Kompas.com memetik kenyataan bapa kanak-kanak tersebut Iswandi sebagai berkata, penyakit yang dialami oleh anaknya iaitu Muhammad Syahputra, 5, mula dikesan ketika dia berusia setahun.
“Ketika mengandungkan dia, isteri saya tidak mengalami apa-apa penyakit pelik. Namun, apabila menjangkau usia setahun anak saya didapati mudah demam setiap kali rambutnya dipotong.
“Sejak dari itu saya tidak lagi berani mengunting rambutnya, bimbang penyakit lain akan menyerang anak saya,” jelas Iswandi, baru-baru ini.
Iswandi yang mempunyai minat suka mengumpul barang-barang lama seperti kendi zaman purba, keris dan wang lama menolak andaian bahawa hobinya itu menjadi penyebab mengapa Muhammad Syahputra mengalami penyakit pelik itu.
“Anak saya kini membesar secara normal, namun apa yang membezakan dia dengan kanak-kanak lain adalah rambutnya yang kini panjang sehingga mencecah punggung,” ujarnya lagi.