Pages

Saturday, October 23, 2010

Durian Tembaga dan...



Oleh A Rahman CM

2010/07/24

JUNID memandang pokok durian tembaga dalam kebun buah-buahannya itu dengan senyum panjang. Pokok itu sudah sampai lebih separuh abad usianya, tetapi ia kelihatan masih utuh, masih tegap, masih subur, masih mampan. Junid mendongak. Senyumnya menjadi lebar pula apabila dia terpandang akan buah durian tembaga itu yang lebat. 

Lalu Junid menebas semak-semak kecil di keliling pokok durian tembaga itu supaya nanti apabila buah durian tembaga itu gugur, senang memungutnya. Dia fikir tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan matang. Apabila matang ia akan jatuh. Junid tahu tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan masak. Apabila masak ia akan gugur.
Beberapa hari juga Junid menebas semak-semak kecil itu. Sambil menebas, dia memerhati kalau-kalau ada makhluk perosak buah-buahan datang untuk merosakkan buah durian tembaganya itu. Untuk menjaga buah durian tembaganya itu dari dirosakkan, Junid tidak punya belas kasihan terhadap makhluk-makhluk perosak itu.
Click Here
Monyet muncul, monyet ditembaknya. 

Tupai datang, tupai ditembaknya. 

Kera tiba, kera ditembaknya. 

Lalu terbayang dalam mata khayalnya akan kegiatan hidupnya apabila buah-buah durian tembaga itu matang. Junid akan menunggu siang dan malam di kebun buah-buahannya itu untuk memungut buah yang gugur. Tergambar juga wajah Tuk Ku, ketua kampungnya. Junid nampak senyum kerepot Tuk Ku apabila dia menyerahkan sebiji durian tembaga kepadanya. Suka amat Tuk Ku dapat makan isi durian tembaga. 
Aku hanya makan durian ini dari kebun kamu Junid. 

Terima kasih kerana Tuk Ku sudi. 

Aku yang patut berterima kasih. 

Junid nampak dia senyum. Dia nampak isi durian tembaganya yang kuning seperti tembaga yang baru digilap. Isinya yang sebesar pergelangan lengan itu tebal. Sementara biji di dalamnya sebesar jari kelingking. Baunya harum. Apabila isinya digigit dan menjamah lidah ia terasa lemak-lemak manis. 

Junid bersandar pada dinding bangsal yang sedia dalam kebunnya itu. Dia memandang ke hadapan. Burung-burung berkicau merata. Rama-rama terbang lambat-lambat dari pokok ke pokok senduduk di luar kebun Junid. Tinggi di awan, berlegar-legar helang kepala putih mengintai-ngintai mangsanya di bawah. 

Junid memandang pada puncak durian tembaganya. Di situ sebiji buah durian yang agak besar seperti terlalu kukuh pada dahan. Sementara pada dahan-dahan lain di bawah, buah-buah duriannya bergantungan menunggu matang untuk gugur. Durian-durian yang gugur ketika matang menyenangkan Junid. 

Anak-anak dan cucunya akan pulang dari bandar untuk menikmati durian tembaganya. Selepas anak-anak dan cucu-cucunya puas menikmati isi durian tembagnya itu, baharulah Junid menjualnya kepada mereka yang ingin membelinya. Biasanya, ramai pelanggan datang ke kebunnya untuk membeli buah durian tembaganya itu. 

Kecuali yang datang hendakkan durian tembaganya itu memberi alasan bahawa isterinya mengidam, maka Junid tidak punya alasan. Lalu Junid menghadiahkan kepadanya sebiji. Dia tidak jual. Junid tahu, perempuan yang mengidam bukan sekadar perempuan itu yang inginkan isi durian tembaganya itu, malah anak dalam kandungannya juga inginkan isi durian tembaga itu. 

Lalu Junid, sebagai manusia matang, lelaki yang tergolong dalam usia emas, amat memahami isi hati dan kalbu perempuan yang mengidam. Maka tidak elok baginya meletakkan harga durian tembaganya kepada perempuan yang mengidam. 

Mata Junid kemudian nampak sekujur badan isterinya memasuki kawasan kebun buah-buahannya itu. Di tangan isterinya itu ada mangkuk tingkat. Dia lalu memandang pada langkah isterinya yang juga seusia dengannya. 

“Puas saya tunggu, awak tak balik,” kata Janah isteri Junid. 

Junid senyum. 

“Dah gugur buah tu?”. Tanya Janah sambil memandang pada pokok durian tembaga kesayangan suaminya. 

Junid sadin. 

“Hohhhhh! Saya ingat dah gugur.” 

“Tak apalah. Saya tunggu kalau ada tupai datang.” 

“Tupai keliling kebun awak ni, nampak awak saja dah melompat lari.” 

“Saya bimbangkan kera.” 

“Hammm! Yalah.” 

“Awak bukan tak tahu perangai kera hutan tu. Ia bukan makan sebiji, tapi melurut putik-putik durian tu. Khianatnya yang lebih,” kata Junid. 

“Perangai kera.” 

Mata Junid pada mangkuk tingkat yang dibawa oleh isterinya. 

Janah senyum melihat itu. 

“Baru terasa lapar?” Tanya Janah. 

Junid sengih. 

Janah lalu membuka mangkuk tingkat. Ada mangkuk nasi. Pada mangkuk lain ada gulai kuning garaman ikan tenggiri. Ada pula ulam dan sambal pada mangkuk yang lain. Dua biji mangkuk kosong Janah letakkan sebiji di hadapan suaminya dan sebiji di hadapannya. Janah lalu mengisi nasi ke dalam mangkuk kosong itu. 

Mereka mula menikmati makan tengah hari. Angin kering waktu tengah hari menyaman badan mereka. Ia menyegarkan dalam suasana kehijauan pokok dalam kebun buah-buahan itu. 

Pagi itu setelah selesai solat Subuh Junid sendirian ke dalam kebun buah-buahannya. Dengan senapang di bahu dia mendongak pada pokok durian tembaganya. Hidungnya kemudian terhidu bau. Lalu Junid mencari-cari bau itu. Dia mengelilingi kawasan pokok durian tembaganya itu. Kalbu Junid kegembiraan. Bibirnya segera mengukir senyum. Sebiji durian tembaga terbaring di hadapannya. Junid segera mencapainya. Dia lalu membawa buah durian tembaga itu ke bangsal rehatnya. 

Suasana pagi menyegarkan seluruh makhluk Allah di keliling kawasan kebun buah-buahan Junid. Burung-burung berterbangan, berkicau sambil mencari makan. Tidak terkecuali tupai. Dari kawasan luar kebun Junid, beberapa ekor tupai seperti kegembiraan melompat-lompat arah ke pokok durian tembaga Junid. 

Mata Junid segera menangkap lompatan-lompatan tupai itu. Junid segera mencapai senapang lalu meluru ke arah pokok petai yang menjadi tempat singgah tupai-tupai itu sebelum melompat ke pokok durian tembaga. Junid lalu melepaskan tembakan apabila matanya pada seekor tupai di atas pokok petai. Ia jatuh ke bumi. Beberapa ekor yang lain bercemera melompat-lompat melarikan diri. Ada pula yang menuruni batang petai lalu ke bawah. Tupai itu seperti faham bahawa Junid tidak akan menembak pada paras dada di bawah kerana bimbangkan peluru tersasar kepada orang-orang di luar kebun Junid. 

Sepi buat seketika. 

Junid balik pada bangsal. Dia pandang buah durian tembaga itu. Lama. Dia senyum. Kemudian Junid menoleh pada puncak durian tembaganya. Buah yang sebiji di puncak masih utuh di situ. 

Angin pagi yang lembut menyamankan Junid. Tiba-tiba telinganya terdengar bunyi durian gugur. Segera Junid ke pokok durian tembaganya. Dia capai durian itu sambil mendongak ke atas. Durian sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Junid membawa buah durian itu ke bangsal. Dia kemudian turun semula mengelilingi kebunnya lalu melepaskan beberapa das tembakan ke udara. Tembakan itu sebagai amaran kepada makhluk Allah yang berniat hendak merosakkan durian tembaganya. 

Junid pulang dengan membawa dua biji durian tembaganya. Durian itu akan dicekah di hadapan isterinya Janah. Dia tidak pernah makan durian tembaga itu sendirian di kebun sebelum Janah isterinya menikmati durian itu. 

“Dah gugur? ” Tanya Janah. 

“Rezeki awak,” kata Junid sambil mencekah buah durian tembaga itu. Terbuka sahaja kulitnya, nampak isi durian tembaga yang kuning serta harum. Junid menghulurkan kepada Janah. 

Dengan senyum Janah mencapai seulas. 

Junid juga mencapai seulas. 

“Saya nak ke kebun lepas ni. Tak balik hari ini,” kata Junid. 

“Saya faham. Tak apa. Saya akan bawa nasi nanti.” 

Junid dan Janah terus menikmati isi durian tembaga itu. Paksa akhir dicekah oleh Junid. Dia nampak isi durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana sudikan saya.’ 

“Petang nanti awak telefon anak-anak kita tu, “ kata Junid. 

Janah memandang wajah suaminya dengan mata berkaca. 

Pada hari ketiga durian tembaga itu gugur, tengah hari ketika Junid berehat di bangsal dengan beberapa biji durian tembaganya terbaring di atas lantai, muncul Kipli anak sulungnya bersama isteri dan tiga orang anaknya. Diikuti di belakangnya Zaleha dengan suami serta dua orang anaknya. Janah mendukung anak kecil Kipli. 

Junid kesukaan lalu mencekah durian tembaga itu untuk dinikmati oleh anak dan cucunya. 

“Buah di puncak tu besar, abah, kenapa belum gugur?” Tanya Kipli. 

Junid sengih pada wajah Kipli. 

“Patut buah di puncak tu gugur dulu. Dah terlalu besar tu. Tentu dah masak,” kata Kipli lagi. 

Junid memandang wajah Kipli. 

Kemudian kedengaran bunyi durian gugur. Sazali anak sulung Kipli meluru dengan adiknya Amran untuk mendapatkan durian itu. Sazali mendahului Amran. Belum sempat keduanya sampai di bangsal, kedengaran pula durian jatuh. Amran meluru. Dia capai durian itu. Mereka lalu menikmati isi durian tembaga itu. Tergambar rasa suka pada wajah mereka. Tergambar ras riang dan syukur pada wajah mereka. 
Durian gugur lagi. 

Kipli pula yang datang mengambil buah durian itu. 

“Eh! Tak gugur juga yang di puncak tu abah. Apa cerita? “Tanya Kipli sambil mendongak pada buah durian sebiji di puncak yang baginya terlalu besar itu. 
Junid sengih pada wajah anaknya. 

“Li bimbang, ia terlalu masak abah. Nanti kalau gugur melepuk menyek jadi tempoyak masam. Tak boleh dimakan,” kata Kipli. 

“Harap-harap taklah begitu, Li,” kata Junid. 

Durian gugur lagi. Buah-buah yang pada julai di bawah terus jatuh berganti-ganti, tetapi buah sebiji di puncak tidak juga gugur. Hairan juga Junid. Apakah buah sebiji di puncak itu mesti dikait? Tidak ada galah yang mampu mencapainya di puncak pokok itu. 

Keluarga Junid terus menikmati isi durian tembaga itu. Isi-isi yang dicekah seolah-olah berkata, ‘terima kasih kerana anggap kami masih berharga.’ 
Petang itu tinggal Kipli dalam kebun durian itu. Junid ke rumah Tuk Ku membawa sebiji durian untuk dihadiahkan kepada Tuk Ku. Dan ketika buah durian tembaga itu diserahkan kepada Tuk Ku, Junid merenung buah durian tembaganya itu. Dia nampak durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana anggap saya masih bernilai.’ 

Anak dan cucu-cucu Junid sudah pulang ke rumah mereka di bandar. Tinggal Junid dengan Janah menunggu durian tembaga itu. Waktu siang, Junid sendirian di kebun itu. Tetapi apabila malam, Janah menemaninya tidur di bangsal itu. Dan buah-buah duriannya terus gugur, tetapi buah sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Buah-buah pada dahan lain di bawahnya sudah tinggal hanya beberapa biji sahaja lagi. Tetapi buah sebiji di puncak itu masih juga utuh pada dahannya. Ia seperti tidak mahu gugur. Ketika angin meniup agak kencang banyak durian tembaga Junid gugur, tetapi buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh. 

Junid diterjah rasa hairan. Dia rasa buah di puncak itu sudah terlebih matangnya. 

Junid merasa buah durian tembaganya di puncak itu sudah terlalu masak. 

“Awak tembaklah,” kata Janah beri cadangan. 

“Mana boleh tembak. Pecah durian tu nanti. “ 

“Pakai lastik.” 

“Tak sampai.” 

“Habis, apa ikhtiar awak nak paksa durian tu gugur?” Mata Janah pada wajah suaminya Junid. 

“Mana boleh paksa-paksa. Sejak datuk nenek kita, mana ada kita paksa durian gugur?”. 

“Habis nanti, kalau gugur jadi tempoyak masam, nak buat apa?” 

“Apa daya saya,” kata Junid. Matanya lalu memandang buah durian sebiji di puncak pokok durian tembaganya itu. 

Buah-buah durian tembaga Junid sudah gugur semuanya kecuali yang sebiji pada puncak pokok itu sahaja yang belum gugur. Banyak juga Junid dapat wang hasil jualan buah durian tembaganya itu. Hairan Junid tidak terkira. Tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menjatuhkan buah durian sebiji di puncak pokok itu. 

Dan Junid, sifat sayangnya pada buah durian itu memaksa dia terus-terusan menunggu, memaksa dia menanti siang dan malam untuk mengambil buah itu apabila gugur. Junid siap dengan senapangnya yang sentiasa sedia dengan peluru di dalam larasnya menunggu buah durian sebiji itu. 

Waktu petang angin kencang. Buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur. 
Junid tetap menunggu. 

Waktu malam angin kuat melanda. Buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh. 
Junid tetap patuh menanti. 

Angin sejuk waktu pagi. Durian sebiji di puncak itu tidak juga gugur. 
Junid tetap setia menunggu. 

