Pages

Saturday, July 24, 2010

Komputer riba India RM112.12



2010/07/24

KAPIL menunjukkan komputer kos murah ciptaan India.
KAPIL menunjukkan komputer kos murah ciptaan India.
Perkakasan kos rendah khusus untuk pelajaran 

NEW DELHI: India muncul dengan komputer riba termurah di dunia, peralatan komputer skrin sesentuh yang berharga hanya sekitar AS$35 (RM112.12).Menteri Pembangunan Sumber Manusia India, Kapil Sibal minggu ini mengumumkan peralatan perkomputeran riba kos rendah yang direka khusus untuk pelajar, menyatakan jabatannya mula berunding dengan pengeluar global untuk memulakan pengeluaran secara besar-besaran tidak lama lagi.
“Kami sudah mencapai satu tahap pembangunan pada hari ini, papan induk, cip pemproses, sambungan, semuanya kos terkumpul sekitar AS$35 (RM112.12), termasuk memori, paparan dan segala-galanya,” katanya pada sidang media. 

Beliau berkata peralatan sesentuh itu dipasang dengan pelayar internet, pembaca PDF dan kemudahan persidangan video, namun perkakasannya dicipta dengan fleksibel bagi membolehkan komponen baru ditambah mengikut keperluan setiap pengguna. 

Kapil berkata peralatan komputer berasaskan Linux itu dijangka diperkenalkan kepada institusi pendidikan tinggi bermula 2011, namun sasaran itu ialah untuk menurunkan lagi harganya kepada AS$20 (RM64.07) dan pada akhirnya sehingga AS$10 (RM32.04). 

Peralatan itu dibangunkan oleh pasukan penyelidik di institusi teknologi terkemuka India, Institut Teknologi India dan Institut Sains India. 
India membelanjakan kira-kira tiga peratus daripada bajet tahunannya untuk pendidikan sekolah dan memperbaiki kadar kecelikan kepada lebih 64 peratus daripada sejumlah 1.2 bilion penduduknya. 

Kajian yang dijalankan sebelum ini menunjukkan ramai pelajar tidak begitu mahir membaca atau menulis dan kebanyakan sekolah kerajaan tidak memiliki kemudahan mencukupi. – Reuters

4 tahanan al-Qaeda bolos dari penjara



2010/07/24

BAGHDAD: Empat tahanan dikaitkan dengan al-Qaeda melarikan diri dari sebuah penjara di sini yang diserahkan Amerika Syarikat kepada pihak berkuasa Iraq seminggu lalu, kata menteri kehakiman Iraq kelmarin, insiden berani yang memalukan sebuah kerajaan baru bertatih untuk membuktikan ia berupaya menguruskannya tanpa pengawasan Amerika. 

Dara Noureddin berkata keempat-empat mereka, sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan keganasan, melarikan diri dari penjara kawalan keselamatan tinggi dikenali sebelumnya sebagai Camp Cropper.Insiden melarikan diri itu adalah yang kedua mengejutkan Iraq dalam tempoh seminggu dan kebimbangan bagaimana persiapan pihak berkuasa Iraq mengambil alih kawalan penuh negara ketika tentera Amerika dikurangkan secara mendadak menjelang bulan depan.
Penyerahan 15 Julai oleh tentera Amerika, penjara yang pernah menahan Saddam Hussein dan anggota kanan lain rejimnya menandakan satu pencapaian kepada Iraq untuk mendapatkan kedaulatan penuhnya. Ia menawarkan satu ukuran kebanggaan di sebuah negara di mana pengeboman dan pembunuhan masih dianggap perkara biasa. 

Noureddin tidak menamakan banduan yang melarikan diri, namun berkata mereka kini ditahan tentera Amerika. 

Tentera Amerika, dalam satu kenyataan emel berkata ia “tidak mempunyai maklumat untuk dikongsi” dalam kes itu dan merujuk soalan kepada kerajaan Iraq. 

Dua pegawai perisikan Iraq dalam Kementerian Dalam Negeri yang enggan dikenali tetapi mengetahui mengenai kes itu berkata pihak berkuasa percaya keempat-empat lelaki terbabit, yang dikenali sebagai anggota al-Qaeda, dibantu oleh pegawai penjara yang menjaga blok mereka. – AP 

Guna topeng seluar dalam untuk rompak




2010/07/24

OKLAHOMA: Seorang wanita penganggur yang mendakwa dirinya memerlukan wang ditahan kerana merompak sebuah McDonald's di Oklahoma menggunakan sehelai seluar dalam yang dijadikan topeng mukanya. 

Pihak berkuasa berkata wanita 51 tahun itu, Sharon Lain dari Midwest City mengakui memakai seluar dalam untuk merompak wang dari restoran makanan segera itu Selasa lalu.Satu video melalui kamera litar tertutup yang merakamkan wanita itu disiarkan melalui televisyen tempatan sehingga memberi maklumat kepada polis untuk menahan Lain di rumahnya sehari selepas kejadian. – Agensi

Adrenalin di laluan besi tertinggi dunia





NAMA khasnya Via Ferrata. Memang kedengaran pelik dan asing sekali sehingga sukar digambarkan. Namun, dalam bahasa biasa ia juga disebut sebagai laluan besi. Diambil daripada bahasa Itali, Via Ferrata atau laluan besi merujuk kepada kabel besi panjang yang digabungkan bersama dengan cincin besi di dataran dan lereng gunung. Pada bahagian-bahagian tertentu juga Via Ferrata disertakan dengan tangga besi, peletak kaki dan jambatan.
Mempunyai sejarah yang panjang sejak tahun 1843 apabila diperkenalkan di Austria yang menghubungkan dua puncak gunung tertinggi di negara itu iaitu Grossglockner, Via Ferrata hakikatnya mempunyai kepelbagaian kegunaan.
Pernah digunakan pada tahun 1941 semasa Perang Dunia Pertama oleh tentera Itali sebagai laluan rahsia bekalan senjata dan memperkuatkan ketumbukan pasukan tentera, Via Ferrata kemudian menjadi salah satu bentuk sukan rekreasi ekstrem yang memompa adrenalin kerana menguji keberanian seseorang melawan ketinggian.
Sejak itu, Via Ferrata sebenarnya cukup popular di Barat, sehingga bayangkan di gunung-ganang benua Eropah sahaja terdapat lebih 300 laluan besi seperti di Perancis, Jerman, Itali, Slovenia dan Switzerland. Namun, dibandingkan dengan jumlah itu, benua terbesar di dunia iaitu Asia hanya memiliki satu laluan Via Ferrata.
Bagaimanapun, apa yang membanggakan Via Ferrata tunggal Asia yang terletak di pergunungan Kinabalu itu diiktiraf Via Ferrata yang paling tinggi di dunia iaitu pada ketinggian 3,776 meter menewaskan laluan besi Italian Dolomites 3,343 meter.
Pengiktirafan itu diberikan oleh Guinness Book of Records kepada syarikat pengendali Via Ferrata Gunung Kinabalu iaitu Moutain Torq pada 16 Disember tahun lalu.
Hampir menyamai konsep seperti sukan memanjat dinding (wall climbing), bagaimanapun apa yang perlu anda fahami untuk laluan besi ini, ia bukanlah digunakan semasa memanjat Gunung Kinabalu, sebaliknya sewaktu menuruni puncak iaitu bermula dari ketinggian 3,776 meter ke 3,411 meter.
Memperkenalkan Via Ferrata kepada sekumpulan wartawan yang menyertai Kembara Gunung Kinabalu Via Ferrata Bersama Media anjuran Bank Muamalat baru-baru ini, menurut salah seorang jurulatih, John Martin, 21, terdapat dua jenis laluan besi di pergunungan iaitu Walk the Torq dan Low Peak Circuit.
Katanya, Walk the Torq merupakan laluan besi yang lebih pendek dengan jarak sekitar 430 meter. Bermula pada ketinggian 3,520 meter, laluan besi Walk the Torq terdiri daripada 200 meter laluan menegak pada sudut mencapai 90 darjah, 230 meter laluan agak mendatar dan sebuah jambatan kabel atau dipanggil Monkey Bridge. Cabaran Walk the Torq pada kebiasaannya boleh disudahkan dalam masa sekitar satu hingga dua jam.
Jika Walk to Torq dicadangkan untuk pendaki amatur, Low Peak Circuit pula ujar anak kelahiran Sabah itu, digalakkan buat kaki-kaki daki tegar kerana dengan panjang laluan 1.2 kilometer, ia memberi cabaran yang lebih mengujakan.
RAKAMAN foto kenangan saat menjadi sebahagian daripada pendaki bertuah melalui pengalaman Via Ferrata.


