Pages

Thursday, June 4, 2015

Mark Zuckerberg ajak baca buku Ibnu Khaldun

Mark Zuckerberg ajak baca buku Ibnu Khaldun
Salinan paparan perkongsian Mark Zuckerberg di Facebook

KETUA Pegawai Eksekutif laman sosial popular Facebook mengajak pelayar laman sosial membaca buku hasil tulisan ilmuan Islam, Ibnu Khaldun.
 
Dalam sebuah perkongsian kelmarin, Mark Zuckerberg memberitahu beliau dalam proses membaca buku bertajuk Muqaddimah.
 
"Ia mengenai sejarah dunia yang ditulis oleh seorang ilmuan yang hidup pada zaman 1300-an.
 
"Ia memfokuskan bagaimana masyarakat dan budaya berkembang, termasuk kewujudan bandar-bandar, politik, perdagangan dan sains," kata Zuckerberg.
 
Perkongsian tersebut disambut baik oleh peminat dan pelayar laman Facebook, di mana pelayar beragama Islam memuji tindakan Zuckerberg memilih buku berkenaan.
 
"Buku Arab sentiasa pilihan yang bagus. Terima kasih kerana menggalakkan (untuk membaca)," kata Ahmad Soleh.
 
"Saya tidak kisah buku apa atau dari siapa. Asalkan ia menarik, saya akan membacanya! Dan buku hasil Ibnu Khaldun adalah sangat hebat!" kata Maryam.

Pesawat Hipersonik Mampu Terbang Dari New York Ke Los Angeles 30 Minit


Diterbitkan: Rabu, 3 Jun 2015 10:11 AM

TENTERA Udara Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa mereka berharap untuk mempunyai sebuah pesawat yang mampu merentasi beberapa negara dalam beberapa minit, menjelang 2023.
Portal MailOnline melaporkan beberapa ujian terhadap pelancar hipersonik telah dijalankan.
Terdahulu, pihak Tentera Udara AS hanya mengatakan bahawa ujian pesawat untuk peluru berpandu itu dapat dilakukan pada 2020.
Ketua Pakar Saintis Tentera Udara AS, Mica Endsley memberitahu Miliary.com bahawa Tentera Udara dan DARPA, yang merupakan entiti penyelidikan Pentagon di AS merancang untuk mempunyai sebuah pesawat udara hipersonik yang baharu dan ditambah baik menjelang 2023.
"Kelebihan hipersonik bukan sekadar ia sesuatu yang boleh pergi sangat laju tetapi ia boleh pergi dalam jarak yang sangat jauh dengan kelajuan itu.
"Sebagai contoh, hari ini untuk pergi ke New York ke Los Angeles mengambil masa lima jam penerbangan menggunakan pesawat komersial. Dengan aset senjata hipersonik, ia boleh melakukan perkara yang sama dalam tempoh 30 minit. Anda boleh pergi ke destinasi lebih jauh dengan kelajuan yang terbaik," katanya. 
Ujian itu merupakan yang keempat dan terakhir bagi penerbangan pelancar X-51A oleh Tentera Udara AS, yang melibatkan peruntukan AS$300 juta (RM1.1 bilion).
Dilaporkan, pesawat hipersonik boleh digunakan untuk mengangkut alat pengesan, kelengkapan atau persenjataan malah teknologi itu diharapkan boleh dijadikan sebagai pesawat penumpang. - MAILONLINE

Kaki pancing rakam gambar dengan ikan gergasi


STOCKHOLM 3 Jun – Seorang kaki pancing, bertindak terjun ke dalam sungai semata-mata mahu bergambar bersama seekor ikan gergasi yang berjaya ditangkap­nya, di perairan Kepulauan Lofoten di Norway, baru-baru ini.
Erik Axner sempat mengabadikan kenangan bersama ikan halibut yang ditangkapnya. AGENSI
Mail Online melaporkan, Erik Axner melakukan aksi itu selepas ikan halibut seberat 101 kilogram yang ditangkapnya tidak muat untuk dibawa naik ke dalam sampan.
Pemuda berusia 24 tahun tersebut terpaksa bertarung selama sejam sebelum berjaya membawa ikan yang mempunyai khasiat tinggi untuk penyakit asma itu ke permukaan air.
Berhasrat untuk mengabadikan pengalaman tersebut, Axner bertindak mengikat badannya de­ngan tali yang disangkut dengan bot sebelum terjun ke sungai dan bergambar dengan haiwan berkenaan.
“Selepas mengambil beberapa keping gambar, saya kembali ke bot dan melepaskan ikan tersebut ke habitat asalnya.
“Ini satu pengalaman manis kerana saya terpaksa bertarung selama lebih satu jam. Walaupun sangat memenatkan, saya berasa sangat puas hati,” kata Axner.
Ikan halibut sering menjadi menu masakan utama di kebanyakan restoran di negara ini, dengan setiap seekor halibut gergasi boleh dijual pada harga 6,000 pound (RM33,879).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kaki-pancing-rakam-gambar-dengan-ikan-gergasi-1.98895#sthash.DsgilRUN.dpuf

Wednesday, June 3, 2015

Lembah Nahanni simpan seribu satu misteri

Lembah Nahanni
Lembah Nahanni

LEMBAH Nahanni di Kanada atau sering disebut juga sebagai 'The Valley of Headless Men' adalah lembah yang terbentang seluas 416 kilometer di pergunungan Mackenzi.

Menurut laporan Mysterious Universe, ia mendapat reputasi sebagai salah satu lokasi paling menyeramkan di Amerika Utara kerana pengembara sering menemui bangkai haiwan tanpa kepala.

Malah, beberapa mayat tanpa kepala juga pernah ditemui kawasan tersebut antaranya adik-beradik Willie dan Frank Mcleod pada 1908.

Pada 1917, rangka milik pencari emas, Martin Jorgen telah ditemui dan dipercayai mati akibat dipenggal.

Apa pun, Lembah Nahanni kini berstatus taman negara dan menjadi antara lokasi tumpuan pelancong.

Ia dibuka pada 1972 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Kanada ketika itu, Pierre Elliot Trudeau. - Mysterious Universe


Info: 
 
- Lembah Nahanni tersenarai sebagai tapak warisan dunia Unesco 
 
- Penduduk tempatan sering dimomokkan dengan kisah makhluk misteri dikenali sebagai Naha yang menjaga emas di lembah tersebut.

Jonas Salk: Bapa Biophilosophy

Jonas Salk: Bapa Biophilosophy
Salk menjadi sainstis kerana ingin merawat manusia dan bukan pesakit tunggal.

“HASRAT saya ialah untuk ke sekolah perubatan dan menjadi seorang saintis perubatan. Saya tidak berniat menjadi doktor walaupun ketika di sekolah perubatan dan latihan industri, saya melakukan segalanya yang melayakkan diri menjadi doktor perubatan,” - Salk

Apabila tiba musim panas sekitar tahun 1950-an di Amerika, ia menjadi antara waktu paling menakutkan bagi kebanyakan ibu bapa kerana pada ketika inilah ribuan kanak-kanak dijangkiti penyakit polio.

Bagaimanapun, beban itu seolah-olah hilang apabila seorang saintis mencipta vaksin bagi penyakit tersebut setelah penyelidikan teliti selama bertahun lamanya.

Jonas Salk menjadi hero kesayangan ramai dalam sekelip mata apabila hasil ciptaannya iaitu polio vaksin diisytiharkan selamat dan berkesan oleh Universiti Michigan, Amerika Syarikat pada 12 April 1955.

Sebelum Salk mencipta vaksin, polio merupakan penyakit virus terburuk yang menjadi wabak dan membunuh ribuan kanak-kanak serta orang dewasa setiap tahun. Ia menjadi salah satu penyakit zaman kanak-kanak paling ditakuti.

Presiden Amerika Syarikat Franklin D. Roosevelt juga adalah salah seorang mangsa polio paling terkenal dalam sejarah.

Genap 10 tahun selepas kematian Roosevelt, keputusan positif hasil daripada banyak ujian vaksin Salk diumumkan, dan nyata ia disambut baik semua masyarakat di seluruh dunia.

Kehidupan awal

Jonas Edward Salk dilahirkan di New York City pada 28 Oktober 1914. Ibu bapanya Daniel dan Dora Salk adalah migran dari Poland yang tidak mendapat sebarang pendidikan formal di negara asal mereka.

Meskipun begitu, ibu bapanya tetap ingin melihat Salk dan dua lagi adiknya Herman dan Lee berjaya dengan menggalakkan mereka belajar bersungguh-sungguh.

Salk berjaya melanjutkan pengajian di City College of New York (CCNY), dalam jurusan undang-undang sebelum bertukar ke bidang sains perubatan dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kimia pada 1934.

Selepas CCNY, Salk menyambung pengajian di Universiti New York dan dijemput menghabiskan selama setahun dalam penyelidikan influenza. Dari situ, beliau mula bekerja dalam makmal sebelum menemui virus influenza jenis B sekitar tahun 1941.
 
Pembangunan vaksin

Pada 1947, Salk memutuskan untuk mencari sebuah institusi di mana beliau boleh memiliki makmalnya sendiri. Beliau kemudiannya didatangi Pengarah Penyelidikan di Yayasan Kebangsaan bagi Penyakit Polio yang menawarkannya mengambil bahagian dalam projek polio yayasan itu yang ditubuhkan Presiden Roosevelt.

Salk menerima tawaran itu dan melihat ia sebagai peluang membangunkan vaksin untuk polio. Sejak itu, beliau mengabdikan dirinya untuk pembangunan vaksin selama lapan tahun.

12 April 1955, kajiannya membuahkan hasil apabila Dr Thomas Francis Jr dari Universiti Michigan mengisytiharkan vaksin Salk selamat dan ia menjadi berita utama di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Salk enggan mempatenkan ciptaannya kerana beliau tidak mempunyai keinginan untuk mendapatkan keuntungan peribadi. Sebaliknya, beliau ingin melihat vaksinnya disebarkan seluas mungkin.
 
Penubuhan Institut Salk
 
Pada tahun 1963, Salk mengasaskan Institut Jonas Salk untuk Pengajian Biologi, sebuah pusat inovatif bagi penyelidikan perubatan dan saintifik di La Jolla, San Diego.

Salk percaya institusi tersebut akan membantu ahli sains baharu dan akan datang membangunkan kerjaya mereka.

Difahamkan, beliau terus menjalankan penyelidikan dan menerbitkan buku, termasuk beberapa buah ditulis dengan kerjasama anak lelakinya yang juga seorang saintis perubatan.
 
Kehidupan peribadi
 
Selepas tamat pengajian pada tahun 1939, Salk berkahwin dengan Donna Lindsay, pelajar sarjana di New York College of Social Work.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Peter, Darrell, dan Jonathan Salk.

Bagaimanapun, pada tahun 1970, mereka bercerai dan Salk berkahwin dengan Françoise Gilot, bekas pembantu pelukis terkenal Pablo Picasso.

Salk meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 23 Jun 1995 ketika berusia 80 tahun, di La Jolla, San Diego di California dan dikebumikan di Taman Peringatan El Camino.

Fenomena kilat tanpa henti di Catatumbo

Fenomena kilat tanpa henti di Catatumbo

SUNGAI Catatumbo di wilayah barat Venezuela adalah lokasi di mana kejadian petir atau kilat berlaku hampir setiap saat.

Menurut laporan stormhighway.co, berdasarkan statistik, kawasan itu mengalami 400,000 kali panahan petir dalam setahun.

Fenomena unik dan menggerunkan itu terjadi di muara sungai Catatumbo atau lebih tepat di danau Maracaibo.

Pelanggaran angin yang datang dari pergunungan Andes menyebabkan fenomena ini berlaku.

Ia disebabkan oleh nyahcas elektrik melalui gas terion, khususnya metana yang dicipta oleh penguraian bahan organik dalam paya.
 
Gas menjadi lebih ringan daripada udara dan naik ke awan, memberi tindak balas ribut sekali gus mencetuskan kejadian kilat.


Tahukah anda:

- Kilat muncul sebanyak 289 kali dalam tempoh sejam di sepanjang sungai Catatumbo.

- Pelaut dan penduduk tempatan menjadikan fenomena kilat di Catatumbo sebagai penunjuk arah sekiranya tersesat di lautan.

- Fenomena kilat Catatumbo pertama kali disebut dalam puisi La Dragontea oleh Lope de Vega pada tahun 1597.

Islam berkembang pesat di Britain

Islam berkembang pesat di Britain
Agama Islam dilaporkan berkembang lebih pesat di Britain sejak 2012.

LONDON - BRITAIN . Kajian terbaharu menunjukkan Islam berkembang lebih pesat di Britain berbanding agama lain di negara itu.
 
Keputusan tinjauan NatCen's British Social Attitudes mendapati Church of England kini berada di ambang kepupusan kerana telah kehilangan kira-kira dua juta pengikut sejak dua tahun lalu.
 
"Jumlah pengikut Anglican telah menurun daripada 21 kepada 17 peratus antara 2012 dan 2014 manakala jumlah orang Islam meningkat seramai hampir sejuta dalam tempoh sama, sekali gus menjadikan ia sebagai agama paling pesat berkembang di Britain.
 
"Kira-kira 4.7 peratus atau 2.4 juta penduduk London kini beragama Islam," menurut laporan The Independent.
 
Dalam satu kenyataan, Massoud Shadjareh dari Suruhanjaya Hak Asasi Islam di London memaklumkan statistik itu jelas menunjukkan Islam adalah agama paling pesat berkembang di seluruh dunia walaupun berdepan ancaman Islamophobia.
 
"Ramai orang tertarik dengan Islam kerana ia merangkumi seluruh aspek kehidupan," jelasnya. - Press TV

Umat Islam Denmark bakal puasa 21 jam


Umat Islam Denmark diramal perlu berpuasa selama 21 jam pada Ramadan
Umat Islam Denmark diramal perlu berpuasa selama 21 jam pada Ramadan akan datang, tempoh paling lama dalam sejarah. AGENSI
ABU DHABI 2 Jun – Umat Islam di Denmark bakal berdepan cabaran untuk mengerjakan ibadat puasa bulan Ramadan tahun ini kerana terpaksa berlapar selama 21 jam sehari, berpandukan peta terkini rakaman waktu puasa di seluruh dunia.
Selain itu, penduduk Islam di negara seperti Iceland, Sweden, dan Norway pula perlu berpuasa selama 20 jam.
Portal berita emirates247.com melaporkan, waktu berpuasa sepanjang bulan Ramadan tahun ini dijangka sebagai yang terpanjang dalam sejarah seperti dilapor seorang penyelidik di Planetarium Sharjah di negara ini.
Waktu berpuasa pada tahun ini secara purata dijangkakan selama 15 jam dan 15 minit yang merupakan tempoh paling lama sejak 32 tahun suria dan 33 tahun bulan, jelas seorang Penyelidik Astrologi dan Meteorologi serta Penyelia Am Plane-tarium, Ibrahim Al-Jarwan kepada akhbar Al-Roeya.
Katanya, setiap tahun, waktu berpuasa dijangkakan meningkat dari tahun sebelumnya sehingga bulan Ramadan pada 2018 apabila tempoh berpuasa akan menurun berperingkat-peringkat.
“Kadar suhu sepanjang bulan Ra-madan kali ini dijangka mencecah antara 42 dan 44 darjah Celsius, malah mungkin bertambah sehingga 50 darjah Celsius terutama di kawasan padang pasir,” katanya lagi.
Sementara itu, penduduk di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal berpuasa untuk tempoh masa secara purata selama 14 jam 51 minit dan jangka waktu berpuasa sepanjang bulan Ramadan kali ini dijang-ka berbeza-beza antara sesebuah negara berdasarkan kedudukan latitud dan longitud.
Berbanding Denmark, Argentina merupakan sebuah negara yang ber-puasa untuk tempoh masa yang paling singkat iaitu selama 9 jam 30 minit.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/umat-islam-denmark-bakal-puasa-21-jam-1.98564#sthash.Q9DmClDy.dpuf

Tuesday, June 2, 2015

Pinggan khas buat penggemar ambil gambar makanan

Pinggan khas buat penggemar ambil gambar makanan
Pinggan khas buat penggemar ambil gambar makanan.

BAGI mereka yang gemar mengambil gambar makanan, kini tidak perlu risau untuk mencari sudut terbaik untuk mendapatkan hasil gambar cantik kerana pinggan khas untuk membantu memudahkan tabiat anda telah dicipta. 
 
Sebuah restoran di Tel Aviv telah mengambil inisiatif untuk menghidangkan makanan di restoran mereka di atas pinggan khas yang direka supaya pelanggannya boleh mengambil gambar makanan tersebut terlebih dahulu.
 
Salah seorang pengasas restoran Restoran Catit and Carmel Winery,  Chef Meir Adoni Catit telah melancarkan sebuah projek, Foodography dengan kerjasama pereka seramik, Adi Nissani mencipta pinggan khas yang membolehkan pelanggan meletakkan telefon pintar mereka di posisi yang betul untuk mengambil gambar makanan.
 
Memetik laporan Haaretz, pelbagai rekaan dikeluarkan seperti pingggan berbentuk L dengan satu tempat khas di bahagian depan di mana pelanggan boleh meletakkan telefon pintar mereka untuk memudahkan proses mengambil gambar.

Sewa bapa untuk anak

Beijing: Seorang ibu tunggal di Shenzhen berjaya mendapatkan ‘ayah’ s untuk anaknya selepas mengiklan di Internet mencari ‘ayah sementara’ bagi menemani anaknya untuk aktiviti di sekolah pada Hari Kanak-Kanak.
Wanita bernama Huang itu berkata, dia bercerai dengan suaminya beberapa tahun lalu dan anak perempuannya, Xin Xin, tidak pernah menemui bapanya.
Xin Xin gelisah kerana sekolahnya menganjurkan beberapa aktiviti sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Antarabangsa semalam yang memerlukan kedua-dua ibu bapa hadir.
Berikutan itu, Huang memuat naik notis pada 30 Mei lalu mencari bapa sementara untuk anaknya.
Syarat ketat dikenakan termasuk mesti sudah berkahwin dan mempunyai kerja yang stabil.
“Tugasnya adalah untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah bersama anak saya.
“Saya membayarnya 500 yuan (RM298). Jika dia bersetuju dia boleh membawa Xin Xin bermain-main di taman permainan dan keluar makan bersamanya.
“Saya juga akan membiayai semua kos itu,” katanya.
Tidak lama selepas menyiarkan iklan itu, Huang dihubungi lima pemohon sebelum akhirnya memilih lelaki bernama Zhu sebagai bapa sementara untuk anaknya.
“Saya akan melayan Xin Xin seperti anak sendiri dan menghabiskan seharian bersamanya,” kata Zhu.
Tindakannya itu mendapat reaksi berbelah bahagi. Ada yang menganggapnya baik dan tidak kurang juga yang mengkritiknya.
Konsep ‘menyewa’ khidmat lelaki seumpama itu bukanlah sesuatu yang pelik di China.
Ada wanita bujang China sanggup membayar ribuan yuan semata-mata untuk mengupah lelaki pulang ke kampung sempena Tahun Baru China untuk mengelak disoal keluarga mereka mengenai jodoh.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 9:41 AM


GAMBAR hiasan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55109#sthash.uaEweTXB.dpuf

Gajah makan beg tangan

Bandipur (India): Sepasang suami isteri yang berhenti untuk merakam gambar seekor gajah dikejutkan dengan pengalaman lebih menakutkan selepas seekor gajah betina memasukkan belalainya ke dalam kereta mereka dan memakan beg tangan milik pelancong wanita itu.
Gajah itu menelan beg berkenaan dan seluruh isi di dalamnya termasuk buah, kad kredit, wang tunai dan barang kemas.
Kejadian berlaku di Taman Negara Bandipur di pantai barat India, kelmarin.
Menurut jurugambar Austin Cherupuzha yang merakam kejadian itu, pasangan berkenaan berhenti untuk melihat gajah betina dan anaknya.
Bagaimanapun, gajah itu menghampiri kereta mereka selepas pasangan itu mula mengambil gambar, memaksa kedua-duanya keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.
Menurut wanita itu, gajah berkenaan mungkin kelaparan dan berminat dengan buah yang berada di dalam begnya.
Pakar veterinar, Dr Arun A Sha berkata, gajah itu pasti berdepan dengan masalah kesihatan yang membawa kepada pendarahan dalaman selepas memakan beg itu.
Kejadian berlaku walaupun pelawat ke taman itu diberi amaran supaya tidak berhenti untuk merakam gambar. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:11 AM


GAJAH berkenaan menelan beg tangan dan keseluruhan isi di dalamnya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54651#sthash.QfTVYvrd.dpuf

Lagi iklan beli rumah dapat isteri

Jakarta: Selepas seorang janda anak dua, Wina Lia membuat iklan jual rumah dapat berkahwin dengan tuan rumah, kini seorang lagi janda anak satu turut membuat iklan serupa.
Indira Astarisa, 37, membuat iklan untuk menjual rumahnya di Malang di sini, dan bersedia untuk berkahwin dengan dengan lelaki yang membeli rumahnya itu.
Janda anak satu dan bekas model itu membuat iklan untuk menjual rumahnya dengan harga Rp1.7 bilion (RM471,628).
“Saya merancang menjual rumah, tetapi sekiranya ada pembeli yang sesuai saya tidak kisah untuk berkahwin dengannya.
“Saya mempunyai seorang anak lelaki dan sudah 15 tahun menjanda,” katanya.
Sejak berpisah dengan suaminya Indira membesarkan anaknya dengan menjadi model sambilan dan berniaga pakaian dan makanan.
“Saya mahu menjual rumah ini kerana mahu dijadikan modal untuk mengembangkan perniagaan selain membiaya pengajian anak saya,” ujarnya.
Kata Indira, sejak iklan itu dibuat pada minggu lalu dia dihujani banyak panggilan telefon yang bertanya mengenai rumahnya, termasuk pembeli dari luar negara.
“Ramai yang menelefon, termasuk lelaki dari Singapura yang bertanya mengenai rumah ini dan juga tentang diri saya,” jelasnya.
Menurutnya, ada seorang pembeli yang menawarkan harga Rp1.6 bilion (RM443,885) untuk membeli rumah itu, tetapi dia belum memberi kata putus.
Sebelum ini, Wina Lia, 40, menjadi popular di Internet selepas membuat iklan jual rumah dapat tuan rumah.
Bagaimanapun, sehingga kini Wina Lia masih belum dapat menjual rumahnya di Sleman, Yogyakarta itu atau mencari calon suami.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 9:17 AM


Indira
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54847#sthash.60Ec1O5c.dpuf

Gaun pengantin tema 'Puteri Disney' cetus sensasi


KOLEKSI terbaru gaun pengantin rekaan syarikat Alfred Angelo diinspirasikan daripada watak dongeng termasuk Puteri Elsa dari kisah Frozen. - AGENSI


FLORIDA – Sebuah syarikat pengantin di Amerika Syarikat (ASS) baru-baru ini melancarkan koleksi terbaru gaun pengantin yang diinspirasi daripada watak heroin dalam filem animasi terbitan Walt Disney.

GAUN pengantin ini diilhamkan daripada watak Cinderella.- AGENSI


Syarikat tersebut, Alfred Angelo memperkenalkan koleksi Disney Fairy Tale Weddings 2015 dengan busana yang diilhamkan daripada sembilan karektor puteri kisah dongeng termasuk gaun Puteri Elsa dalam animasi muzikal, Frozen.
Jenama baru tersebut bertujuan memberi peluang kepada pengantin yang mahu kelihatan seperti watak fantasi kegemaran mereka tanpa perlu memakai sesuatu rekaan yang diambil secara terus daripada filem animasi.

GAUN hijau ini diilhamkan daripada kisah Little Mermaid dan telah direka seakan seekor ikan duyung.- AGENSI


Antara gaun yang dijangka popular termasuk gaun Aurora, Belle, Jasmine dan Tiana masing-masing daripada filem Sleeping Beauty, Beauty and the Beast serta Aladdin.
Koleksi itu mencetus sensasi di media sosial dengan ramai peminat Disney memuji dan memilih gaun kesukaan mereka di laman Twitter dan Instagram.
"Saya suka semua watak Disney dan pakaian ini sesuai untuk saya. Saya lebih gemarkan gaun Cinderella," ujar seorang pengguna internet.
- AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0601&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3bqpBG1N8 
Hakcipta terpelihara 

Monday, June 1, 2015

Ibu tertua susukan anak enam tahun


Maha Al Musa menyifatkan tindakannya menyusukan anaknya, Amina

Maha Al Musa menyifatkan tindakannya menyusukan anaknya, Amina Al Musa pada usia enam tahun sebagai perkara semula jadi yang sempurna walaupun dia sudah berusia 52 tahun. AGENSI
SYDNEY 31 Mei – Seorang ibu di Australia mencuri perhatian media apabila disebut-sebut sebagai wanita tertua di dunia yang masih menyusukan anak perempuannya yang sudah berusia enam tahun.
Pada usia 52 tahun, Maha Al Musa tidak berasa kekok untuk memberi susu badan kepada anaknya, Amina pada setiap hari walaupun tindakannya itu turut mencetuskan kritikan daripada segelintir pihak yang beranggapan amalan memberikan susu badan selepas bayi mencecah usia setahun sebagai tidak praktikal.
Tetapi, Maha menepis kritikan tersebut dengan berkata, susu badan boleh mengawal kadar gula dalam darah kanak-kanak termasuk kelakuan mereka.
Sebagai contoh, wanita yang kini menetap di pekan Byron Bay itu berkata, anak yang suka mengamuk boleh ditenangkan jika ibu memberi susu badan kepada mereka.
“Kira-kira dua tahun lalu ketika usia saya 50 tahun dan Amina empat tahun setengah, saya pernah menghantar susu badan kepada jabatan biokimia di Universiti Western Australia yang melakukan kajian terhadap susu manusia.
“Kajian tersebut merupakan kali pertama dilakukan kepada wanita yang sudah berusia lebih 50 tahun dan saya difahamkan bahawa susu badan saya masih mempunyai khasiat untuk bayi,” katanya seperti laporan portal Oddity Central.
Maha menyifatkan tindakannya menyusukan Amina sebagai ‘perkara semula jadi yang sempurna walaupun dilakukan di tempat awam.
Bagi Amina, dia menikmati susu badan ibunya buat masa ini dan akan terus berbuat demikian sekurang-kurangnya dua tahun lagi.
“Minum susu badan merupakan perkara paling digemari saya pada waktu cuti sekolah.
“Kadang-kala susu ibu terasa manis dan saya rasa ramai kanak-kanak perlu mengikut jejak saya kerana banyak kebaikan yang boleh kita peroleh,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ibu-tertua-susukan-anak-enam-tahun-1.97772#sthash.wJgzXH1z.dpuf

Saturday, May 30, 2015

Suamiku wanita


Agensi
Maros (Indonesia): Seorang isteri terkejut dan membuat laporan polis selepas mendapati suaminya yang dikahwini selama dua tahun sebenarnya wanita.
Nurhayati, 24, membuat laporan polis kerana berasa tertipu selepas ‘suaminya’ yang dikenali sebagai Iwan, 39, sebenarnya perempuan.
Ketua jabatan jenayah polis Maros di Sulawesi Selatan, Yusrizal berkata, identiti ‘suami’ wanita itu terbongkar pada Rabu lalu selepas keluarga kedua-dua belah pihak bertemu.
Katanya, Iwan atau nama sebenarnya Juma pergi ke rumah Nurhayati di sini dengan membawa surat keterangan pernikahan.
“Juma memberitahu keluarga Nurhayati bahawa mereka sudah bernikah pada September 2013 dan perkara itu menyebabkan keluarga wanita itu berang.
“Pertengkaran yang tercetus menyebabkan Juma akhirnya mengaku dia sebenarnya wanita,” katanya.
Nurhayati yang terkejut dengan pengakuan ‘suaminya’ itu bertindak membuat laporan polis dan mendakwa Juma menipu serta memburukkan nama baik keluarganya.
“Juma turut membuat laporan polis mendakwa keluarga Nurhayati cuba menyerangnya.
“Kami menahan Juma untuk soal siasat dan pemeriksaan doktor mengesahkan suspek wanita,” katanya.
Nurhayati memberitahu dia tidak mengetahui ‘suaminya’ wanita kerana sepanjang tempoh perkahwinan mereka tidak pernah melakukan seks.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54375#sthash.KtbziR1r.dpuf

Hampir Sejuta 'Mangga Cinta' Akan Ditanggal Dari Jambatan Di Paris


Diterbitkan: Sabtu, 30 Mei 2015 7:48 AM

PIHAK berkuasa bandar raya Paris akan memulakan tugas untuk menanggalkan hampir sejuta 'mangga cinta' di jambatan Pont de Arts pada Isnin ini.
Portal Mirror melaporkan bahawa walaupun Paris begitu terkenal sebagai kota cinta tetapi pihak berkuasa mahu menghapuskan salah satu tradisi bersifat romantik itu.
Ibu negara Perancis itu menerima kunjungan beribu-ribu pasangan setiap tahun yang mahu merasai percutian romantik.
Dan salah satu tradisi buat pasangan yang bercinta ini ialah mengunci mangga di jambatan Pont de Arts di Sungai Seine sebagai tanda kasih mereka.
Arahan untuk menanggalkan 'mangga cinta' itu dikeluarkan selepas salah satu bahagian di jambatan yang terkenal itu mengalami kerosakan yang dikatakan berpunca daripada berat bagi menampung kesemua mangga kunci itu.
Pada awalnya, pihak berkuasa Paris mempunyai idea untuk mengeluarkan larangan 'mangga cinta' dan mengenakan denda kepada sesiapa yang melanggar peraturan itu.
Bagaimanapun timbalan Datuk Bandar Paris, Bruno Julliard menyifatkan idea itu sukar untuk ditangani.
Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya pengunjung menunjukkan perasaan kasih sayang mereka dengan mengikat riben di jambatan itu sebagai alternatif.
Bagimanapun, gril logam di jambatan Pont de Arts akan dicat dan dipasangkan panel bagi mengelakkan orang ramai mengunci mangga.
Julliar yang bercakap kepada BBC: "Kita mahu Paris kekal sebagai kota cinta dan romantik."
Selain Pont de Arts di Paris, Jambatan Venice dan Brooklyn di New York turut menarik perhatian pengunjung untuk membuat 'mangga cinta'. - MIRROR

Gadis Trichotillomania suka tarik rambut sendiri

Rhiannon Walker
Rhiannon Walker

QUEENSLAND - AUSTRALIA. Seorang gadis berumur 16 tahun yang menghidap penyakit Trichotillomania tidak mampu menahan dirinya dari menarik rambutnya sendiri.

Menurut Dailymail Australia, Rhiannon Walker akan menarik rambutnya dalam kuantiti yang banyak yang menyebabkan kulit kepalanya kemerahan dan lebam.

"Ia membuatkan rasa serba-salah dan malu. Ianya bukan sesuatu yang saya mahu lakukan.

"Sebelum diperiksa doktor, saya tak tahu mengapa saya berbuat sedemikian," katanya dalam sebuah temuramah.

Diagnosis penyakit tersebut menyebut gadis tersebut 'bimbang' dan merasakan sesuatu tidak kena pada rambutnya, dan tidak sedar beliau akan mencabut dalam kuantiti banyak.

"Pada mulanya, ianya sangat menyakitkan. Jika saya tarik rambut di lokasi sama, saya rasa seperti ditumbuk di kepala," kata Walker.

Difahamkan, penyakit Trichotillomania hanya dihidap oleh dua peratus populasi dunia dan penghidap akan mencabut rambut, bulu mata dan bulu kening tanpa sedar.

Penghidap Trichotillomania juga tidak mampu menerangkan mengapa mereka menyakiti diri mereka sendiri.

"Saya rasa tenang selepas saya mencukur kepala saya hingga botak. Saya sudah tidak tarik rambut selama dua minggu," jelas gadis tersebut.

Rambut palsu kini sudah menjadi keperluan wajib dalam hidup Walker.

"Tak ramai yang tahu anak saya memakai rambut palsu. Ia adalah satu penyakit dan kadangkala orang akan memberi tanggapan buruk.

"Saya harap orang ramai faham perkara ini dan cuba bantu anak saya," kata ibunya, Nikki Walker.

Penyakit tersebut juga menyebabkan Walker gagal menyiapkan kerja sekolahnya kerana tangannya sentiasa berada di kepala.

"Beliau tak mampu meletakkan tangannya ke bawah. Bunyi seperti kelakar tapi baginya, ia sesuatu yang teruk," katanya lagi.

Bayi selamatkan ibu koma


Holli CHEUNG pulih daripada koma selepas bayi lelakinya, Jordan,

HOLLI CHEUNG pulih daripada koma selepas bayi lelakinya, Jordan, dibiarkan tidur di sampingnya selama dua jam. AGENSI
BIRMINGHAM 28 Mei - Hospital Queen di Birmingham gempar apabila seorang ibu yang koma, kembali pulih selepas bayi lelakinya yang berusia tiga bulan, dibiarkan tidur di sampingnya selama dua jam.
Para doktor di hospital itu masih lagi terkejut kerana pada jangkaan mereka, Holli Cheung, 36, sukar untuk hidup setelah mengalami serangan jantung kali kedua pada Januari lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Namun keajaiban berlaku apabila suami Cheung, Jason, meletakkan anak mereka, Jordan yang baru dilahirkan tiga bulan lepas di sisi isterinya sebelum jantungnya bergedup kembali.
Menurut Cheung, Jordan telah menyelamatkan dirinya yang putus harapan untuk terus hidup.
Ibu itu mengalami jangkitan virus pada otot jantung yang menyebabkan organnya gagal berfungsi.
“Saya seolah-olah boleh men­dengar Jordan memberi semangat kepada saya untuk terus hidup. Saya tidak tahu Jordan berada di samping saya sehingga membuka mata, namun saya dapat merasakan kehadirannya.
“Sejak saya masuk hospital, sudah hampir 10 hari saya tidak melihat bayi lelaki saya kerana berada dalam keadaan koma, namun selepas Jordan baring di atas dada saya, jantung saya secara perlahan-lahan menjadi kuat. Saya sangat rindukan anak saya,” katanya kepada Daily Mirror.
Cheung yang aktif bersukan kini pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan itu dan kembali aktif menyertai maraton.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bayi-selamatkan-ibu-koma-1.97040#sthash.kJicrxJ5.dpuf

Wanita berpeluang ‘bertemu’ adik yang sudah meninggal



WASHINGTON 29 Mei – Selepas tiga tahun, seorang wanita Amerika Syarikat (AS) akhirnya berpeluang bersemuka dengan lelaki yang menerima wajah adik lelakinya yang meninggal dunia akibat satu kemalangan jalan raya.
Rebekah Aversano dipertemukan dengan Richard Norris dalam satu rancangan televisyen 60 Minutes yang akan disiarkan pada Ahad ini, lapor Sydney Morning Herald.
Aversano masih dapat merasai ‘kewujudan’ adiknya pada diri Norris yang menerima wajah Joshua yang meninggal dunia ketika dia baru berumur 21 tahun.
“Adakah anda tak kisah sekiranya saya menyentuhnya (muka Norris),’’ tanya Aversano kepada Norris.
“Tidak, tidak sama sekali,’’ kata Norris membalas pertanyaan Aversano.
Selepas menyentuh wajah Norris, Aversano berkata: “Ini adalah wajah yang membesar bersama saya (merujuk kepada adiknya yang sudah meninggal dunia),’’ katanya.
Norris memiliki wajah Joshua selepas keluarganya memberi kebenaran kepada Norris untuk menjalani pembedahan pemindahan wajah itu pada 2012.
Pembedahan pemindahan wajah yang dijalani Norris adalah yang pertama seumpamanya di dunia yang pernah dilakukan dengan peluang untuk hidup hanya kira-kira 50 peratus.
Pembedahan itu berlangsung selama 36 jam melibatkan seramai 150 orang doktor dan jururawat di Pusat Perubatan Universiti Maryland.
Norris yang wajahnya cacat selepas terkena tembakan pada 1997 dipilih sebagai calon untuk menjalani pembedahan itu selepas bertemu dengan Eduardo Rodriguez, seorang doktor gigi dan bedah di Pusat Perubatan Universiti Maryland pada 2005.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wanita-berpeluang-8216-bertemu-8217-adik-yang-sudah-meninggal-1.97249#sthash.70e7lJZn.dpuf