Malah ketika angin gemuruh waktu tengah hari, durian itu tidak juga gugur. 
Junid tetap taat menanti. 

Apabila beberapa hari menunggu, buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur, Junid mula merasa puas menunggu. Mula timbul rasa meluat dalam kalbu Junid. Lalu petang itu dia melangkah longlai keluar dari kebunnya dengan niat tidak mahu lagi datang menunggu buah durian sebiji itu. Senapangnya sedia di bahu. Ketika dia sampai di pintu pagar, tiba-tiba kedengaran bunyi benda jatuh pada umbi pokok durian tembaganya. Junid segera ke tempat itu. 

Junid sengih melihat buah durian yang berkecai. Bau masamnya menerawang kawasan keliling. Biji-bijinya sebesar kelingking merata. Sementara isinya seperti muntah kucing di atas rumput. Junid menggeleng-gelengkan kepalanya. 

Kenapa kamu baru gugur? 

Tidak ada harganya lagi. 

Aku, jangan nak makan, nak sentuh pun tak larat. 

Bau masam kamu menyesak hidung. 

Kasihan. 

Kalau kamu gugur dulu, aku akan simpan dalam almari kaca, tanda hormat aku pada kamu. Tetapi sekarang, tengok, jangankan tupai, lalat angau pun tidak datang menjenguk kamu. 

Junid menggeleng-gelengkan kepalanya melihat isi durian tembaganya yang ditunggu-tunggu selama ini gugur menjadi tempoyak masam. 

Inilah akibatnya kalau terlalu lama berada di puncak. Walaupun kamu amat tinggi nilainya, tetapi jatuh begini, menjadi tempoyak masam yang tidak punya harga apa-apa. 

Junid terus menggeleng-gelengkan kepalanya. 

INFO: Penulis 
NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat, mula menulis awal 1960- an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.

Sebatang Pen



Oleh A Rahman CM

2010/10/16

SESIAPA sahaja yang berhajat hendak menunaikan fardu haji, mesti membersihkan dirinya terlebih dulu. Maksud membersihkan diri itu merangkumi beberapa perkara yang membabitkan dirinya dengan Allah juga yang membabitkan dirinya dengan manusia lain. 

Napi mengingati frasa itu di meja kerjanya. Frasa itu lahir dari mulut Ustaz Zuki di masjid tempat selalu Napi solat berjemaah lima waktu. Di hadapan Napi sebatang pen yang sudah berusia tiga puluh tahun lebih. Tetapi pen itu sudah tidak digunakan lagi. Alat mengepam dakwatnya sudah rosak. Lalu pen itu hanya terbaring di atas meja kerja di rumahnya. Pen itu kadang-kadang mengusik jiwanya. Pen itu kadang-kadang menyentuh kalbunya.
Perkara yang membabitkan diri seseorang dengan Allah ialah melangsaikan segala arahan dan suruhan Allah. Napi faham maksudnya, iaitu kalau melakukan dosa, baik besar mahupun kecil hendaklah bertaubat. Istighfar banyak-banyak dengan menanam azam tidak akan melakukan dosa itu lagi. Wang yang hendak dibawa ke Makkah mestilah bersih. Maksudnya ialah, wang itu mesti diperoleh dari sumber yang halal. Kalau belum bayar zakat, tunaikan zakat dulu.
Napi ingat pula tentang yang membabitkan orang lain. Membabitkan hubungan sesama manusia. Ia banyak perkara. Ia menyebabkan Napi termenng panjang. 

Berkelahi membabitkan manusia lain. 

Bertengkar membabitkan manusia lain. 

Mengutuk orang membabitkan manusia lain. 
Mengumpat orang membabitkan manusia lain. 

Mencuri barang orang membabitkan manusia lain. 

Semuanya membabitkan dosa sesama manusia lain yang mesti dibersihkan. 
Napi ingat. 

Dia tidak pernah berkelahi. 

Dia tidak pernah bertengkar. 

Dia tidak pernah membuat kutukan. 

Dia tidak pernah melakukan umpatan. 

Tiba-tiba Napi nampak pen di atas meja yang sudah berusia lebih tiga puluh tahun itu. Pen itu banyak berjasa padanya. Dengan pen itu dia menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah rendah. Dengan pen itu dia menduduki peperiksaan apa saja semasa dia di sekolah menengah. Dan dengan pen itu juga dia mencatat apa saja nota semasa dia di universiti dan seterusnya menduduki peperiksaan yang membolehkannya menggenggam ijazah pertama, Sarjan Muda Dengan Kepujian. Kemudian dia bertugas sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di sebuah kementerian. Akhirnya dia dilantik sebagai Pegawai Daerah (DO) di negerinya. 

Lama Napi merenung pen sebatang itu. 

Lama Napi menilik pen sebatang itu. 

