Pages

Tuesday, April 29, 2014

Mohammed Badie dihukum mati


MOHAMMED Badie, (bawah tengah) dan pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Salah Soltan (kanan) menunjukkan isyarat tangan semasa hadir di kamar mahkamah di Minya, pada 1 April lalu. - AGENSI
KAHERAH 28 April - Seorang hakim Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas 683 orang penyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin termasuk Mursyidul Amnya, Mohammed Badie dalam satu perbicaraan beramai-ramai di wilayah Minya, hari ini.
Mahkamah sama turut mengesahkan hukuman mati ke atas 37 daripada 529 defendan yang dijatuhi hukuman mati pada Mac lalu, manakala baki selebihnya dipenjara selama 25 tahun.
Portal berita Al-Jazeera melaporkan, keputusan itu disambut dengan jeritan dalam kalangan ahli keluarga defendan yang menunggu di luar kamar dan menyebabkan beberapa wanita pengsan.
Kebanyakan peguam yang mewakili tertuduh pula bertindak memulaukan perbicaraan itu dengan menuntut Hakim, Saeed Youssef digugurkan daripada menghakimi perbicaraan tersebut dan menyifatkannya sebagai seorang 'pembunuh'.
Peguam yang mewakili 25 defendan, Mohamed Abdel Waheb berkata, keputusan itu dibuat pada satu sesi mahkamah yang mengambil masa kurang daripada tempoh lima minit.
Sebelum ini katanya, satu sesi perbicaraan berlangsung selama empat jam yang menyaksikan hakim enggan untuk mendengar sebarang hujah daripada pasukan pembelaan.
Saeed mula mendapat perhatian dan kritikan antarabangsa termasuk bantahan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia selepas beliau menjatuhkan hukuman mati ke atas 528 defendan pada 24 Mac lalu ekoran satu perbicaraan ringkas yang disifatkan tidak mengikut peraturan.
Badie merupakan antara 77 daripada 683 defendan yang berada di kandang mahkamah, manakala tertuduh selebihnya dibicarakan tanpa kehadiran mereka dan mempunyai hak automatik untuk dibicarakan semula.
Undang-undang Mesir mengkehendaki hukuman mati disahkan oleh hakim yang mengadili sesuatu kes selepas mendapat nasihat daripada Mufti Besar Al-Azhar, pegawai terkemuka agama di Mesir dengan nasihat mufti kepada hakim adalah rahsia.
Bagaimanapun, keputusan dan hukuman mati itu masih tertakluk kepada rayuan di Mahkamah Rayuan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140429/lu_01/Mohammed-Badie-dihukum-mati#ixzz30DoSW045
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: