Pages

Tuesday, December 11, 2012

Mohamed Morsi tangguh kenaikan cukai

Kosmo! Online - Dunia:



SEBUAH kereta kebal milik tentera Mesir mengawal kawasan di luar Istana Presiden di Kaherah semalam.



KAHERAH – Presiden Mesir, Mohamed Morsi memberi kuasa menangkap perusuh kepada pihak tentera dan mengarahkan ia bekerjasama dengan polis sehingga keputusan referendum tentang draf perlembagaan baharu diumumkan pada hujung minggu ini, menurut satu dekri yang diperoleh agensi berita AFP semalam.
Dekri itu telah dipaparkan di laman web rasmi pemerintah dan digazet di bawah peruntukan Undang-Undang 107, sehari sebelum perhimpunan bantahan besar-besaran oleh pihak pro-Morsi dan penentangnya dijadualkan berlangsung pada hari ini bagi membantah referendum tersebut.
“Pasukan tentera perlu membantu pihak polis dengan menjalin kerjasama bagi memelihara keselamatan dan melindungi institusi kenegaraan sehingga pengumuman referendum perlembagaan itu dibuat,” kata dekri itu.
Bantahan ganas terhadap Morsi yang bermula pada bulan lepas telah mengorbankan tujuh nyawa dan menyebabkan beratus-ratus orang cedera.
Referendum tentang draf perlembagaan tersebut ditentang oleh kumpulan anti-Moris termasuk blok pembangkang kerana ia menyekat kebebasan rakyat dan hak asasi wanita.
Kereta-kereta kebal dan tentera telah dikerah mengawal kediaman rasmi Morsi sejak Khamis lalu.
Namun tiada pertempuran berlaku manakala ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di luar kediaman rasmi itu setiap malam.
Sementara itu, Morsi bertindak untuk menangguhkan kenaikan cukai ke atas beberapa produk termasuk arak dan rokok.
Morsi mengeluarkan keputusan itu pada malam kelmarin dan mengarahkan Perdana Menteri, Hisham Qandil untuk memulakan perbincangan untuk tidak menaikkan cukai supaya ia tidak membebankan rakyat.
Kenaikan cukai itu telah menjejaskan industri besi, simen dan beberapa produk lain.
Kenaikan cukai itu merupakan antara terkandung dalam bajet negara ini.
Ia turut menyatakan cadangan untuk meminjam sebanyak AS$4.8 bilion (RM14.6 bilion) daripada Dana Kewangan Antarabangsa bagi memulihkan ekonominya.
Industri pelancongan yang merudum dan kekurangan pelaburan asing telah melemahkan ekonomi Mesir.
Perbalahan politik antara Morsi dan pemimpin pembangkang yang kebanyakan sekular memburukkan lagi ekonomi negara ini. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2EjINm4lm 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

No comments: