Pages

Saturday, October 22, 2011

Air sungai melimpah, 60 hilang di Myanmar

YANGON: Banjir yang menimpa tengah Myanmar menyebabkan ramai hilang apabila rumah mereka di tebing sungai dihanyutkan air.
Seorang pegawai kerajaan yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, kira-kira 60 orang di pekan Pakokku hilang dihanyut air, setakat ini.
Katanya, “Beberapa buah rumah dan kuil di sepanjang tebing sungai dihanyutkan air dan sebuah jambatan musnah apabila aras air naik.”

Seorang pegawai lain pula berkata, tiada kematian dilaporkan.


Seorang sami di Pakokku berkata, air naik setinggi tiga meter.

“Beberapa orang, haiwan, rumah dan kuil hanyut dibawa air apabila aras air naik. Aras air berada di tahap biasa sekarang,” katanya.

Media kerajaan melaporkan, jalan, jambatan dan bangunan rosak teruk akibat angin kuat dan hujan di beberapa tempat di negara itu.

Beberapa negara di Asia Tenggara mengalami banjir akibat angin monsun, tahun ini.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira 700 orang terbunuh di Thailand, Kemboja, Vietnam Laos dan Filipina.

Thailand yang paling teruk terlibat, di mana kira-kira 300 orang mati dan Bangkok pula diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. - AFP

Jual diri demi satu tin gam

GADAI MARUAH...Alia (kiri) mencari pelanggan tepi jalan.
GADAI MARUAH...Alia (kiri) mencari pelanggan
tepi jalan.

KUANTAN: Hanya bermodalkan satu tin gam berharga tidak sampai RM5, mana-mana lelaki boleh menikmati tubuh seorang gadis berusia 16 tahun yang sering berkeliaran di bandar ini dengan tujuan mahu mencari sesiapa yang boleh membekalkan bahan mengkhayalkan itu kepadanya.
Bukan setakat ringan-ringan, malah gadis yang sering dilihat mundar-mandir di Jalan Pasar dan Medan Warisan di sini, mudah dibawa ke mana saja termasuk ke ranjang asalkan ketagihannya terhadap gam dapat dihilangkan.

Berikutan ‘populariti’ gadis itu yang digelar ‘Minah Gam Ringan-Ringan’ oleh orang ramai yang mengenalinya, wartawan Harian Metro melakukan penyamaran dan berjaya berbual-bual dengannya.

Agak mengejutkan apabila mendapati dia bukanlah selekeh seperti digambarkan, malah mempunyai wajah agak menawan serta pandai bergaya, sekali gus langsung tidak menggambarkan dirinya penagih gam tegar.

Dalam perbualan dengan gadis itu yang hanya mahu dikenali sebagai Alia, dia mengaku tidak kisah dibawa ke mana saja asal diberi satu tin gam untuk melepaskan ketagihan manakala bayaran sekadar RM50 memadai jika ingin menidurinya.

“Kebiasaannya lelaki mengajak saya ke pusat karaoke di sekitar bandar ini kerana di situ agak selamat serta lebih terlindung daripada pandangan orang ramai.


“Tapi kalau di karaoke cuma boleh ringan-ringan sajalah, nak lebih daripada itu kenalah bayar tip sikit dan carilah tempat lebih sesuai,” katanya selamba. Apabila ditanya mengenai latar belakang termasuk keluarga serta persekolahannya, Alia enggan menjawab dan mula menunjukkan rasa kurang senang, namun Harian Metro difahamkan dia sudah berhenti sekolah sejak ibu bapanya bercerai. Ditanya sejak bila dia mula menagih gam, Alia cuma menggeleng-gelengkan kepala, namun memberitahu dia melakukan perkara itu hanya sekadar suka-suka.

Sementara itu, Penolong Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuantan, Mohd Aluwi Din mengakui pihaknya ada menerima maklumat mengenai beberapa kes membabitkan gadis seperti Alia.
“Ada antara mereka sudah berjaya kami pujuk dan rujuk ke Bahagian Kaunseling untuk mengikuti proses pemulihan.

Kita perlu membantu golongan yang ketagihan gam ini, bukannya menghukum mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, kebanyakan remaja yang terbabit dengan kegiatan menghidu gam yang dirujuk ke AADK dibawa keluarga sendiri namun ada juga ditangkap ketika operasi dijalankan agensi berkenaan.

“Mereka diberi kaunseling selain menyediakan aktiviti berbentuk keagamaan dan kemasyarakatan supaya pulih daripada kesan menghidu gam yang boleh menjejaskan otak dan melemahkan ingatan.

“Ibu bapa yang menyedari anak mereka terjebak kegiatan menghidu gam tidak perlu malu untuk membawa remaja berkenaan kepada AADK supaya mereka dapat menjalani program pemulihan,” katanya.

Aluwi berkata, jika terlalu ketagih, penghidu gam akan hilang pertimbangan malah sehingga menjejaskan otak seterusnya menjadi gila, justeru tidak hairan sekiranya remaja perempuan yang menghidu gam boleh bertindak melampaui batas seperti menyerahkan kehormatan diri dan sebagainya.

Tembakan di kepala punca kematian


GADDAFI kelihatan melihat kesan darahnya dengan dikerumuni penentangnya.
GADDAFI kelihatan melihat kesan darahnya dengan dikerumuni penentangnya.

MISRATA: Seorang saksi berkata, kesan peluru boleh dilihat dengan jelas di sisi kepala bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Selain kesan tembakan di kepala, mayat Gaddafi yang ditunjukkan kepada pemberontak dan seorang saksi Reuters juga mempunyai kesan calar, juga di kepala.

