Pages

Saturday, April 18, 2015

Zoo latih kambing jadi pelukis

Albuquerque (Amerika Syarikat): Sebuah zoo di sini, menjual beberapa lukisan yang dilukis seekor kambing selepas pengunjung tertarik dengan hasil seni haiwan itu.
Lukisan berkenaan dilukis seekor kambing yang diberi nama Bodie selepas dilatih pekerja di Zoo Albuquerque di sini, sejak beberapa bulan lalu.
Haiwan itu melukis dengan menggunakan berus lukisan yang digigit di mulutnya.
Bodie mampu melukis dengan baik dan lukisannya berwarna-warni itu sering mendapat pujian pengunjung zoo berkenaan.
Seorang pengunjung, Lynda Shey berkata, dia sanggup membeli lukisan yang dilukis Bodie kerana ia sangat cantik.
“Saya membeli satu lukisan yang dihasilkan haiwan itu kerana tertarik dengan warnanya,” katanya.
Pengurus Zoo Albuquerque, Lynn Tupa memberitahu cabaran dihadapi mereka ialah melatih haiwan berkenaan menggunakan otak mereka. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:12 AM


BODIE sedang menyiapkan sebuah lukisan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/44297#sthash.4e2aANlV.dpuf

Pelukan untuk kekasih

Sanhe (China): Ini satu lagi kisah rakyat China yang terpaksa melakukan sesuatu yang ganjil, semata-mata untuk membayar bil perubatan orang disayangi.
Kali ini ia membabitkan seorang wanita di Hebei yang menawar untuk memeluk sesiapa saja dengan bayaran 10 yuan (RM6) bagi mengumpul wang untuk membiayai kos perubatan teman lelakinya, Jia.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Yuanyuan dilihat di jalan raya di Sanhe kelmarin, bersama-sama kadbod bertulis: “Untuk mengubati teman lelaki saya. Saya akan peluk anda dengan bayaran 10 yuan.”
Dia berkata, Jia perlu menjalani pembedahan pemindahan sumsum tulang dan diminta membayar wang pendahuluan 250,000 yuan (RM146,000).
Yuanyuan mengaku dia mencontohi seorang bapa yang berjaya mengumpul sehingga 800,000 yuan (RM470,000) untuk mendapatkan wang bagi mengubati anaknya yang menghidap leukemia dengan menjadikan dirinya karung tinju.
“Saya menawar diri untuk dipeluk supaya dapat mengumpul wang bagi membantu teman lelaki saya,” katanya.
Apabila mengetahi mengenai tindakan Yuanyuan, Jia cuba menghalangnya.
Saksi berkata, kedua-duanya bertengkar dan berakhir dengan masing-masing menangis berpelukan.
Ia mungkin lakonan untuk menarik perhatian orang ramai.
Namun, kisah mereka menjadi bukti mengenai sistem kesihatan China yang gagal membantu mereka yang amat memerlukan rawatan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:07 AM


YUANYUAN bertengkar dengan kekasihnya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/44629#sthash.GQpR2pzN.dpuf

Anak beranak miliki lidah paling lebar di dunia



EMILY dan bapanya diiktiraf sebagai wanita dan lelaki yang memiliki lidah terlebar di dunia oleh Guinness World Records baru-baru ini.


NEW YORK – Seorang bapa dan anak perempuannya di sini memiliki lidah terlebar di dunia sekali gus diiktiraf dalam Guinness World Records baru-baru ini.
Byron Schlenker, 47, memiliki lidah selebar 8.6 sentimeter (sm) iaitu 2sm lebih lebar berbanding seunit iPhone 6, manakala anaknya, Emily, 14, yang memiliki lidah selebar 7.3sm turut diiktiraf sebagai wanita yang memiliki lidah terlebar di dunia. Saiz normal lidah manusia biasanya antara 4sm hingga 5sm.
Menurut Byron, dia menyedari memiliki lidah luar biasa itu selepas mengambil satu salinan buku Guinness World Records ketika membantu Emily menyiapkan satu projek sekolah di perpustakaan.
“Sewaktu membelek-belek beberapa halaman buku itu, saya melihat seorang warga Australia mencatat rekod dunia kerana memiliki lidah selebar 7.9sm.
“Dari situ, saya mula terfikir untuk mencatat rekod yang sama memandangkan saya dan Emily turut memiliki lidah yang lebar namun, kami tidak pernah mengukurnya,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3XcC1uajD 
Hakcipta terpelihara 

Friday, April 17, 2015

Lelaki mendarat dengan helikopter mini di laman Capitol



SEORANG anggota unit pemusnah bom memeriksa helikopter mini yang mendarat di halaman bangunan Capitol, Washington kelmarin.


WASHINGTON – Kakitangan bangunan Capitol di sini gempar selepas seorang lelaki bertindak mendaratkan sebuah helikopter mininya menyebabkan pihak berkuasa terpaksa bertindak menutup kawasan berkenaan.
"Polis Capitol Amerika Syarikat (AS) telah menahan seorang lelaki dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan," kata pegawai polis, Shennell Antrobus kepada AFP.
Menurut akhbar Tampa Bay Times, juruterbang helikopter mini berkenaan merupakan seorang lelaki dari Florida yang bertindak demikian sebagai kempen mendesak reformasi kewangan.
Ruang udara di sekitar mercu tanda Washington itu termasuk White House merupakan kawasan larangan kepada sebarang penerbangan.
Ketika kejadian terdapat 535 anggota Kongres AS sedang bersidang.
Polis berkata, sekumpulan skuad bom juga telah dihantar untuk memeriksa helikopter berkenaan yang mendarat beberapa ratus meter dari bangunan Capitol.
Pihak berkuasa juga dilaporkan mengarahkan bangunan itu dikunci walaupun tiada arahan pengosongan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3XVravWfK 
Hakcipta terpelihara 

Wanita lahir anak kembar lima



KEMBAR lima yang dilahirkan di Hospital Wanita Texas pada 8 April lalu. - AGENSI


HOUSTON, Texas – Seorang wanita di sini melahirkan bayi kembar lima dan kesemuanya perempuan sekali gus menjadikan kelahiran itu sebagai yang pertama di Amerika Syarikat (AS).
Hospital Wanita Texas memberitahu, ibu berkenaan, Danielle Busby mengambil masa empat minit untuk melahirkan kesemua bayi tersebut melalui kaedah pembedahan Caesarean pada 8 April lalu.
Danielle dan suaminya, Adam Busby serta anak sulung mereka, Blayke gembira menyambut kelahiran bayi kembar lima yang diberi nama Olivia Marie, Ava Lane, Hazel Grace, Parker Kate dan Riley Paige itu.
Dr. Alexander Reiter yang terlibat dalam pembedahan melahirkan bayi-bayi pramatang pada usia 28 bulan itu telah dibantu oleh beberapa pegawai perubatan lain.
"Kelahiran bayi kembar lima itu adalah yang pertama di AS," beritahu hospital tersebut.
Danielle menjalani kaedah permanian berhadas untuk kedua-dua kehamilannya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3XVrRydJC 
Hakcipta terpelihara 

Facebook ketemukan wanita berwajah sama



GEANEY (kiri) berjaya menjejak kembar asing dirinya, Branigan melalui kempen yang dilancarkan di Facebook. - AGENSI


DUBLIN, Ireland – Seorang wanita di sini berjaya menjejak 'kembar seiras' dirinya melalui satu kempen yang dilancarkan olehnya dan dua lagi rakan di laman sosial Facebook baru-baru ini.
Wanita tersebut, Niamh Geaney, 26, yang merupakan seorang pelajar dan penyampai televisyen berjaya menemui Karen Branigan, 29, melalui cabaran menjejak kembar asing yang bertujuan mencari sesiapa yang memiliki wajah paling seiras dalam masa 28 hari.
Bagaikan tidak percaya, kedua-dua mereka akhirnya bertemu dalam dunia sebenar apabila Branigan hanya tinggal dalam jarak yang mengambil masa satu jam sahaja dari tempat tinggal Geaney.
"Saya sangat gementar untuk bertemu dan berinteraksi dengan seseorang yang memiliki wajah serupa dengan saya," ujar Geaney yang mempunyai dua adik-beradik perempuan.
Branigan pula yang memiliki lima adik-beradik perempuan dan seorang adik lelaki memberitahu, tiada antara ahli keluarganya yang memiliki wajah begitu iras seperti mereka berdua.
Sejak pertemuan itu, Geaney dan Branigan yang kedua-duanya masih bujang saling berhubungan antara satu sama lain melalui Facebook. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3XVrHvcH3 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, April 16, 2015

Bapa Cadang Jual Buah Pinggang Untuk Rawat 3 Anak Obes


Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 3:27 PM
Dari kiri, Yogita, Harsh dan Anisha...kini dianggap sebagai kanak-kanak paling gemuk di dunia.

NEW DELHI: Bapa kepada tiga kanak-kanak yang dipercayai sebagai paling gemuk di dunia bercadang untuk menjual salah satu buah pinggangnya demi untuk memperoleh wang bagi merawat mereka.
Yogita Rameshbhai Nandwana, 5, Anisha, 3 dan seorang lagi adik lelaki mereka Harsh, yang berusia 18 bulan adalah di antara kanak-kanak paling berat dan gemuk di dunia.
Berat Yogita kini 34kg, Anisha (48kg) dan Harsh (15kg).
Rameshbhai Nandwana (kiri), 34, and Pragna Ben (belakang kanan), 30, ibu bapa kepada Yogita (depan kiri), Anisha (depan kanan), Harsh (depan tengah) dan seorang lagi anak mereka, Bhavika (belakang tengah).
Jumlah makanan yang mereka ambil seminggu cukup untuk menyara dua buah keluarga selama sebulan.
Kini bapa mereka, Rameshbhai Nandwana, 34, yang berasal dari Gurjarat, India, bercadang untuk menjual salah satu buah pinggangnya bagi membolehkannya mengumpul wang untuk berjumpa dengan pakar obesiti.
"Jika ketiga-tiga anak saya terus membesar dengan kadar yang ada sekarang saya khuatir akhirnya mereka akan menemui maut. Buat masa ini selera makan mereka tidak boleh dihalang," ujarnya sebagaimana yang disiarkan oleh portal berita UK, Mail Online pada Khamis.
Manakan tidak, Yogita dan Anisha makan 18 keping capati sehari, nasi, sup, enam paket keropok, lima paket biskut, 12 biji pisang dan satu liter susu tidak termasuk minuman ringan seperti coca-cola dan pepsi.
Yogita dan Anisha makan lapan capati, 41 paun nasi, tiga mangkuk sup, lima paket keropok, lima paket biskut dan 12 pisang.
Setiap hari ibu mereka, Pragna Ben, 30, terpaksa menyediakan enam kali hidangan kepada mereka iaitu pada jam 6 pagi, 10 pagi, 12.30 tengah hari, 3 petang, 5 petang dan akhir sekali pada jam 8 malam.
"Saya perlu menyediakan sekurang-kurangnya 30 capati sehari dan sekurang-kurangnya 1kg gulai sayur setiap pagi," ujarnya.
Menurut Pragna, ketiga-tiga anaknya itu sentiasa lapar dan tidak boleh berhenti makan.
"Masalah kami ialah mereka akan menjerit tanpa henti jika lapar dan hanya akan diam bila dihidangkan makanan," katanya lagi.
Selain tiga orang anak obes ini, pasangan itu juga mempunyai seorang lagi anak sulung perempuan yang normal.
"Ketika Yogita dilahirkan dia hanya seberat 1.5kg dan sangat lemah dan kami memberikan makanan tambahan kepadanya sepanjang satu tahun yang pertama sehinggalah beratnya mencapai 12kg pada ulang tahun kelahirannya yang pertama.
"Anak ketiga kami Anisha turut berhadapan dengan masalah yang sama malah ketika dia mencapai usia setahun, beratnya meningkat kepada 15kg," katanya.
Anisha dipeluk bapanya, Ramashbhai sambil disaksikan Harsh. Sebanyak Rs10,000 dibelanjakan sebulan untuk makanan anak-anaknya.
Menurut bapa mereka lagi, pada mulanya mereka sangka ini adalah pembesaran yang normal sehinggalah kelahiran anak lelaki mereka Harsh, dia juga turut membesar dengan kadar yang sama dan kini mereka khuatir yang anak mereka akan terus membesar tanpa had.
Pendapatan mereka sekeluarga tidak sampai Rm200 sebulan dan jumlah ini tidak memadai untuk mereka berjumpa dengan doktor pakar bagi mendapatkan rawatan untuk Yogita, Anisha dan Harsh.
Separuh daripada pendapatannya itu terpaksa dihabiskan untuk makanan anak-anaknya sahaja.
"Dengan berat badan yang begitu besar mereka kini tidak dapat berjalan. Mereka hanya boleh makan sahaja," tegasnya.
Malah ibu mereka terpaksa menggunakan troli untuk mengusung ketiga-tiga anaknya itu ke bilik air setiap kali mereka hendak mandi atau membersihkan diri.
"Mereka terlalu berat...saya seorang tidak boleh mengangkat mereka," kata ibu mereka.
Pakar Paediatrik Hospital Kanak-Kanak Mandavia di Gujarat, Dr Akshay Mandavia berkata, tidak syak lagi ketiga-tiga kanak-kanak itu berhadapan dengan sindrom obesiti yang kronik dan memerlukan rawatan segera jika mereka ingin menjalani kehidupan yang normal.