Lama Napi pandang pen itu. 

Lama Napi tengok pen itu. 

Napi nampak dirinya dalam kedai Pak Abu di kampungnya. Ketika itu dia dalam darjah lima sekolah rendah. Dia nampak dirinya mencapai pen di dalam almari kaca di kedai Pak Abu ketika Pak Abu ke belakang mengambil gula. Napi nampak dia memasukkan pen itu ke dalam saku seluarnya kemudian membayar harga gula lalu pulang ke rumahnya. 

Sebelum mendapatkan pen itu, dia berkali-kali meminta ibunya membelikannya sebatang pen. Tetapi ibunya menjawab tidak ada duit. Dia terus meminta. Tetapi ibunya mendiamkan diri. Berkali-kali dia minta dibelikan pen. Ibunya tidak indahkan juga. 

Lalu apabila dia berjaya mencuri pen di kedai Pak Abu itu, Napi tidak lagi merungut kepada ibunya hendakkan pen. Dia terus belajar. Napi terus ke sekolah dengan berjalan kaki. Dia terus membawa bekal nasi goreng dengan sebotol air kosong ke sekolah hari-hari kerana ibunya tidak memberinya wang saku. 

Dalam berjalan ke sekolah, Napi nampak wajah ibunya yang uzur. Ayahnya entah ke mana. Dia tahu ayahnya sudah bertahun-tahun tidak pulang. Lalu ibunya yang uzur itu menyara hidup dan dirinya dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Napi menjaga pen itu seperti menjaga emas. Dia gunakannya dengan cermat. Kalau pen itu basah dia lapkan dengan sapu tangan. Apabila pulang ke rumah pen itu diletakkan di tengah-tengah meja. Napi bimbang pen itu jatuh ke lantai. 

Napi terus ke sekolah menengah berasrama penuh setelah mendapat lima A dalam peperiksaan penilaian darjah lima. Napi mendapat biasiswa penuh setelah siasatan terhadap keluarganya dijalankan. Lalu dia belajar dengan tekun. Napi berjimat dengan wang. Kalau ada wang lebih belanja, dia kirimkan kepada ibunya. Napi bawa bersama pen curiannya. Dia sudah lupa sama sekali bahawa pen itu adalah pen curi. 

Apabila Napi memasuki universiti, pen itu dibawanya lagi. Hingga beberapa tahun dia bekerja pun, pen itu masih menemaninya hinggalah pen itu rosak pamnya dan tidak ada pam penggantinya. Lalu pen itu Napi simpan di atas mejanya. 

Derap kaki menghampiri mejanya mengejutkan Napi. Dia menoleh. Dia nampak isterinya, Zizah. 

“Milah telefon, dia nakkan komputer,” kata Zizah. 

“Okey.” jawab Napi. 

“Abang okey saja dengan kehendak Milah.” 

Napi mendongak pada wajah isterinya Zizah. 

“Nanti manja budak tu.” 

Napi menggeleng-gelengkan kepalanya. 

“Kenapa dengan abang?” 

“Zah tak tahu susahnya abang belajar dulu.” 

Zizah diam. 

“Abang tak pernah dapat walaupun sebatang pen daripada mak abang untuk belajar dulu.” 

Zizah menarik sebuah kerusi lalu duduk di sebelah Napi. Wajahnya pada wajah suaminya itu yang kelihatan seperti mengimbau kenangan zaman silam. Dia menunggu. 

“Itu, itu, pen yang terbaring di atas meja itu,” kata Napi. 

Zizah memandang pen itu. Dia tahu pen itu sudah lama di situ. Dia ingat juga bahawa dia tidak boleh mengalihkan pen itu ke tempat lain. Suaminya melarang dia menyentuh pen itu. Batangnya sudah berkarat. Dia hairan juga. Tetapi dia tidak ambil kisah kerana ia cuma sebatang pen, bukan perempuan yang harus dia cemburu. 

“Pen itu pen curi Zah. Masa abang darjah lima dulu orang lain dalam darjah abang semua pakai pen, tapi abang masih gunakan pensil. Abang malu kerana selalu diperli. Laku abang curi pen itu di kedai Pak Abu. “ 

“Ah! Cuma sebatang pen, bang.” 

“Benar. Apalah sangat sebatang pen. Tapi bagi abang yang miskin ini, terasa.” 

“Jadi sebab itu sebarang apa saja kehendak Milah untuk belajar abang penuhi?” 
Napi mengangguk. 

Zizah menarik nafas payah. 

“Abang mau dia belajar dengan suka.” 

“Tapi Zah bimbang.” 

“Bimbang apa?” 

“Bukan abang tak tahu zaman moden ini. SMS melalui telefon bimbit. Hal-hal negatif melalui internet.” 

“Abang yakin pada Milah. Telefon bimbitnya untuk senang dia hubungi kita. Komputer yang dimintanya itu untuk dia belajar. Banyak pelajaran akan diperolehnya nanti melalui internet.” 

“Macam mana abang boleh yakin?” 

“Dengan kita selalu hubunginya. Dengan selalu kita bertanya khabarnya. Dan apabila dia balik, kita boleh periksa telefonnya, komputernya.” 
Zizah diam. 

Napi balik memandang pada pen yang terbaring di atas mejanya. 

“Habis, yang Zah tengok abang kadang-kadang runsing semacam tu kenapa?” 

“Pen itu mengganggu emosi abang.” 

“Kenapa?” 

Mata Napi bulat pada wajah isterinya Zizah. 

“Kenapa bang?” 

“Tadi kan abang beritahu Zah, bahawa pen itu pen curi?” 

“Ah! Ia cuma sebatang pen, bang.” 

“Tapi ia tetap barang curi. Dosa abang mencuri pen itu masih ada.” 

“Lalu?” 

“Kita nak ke Makkah lepas puasa nanti kan,” Napi memandang wajah isterinya. 

Zizah sadin. 

“Abang kena bersihkan diri abang. Zah juga. Kalau tak, haji kita nanti tergantung,” kata Napi. 

Zizah tunduk. 

Napi memandang kepala Zizah yang tunduk. Dia kemudian mencapai terjemahan al-Quran. Dia membuka pada surah Az-Zalzalah. Dia membaca. Dan penumpuan Napi terus pada ayat tujuh, ‘Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).’ Napi terus kepada ayat lapan, ‘Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zahrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya’). 

Nabi membaca pula nota kaki di bawah, ‘Dua ayat itu menerangkan bahawa masing-masing akan menerima balasan amalnya sama ada yang baik atau yang buruk, walau yang sebesar debu sekalipun. ‘ ( Rujukan: Tafsir Ar-Rahman terbitan Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri m/s 1714.) 

Napi ingat ayat itu sudah berkali-kali didengarinya dari mulut Ustaz Zuki. Dia sendiri juga sudah berkali-kali membaca ayat itu. Lalu Napi balik memandang pen di atas meja yang amat berjasa padanya. 

Napi ingat benar bahawa pen itu, pen curi. Dengan demikian dia telah melakukan satu dosa yang membabitkan dirinya dengan manusia lain. Dan manusia lain dalam kes pen itu ialah Pak Abu. 

Berkali-kali pula mulut Napi kemudian membisikkan nama Pak Abu. Kedai Pak Abu sudah tidak ada. Pak Abu sekarang sudah tua. Sekali-sekali dia jumpa Pak Abu pada hari Jumaat di masjid dengan kerusi. Pak Abu hanya ke masjid pada hari Jumaat. Dia sudah terlalu uzur. Pak Abu sembahyang dengan duduk di atas kerusi. 

Napi ingat jasa pen itu. Dia lulus dalam semua peperiksaan. Pen itu juga membawanya ke meja kerjanya sebagai PTD. Jasa pen itu membolehkannya menerima gaji ribuan ringgit tiap-tiap bulan. Jasa pen itu yang membolehkan mengumpulkan wang hingga mampu menghantarkan ibunya ke tanah suci Makkah dan ibunya meninggal ketika wukuf di Arafah. 

Sekarang dia pula hendak ke Makkah. 

Wangnya mesti dari sumber yang halal. 

Napi ingat sangat itu. 

Napi ingat dia menghadap Ustaz Zuki. Dia tidak malu menceritakan bahawa dia mencuri sebatang pen dari kedai Pak Abu. Napi terangkan jasa pen itu. 

Dia nampak wajah Ustaz Zuki senyum lembut padanya. 

Tuan kena bersihkan. Napi ingat kata Ustaz Zuki. 

Napi ingat dia mendongak pada wajah Ustaz Zuki. 

Kalau tuan tak malu ceritakan pada saya, kenapa tuan harus malu nak jumpa Pak Abu? Jumpalah dia. Mohon ampun, mohon halalkan pen itu. Kalau boleh tuan belikan sebatang pen berikan kepada Pak Abu. 

Wajah Napi masih pada wajah Ustaz Zuki. 

Itu saja caranya membersihkan diri tuan dengan Pak Abu itu. 

Napi ingat dia mengangguk. 

Dan Napi ingat dia menanam azam untuk menemui Pak Abu. Lalu dia membeli sebatang pen Parker siap dengan kotaknya sekali. Napi membuka laci mejanya. Dia capai kotak pen Parker. Dia genggam kotak itu. 

“Abang ingatkan apa dengan pen itu?” 

Napi menoleh pada Zizah isterinya di sebelah. 

“Abang nak jumpa Pak Abu. Dia sudah uzur.” 

“Abang nak mengaku yang abang curi pennya dulu?” 

Napi mengangguk. 

“Tak malu ke abang?” 

Napi diam. 

“Bekas DO mengaku mencuri pen?” 

“Abang malu pada Allah,” desis Napi. 

Zizah meluaskan matanya pada wajah suaminya Napi. 

“Pak Abu hanya manusia biasa. Abang tahu. Tapi abang tetap sebagai pencuri sebatang pen dari kedainya. DO pangkat abang itu masa bekerja. Tapi Zah kena ingat pangkat itu abang peroleh adalah jasa dari pen sebatang yang abang curi itu. “ 

Zizah berdiri lalu keluar dari bilik kerja Napi. 

Petang itu selepas sembahyang Asar di masjid, Napi ke rumah Pak Abu yang tidak jauh dari masjid. Di tangannya kotak pen Parker. Setelah memberi salam, Napi dijemput masuk ke ruang tamu rumah Pak Abu. 

Agak sejurus Pak Abu keluar dengan bertongkat lalu lambat-lambat duduk di kerusi sebelah Napi. 

“Allah Tuan,” kata Pak Abu apabila tangannya dicapai oleh Napi lalu menciumnya lembut. 

Mata Napi pada wajah Pak Abu. 

“Apa hajat tuan ke mari,” tanya Pak Abu. 

Napi segera menyerahkan kotak pen Parker itu kepada Pak Abu. 

“Apa ini tuan,” Pak Abu membuka kotak itu. Dia nampak sebatang pen Parker. Lalu matanya pada wajah Napi bekas pegawai daerah yang pernah ditemui dan selalu memanggilnya tuan itu. Lama matanya pada wajah Napi. 

Napi menahan perasaan. Dia mengawal gelodak rasa terharu dalam kalbunya. 
“Kenapa tuan?” 

“Pak Abu ingat tak mak saya?” 

“Ingat. Mek Som. Dia meninggal di Makkah kan?” 

“ Pak Abu ingat tak kami miskin masa itu?” 

“Saya ingat. Tapi tuan tidak pernah berhutang di kedai saya. Walau secupak beras, tuan bayar tunai,” kata Pak Abu. 

Napi tidak dapat mengawal dirinya lagi mendengar kalimat itu. Dia memandang wajah Pak Abu dengan mata berkaca. Tidak lama kaca-kaca dalam matanya itu kemudian bertukar air mata lalu ia mengalir laju. 

“Kenapa tuan? Ada saya tersalah cakap?” Wajah Pak Abu kehairanan. 

Napi menggeleng-gelengkan kepalanya. 

Pak Abu masih memandang wajah Napi. 

Napi kemudian duduk lalu memegang lutut Pak Abu. 

“Kenapa tuan?” 

“Saya minta maaf dengan Pak Abu,” wajah Napi pada kedua lutut Pak Abu. 

“Saya tak faham tuan. Kenapa begini? Tak baik dilihat orang,” tangan Pak Abu mencapai lengan Napi dan berusaha untuk mengangkatnya. 

Napi mendongak. 

“Pak Abu memang tak sedar. Pak Abu memang tak ingat.” 

“Apa dia tuan?” 

“Saya curi sebatang pen di kedai Pak Abu dulu.” 

Pak Abu senyum. 

Napi balik duduk pada mejanya. 

“Saya minta maaf dan minta dihalalkan pen itu, Pak Abu,” kata Napi pula. 

“Ah! Masa itu tuan budak. Cuma nakal, bukan jahat.” 

“Tapi saya tetap mencuri pen Pak Abu. Maafkan saya Pa Abu.” 

“Jadi ini, sebagai ganti pen itu?” Pak Abu angkat kotak pen Parker. 

Napi mengangguk. 

“Ini mahal tuan. Pen yang tuan curi dulu murah saja.” 

“Pen seperti itu sudah tak ada sekarang.” 

“Terima kasihlah tuan,” Pak Abu menghulurkan tangannya ke hadapan Napi. 
Napi menyambut tangan Pak Abu. “Maafkan saya, halalkan pen itu, Pak Abu,” kata Napi. 

“Saya rasa syukur, kerana pen itu tuan boleh belajar dengan baik. Tuan mengaku curi pen itu. Saya hargai ikhlas tuan. Saya halalkan pen itu untuk tuan. Saya maafkan kalau itu dikira dosa tuan terhadap saya. Dunia akhirat. Selebihnya saya serahkan kepada Allah,” kata Pak Abu. 

Napi lalu mendakap badan Pak Abu. Mereka berpelukan. 

“Terima kasih Pak Abu, “ desis Napi. Lalu badan mereka berpisah. 

“Tapi pen ini? Saya tak menulis lagi sekarang. Tangan dah menggigil.” kata Pak Abu. 

“Pak Abu kena terima. Ikhlas daripada saya. Tanda sesal saya pada Pak Abu.” 
Pak Abu mengangguk. Dia lalu memegang pen Parker itu kemas-kemas. 

Dengan ucapan memohon maaf sekali lagi kepada Pak Abu, Napi lalu memohon diri untuk pulang. Kepalanya terasa ringan. Dadanya rasa lapang. 

INFO Penulis 

NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat mula menulis awal 1960- an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.

Zainuddin MZ sumpah nafi rogol





2010/10/23

JAKARTA: Tokoh pendakwah Indonesia Zainuddin MZ, sudah dua kali membuat pengakuan bersumpah di hadapan ratusan ulama menafikan beliau memperkosa penyanyi Aida Saskia, seperti didakwa artis itu. 

“Sudah dua kali Zainuddin bersumpah. Kali pertama, di Permata Hijau dan ka-li kedua di daerah Kebayoran. Beliau bersumpah tiga hari selepas Aida membuat dakwaan memalukan itu dan melakukannya di hadapan ratusan ulama,” kata sahabat beliau Habib Mahdi.
Beliau berkata, Zainuddin membuat akuan bersumpah itu bagi menjawab keraguan daripada tuduhan yang dikemukakan Aida.
“Setakat ini keluarga Aida belum memberi sebarang penjelasan kepada kami. Beliau adalah salah seorang anggota di forum ulama kebangsaan, berikutan itu kami perlu bertanya terus kepada Zainuddin, sama tuduhan Aida itu benar,” katanya. 

Bagaimanapun Zainuddin belum melakukan sumpah di hadapan Aida dan belum memohon maaf seperti dikehendaki penyanyi itu. Cadangan pertemuan antara Aida dan Zainuddin sepatutnya pada 19 Oktober lalu juga batal. 

Aida dilaporkan memberi Zainuddin tempoh untuk memohon maaf sebelum bersedia membuat laporan laporan polis. – Agensi

'Woods masih kaki perempuan'





2010/10/23

Joslyn James
Joslyn James
Bekas kekasih pemain golf buat dakwaan 

LOS ANGELES: Pelakon filem dewasa, yang juga salah seorang daripada wanita simpanan pemain golf terkenal Tiger Woods, Joslyn James, menuduh bintang sukan itu masih kaki perempuan dan gila seks selepas bercerai dengan isterinya, Elin Nordegren.
Ketika menulis di dalam blognya di laman web RadarOnline, James berkata, satu-satunya perkara yang berubah mengenai Woods sekarang ialah status beliau sebagai duda.
“Saya hairan mengapa ada orang percaya Woods sudah berubah dan menjadi ‘manusia baru’. Woods tidak pernah berubah kerana jika dia mahu berubah, dia akan berubah pada hari pertama dia mengahwini Elin,” katanya. 

Joslyn berkata, dengan status barunya sekarang Woods tidak lagi perlu memburu atau menjalin hubungan dengan mana-mana wanita secara sulit, sebaliknya ramai wanita bersedia bersamanya pada bila-bila masa. 

“Apa diharapkan ialah Woods akan menggunakan ‘perlindungan’ dalam hubungan intimnya, tetapi beliau seorang lelaki dewasa dan akan melakukan apa yang diingininya. Woods menjalin hubungan dengan berderet wanita yang ingin menumpang kemasyhurannya dan saya yakin ramai lagi yang belum diketahui,” katanya. 

Joslyn mengaku, kali pertama melihat senarai panjang teman wanita dan perempuan simpanan Woods beliau berasa amat kecewa dan terluka dengan pemain golf itu kerana sedar dirinya ditipu selama ini. 
“Bagaimanapun, saya tak marah atau cemburu dengan wanita berkenaan, kerana kami semua terbabit dengan lelaki sama dan menghadapi tempoh sukar yang sama. 

“Kami mempunyai bentuk hubungan dan matlamat yang berbeza di dalam hubungan yang dijalin bersama Woods. Bagi saya sendiri, hubungan dengan Woods memberi banyak pengajaran berguna,” katanya. 

Mengenai rakaman pita video seks didakwa dilakukan Woods dan seorang lagi wanita simpanannya Devon James, Joslyn berkata, beliau mengetahui sejak awal, bahawa rakaman video berjudul Deception Sundae itu palsu dan satu penipuan. 

“Woods tidak pernah membenarkan aksi seksnya dirakamkan melalui video, manakala Devon sendiri mempunyai masalah ketagihan dadah. 

“Mungkinkah Woods diberi dadah terlebih dulu sebelum adegan seks itu dirakam? Jika benar, perbuatan memberi dadah itu sendiri adalah satu kesalahan. Namun, saya sama sekali tidak percayakan Devon. Kenyataannya terbukti satu pembohongan. Malah, saya juga tidak percaya jika dia pernah bersama Woods. 
Devon seorang penipu, begitu juga rakaman videonya,” katanya. – Agensi