Ada beberapa kesan darah pada tubuhnya meskipun ia tidak sebanyak seperti yang diilihat pada video sejurus beliau ditangkap.

Sementara itu, terdapat tanda-tanda pertelagahan antara pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) dengan pejuang dari Misrata mengenai tempat pengebumian Gaddafi.

Tidak dapat dipastikan sama ada pejuang di Misrata merasakan mereka mempunyai kata putus untuk menentukan pengebumian bekas pemimpin Libya itu memandangkan mereka yang berjuang untuk menggulingkannya dan kemudian memburunya hingga kepada kematiannya.

“Mereka tidak bersependapat mengenai tempat pengebumian,” kata seorang pegawai NTC yang enggan namanya disiarkan.


“Menurut Islam, Gaddafi sepatutnya dikebumi segera tetapi sehingga ini masih belum ada persetujuan dicapai sama ada mayatnya akan dikebumikan di Misrata, Sirte atau tempat lain,” katanya.

Gaddafi masih hidup ketika ditangkap tetapi kemudian mati di tangan pemberontak dalam keadaan yang masih tidak jelas.
Pegawai NTC, Ali Tarhouni yang juga Menteri Minyak dalam kerajaan sementara berkata, keputusan mengenai tempat pengebumian masih belum dicapai. “Saya mengarah mereka menyimpan mayat itu dalam setor beku selama beberapa hari bagi memastikan semua orang tahu Gaddafi sudah mati,” katanya kepada Reuters.

Ketika ditanya mengenai urusan pengebumian, termasuk di mana bekas pemimpin itu akan dikebumikan, dia berkata: “Belum ada keputusan lagi.” Ali juga memberitahu, satu keputusan mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri kerajaan sementara Libya akan ditentukan, kemungkinan minggu depan. — Reuters

7 perangai pelik Gaddafi


CARA HIDUP LUAR BIASA...selain sentiasa dikawal sehingga 40 anggota keselamatan khas terdiri daripada anak dara
CARA HIDUP LUAR BIASA...selain sentiasa dikawal sehingga 40 anggota keselamatan khas terdiri daripada anak dara

TRIPOLI: Muammar Gaddafi yang memerintah Libya selama 42 tahun kini menjadi sejarah dan bakal dikenang sebagai diktator yang didakwa menaja keganasan di negara luar.
Namun, di sebalik legasi itu, Gaddafi juga akan diingat sebagai tokoh yang suka melakukan perkara pelik.
Laman sesawang ABCNews.com menyenaraikan tujuh keanehan utama yang dilakukan Gaddafi.



  • Khemah kalis peluru: Ketika berada di Tripoli, Gaddafi tinggal dalam kubu dilengkapi dengan rangkaian sistem terowong untuk menyelamatkan diri.


    Apabila berkunjung ke luar negara, tokoh berdarah Badwi itu membawa bersamanya khemah untuk dipasang di tempat difikirkan sesuai.

    Disebabkan set khemah kalis peluru itu terlalu berat, ia terpaksa diangkut menggunakan pesawat berasingan yang mengiringi ke mana saja Gaddafi pergi.

    Untuk menghidupkan suasana padang pasir, dia juga menambat seekor dua unta di luar khemahnya.
  • Pengawal anak dara: Nampaknya pengawal ini tiada ketika mereka sangat diperlukan apabila Gaddafi ditangkap kelmarin, tetapi biasanya tokoh itu dikelilingi 40 anggota terlatih sepanjang masa.

    Digelar sebagai Amazon, pengawal wanita itu dilaporkan semuanya masih dara dan mereka berikrar mempertahankannya sebelum menyertai pasukan berkenaan.

    Dilatih di sebuah pusat latihan wanita, pengawal terbabit dipilih sendiri oleh Gaddafi dan mengenakan mekap, kasut but bertumit tinggi.
  • Jururawat seksi: Selama sedekad, seorang jururawat Ukraine, Galyna Kolotnytska, sering dilihat berada di sisi Gaddafi.

    Digambarkan sebagai mempunyai bentuk badan mengghairahkan, Galyna didakwa seorang daripada pembantu paling dipercayai Gaddafi dan dipercayai menjalin hubungan romantik dengan diktator terbabit.

    Sejumlah jururawat Ukraine turut berkhidmat untuk Gaddafi dan mereka memanggilnya dengan gelaran “papa” atau “daddy”.
  • Jatuh hati kepada Condoleezza Rice: Pada 2007, Gaddafi menggelar bekas Setiausaha Negara AS itu sebagai “wanita kulit hitam Afrika yang dikasihi.”

    Ketika Condoleezza melawat Tripoli pada 2008, Gaddafi memberikan pelbagai hadiah bernilai AS$200,000 (RM629,880), termasuk cincin.

    Bagaimanapun, minatnya kepada wanita itu hanya terbongkar selepas pemberontak menawan Tripoli.

    Antara barangan yang ditemui di situ, satu album mengandungi puluhan gambar Condoleezza.
  • Takut menaiki pesawat dan lif: Antara alasan Gaddafi gemar membawa bersamanya khemah jika ke tempat lain adalah kerana bimbang terpaksa menggunakan lif untuk menginap di hotel.

    Melalui kabel diplomatik yang bocor, Gaddafi juga tidak suka berada di tempat tinggi dan enggan terbang lebih dari lapan jam.

    Jika perlu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Gaddafi akan singgah bermalam di Portugal.

    Had maksimum anak tangga yang mahu dinaikinya hanyalah 35 langkah.
  • Bunga Bunga: Pada 2010, satu daripada aktiviti masa lapang Gaddafi didedahkan melalui laporan pendakwa Itali yang menyiasat salah laku Perdana Menteri Silvio Berlusconi.

    Menurut laporan, pelacur berusia 17 tahun yang dilanggan Berlusconi, Karima el-Magroug, mendakwa Perdana Menteri Itali itu mengaku “menggunakan formula Gaddafi” ketika mereka berfoya-foya.
  • Pakaian aneh: Ketika pemimpin negara berbaris untuk bergambar bersama, amat mudah mengenali Gaddafi kerana pemilihan pakaiannya yang berbeza daripada yang lain.

    Biasanya, Gaddafi mengenakan pakaian khas yang direka hasil gabungan di antara seragam tentera yang diubah suai dengan tradisi Badwi Afrika. - ABC
  • Obama umum tentera AS tinggalkan Iraq penghujung tahun

    Berita Harian Online | Obama umum tentera AS tinggalkan Iraq penghujung tahun: "WASHINGTON: Presiden Barack Obama, hari ini berkata semua tentera Amerika Syarikat (AS) dijangka meninggalkan Iraq pada penghujung tahun ini.

    Keputusan itu dibuat selepas Iraq gagal mencapai persetujuan undang-undang bagi memberikan kekebalan kepada kumpulan kecil pasukan keselamatan AS yang akan memberikan latihan ketenteraan kepada rakyat negara itu.
    Obama berkata, tentera AS yang terakhir boleh meninggalkan Iraq dengan perasaan bangga.
    Selepas hampir sembilan tahun, angka kematian membabitkan tentera AS melebihi 4,400, ribuan rakyat Iraq dan jumlah perbelanjaan yang mencecah bilion. - AFP "

    'via Blog this'

    Gempa bumi 7.6 magnitud gegar Kepulauan Tonga

    Berita Harian Online | Gempa bumi 7.6 magnitud gegar Kepulauan Tonga: "NUKU’ALOFA (Tonga): Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud menggegarkan kepulauan Tonga, Pasifik Selatan pagi tadi tetapi tiada laporan kerosakan dan kecederaan.

    Penyelidik Geologikal Amerika Syarikat berkata, gempa bumi pada kira-kira jam 5.57 pagi itu berlaku kira-kira 870 kilometer selatan Nuku'Alofa, Tonga.
    Kedalaman gempa bumi itu ialah 39 kilometer.
    Pusat Amaran Tsunami Pasifik tidak mengeluarkan amaran tsunami tetapi berkata paras laut menunjukkan tsunami berlaku. - AP "

    'via Blog this'

    Bekas pemimpin tetap dikebumi secara terhormat

    2011/10/22

    MISRATA: Pemimpin baru Libya memberi jaminan bahawa Muammar Gaddafi akan dikebumikan mengikut ajaran Islam, sehari selepas saat-saat terakhir dramatik beliau apabila diktator terbabit diseret dari tempat persembunyiannya dalam saluran longkang, merayu supaya tidak dibunuh ketika bandar kelahiran beliau jatuh ke tangan pejuang revolusi.

    Kematian beliau kira-kira dua bulan selepas penyingkirannya menamatkan rejim hampir 42 tahun yang menukarkan negara kaya dengan minyak itu menjadi sebuah negara yang dikritik antarabangsa. Ia turut membawa Libya ke dalam era baru di mana pemimpin peralihan perlu mengatasi perpecahan dan membina semula hampir semua institusi dari awal untuk mencapai demokrasi yang diimpikan.
    Pemimpin NTC bagaimanapun masih lagi tidak membuat sebarang keputusan bila dan di mana mayat Muammar Gaddafi akan dikebumikan, kata menteri penerangan Libya semalam di tengah persoalan mengenai bagaimana bekas pemimpin itu mati.
    “Tiada keputusan dibuat mengenai pengebumian Gaddafi,” sama ada mayatnya masih berada di Misrata di mana ia dibawa selepas kecederaan yang membawa maut berikutan ditangkap di Sirte, kata Mahmud Shamam kepada AFP.

    Pemimpin NTC dilihat begitu berhati-hati mengenai rancangan pengebumian itu, enggan untuk menjadikan kubur Gaddafi bakal menjadi tempat perhimpunan bagi penyokong setianya.

    Mayat Gaddafi terbaring di sebuah kediaman persendirian di Misrata, bandaraya ketiga terbesar di Libya di mana tenteranya ditewaskan dalam kepungan berpanjangan yang terbukti menjadi salah satu titik perubahan kebangkitan selama lapan bulan, lapor seorang koresponden AFP.

    Sementara itu, Reuters melaporkan bahawa Gaddafi maut berikutan sebutir peluru yang menembusi ususnya berikutan penangkapan, kata seorang doktor yang memeriksa mayatnya, di tengah konflik bagaimana pemimpin Libya itu menemui ajalnya.
    Gaddafi, 69, terbunuh pada Khamis selepas ditangkap oleh pejuang Libya yang menjadi kemuncak kepada kebangkitan selama lapan bulan menentang pemerintahan beliau selama 42 tahun.

    “Gaddafi ditahan ketika masih hidup tetapi beliau terbunuh selepas itu. Ada sebutir peluru dan ia menjadi alasan utama kepada kematiannya, yang menembusi ususnya,” kata doktor Ibrahim Tika kepada televisyen Al Arabiya.

    “Kemudian ada peluru lain di kepalanya yang menembusi dalam dan keluar kepalanya.” Terdahulu, Perdana Menteri Mahmoud Jibril membacakan apa yang dikatakan laporan bedah siasat bahawa Gaddafi diseret daripada terowong paip, ditembak di lengan dan diletakkan dalam sebuah trak di mana ia terkena tembakan ketika cuba dibawa ke hospital.

    Sementara itu ahli NTC Mohamed Sayeh berkata bahawa Gaddafi akan dikebumikan pada Jumaat di sebuah kawasan perkuburan Sirte, menafikan laporan bahawa beliau akan dikebumikan di sebuah kubur rahsia. – AP/AFP
    Berita Harian Online | Bekas pemimpin tetap dikebumi secara terhormat:

    'via Blog this'

    Harta Gaddafi RM121 bilion dijejak

    2011/10/22

    PEMBACA menatap akhbar di tepi jalan dengan gambar Gaddafi yang dilaporkan terbunuh, semalam.
    PEMBACA menatap akhbar di tepi jalan dengan gambar Gaddafi yang dilaporkan terbunuh, semalam.
    Kematian tragik bekas pemimpin Libya diraikan rakyat hidup tertindas

    TRIPOLI: Kematian bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi diraikan berjuta-juta penduduk Libya yang yakin bahawa ia akan membuka sejarah baru kepada rakyat negara itu yang sejak sekian lama hidup di bawah pemerintahan kuku besi.
    Bagaimanapun, kematian beliau belum mengakhiri masalah Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang bertindak sebagai kerajaan sementara kerana kini ia perlu mendapatkan semula harta dan kekayaan bekas pemimpin itu yang ‘bertaburan’ di beberapa negara.
    Butiran dari dokumen yang dibocorkan kepada pertubuhan anti- rasuah Global Witness menyatakan Gaddafi memiliki kekayaan dalam bentuk wang tunai dan aset yang diletakkan di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) bernilai AS$38 bilion (RM121 bilion), disimpan di bank di Eropah dan Amerika selain dilaburkan dalam pelbagai syarikat.

    Ia bagaimanapun tidak memberi maklumat mengenai pelaburan lain yang dilakukan Syarikat Pelaburan Arab Libya Luar Negara (Lafico) yang juga anak syarikat LIA yang ada kepentingan di beberapa negara.

    Maklumat menunjukkan LIA mempunyai pegangan saham di beberapa syarikat antarabangsa yang terkenal, termasuk Nokia.

    “Bank Eropah terbesar yang menyimpan wang Gaddafi ialah syarikat perkhidmatan kewangan Perancis Société Générale, yang sehingga Jun tahun lalu menyimpan wang berjumlah AS$1.8 bilion (RM5.76 bilion) di dalam beberapa akaun,” kata laporan itu.
    Sebuah bank antarabangsa di Malta pula dilapor menyimpan kira-kira AS$239 juta (RM764 juta) dalam bentuk dana lindung nilai manakala sebuah bank di Amerika, Goldman Sachs menyimpan AS$182 juta (RM582 juta), manakala Royal Bank of Scotland memiliki sejumlah AS$110 juta (RM352 juta).

    “Adalah tidak masuk akal bahawa bank terbabit boleh ‘bersembunyi’ di sebalik maklumat sulit pelanggan dalam kes seperti ini. Ini adalah akaun negara dan pemiliknya adalah rakyat Libya,” kata pengarah Global Witness melalui laman web pertubuhan itu.

    Pemangku perdana menteri kerajaan baru, Mahmoud Jibril berkata pihaknya akan melakukan semua perkara yang perlu untuk memulihkan demokrasi dan memulihkan semula negara itu, termasuk mendapatkan semula dana yang kini dibekukan di beberapa negara.

    Mac lalu, Presiden Amerika Barack Obama mengarah perbendaharaan menyekat aset Libya di negara itu bernilai AS$30 bilion (RM96 bilion), aset terbesar negara asing yang pernah dibekukan. – Agensi

    INFO: Beberapa fakta pelik mengenai Gaddafi

  • Khemah kalis peluru: Apabila Muammar Gaddafi berada di rumahnya di Tripoli, beliau tinggal di pekarangan kukuh dengan sistem kompleks terowong untuk melarikan diri.

  • Rombongan Pengawal Peribadi Gadis: Mereka nampaknya tidak bersama ketika Gaddafi amat memerlukan mereka kelmarin tetapi pemimpin itu dilindungi 40 pengawal peribadi terlatih, semuanya wanita.

  • Jururawat seksi Ukraine: Untuk sedekad, Galyna Kolotnytska, jururawat Ukraine yang sering disifatkan media sebagai seksi, selalu dilihat berada di sebelah pemimpin kuku besi itu.

  • Jatuh cinta dengan Condoleezza Rice: Pada 2007, Gaddafi menggelarkan bekas Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice sebagai kekasih wanita kulit hitam Afrikanya.

  • Takut untuk terbang dan menaiki tangga bergerak: Sebahagian alasan mengapa Gaddafi gemar ke luar negara membawa khemah kerana beliau bimbang menginap di hotel kerana perlu menaiki tangga bergerak.

  • Bunga Bunga: Pelacur berusia 17 tahun dikenali sebagai Karima el-Mahroug, atau lebih popular dengan nama Ruby Heartstealer, mendedahkan beliau dijemput ke pesta yang digelar bunga-bunga.

  • Pakaian bercampur aduk: Pakaiannya bercampur daripada seragam tentera, sut ringkas gaya Miami Vice dan jubah Badwi.
  • Berita Harian Online | Harta Gaddafi RM121 bilion dijejak:

    'via Blog this'

    10 pasangan diijab kabul beramai-ramai



    21/10/2011 9:03pm

    KUALA TERENGGANU – Sepuluh pasangan yang menjadi peserta MyIdol Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan selamat diijabkabulkan secara beramai-ramai di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
    Majlis akad nikah di hadapan hampir 1,000 tetamu termasuk anggota keluarga pengantin disempurnakan oleh bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Datuk Ismail Ali.
    Kesemua pasangan itu akan disandingkan pada majlis khas di Dataran Shah Bandar, dekat sini malam esok, yang akan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
    Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika ditemui pemberita berkata, 10 pasangan itu adalah mereka yang terpilih daripada lebih 100 pasangan yang memohon untuk menyertai program yang bermula sejak Jun lepas.
    "Kesemua kos perkahwinan pasangan ini termasuk wang tunai RM5,000 dan pakej berbulan madu ditaja sepenuhnya oleh penganjur yang disokong pelbagai agensi kerajaan dan swasta di Terengganu,” katanya.
    Wan Ahmad Farid, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, berkata, berdasarkan sambutan hangat yang diberikan terhadap program tersebut kali ini, pihaknya bersedia untuk mempertimbangkan agar ia terus diadakan pada tahun depan. – Bernama

    Gaddafi akhirnya mati ditembak



    FOTO Muammar Gaddafi dilumuri darah di Sirte, Libya semalam.- Reuters



    SIRTE – Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mati akibat kecederaan semasa dia bertempur di bandar kelahirannya di sini semalam.
    Gaddafi yang memerintah Libya sejak 1969 itu mati selepas ditangkap oleh kumpulan para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu.
    “Dia (Gaddafi) juga ditembak di kepala,” kata seorang pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan,(NTC) Abdel Majid Mlegta kepada agensi berita Reuters.
    NTC merupakan badan yang memerintah Libya buat sementara waktu selepas Gaddafi melarikan diri ekoran kejayaan para pejuang yang menentang kepimpinannya memasuki ibu kota Libya, Tripoli lewat Ogos lalu.
    “Terdapat banyak tembakan ke atas kumpulannya dan dia mati,” tambahnya.
    Sebelum ini dia memberitahu bahawa Gaddafi yang berumur dalam lingkungan 69 tahun ditangkap dan mengalami kecederaan di kedua-dua kakinya pada Subuh semalam.
    Ketika itu, dia sedang melarikan diri bersama sebuah konvoi semasa jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan.
    NATO mengambil alih operasi ketenteraan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam pada 31 Mac lalu.
    Sejak itu, jet-jet NATO mengendalikan serangan udara dan melaksanakan zon larangan terbang di Libya termasuk melaksanakan sekatan senjata menerusi rondaan di laut.
    NATO mengesahkan semalam bahawa jet-jetnya telah mengebom satu konvoi ketenteraan dekat Sirte pada waktu pagi.
    Namun, ia menyatakan adalah sukar untuk menyatakan sama ada serangan tersebut menyumbang kepada kemungkinan kematian Gaddafi.
    Menurut Abdel Majid, Gaddafi telah dibawa keluar dari lokasi kejadian dengan menggunakan sebuah ambulans.
    Menurut seorang pejuang anti-Gaddafi, bekas pemimpin itu ditemui bersembunyi di sebuah lubang saluran air dan berkata: “Jangan tembak, jangan tembak.”
    Pejuang itu menyatakan bahawa Gaddafi membuat rayuan itu kepada sekumpulan lelaki yang berjaya menangkapnya.
    Seorang pegawai NTC, Mahmoud Shammam memberitahu terdapat gambar yang menunjukkan kejadian penangkapan tersebut.
    Ketua Tentera di Tripoli, Abdel Hakim Belhaj juga mengesahkan Gaddafi telah mati dibunuh.
    “Dia sudah pun mati,” katanya kepada stesen televisyen Al-Jazeera.
    Mayat Gaddafi itu dibawa ke sebuah lokasi yang dirahsiakan demi keselamatan, kata seorang lagi pegawai NTC.
    “Mayat Gaddafi bersama dengan unit kami di dalam sebuah kereta dan kami membawa mayat tersebut ke sebuah lokasi rahsia atas alasan keselamatan,” kata pegawai itu, Mohamed Abdel Kafi.
    Bagaimanapun, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan bahawa mayat Gaddafi telah tiba di Misrata.
    Stesen televisyen satelit Al- Jazeera me laporkan jenazah Gaddafi kemudian ditempatkan di sebuah masjid di bandar Misrata, barat daya Libya.
    Stesen-stesen televisyen dan beberapa saluran lain menunjukkan imej askar-askar mengelilingi sebuah lubang paip besar di bawah lebuh raya iaitu lokasi tempat Gaddafi ditemui dan membuat rayuan supaya dia jangan ditembak.
    Sementara itu, anak kelima Gaddafi, Moutassem dan bekas ketua perisikan Libya, Abdullah al-Senussi ditangkap semalam di pelabuhan Sirte.
    Kedua-duanya dibawa dari Sirte ke Misrata yang terletak kira-kira 200 kilometer ke timur Tripoli.
    Stesen-stesen televisyen di seluruh dunia menyiarkan Gaddafi selepas NTC menyatakan bahawa dia terbunuh.
    Seorang pegawai NTC kemudian mengesahkan bahawa gambar tersebut adalah Gaddafi.


    SEORANG penyokong Muammar Gaddafi ditangkap oleh para pejuang antipemimpin itu di tengah Sirte semalam.- Reuters



    Gambar itu yang dipercayai dirakamkan menerusi telefon bimbit menunjukkan wajah yang pucat, berdarah dan mata hampir tertutup mirip Gaddafi.
    Foto tersebut menunjukkan rambut kerinting halus dan struktur muka mirip Gaddafi.
    Ketika gambar tersebut disiarkan, masih tidak jelas sama ada dia masih hidup atau cedera.
    Foto tersebut menunjukkan terdapat darah dari bahagian mulutnya.
    Adalah menjadi sesuatu kebiasaan bagi para pejuang Gaddafi merakamkan gambar di lokasi pertempuran.
    Seorang lagi pegawai tentera Libya mengesahkan bahawa satu foto yang menunjukan seorang lelaki yang mirip Gaddafi mati itu dan disiarkan stesen televisyen Al-Jazeera adalah Gaddafi yang sebenar.
    Pegawai itu iaitu anggota jawatankuasa keselamatan NTC di Tripoli, Kolonel Mostafa Noah berkata: “Ya, itu adalah betul.”
    Bekas Menteri Pertahanan Libya, Abu Bakr Younis dilaporkan turut terbunuh di pelabuhan Sirte, menurut stesen televisyen Free Libya.
    Stesen itu menunjukkan gambar Abu Bakr dengan kecederaan di bahagian dada.
    Menurut laporan media, Abu Bakr mengiringi Gaddafi semasa dia terbunuh.
    Gaddafi dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa berhubung dakwaan membunuh sejumlah orang awam.
    Rejim pemerintahannya tumbang pada 23 Ogos lalu selepas memerintah selama 42 tahun di negara yang kaya dengan minyak itu.
    Gaddafi menjadi pemimpin Libya selepas dia melakukan rampasan kuasa tentera semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara pada tahun 1969.
    Ketika itu, Gaddafi merupakan seorang pegawai tentera Libya.
    Kebangkitan di Libya untuk menumbangkan Gaddafi bermula di bandar Benghazi menerusi tunjuk perasaan penduduk yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya pada Februari lalu.
    Tunjuk perasaan itu mendapat ilham daripada kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia dan Mesir sehingga mengakibatkan kedua-dua pemimpin di negara berkenaan tidak lagi berkuasa.
    Namun, tunjuk perasaan itu bertukar menjadi pertempuran dalam kalangan penduduk yang membentuk kumpulan pejuang menentang Gaddafi.
    Kematian Gaddafi itu menyebabkan NTC kini menguasai sepenuhnya Libya selepas mereka bertempur selama lapan bulan.
    – Agensi
    -kosmo

    Friday, October 21, 2011

    Dituduh bunuh kontraktor

    SUNGAI PETANI:Seorang suri rumah bersama dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan membunuh seorang kontraktor di Hotel Park Avenue di sini, September lalu.
    Tertuduh, Norliana Nor Wahi, 32, Mohd Azeryee Anuar, 28, dan Kamarudin Abdul Halim, 29, kelihatan tenang mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

    Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga suspek dituduh membunuh seorang kontraktor, Mohd Nasir Isahak @ Ishak, 35, di dalam bilik 310, Hotel Park Avenue, Taman Sejati Indah, di sini, antara jam 7.04 hingga 7.48 malam, 19 September lalu.


    Norliana dari Seberang Jaya, Pulau Pinang dituduh bersama jurugambar bebas, Mohd Azeryee dari Taman Nilam di sini, serta pengawal keselamatan, Kamarudin dari Butterworth, Pulau Pinang, melakukan pembunuhan dengan mengetuk kepala mangsa menggunakan pemegang pistol jenis Pietro Baretta Gardone VT dan buku lima

    .myMetro | Dituduh bunuh kontraktor:

    'via Blog this'

    Gaddafi terbunuh di Sirte


    KUBU...seorang pegawai NTC menunjukkan saluran pembetungan tempat Gaddafi bersembunyi.
    KUBU...seorang pegawai NTC menunjukkan saluran pembetungan tempat Gaddafi bersembunyi.



    TRIPOLI: Terkulai di kaki pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), gambar Muammar Gaddafi itu menjadi bukti terhadap dakwaan kematian bekas pemimpin Libya berkenaan, semalam.
    Menurut laporan awal, Gaddafi ditemui berlindung dalam saluran sistem pembetungan di tengah Sirte sejurus selepas pejuang NTC memasuki bandar kelahirannya itu dalam serangan terakhir.

    Seorang daripada pejuang NTC berkata, Gaddafi merayu supaya tidak ditembak ketika cuba menyerah diri.

    Beberapa laporan media Arab melaporkan, Gaddafi, 69, menemui ajal akibat kecederaan pada kakinya.

    Imej rakaman kamera telefon bimbit yang dikeluarkan sejurus selepas penangkapannya tersebar menunjukkan Gaddafi ditawan.


    Pemberontak berkata, Gaddafi bersenjata sepucuk pistol bersadur emas ketika ditemui.

    Pemimpin NTC, Abdel Majid Mlegta, berkata selain kaki, Gaddafi turut ditembak di kepala.

    “Berlaku tembak-menembak sengit di antara pejuang NTC dengan penyokong Gaddafi sebelum dia mati,” katanya.

    Menurut Abdel Majid, Gaddafi ditembak ketika cuba melarikan diri, manakala sumber lain mendakwa, bekas diktator Libya itu cedera terkena tembakan sekurang-kurangnya sekali di perut.

    Gaddafi dan keluarganya melarikan diri sejak Nato dan pemberontak mula menguasai Tripoli pertengahan Ogos lalu.


    Laporan penahanan Gaddafi yang memerintah selama 42 tahun muncul tidak lama selepas tentera NTC mengumumkan mereka menawan Sirte.


    Laporan awal CNN dan NTC mendakwa, Gaddafi berjaya ditahan, manakala al-Jazeera menyatakan, “pemimpin utama” Libya diberkas kerajaan baru Libya, tetapi tiada butiran diberi.


    Pada awal pagi semalam, NTC mendakwa, sekurang-kurangnya lima kereta membawa pejuang yang setia kepada Gaddafi cuba melarikan diri dari Sirte.


