesa penduduk kampung dan pelancong tidak menghampiri kawasan itu.
Seorang pakar gunung berapi Indonesia, Hendra Gunawan semalam berkata, Gunung Tangkuban Perahu di wilayah Jawa Barat itu memuntahkan debu dan asap hampir 500 meter ke langit sejak Isnin lalu.
Amaran tentang gunung itu kini berada pada tahap kedua tertinggi.
Bagaimanapun, gunung berapi itu tidak mengeluarkan lahar dan tidak memberi ancaman ke atas kampung serta pekan berhampiran.
Namun, pihak berkuasa menasihatkan para pelancong agar berada 1.5 kilometer dari kawah kerana khuatir gunung berapi tersebut mengeluarkan gas yang beracun.
Gunung Tangkuban Perahu yang memiliki ketinggian 2,084 meter merupakan antara lokasi tarikan pelancong terkenal di Pulau Jawa.
Kali terakhir ia meletus adalah pada tahun 1983. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0308&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2MtsYAdqd 
Hakcipta terpelihara 

Arnoud van Doorn kini beragama Islam


AMSTERDAM 6 Mac - Bekas anggota Parti Kebebasan, yang berhaluan kanan dan berfahaman anti-Islam Belanda, Arnoud van Doorn (gambar), mengejutkan ramai pihak dengan mengumumkan dia telah memeluk Islam baru-baru ini.
Van Doorn yang juga merupakan rakan karib pemimpin parti itu, Geert Wilders, sebelum ini pernah mengakui dia keluar daripada parti tersebut pada penghujung 2011.
Menurutnya, dia mahu melakukan perubahan dengan mengumumkan keputusannya kepada dunia melalui pengucapan kalimah Syahadah yang dimuat naik dalam laman Twitter miliknya.
"Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah," katanya dalam laman sosial itu.
Van Doorn turut mengumumkan dalam bahasa Belanda bahawa dia kini 'memulakan kehidupan baharu sebagai seorang Islam.'
Dalam wawancara bersama Al-Jazeera.net, van Doorn mengesahkan berita mengenai tindakannya itu.
"Sesiapa yang mengenali saya secara dekat boleh meneka keputusan saya. Lebih setahun saya mendalami Islam melalui buku dan ceramah.
"Ramai yang terkejut dengan keputusan ini, terutama mereka yang tahu mengenai pendirian anti-Islam saya," katanya.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas dia mendalami Islam tanpa paksaan.
"Kita semua pernah melakukan kesilapan. Namun, saya melihat setiap pengalaman hidup ada sebab yang tersendiri dan pengalaman saya sangat berkait rapat dengan keputusan saya," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130307/lu_05/Arnoud-van-Doorn-kini-beragama-Islam#ixzz2Ms6O5OiP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, March 7, 2013

Lelaki 106 tahun terima diploma


BEVERLY - Seorang lelaki berumur 106 tahun memperoleh segulung diploma selepas terpaksa menangguhkan pelajarannya demi membantu ibu dan lima adiknya meneruskan kehidupan sebelum ini.
Fred Butler dianugerahkan diploma kehormat dalam majlis penuh emosi di Massachusetts, Amerika Syarikat (AS).

Butler berkata, beliau amat berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantunya sehingga memperoleh diploma.

Butler yang berkahwin lebih 60 tahun lalu, dikurniakan lima cahaya mata dan pernah berkhidmat untuk pasukan ketenteraan AS ketika Perang Dunia II. - AP

Brennan sah Pengarah CIA baru


Brennan sah Pengarah CIA baru
Obama (kiri) memberi kepercayaan kuat kepada Brennan.
WASHINGTON - Jawatankuasa Perisikan Senat Amerika Syarikat sebulat suara meluluskan John Brennan menjadi Pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA), dengan undian majoriti di Pentagon, Washington.

Senator Dianne Feinstein, yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, undian menyebelahi Brennan dengan 12 menyokong dan tiga menentang.

“Tiada siapa lebih layak menjadi Pengarah CIA selain  Brennan,” katanya ketika pengumuman dilakukan.
Pelantikan beliau sebelum ini tertangguh dua bulan selepas ditentang dan dikecam pelbagai pihak terutama pesaingnya dari bekas ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI), John Guandolo.

Guandolo mempertikaikan pelantikan tersebut dengan alasan Brennan memeluk agama Islam sejak tahun  90-an ketika  bertugas di Arab Saudi dan pernah melawat Makkah.

Brennan menggantikan Jeneral David Petraeus yang bersara susulan skandal dengan penulis biografinya. - AFP

Meninggal selepas pergi ke 25 hospital

TOKYO - Seorang warga emas berusia 75 tahun meninggal dunia selepas 25 hospital enggan merawatnya selepas 36 kali dibawa ke bilik kecemasan dalam tempoh dua jam dengan alasan kekurangan katil dan doktor.

Menurut pegawai, lelaki malang itu tinggal bersendirian di bandar Kaki, Saitama utara Tokyo bertindak menghubungi pasukan ambulans sejurus menghadapi masalah pernafasan.

Sebaik menerima panggilan itu, sepasukan ambulans bergegas ke rumahnya tetapi terpaksa ke 25 hospital di kawasan terdekat kerana masalah kekurangan katil dan kakitangan perubatan.

Beliau didapati meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital di daerah Ibaraki yang mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan.

Seorang ahli paramedik memberitahu, kes pesakit ditolak oleh puluhan hospital amat jarang berlaku di Jepun. - AFP

Kereta Koenigsegg RM4.96j




KERETA sport model baharu Koenigsegg Agera SHundra yang berharga RM4.96 juta dipamerkan pada Pertunjukan Kereta Antarabangsa Geneva Kali Ke-83 di Geneva kelmarin.


GENEVA, Switzerland - Sebuah kereta sport model terbaharu Koenigsegg Agera SHundra yang berharga AS$1.6 juta (RM4.96 juta) telah ditempah oleh seorang pengumpul kereta di Malaysia, lapor portal kereta WorldCarFans.com semalam.
Model kereta itu telah dipamerkan pada Pertunjukan Kereta Antarabangsa Geneva Kali Ke-83 di sini sejak Selasa lalu.
Reka bentuk kereta itu dihasilkan oleh seorang artis dari Itali.
Kereta tersebut dilengkapi dengan rim gentian karbon.
Pengeluaran kereta tersebut dibuat bagi meraikan pengeluaran kereta dari Sweden itu yang ke-100.
Ia menggunakan enjin V8 5.0 liter dengan 1,040 kuasa kuda.
Badan kereta berkenaan mengandungi jalur emas 24 karat. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2MoOcI2LU 
Hakcipta terpelihara 

Imej lubang gergasi di tapak rumah di Florida




IMEJ yang dirakamkan dari udara pada 4 Mac lalu menunjukkan lubang yang terbentuk di tapak rumah Bush yang telah diruntuhkan di Seffner.


SEFFNER, Florida - Imej sebuah lubang gergasi yang muncul secara tiba-tiba di bilik tidur rumah Jeff Bush (gambar kecil) di sini disiarkan kelmarin.
Lubang tersebut muncul sehingga mengakibatkan Bush, 37, yang sedang tidur terhumban ke dalamnya pada Khamis lalu.
Mayat Bush sehingga kini masih tidak ditemui kerana pihak berkuasa menghentikan kerja-kerja menyelamat kerana lubang berkenaan semakin membesar.
Ia dikenali sebagai lubang benam.
Lubang itu terbentuk kerana kebanyakan tanah di negeri Florida terletak di atas permukaan batu kapur menyebabkan ia mudah terbenam.
Rumah Bush itu kemudian diruntuhkan oleh pihak berkuasa bagi memantau perkembangan lubang tersebut.
Anggota-anggota pihak berkuasa turut meletakkan batu-batu di dalam lubang tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2MoOIW3pO 
Hakcipta terpelihara 

Ramai suami isteri bercerai kerana mahu jual rumah di Shanghai




SEORANG pegawai polis mengawal sejumlah penduduk yang mahu menjual rumah mereka di sebuah pusat penjualan kediaman di Shanghai kelmarin.


SHANGHAI - Sejumlah pasangan suami isteri di China memutuskan untuk bercerai bagi mengelakkan mereka membayar cukai jualan hartanah baharu.
Tindakan itu dibuat kerana pasangan yang telah bercerai tidak akan dikenakan cukai jika mereka menjual rumah berdasarkan peraturan baharu.
Pejabat-pejabat pendaftaran pemerintah yang menguruskan perceraian dipenuhi pasangan suami isteri yang ingin berpisah dengan seorang wanita baru bercerai memberitahu agensi berita AFP semalam bahawa dia kini mahu menjual hartanahnya.
Pada Jumaat lalu, pihak pemerintah mengeluarkan arahan untuk mengawal harga rumah termasuk cukai 20 peratus bagi keuntungan jualan sesebuah kediaman rumah oleh pemiliknya.
Namun, terma itu membolehkan pasangan suami isteri yang bercerai dan memiliki dua kediaman boleh menjual hartanah mereka secara bebas cukai berdasarkan beberapa syarat tertentu.
Kelemahan tersebut menyebabkan ramai pasangan suami isteri bercerai untuk menjual hartanah mereka sebelum berkahwin semula selepas itu.
Akhbar Shanghai Daily melaporkan bahawa mereka yang bercerai itu termasuk sekurang-kurangnya seorang wanita hamil.
Undang-undang baharu hartanah itu turut menyebabkan kadar perceraian di sini meningkat sekali ganda.
Harga kediaman di 100 buah bandar utama di China naik pada setiap tahun. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2MoO0wEJE 
Hakcipta terpelihara 

Belalang Mesir 'serang' selatan Israel




SEBUAH pesawat menyembur racun serangga di kawasan yang 'diserang' belalang di Kampung Kmehin, Gurun Negev semalam.


KEMEHIN - Israel memulakan perang ke atas sejumlah besar belalang dari Mesir kelmarin untuk menghalang serangga tersebut daripada memusnahkan tanaman di selatan negara itu.
Serangga tersebut yang terbang dalam berkumpulan sehingga membentuk awan di langit.
Ia 'menyerang' Israel tiga minggu sebelum hari perayaan Yahudi, Passover.
Beberapa pegawai berkata, belalang itu melitupi kawasan seluas hampir 800 hektar di padang pasir dalam tempoh semalaman.
Pihak berkuasa pertanian Israel menyembur racun serangga dan darat untuk cuba menghapuskan belalang-belalang itu pada awal pagi sebelum embun pada sayapnya kering.
"Kami berharap tindakan kami berkesan," kata seorang juruterbang berkenaan kepada stesen radio tentera.
"Harap-harap kerosakan yang dibawa serangga itu hanya minimum," tambahnya.
Menurut juruterbang itu, kehadiran sejumlah besar belalang yang membawa bencana dengan memakan tanaman penduduk pernah berlaku sebelum ini pada tahun 2004.
Sementara itu seorang penanam ubi kentang yang tinggal sekitar tiga kilometer dari sempadan Mesir, Pavel Rosenfeld berkata, setakat ini 30 hingga 40 peratus tanamannya sudah rosak.
"Semuanya bergantung kepada tiupan angin dan kami berdoa agar angin tidak akan membawa lebih banyak belalang," katanya. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2MoNXIUgv 
Hakcipta terpelihara 

Ahli perniagaan ternak ikan sturgeon gergasi




SEORANG ahli biologi, Robinson Orozco memegang seekor ikan sturgeon betina seberat 181 kilogram di Sturgeon 
Aquafarms, Bascom, pada 8 Februari lalu.


BASCOM, Florida - Seorang ahli perniagaan, Mark Zaslavsky menternak sejumlah ikan sturgeon gergasi di sebuah kolam ternakannya di sini, Amerika Syarikat.
Zaslavsky, 60, yang berasal dari Ukraine menternak ikan itu untuk tujuan mendapatkan telur-telur haiwan tersebut untuk dijadikan kaviar yang merupakan makanan untuk golongan kaya.
Terdapat ikan sturgeon di kolam ternakannya yang mempunyai berat sehingga 181 kilogram.
Dia mula mengusahakan ternakan ikan sturgeon itu pada tahun 2001 di ladang Sturgeon Aquafarms.
Zaslavsky mempunyai 2,000 pelanggan.
Antara pelanggannya ialah beberapa buah restoran Rusia di New York.
Ikan tersebut boleh hidup lebih 100 tahun di habitat liar. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2MoHmxtCB 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, March 6, 2013

Guru paling kenit di dunia


Guru paling kenit di dunia
Masalah hormon pelik yang berlaku pada anggota badan Azad membuatkan tumbesarannya terbantut sejak berusia lima tahun.
SEWAKTU berumur 18 tahun, beliau pernah dilabelkan sebagai peserta sarkas pelik, namun lelaki kenit Azad Singh yang berketinggian hanya 91 sentimeter (sm) berjaya menutup mulut masyarakat setempat apabila menjadi guru paling kecil di dunia.

Azad, 22, disahkan menghidap sejenis penyakit gangguan genetik luar biasa yang menghentikan tumbesarannya ketika berumur lima tahun, sekali gus kekal sehingga ke hari ini.

Anak muda yang amat kecil itu, bertanggungjawab mengajar mata pelajaran kemahiran komputer di sebuah sekolah rendah perempuan dalam Haryana, India.

"Kesemua pelajar saya lebih tinggi daripada saya," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, Azad mempunyai sedikit masalah untuk mengajar, beliau terpaksa berdiri di atas meja guru untuk membolehkannya menulis di papan putih.

Pelajar turut menggelar Azad sebagai 'Chotu' atau 'Cikgu kecil' berikutan memiliki ketinggian 91 sm serta berat 18 kilogram (kg).

"Sejak bekerja sebagai guru, saya memiliki pendapatan sendiri iaitu setiap bulan saya menerima 10,000 rupees (RM563.70)," katanya.

Azad terpaksa akur dengan fizikalnya di mana beliau terpaksa memakai pakaian kanak-kanak walaupun usianya telah mencecah golongan dewasa.

Beliau berkata, walaupun tubuh badannya kenit dan tidak akan membesar seperti lelaki normal, beliau amat berbangga kerana mampu mencapai impian yang diidamkan iaitu menjadi seorang guru.

"Masyarakat sememangnya melayan saya sebagai lelaki normal kerana kini saya sudah bekerja dan pekerjaan saya ini amat dihormati orang ramai.

"Pernah sekali ketika saya berusia 18 tahun, saya telah disalah tafsir sebagai bayi oleh seorang pengawal kereta api.

"Sewaktu di sekolah pula saya juga pernah dibuli kerana masalah saiz badan saya dan berasa amat takut dengan ancaman yang saya berkemungkinan akan diculik oleh pengurus sarkas," katanya.

Bagaimanapun, Azad berkata cemuhan yang dilemparkan kepadanya sewaktu di zaman kanak-kanak menjadi pemangkin kepada beliau untuk membina karakter, sekali gus mematangkannya sehari demi sehari.

"Si pembuli itu berjaya membuatkan saya berusaha keras mencapai matlamat dan mereka tidak akan dapat berkata apa-apa lagi sekarang ini," katanya.  - MailOnline

Biola ditemui di Bulgaria mungkin bernilai RM5.58 juta




GAMBAR yang dikeluarkan pada 28 Februari lalu menunjukkan seorang pegawai polis Bulgaria memegang biola yang dipercayai dicuri di London pada tahun 2010.-REUTERS


SOFIA - Sebuah biola yang berharga AS$1.8 juta (RM5.58 juta) dan dicuri di London, England sebelum ini mungkin telah ditemui di Bulgaria.
Para detektif Britain kini menyiasat sama ada biola tersebut yang berusia 300 tahun merupakan biola yang dicuri dari sebuah stesen tren di London dua tahun lalu.
Biola itu ditinggalkan oleh seorang anggota Orkestra Filharmonik Diraja di sebuah restoran di stesen tersebut untuk membeli sandwic pada November 2010.
Ketika kejadian, dia meletakkan biola itu di atas lantai dan berbual dengan kekasih lelakinya.
Seorang pengembara Ireland, John Maughan telah didapati bersalah kerana menjual biola tersebut.
Maughan dihukum penjara empat tahun enam bulan oleh hakim sebuah mahkamah pada tahun 2011 kerana perbuatannya itu.
Biola itu kemudian ditemui dalam satu operasi polis di Bulgaria.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Bulgaria, biola itu mempunyai tanda nama Antonio Stradivarius yang merupakan pencipta alat permainan muzik itu.
Stradivarius dari Itali turut mencipta beberapa peralatan muzik lain seperti gitar dan hap. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2MlgRhO2G 
Hakcipta terpelihara 

Lamborghini Veneno dijual pada harga RM14.10 juta




BENTUK depan kereta itu.-AFP


GENEVA - Kereta baharu Lamborghini Veneno dipamerkan sehari sebelum Pertunjukan Kereta Geneva di sini berlangsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Lamborghini S.p.A., Stephan Winkelmann menunjukkan kereta tersebut kepada para tetamu dan wartawan kelmarin.
Bagaimanapun, hanya tiga buah kereta berkenaan yang akan dikeluarkan.
Ketiga-tiga kereta tersebut sudah pun mempunyai pembeli.
Ia dikeluarkan bagi meraikan ulang tahun ke-50 syarikat pengeluar kereta dari Itali itu.
Kereta sport itu boleh mencecah kelajuan sehingga 354 kilometer sejam.
Harga setiap sebuah Lamborghini Veneno itu ialah £3 juta (RM14.10 juta).
Kereta dua tempat duduk itu dijana dengan enjin petrol 12 silinder yang mempunyai 750 kuasa kuda. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2Mlg6Pjlm 
Hakcipta terpelihara 

Slim masih kekal manusia terkaya di dunia



NEW YORK - Bilionair dari Mexico, Carlos Slim yang merupakan taikun telekomunikasi America Movil dan pemilik kumpulan Grupo Carso mengekalkan kedudukan individu terkaya untuk tahun keempat berturut-turut dengan jumlah kekayaan dianggarkan bernilai AS$73 bilion (RM226.48 bilion).
Kekayaannya meningkat AS$4 bilion (RM12.4 bilion) berbanding pada tahun lepas.
Pengasas Microsoft Corporation, Bill Gates dari Amerika Syarikat menduduki tempat kedua diikuti pemilik rangkaian pakaian jenama Zara, Amancio Ortega dari Sepanyol.
Senarai kekayaan itu dikeluarkan majalah Forbes kelmarin.
Gates yang menduduki tempat kedua mempunyai anggaran kekayaan sebanyak AS$67 bilion (RM207.8 bilion) iaitu meningkat sebanyak AS$6 bilion (RM18.6 bilion) berbanding tahun 2012.
Ortega pula berjaya melonjak ke tempat ketiga dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$57 bilion (RM176.8 bilion).
Slim and Gates mengekalkan kedudukan nombor satu dan dua sebagai individu terkaya di dunia sama seperti pada tahun lepas.
Senarai individu terkaya di dunia kini meningkat kepada 1,426 orang termasuk 210 muka baharu.
Terdapat juga peningkatan ketara jumlah bilionair wanita yang kini berjumlah seramai 138 orang berbanding tahun lepas yang mencatatkan jumlah 104 orang.
Individu terkaya di Asia masih milik Li Ka-shing dari Hong Kong dengan jumlah kekayaan dianggarkan bernilai AS$31 bilion (RM96.1 bilion). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2Mlf54TKQ 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, March 5, 2013

Jose Mujica, presiden termiskin dunia


Jose Mujica
Jose Mujica
Jose Mujica, presiden termiskin dunia
Mujica hanya memiliki kereta Volkswagen Beetle.
Jose Mujica, presiden termiskin dunia
Jutaan rakyat Uruguay meraikan kemenangan Mujica dalam pilihan raya di Montevideo pada November 2009.
Beliau merupakan seorang pemimpin disayangi rakyat Uruguay. Jose Mujica digelar 'presiden termiskin dunia', disebabkan sifat pemurahnya yang sanggup mendermakan 90 peratus daripada gaji bulanannya kepada rakyat miskin. Setiap bulan, pemimpin mesra rakyat ini hanya membelanjakan AS$1,250 (RM3,877.50).

Sekali pandang, beliau kelihatan seperti warga emas yang hidup bersama isteri di dalam rumah usang dan memiliki sebuah kereta Volkswagen Beetle yang berharga hanya AS$1,945 (RM6,023).

Namun, siapa sangka lelaki beruban dan hanya berpakaian biasa ini adalah Presiden Uruguay yang amat disayangi rakyatnya. Jose Alberto Mujica Cordano atau Jose Mujica, 78, adalah ahli politik Uruguay dan presiden negara itu sejak 2010 sehingga ke hari ini.

Pengamal vegetarian ini digambarkan sebagai 'presiden termiskin dunia', apabila menyumbangkan 90 peratus daripada gaji bulanannya untuk dimanfaatkan kepada orang-orang miskin serta pengusaha kecil.

Mujica dilahirkan pada 20 Mei 1935. Bapanya Demetrio Mujica adalah lelaki berbangsa Sepanyol dan ibunya bernama Lucy Cordano berketurunan Itali. Keluarga ibunya adalah pendatang miskin dari Piemonte, Itali.

Bapanya pula lahir daripada keluarga petani kecil-kecilan yang kemudian diisytiharkan muflis sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 1940 iaitu sewaktu Mujica berumur 5 tahun.
Sewaktu meningkat remaja, Mujica melibatkan diri dalam sukan berbasikal di bawah naungan beberapa persatuan.

Ketika zaman mudanya pula , Mujica aktif dengan pergerakan Parti Nasional sekali gus menjadi pemangkin kepada keakrabannya dengan ahli politik terkenal, Enrique Erro. Mujica bagaimanapun bertemu jodoh tatkala melewati usia 70-an iaitu pada 2005.

Beliau menamatkan zaman bujang bersama Lucia Topolansky yang merupakan ahli setia Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Tupamaro (MLN-T) dan berstatus Senator Uruguay.

Mujica dan isteri masih belum dikurniakan cahaya mata. Mereka menetap di kawasan ladang di pinggir bandar Montevideo dan menjalankan aktiviti menanam bunga chrysanthemum sebagai cabang ekonomi sekeluarga.

Menariknya, Lucia tidak mengeluh dengan keputusan suaminya untuk meneruskan kehidupan seperti rakyat miskin tanpa kemewahan duniawi. "Beliau enggan tinggal di dalam istana presiden yang mewah atau menggunakan orang gaji," kata Lucia.

Bekas pemimpin gerila

Pengalaman di masa lalu merupakan petanda mengapa Mujica memilih untuk hidup seperti rakyat biasa. Beliau yang juga bekas pemimpin gerila berhaluan kiri, MLN-T, mengguna pakai strategi yang diakui agak kejam buat dirinya demi membantu rakyat miskin.

Sebelum dilantik sebagai presiden, Mujica begitu aktif dengan pergerakan MLN-T dan pernah dihukum penjara selama 14 tahun pada 1972. Namun, masih ada beberapa pihak yang panas punggung apabila Mujica dilantik menerajui negara dengan alasan 'beliau tidak layak digelar presiden'.

Tidak mengalah dengan kritikan, Mujica yang dilabelkan sebagai individu berpengetahuan luas amat disukai rakyat kerana memiliki sifat kepimpinan melalui teladan.

Aktivis kemanusiaan antarabangsa melaporkan, corak kepimpinan Mujica amat telus di mana beliau mengimplementasikan kehidupan sederhananya yang sangat mudah.

"Beliau menunjukkan contoh terbaik dengan meneruskan kehidupan mudah dan berbakti dengan alam tanpa mewujudkan jurang darjat dalam masyarakat walaupun bergelar pemimpin negara," katanya.

Gaji Mujica perkapita
- AS$150,000 (RM465,300) setahun.
- 90 peratus diserahkan kepada penduduk.
- Guna AS$15,000 (RM46,530) setahun.

Pejabat syerif di AS guna helikopter kawalan jauh




GAMBAR yang dirakamkan pada 31 Januari lalu menunjukkan helikopter kawalan jauh Draganflyer X6 milik Pejabat Syerif daerah Mesa dipamerkan di Landasan Terbang Gand Valley Model, Mesa.- REUTERS


DENVER - Pejabat Syerif daerah Mesa di negeri Colorado, Amerika Syarikat (AS) menggunakan dua buah helikopter kawalan jauh ciptaan firma Draganfly Innovations Inc.
Helikopter Draganflyer X6 itu boleh terbang setinggi 121.92 meter dan bergerak pada kelajuan 32.19 kilometer sejam.
Ia membawa kamera boleh terbang selama 15 minit.
Helikopter itu digunakan menjelang pengenalan ribuan dron tanpa juruterbang di langit Amerika Syarikat pada tahun 2015. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0305&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2McalKmVG 
Hakcipta terpelihara