Mengambil masa sekitar empat hingga lima jam untuk disudahkan, Low Peak Circuit juga mempunyai kombinasi jambatan gantung, tiga buah jambatan wayar dan dua buah jambatan kabel. Bermula pada ketinggian 3,776 meter anda akan menuruni laluan besi sehingga ke titik 3,411. Ini bermakna mereka yang mencuba laluan Low Peak Circuit tidak akan terlepas laluan Walk the Torq,” ujarnya sambil memberitahu sejak dimulakan pada tahun 2007, Via Ferrata Kinabalu telah ditakluk oleh sekitar 6,000 pendaki.
Apa yang lebih membanggakan katanya, laluan besi yang dikelaskan sebagai Grade AD atau kesukaran tahap sederhana itu adalah antara yang terselamat di dunia kerana tidak pernah mencatatkan apa-apa kecelakaan.
Kerana itu, semua peserta laluan besi diwajibkan untuk menghadiri sesi taklimat keselamatan oleh jurulatih Via Ferrata pada sebelah malam sebelum aktiviti. Pada sesi satu hingga dua jam itu peserta akan diberikan tunjuk ajar penggunaan peralatan seperti abah-abah, helmet, cangkuk dipanggil scorpion dan teknik ikatan ikatan tali pada cincin besi di dinding gunung.
Dalam ekspedisi istimewa yang dicetuskan oleh Bank Muamalat itu, oleh kerana kebanyakan peserta kembara merupakan pendaki amatur bahkan, sebahagian besar pertama kali mendaki Gunung Kinabalu, kami memilih untuk sekadar mencuba laluan besi Walk to Torq.
Menawan Walk the Torq
Pagi itu selepas menawan puncak Gunung Kinabalu sekitar 5.30 pagi hingga 6.30 pagi, kebanyakan pendaki tidak punya masa untuk merakam banyak foto kenangan di puncak granit itu. Ini kerana kami perlu berada di Sayat-Sayat (pondok perhentian) sebelum pukul 8 pagi untuk mengenakan semua peralatan keselamatan Via Ferrata.
Pendaki yang terlewat tidak dibenarkan untuk menyertai tidak ekspedisi Via Ferrata atas faktor kekangan masa kerana aktiviti itu diadakan pada sebelah pagi.
Terpaksa meninggalkan beberapa rakan yang terlewat, seramai 24 peserta kembara yang sudah bersiap kemudian berjalan turun sekitar 300 meter untuk ke tempat mula Walk the Tork.
Walaupun tidak sepenat seperti mendaki, namun menuruni kawasan pergunungan pula dari puncak Low Peak menggamit kisah berbeza. Tekanan pada lutut menyebabkan kaki penulis terketar-ketar sendiri apabila berdiri lama. Diberi rehat selama lima minit sebelum memulakan Via Ferrata, hati penulis menggumam sendiri, Bagaimana hendak turun laluan besi ini dalam kaki terketar-ketar.
Apatah lagi apabila kepala didongak ke atas, sayup-sayup kelibat objek berwarna oren melekat di dinding menegak granit Kinabalu menyebabkan hati tambah kecut dan risau. Objek itu merupakan sekelompok pendaki berhelmet oren yang memilih laluan besi lebih ekstrem iaitu Low Peak Circuit.
Kami kemudian dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan kumpulan pertama dan kedua seramai 10 orang manakala baki empat orang dalam kumpulan ketiga.
Ahli-ahli dalam setiap kumpulan kemudian diikat secara berangkai menggunakan tali khas dipanggil tali dinamik dengan orang pertama menjadi kapten manakala di belakang pendaki terakhir, seorang jurulatih Via Ferrata akan memegang tali itu.

PARA pendaki Kembara Gunung Kinabalu Via Ferrata Bersama Media bergambar kenangan sebelum memulakan ekspedisi.

Melihat cenuram dalam di bawah, rasa gayat dan ketakutan dibuang jauh apabila perasaan penulis mula sebati dengan keterujaan rakan-rakan lain. Saat mula memasukkan kedua-dua scorpion kepada kabel, pada detik itulah kami meletakkan sepenuh kepercayaan keselamatan nyawa kami kepada peralatan seperti tali dinamik, tali penyandang (energy absorber lanyard), kabel besi dan sudah tentunya jurulatih Via Ferrata yang setia di belakang.
Memulakan cangkukan pertama scorpion di kabel batuan landai, hampir kebanyakan kami kelihatan begitu kekok untuk membuat ikatan dinamik pada cincin besi. Begitu juga ketika membuat pertukaran dua cangkuk scorpion ke kabel yang dipisahkan dengan cincin besi itu.
Akhirnya selepas lebih beberapa menukar cangkukan scorpion ke kabel besi, keserasian dan keyakinan semakin menebal, cuma kami masih perlu berhati-hati mengatur langkah serta letak kaki kerana permukaan dinding granit yang kadangkala menegak dan mendatar.
Apatah lagi melakukan aktiviti secara berkumpulan perasaan takut lekas sekali hilang, apabila gelak ketawa melihat pelbagai keletah rakan-rakan memeriahkan suasana.
Saat berdepan dengan Monkey Bridge juga sangat mengujakan. Melalui jambatan dengan hanya berpijak pada seutas kabel sambil di bawah adalah gaung dalam, memang agak menakutkan. Namun, hampir semua peserta meniti laluan dengan senyuman malah, ada yang melepaskan tangan dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada energy absorber lanyard.
Yang pasti, menawan Via Ferrata melalui Walk the Torq dalam masa satu jam setengah, ia antara pengalaman sungguh luar biasa. Apatah lagi di bawah kaki gunung, sekeping sijil kejayaan menakluk Via Ferrata tertinggi di dunia sudah sedia menanti kami.
kredit : kosmo.com.my

'Dipukau' saudagar sari





BANYAK yang boleh diresapi fikiran seseorang jika baru kali pertama menjejakkan kaki di kota ini. Di jalanannya, aroma kuat rempah ratus, minyak ayurveda dan bunga melur bercampur-baur dengan bau yang meloyakan akibat kepincangan sistem kebersihan.
Semua itu menyatu dan menusuk hidung, terutamanya apabila tiba musim hujan. Walau apa pun tanggapan pertamanya, memang begitulah Mumbai. Kekurangan kota itu perlu dimaafkan kerana ada banyak lagi elemen pelancongan yang boleh dinikmati dan dihayati.
Selain landskap teluk dan pola bangunan yang tumbuh dari pelbagai era, ciri kontras Mumbai jelas terletak pada diversiti lapisan sosioekonomi masyarakatnya.
Ternyata, ciri unik itu terbentuk bukan sahaja daripada golongan elit dan bilionair yang tinggal di ruang residensi bernilai AS$2,000 sekaki persegi (RM67,200 semeter persegi) di satu petempatan mewah.
Populasi itu sebenarnya dilengkapkan golongan pertengahan dan juga kelompok gelandangan yang merempat di kaki lima dan setinggan berlumpur.
Ibu negeri Maharashtra yang menghadap ombak kuat Laut Arab itu kalau dilihat dalam kebanyakan poskad, banyak berhias deretan pencakar langit dan bangunan berciri Victoria.
Pemandangan itu disempurnakan dengan kehadiran lebih 100,000 beca motor roda tiga dan teksi hitam kuning - dua mod pengangkutan ikonik yang banyak kali dipromosi dalam filem-filem Hindi atau Tamil terdahulu.
Menyusuri jalan raya dengan dua pengangkutan tersebut selain bas dan kenderaan persendirian, kota ini juga bernyawa kerana kehadiran bazar jalanan yang banyak dirangkaikan bersama chawl atau pangsapuri kos rendah.
Semua bazar itu meriah dengan jualan variasi barangan harian, produk tekstil dan juga kraf pertukangan halus.
Menawar harga
"Mumbai adalah antara beberapa kota di India yang menawarkan pengalaman berbelanja terbaik. Kompleks moden dan butik berjenama eksklusif wujud bersama bazar tradisional dan gerai kaki lima," kata pemandu pelancong dari India Tourism, Tombi Singh.
SUASANA tipikal di bazar jalanan.


Menurutnya, kawasan Mumbai Selatan menawarkan lokasi berbelanja rambang mata seperti di Colaba Causeway, Kemp's Corner dan beberapa arked kontemporari.
Berdekatan Crawford Market misalnya, seseorang boleh melangkah mudah ke Chor Bazaar yang menjual barangan antik termasuk perabot kolonial dan tembikar China. Namakan dan belilah apa sahaja yang diinginkan, seiring not-not rupee yang bertukar tangan.
Tombi menjelaskan, Crawford Market berkongsi kawasan dengan Mangaldas Market. Kalau peminat aksesori perhiasan diri menyukai jualan di sekitar Oberoi dan Taj Hotels, peminat tekstil terutamanya sari disarankan mengunjungi Mangaldas kerana ia merupakan 'lubuk' barangan fabrik dan tekstil.
Di situ, lorong-lorong dan lot kedai berloteng sedia menunggu pelanggan berpotensi. Kalau sudah melangkah masuk ke dalam premis tersebut, jangan terkejut jika pengusaha kedai menebarkan helai demi helai kain pelbagai warna, material dan corak di depan mata pelanggan.
Itu adalah taktik godaan 'memukau' yang sering mengena. Kalau tidak dua, pasti satu akan terpaut di hati pelanggan. Tidak hairan juga jika ada yang terpedaya lantas membawa pulang berlembar-lembar sari.
"Murah dan berbaloi," kata seorang teman penulis yang hampir pitam melawan ego saudagar kain.
"Tawar sehabis boleh. Mereka pasti melonjakkan harga permulaan sebab melihat anda orang luar," pesan Tombi.
Namun begitu, Tombi tidak perlu khuatir kerana orang Malaysia ternyata sanggup bermati-matian menawar harga demi nilai pembelian terbaik!
Bangunan bersejarah
Kalau sari sudah dimiliki, jangan tinggalkan Mumbai kalau belum mengunjungi Gateway of India di Pelabuhan Apollo. Tersergam di hadapan Hotel Taj Mahal, ia merupakan gerbang yang distruktur menggunakan baru basalt berwarna madu. Mercu tanda berciri Gujerat ini didirikan sebagai tanda mengingati lawatan King George V dan Queen Mary pada 1911.
Stesen Kereta Api Victoria Terminus pula adalah contoh seni binagothic Victoria terunggul di seluruh India. Bangunan yang kini dinamakan sebagai Chhatrapati Shivaji Terminus itu dihiasi reka bentuk kubah, gerbang dan menara ekstravaganza.
Biarpun hayatnya seusang tahun 1888, ia kini masih beroperasi penuh sebagai ibu pejabat sistem kereta api yang mengendalikan lebih daripada dua juta penumpang sehari.
KESIBUKAN waktu santai pada malam hujung minggu di pesiaran Marine Drive.


Warisan British dan Portugis nyata sangat berpengaruh. Terdapat banyak lagi lokasi bangunan menarik di sekitar Mumbai untuk dilawati mereka yang mencintai seni bina lama.
Antara yang perlu dikunjungi untuk dirakamkan keindahannya dengan kamera adalah seperti Kolej Elphinstone, Menara Jam Rajabai, Mahkamah Tinggi Mumbai, Muzium Prince of Wales dan Flora Fountain. Semua itu terletak berdekatan antara satu sama lain di jantung Mumbai.
Ruang spiritual
Hingar-bingar hasil 'buah tangan' pemandu tempatan yang sesuka hati membunyikan hon kenderaan masing-masing mungkin membuatkan seseorang ingin segera lari ke lokasi yang lebih menenangkan perasaan.
Biasanya, tempat-tempat beribadat menjadi tumpuan. Untuk itu, mereka yang terlepas daripada kesibukan jalan di Marine Drive dan menuju ke Colaba Causeway, pasti akan terlihat sebuah masjid yang fizikalnya seakan-akan terapung di atas laut.
Masjid Haji Ali yang fitrahnya dikepung laut ketika air pasang sebenarnya menempatkan dargah atau makam Haji Ali Shah Bukhari. Pada kurun ke-15, saudagar kaya tersebut meninggal dunia selepas pulang dari mengerjakan haji di Mekah.
Beliau telah mewasiatkan agar hartanya digunakan untuk pembinaan sebuah masjid. Sehingga hari ini, masjid usang itu terus mengundang tetamu yang mengagumi kewujudannya.
Selain kuil Mahalaxmi di Bhulabai Desai Road dan juga kuil Buddha usang di Gua Kanheri di tengah belantara Taman Negara Sanjay Gandhi, lokasi lain yang dianggap suci oleh warga tempatan khususnya penganut Hindu adalah Banganga.
Terlindung di tengah-tengah kontur berbukit Malabar Hill, kolam itu menakung epik Ramayana.
"Sang wira Rama dalam pencarian cintanya, Sita, dikatakan pernah singgah di lokasi tersebut lalu memanah permukaan tanah hingga terpancut air dari perut bumi. Itulah yang membentuk Banganga.

KUIL usang di Gua Kanheri dalam Taman Negara Sanjay Gandhi.


"Di situ terdapat Kuil Walkeshwar yang dikelilingi rumah rehat untuk disinggahi dharamsala atau mereka yang berhajat menyucikan diri di kolam itu," terang Tombi.
Fantasi dan realiti
Tarikan yang berikut juga tidak boleh dilupakan. Pelancongan Bollywood amat sinonim dengan Mumbai. Kalau ingin melihat kehangatan aksi belakang tabir dalam industri filem Hindi, produk ini boleh disertai mereka yang ingin menyaksikan kerja-kerja penggambaran dalam set studio milik syarikat gergasi seperti Balaji Films, Whistling Woods, Jeetu Savlani dan banyak lagi.
Cuma pesan penulis, kalau sudah menjejakkan kaki ke studio yang rupanya serba sederhana tersebut, jangan lagi terus tertipu dengan elemen fantasi dan mewah seperti yang terpapar dalam adegan filem-filem keluaran mereka!
Tidak cukup lawatan ke studio, pujuklah pemandu pelancong agar membawa anda mengunjungi kejiranan para superstar Bollywood seperti Shahrukh Khan, Salman Khan dan Rekha yang terletak di Pali Hill, Bandra. Walaupun kedatangan tidak diundang para bintang itu, bergambar di depan pagar pun sudah cukup mengujakan.
Sebaliknya, bagi mereka yang menghargai realiti, atur langkah anda ke Mani Bhavan Gandhi Sangrahalaya iaitu kediaman figura politik dan spiritual India, Mahatma Gandhi.
Terletak di Laburnum Road, rumah yang kini dijadikan muzium itu menyimpan tinggalan tokoh masyhur tersebut, seperti koleksi surat, gambar, buku, perabot, barangan peribadi dan sebagainya.
Kunjungan tiga hari dua malam mungkin belum cukup untuk seseorang pelancong menyerap entiti pelancongan di Mumbai. Mendasari spektrum warna kehidupan megalopolis berpopulasi 15 juta orang itu pasti membuatkan anda lebih menghargai diri dan asal-usul.

Pelajar UK kagum keunikan Istana Lama Seri Menanti



PELAJAR Ancren Gate South, Downe House, United Kingdom dan Kolej Tunku Kurshiah Seremban di Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah, baru-baru ini.


KUALA PILAH 23 Julai – Keunikan Istana Lama Seri Menanti di sini mempesona dan mengagumkan 12 pelajar Kolej Ancren Gate South, Downe House, United Kingdom yang mengadakan lawatan di sini baru-baru ini.
Pada lawatan yang turut disertai 12 pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah (KTK), Seremban itu, pelajar berkenaan dibawa melawat seluruh kawasan muzium sambil diberi penerangan tentang institusi diraja di negeri ini yang berteraskan Adat Perpatih.
Selain itu, pelajar berpeluang merasai sendiri pengalaman menjamu selera di dalam istana dengan menggunakan tangan dan duduk bersila dalam acara ‘makan berselo’.
Menurut salah seorang pelajar Ancren Gate South, Julia Gossip, 16, dia semacam tidak percaya berpeluang berada di istana tersebut setelah menonton program berkaitannya di saluran Discovery pada Mei lalu.
“Saya amat gembira kerana dapat menjejakkan kaki ke lokasi pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 ini.
‘‘Saya pernah menonton acara pertabalan itu di saluran Discovery pada Mei lalu dan tidak menyangka dapat ke sini serta menyaksikan sendiri bangunan lama istana dan antara alat yang digunakan sempena acara itu.
“Ternyata hubungan sekolah angkat yang terjalin antara sekolah kami dan TKC banyak memberi pengalaman baru kepada saya. Selain diberi pendedahan mengenai sistem pendidikan di sini, saya berpeluang mempelajari adat dan budaya masyarakat di Negeri Sembilan. Ternyata pengalaman itu amat bernilai dan tidak mungkin dilupakan,” katanya.
Rakannya, Elisabeth Huth, 16, berkata, dia tertarik dengan keunikan Istana Lama Seri Menanti yang sudah berusia lebih 100 tahun namun masih kukuh dan kekal cantik.
“Saya difahamkan istana ini dibina tanpa menggunakan paku dan dibina setinggi empat tingkat. Saya kagum dengan kebolehan masyarakat terdahulu yang mampu membina bangunan setinggi itu dan hanya bergantung pada pasak untuk menyambungkan ia dari satu kayu ke kayu yang lain.
“Bangunan ini masih kukuh dan cantik. Saya gembira kerana berpeluang melawat ke istana ini dan berterima kasih kepada KTK dan Tourism Malaysia Negeri Sembilan kerana menganjurkan lawatan yang sangat bermakna ini,” katanya.

Israel ancam halang 2 kapal


NEW YORK 23 Julai - Israel menggesa Lebanon dan masyarakat antarabangsa menghalang dua kapal bantuan berlepas dari sebuah pelabuhan di Lebanon menuju ke Genting Gaza bagi mencabar sekatan yang dikenakan oleh rejim Zionis itu di wilayah Palestin tersebut.
Rejim Yahudi itu memberi amaran, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menghalang kapal-kapal berkenaan.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Gabriela Shalev, menuduh penganjur kapal bantuan Junia dan Julia itu 'sebagai cubaan mencetuskan konfrontasi dan meningkatkan ketegangan di rantau tersebut'.
Pada 31 Mei lalu, Israel telah menerima kecam di peringkat antarabangsa apabila komandonya telah bertindak menyerang sebuah kapal bantuan dari Turki yang membawa bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza, mengakibatkan sembilan aktivis terbunuh.
Insiden itu juga telah menarik perhatian dunia terhadap sekatan yang dikenakan Israel ke atas Gaza, yang dikuatkuasa selepas pejuang Hamas mentadbir wilayah Palestin itu pada 2007.
Dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Majlis Keselamatan yang diperolehi The Associated Press semalam, Shalev berkata, 'Israel mempunyai hak di bawah undang-undang antarabangsa untuk menggunakan semua kaedah bagi menghalang kapal-kapal tersebut daripada mencabar sekatan tentera laut'.
Beliau turut meminta kerajaan Lebanon menjalankan tanggungjawab dan menghalang kapal Junia dan Julia daripada belayar menuju ke Gaza dari pelabuhan negara itu.
"Israel dan Lebanon masih bermusuh. Tindakan sedemikian hanya akan memburukkan lagi keadaan.
"Sehubungan itu, Israel meminta masyarakat antarabangsa menggunakan pengaruhnya bagi menghalang kapal-kapal itu daripada menuju ke Gaza dan tidak menggalakkan negara masing-masing mengmbil langkah serupa," katanya.
Shalev berkata, pihaknya juga tidak boleh mengenepikan kemungkinan Junia dan Julia membawa senjata 'atau individu yang mempunyai niat jahat'.
Di bawah peraturan sekatan yang sedia ada, hanya makanan asas dan bekalan perubatan dibenarkan masuk ke Gaza, namun selepas serangan komando Israel itu, rejim Zionis itu telah membenarkan kemasukan lebih banyak barangan pengguna. - AP

Petua Ketua Bilal Masjidil Haram jaga suara


SHAH ALAM 23 Julai – Jika mahu menjaga suara supaya sentiasa elok, sedap dan nyaring, jangan merokok, elak makanan pedas, berminyak dan jangan suka marahkan isteri.
Demikian petua yang diamalkan oleh Ketua Bilal Masjidil Haram, Sheikh Ali al-Muolla, 54, yang telah bertugas selama lebih 30 tahun sebagai muazin di masjid tersebut.
“Saya perhatikan ada bilal di negara ini yang merokok, ini tidak baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Universiti Antarabangsa al-Madinah (Mediu) di sini hari ini.
Ketibaan beliau di Mediu disambut oleh Rektornya, Prof. Dr. Mohammad Khalifa Al-Tamimi dan pegawai kanan universiti tersebut. Dalam lawatan selama kira-kira 45 minit itu, beliau dibawa melawat sekitar Mediu dan mengadakan perbincangan dengan Dr. Mohammad Khalifa.
Sheikh Ali yang sedang bercuti tiba di Malaysia, Selasa lalu dan dijadualkan pulang ke Mekah, Ahad ini. Beliau turut diberi penghormatan melaungkan azan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Menurut beliau, pada waktu dahulu iaitu semasa ketiadaan pembesar suara, azan dilaungkan oleh enam orang bilal di enam menara yang terdapat di sekitar Masjidil Haram.
Katanya, ketika itu, Masjidil Haram mempunyai 24 orang bilal tetapi dengan adanya sistem pembesar suara, bilangan itu kini hanyalah 14 orang.
“Zaman dahulu, syarat utama menjadi muazin adalah mereka yang bersuara kuat,” katanya yang menerima sanad lagu azan itu daripada datuknya.
Ditanya perbezaan laungan azan Mekah dan Madinah, Sheikh Ali berkata, muazin di Mekah suaranya lebih kuat manakala muazin di Madinah lebih pandai berlagu.
Mengenai kerja-kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram, beliau memberitahu, ia masih berjalan bagi menampung keperluan jemaah haji yang semakin meningkat.
“Setakat ini, kita belum tahu berapa jumlah jemaah yang boleh ditampung tetapi pada setiap malam 27 Ramadan, ada lebih empat juta jemaah solat di Masjidil Haram,” jelas beliau.