    Pegawai NTC sebelum itu memberitahu Reuters, Gaddafi ditahan berhampiran Sirte ketika dia menyertai konvoi cuba melarikan diri sebelum diserang jet Nato.


    Katanya, panglima tentera era Gaddafi, Abu Bakr Younus Jabr, terbunuh dalam operasi itu. - DM
    myMetro | Gaddafi terbunuh di Sirte:

    'via Blog this'

    Penduduk panik selepas Bali dilanda gempa

    KUTA: Satu gempa bumi yang kuat melanda Pulau Bali semalam, menyebabkan ramai tercedera dan beratus pelancong panik dan melarikan diri dari bangunan yang bergegar.

    Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, 17 orang mengalami luka akibat ditimpa batu kecil dari bangunan.


    Sebuah hospital, tiga sekolah dan dua bangunan kerajaan, turut rosak.

    Doktor di Sanglah hospital, Ken Wirasandhi bagaimana pun berkata, 44 orang, hampir kesemuanya pelajar diberi rawatan akibat cedera di kepala dan luka.


    “Dua orang pelajar masih lagi dibawah pengawasan. mereka mengalami kecederaan di kepala apabila batu menimpa mereka. Dua lagi menerima rawatan pesakit luar dan telah dibenarkan pulang,” katanya.


    Menurut jurucakap Agensi Meteorologi dan Geofizik di Bali, Endro Tjahjono berkata, gegaran berskala 6 Richter menggegarkan Kuta buat beberapa minit.

    “Orang ramai mula panik. Kami berlari keluar dari bangunan. Apabila kami kembali ke pejabat, kami lihat beberapa dinding retak dan simen pecah,” katanya.


    Keadaan Jalan Sunset adalah yang paling kelam kabut apabila pelancong berlari keluar dari pusat beli-belah, restoran dan pasar raya. - AFP

    myMetro | Penduduk panik selepas Bali dilanda gempa:

    'via Blog this'

    6 lagi mayat tentera Filipina ditemui

    MANILA: Tentera Filipina semalam menemui enam lagi mayat anggotanya yang terbunuh berikutan pertempuran dengan kumpulan pejuang pembebasan terbesar Filipina Selasa lalu.

    Pertempuran dengan pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF)) itu meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa.

    Seorang tentera yang dilapor hilang diselamatkan lewat kelmarin dan seorang lagi ditemui awal semalam di laut berhampiran tempat kejadian selepas berenang ke arah sebuah penempatan tentera, kata jurucakap, Kolonel Antonio Parlade. - AP

    myMetro | 6 lagi mayat tentera Filipina ditemui:

    'via Blog this'

    Singapura paling mudah untuk berniaga

    WASHINGTON: Singapura kekal sebagai tempat paling mudah untuk berniaga.

    Menurut laporan Bank Dunia, pusat kewangan Asia itu mengekalkan tempat teratas untuk tahun keenam berturut-turut.

    Lima kedudukan teratas senarai berkenaan tidak bertukar sejak tahun lalu lalu.

    Hong Kong menduduki tempat kedua, diikuti oleh New Zealand, Amerika Syarikat dan Denmark. - Reuters

    myMetro | Singapura paling mudah untuk berniaga:

    'via Blog this'

    Perancang serangan masjid, gereja ditahan

    JAKARTA: Polis semalam menangkap seorang lelaki yang didakwa perancang dua serangan berani mati.

    Yadi Al Hassan, 30, dipercayai mengetuai kumpulan militan yang melakukan pengeboman berani mati di sebuah gereja di Solo bulan lalu dan serangan serupa terhadap sebuah masjid polis di Cirebon lima bulan lalu.


    Tiada kematian dalam kedua-dua serangan itu tetapi puluhan orang cedera.

    “Dia mengeuai kumpulan itu,” kata jurucakap polis Indonesia, Anton Bachrul Alam kepada wartawan. Menurutnya, Yadi ditangkap di Cirebon.


    Suspek itu menggalak pengikutnya melakukan serangan berani mati terhadap sasaran tertentu dengan mendakwa ia dibenarkan Islam dan sebahagian daripada misi jihad.


    Anton juga berkata, Yadi turut menganggotai Jemaah Ansharut Tauhid (JAT), yang diasaskan oleh Abu Bakar Bashir, ulama yang kini menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana membiayai kem latihan militan di Aceh, Sumatera.

    Sebahagian besar daripada 200 juta penduduk Islam Indonesia berfahaman sederhana tetapi negara itu menghadapi beberapa serangan oleh kumpulan radikal seperti Jemaah Islamiyah yang dikatakan mempunyai hubungan dengan al-Qaeda dan terbabit dengan serangan Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa. - AFP

    myMetro | Perancang serangan masjid, gereja ditahan:

    'via Blog this'

    Mo’tassim ditahan, Saif sembunyi di Bani Walid

    KAHERAH: Anak lelaki Muammar Gaddafi, Mo’tassim, ditahan hidup-hidup di Sirte, kata pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), semalam.

    Menteri Penerangan NTC, Mahmoud Shammam, berkata walaupun tidak dapat mengesahkan laporan itu, dia diberitahu, Mo’tassim kini berada dalam kawalan mereka di Sirte.


    Terdahulu, al-Jazeera dan al-Arabiya turut melaporkan penahanan berkenaan.

    Seorang lagi anak Gaddafi, Saif al-Islam, masih diburu dan dipercayai bersembunyi di kawasan padang pasir Libya.


    Seorang anggota NTC memberitahu al-Jazeera, kali terakhir Saif al-Islam dikesan ialah di bandar padang pasir Bani Walid.


    Dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Saif al-Islam dipercayai bersembunyi di sekitar bandar berkenaan.

    myMetro | Mo’tassim ditahan, Saif sembunyi di Bani Walid:

    'via Blog this'

    Thailand berdepan risiko limpahan air




    2011/10/21

    PENDUDUK terpaksa duduk di atas benteng yang diperbuat daripada beg pasir di daerah Rangsit, Utara Bangkok, semalam.
    PENDUDUK terpaksa duduk di atas benteng yang diperbuat daripada beg pasir di daerah Rangsit, Utara Bangkok, semalam.
    Yingluck akui gagal sekat banjir

    BANGKOK: Perdana Menteri Thailand mengakui yang usaha menyekat banjir dari memasuki ibu negara Thai gagal dan pihak berkuasa berdepan risiko kemungkinan berlaku limpahan air ekoran pelepasan air menerusi terusan di bandar.

    Yingluck Shinawatra memberitahu wartawan, pihaknya sudah mencuba pelbagai cara untuk melambatkan air daripada memasuki Bangkok dan melakukan pelbagai cubaan untuk memastikan pintu penghalang banjir ditutup serta meningkatkan halangan di sepanjang laluan air ke hilir dari utara.
    Hasilnya banjir besar di kawasan berlaku di kawasan penempatan dan kilang di utara bandar.
    “Kita perlu membenarkan air lalu. Terlalu sedikit yang masuk ke laut,” kata Yingluck.

    Tiada tanda jelas di bahagian mana Bangkok akan mengalami banjir atau seburuk mana.

    Kerajaan pimpinan Yingluck berdepan kritikan kerana memberi maklum balas mengelirukan mengenai keadaan banjir yang bermula Ogos lalu dengan hujan lebat di utara Thailand.

    Yingluck berkata, jumlah air mengalir dari utara lebih banyak berbanding yang masuk ke laut.
    “Tiada jalan untuk mengeringkan air kerana kita menyekatnya. Ada kala menahan air menjejaskan benteng kerana ia tidak direka untuk bertindak sebagai empangan. Kita sudah kepenatan dengan pelbagai sumber yang ada untuk memperlahankan air,” katanya.

    Beliau berkata, kerajaan tempatan Bangkok bersetuju bekerjasama dengan rancangan baru untuk mengeringkan air.

    Ancaman serius terhadap banjir di Bangkok meningkat berikutan jumlah air yang bergerak ke bawah dari tengah Thailand dan satu kawasan dalam bandar itu berada dalam keadaan bahaya sejak kelmarin selepas banjir merempuh kerja membuat terusan, kata pegawai.

    Menteri Kehakiman yang mengetuai pusat krisis banjir kerajaan, Pracha Promnok, memberitahu televisyen Channel 3 yang pegawai bandar mengepam air keluar sepanjang malam di kawasan Samsen dan Makkasan, yang terletak di utara istana raja dan tempat tarikan pelancong.

    “Saya bimbang mengenai penduduk Bangkok kerana jika kita tidak boleh mengawal situasi atau mesin pam air rosak, ada kemungkinan Bangkok tenggelam.
    “Paras air semalam masih terkawal,” kata Pracha. – AP/Reuters
    Berita Harian Online | Thailand berdepan risiko limpahan air:

    'via Blog this'

    Perang di Libya berakhir




    2011/10/21

    TENTERA NTC melihat terowong yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Gaddafi sebelum  dibunuh.
    TENTERA NTC melihat terowong yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Gaddafi sebelum dibunuh.
    Muammar Gaddafi terbunuh dalam serangan tentera NTC

    SIRTE: Bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi, terbunuh ketika pejuang menggempur bandar kelahiran dan kubu terakhirnya di sini semalam, sekali gus menamatkan pemberontakan selama lapan bulan bagi menumbangkan pemerintahan beliau.

    Berita lanjut dapatkan akhbar Berita Harian hari ini.
    Berita Harian Online | Perang di Libya berakhir:

    'via Blog this'

    Kecuaian sebabkan Jackson mati


    LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pakar bius memberi keterangan bahawa kecuaian dan pelanggaran standard penggunaan ubat bius kuat, propofol oleh doktor peribadi Michael Jackson, Conrad Murray membawa kepada kematian penyanyi itu.

    Dalam keterangannya kepada panel juri kelmarin, pakar berkenaan, Dr. Steven Shafer berkata, kekurangan peralatan perubatan dan kegagalan Murray menyediakan nota serta rekod perubatan selain kegagalan hubungan doktor-pesakit menjadi faktor kematian Jackson.

    Menurutnya, Murray bertindak seperti seorang pekerja penyanyi berkenaan dan bukan secara profesional sebagai seorang doktor.

    Kata Shafer, pakar jantung itu sepatutnya menolak permintaan Jackson untuk menggunakan ubat bius propofol bagi membantunya tidur lena.

    Shafer menunjukkan cara penggunaan betul ubat propofol kepada barisan juri.

    Mereka turut menonton satu klip video mengenai langkah-langkah keselamatan yang gagal dilaksanakan oleh Murray semasa dia memberikan propofol kepada Jackson di sebuah banglo yang disewanya di sini.

    "Penggunaan ubat bius paling berbahaya apabila langkah-langkah keselamatan diabaikan," kata Shafer.

    "Dalam kes Jackson, tiada satu pun langkah keselamatan ini dilaksanakan," tambahnya.

    Murray didakwa kerana cuai memberikan propofol sehingga menyebabkan kematian penyanyi berkenaan pada 25 Jun 2009. - Agensi

    Kosmo! Online - Dunia:

    'via Blog this'