Azrinaz masih tinggal di istana Brunei


Azrinaz Mazhar Hakim


KUALA LUMPUR 23 Julai – Bekas isteri Sultan Hassanal Bolkiah, Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar masih berada di salah sebuah istana di Brunei dan tidak dibenar meninggalkan negara itu sehingga tamat tempoh idah.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, selepas idah, Azrinaz berkemungkinan menetap di London atau Australia dan mungkin juga kembali ke tanah air.
‘‘Itu semua bergantung kepada kehendak beliau sendiri.
‘‘Di tanah air, keluarga Azrinaz kini menetap di Shah Alam dan bukannya di Bukit Antarabangsa, Ampang seperti dilaporkan,’’ katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar ini hari ini, menyiarkan artikel tentang spekulasi di mana Azrinaz berada sejak diceraikan Sultan Brunei, bulan lepas.
Ada yang menyatakan beliau kini menetap di istana hinggap Sultan Brunei di London dan tidak kurang desas-desus bahawa bekas personaliti TV3 itu sudah kembali ke tanah air dan menetap bersama keluarganya.
Menyentuh soal penjagaan anak, sumber itu memberitahu kedua-dua cahayamata pasangan itu akan dijaga sepenuhnya oleh pihak istana.
Sumber itu turut menafikan laporan sebelum ini yang menyatakan Azrinaz diberi pilihan untuk menjaga salah seorang daripada dua anaknya itu.
Tegas beliau, laporan yang menyatakan Azrinaz memilih untuk menjaga anak keduanya iaitu Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 2, adalah tidak benar sama sekali.
‘‘Sekiranya selepas tempoh idah iaitu sekitar September ini, Sultan Brunei tidak rujuk, Azrinaz bukan sahaja terpaksa meninggalkan istana malah tidak akan dapat hak penjagaan kedua-dua anaknya kerana mereka adalah waris Sultan Brunei,’’ katanya.
Dalam pada itu, pelbagai pihak lain seakan-akan ‘mengunci mulut’ daripada membicarakan mengenai bekas isteri kedua Sultan Brunei itu.
Cubaan Utusan Malaysia mendapatkan maklumat tentang di mana Azrinaz daripada Istana Nurul Iman dan Kedutaan Malaysia di Brunei tidak berjaya selepas kedua-duanya enggan memberikan sebarang respons.
‘‘Maaf, kami tidak tahu di mana beliau (Azrinaz) berada. Kami tidak dapat memberikan penjelasan lanjut kerana ini melibatkan tampuk pemerintahan,’’ kata salah seorang pegawai Istana Nurul Iman hari ini.
Sementara itu, pegawai Kedutaan Malaysia di negara tersebut juga memberikan alasan sama dan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan.
Malah beberapa rakan karib Azrinaz juga enggan mengulas ke mana bekas rakan sekerja mereka itu menghilang.
“Tiada komen,” itu jawapan ringkas rata-rata mereka apabila ditanya berkenaan Azrinaz atau panggilan mesranya Naz.
Masing-masing mengakui kali terakhir mereka berhubungan adalah ketika wanita itu diceraikan sekitar bulan lalu.
Malah, ada yang memberitahu perkhidmatan telefon bimbitnya telah ditamatkan sejurus berita mengenai perceraian tersebut tersebar.
Sultan Brunei, 63, diijabkabulkan dengan Azrinaz, 31, pada 20 Ogos 2005 dalam satu majlis tertutup di ibu kota.
Pasangan itu bercerai talak satu pada bulan lepas.
Selain Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang putera, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 4.