Wednesday, April 15, 2015

Mesej untuk ayah di angkasa

Mesej untuk ayah di angkasa
Lakaran yang berjaya dirakam
TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Apabila anda ingin menulis mesej yang boleh dilihat dari angkasa lepas, mesej yang perlu dilakarkan itu haruslah sangat besar.

Stephanie, 13, dari Texas, Amerika Syarikat mempunyai impian untuk menyampaikan mesej kepada bapanya yang bekerja sebagai angkasawan di International Space Station (ISS).

"Saya sangat rindukannya, alangkah baiknya jika saya mampu menulis satu mesej yang besar supaya dia dapat melihatnya dari angkasa,” katanya.

Impian gadis itu direalisasikan oleh sebuah syarikat pengeluar kereta Korea Selatan, Hyundai menggunakan kereta sedan Genesis miliknya "melakar" mesej tersebut di atas padang pasir di Nevada's Delamar Dry Lake.

Malah lakaran mesej  'Steph love you" telah dicatatkan sebagai imej trek tayar terbesar di dunia oleh Guinness World Records.

Pakar dari Korea, Eropah dan Amerika Syarikat bekerjasama dan berjaya merealisasikan impian gadis berkenaan.

Sementara itu, berkomunikasi melalui pautan video dari ISS, bapa Stephanie menunjukkan imej lakaran yang diambilnya dari kameranya.

"Hai, Stephanie, ayah hanya mahu mengatakan saya sayang anda dan terima kasih", kata bapanya sambil menunjukkan lakaran mesej tersebut

Video yang berdurasi 4.03 minit bertajuk Hyuandai: A Message to space" dimuatnaik 9 April lalu dan kini ditonton hampir 4 juta pelayar.

Niloofar tak gentar ugutan bunuh oleh keluarga


Niloofar Rahmani
Niloofar Rahmani

AFGHANISTAN - Juruterbang wanita Afghanistan, Niloofar Rahmani, 23, tidak gentar apabila menerima ugutan bunuh dari pengganas, Taliban.

Menurut Dailymail, Niloofar dan enam lagi ikon wanita dari serata dunia dianugerahkan  Anugerah Keberanian Wanita 2015 dalam sebuah majlis di Amerika Syarikat, minggu lalu.

Menurut Niloofar, sememangnya bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang menghabiskan hampir setahun mempelajari bahasa Inggeris untuk memasuki kolej.

Beliau akhirnya menyertai Program Latihan Pegawai Afghan Air Force pada 2010 dan tamat pengajian pada 2012 dengan pangkat Leftenan Kedua.

Niloofar dikatakan mengingkari sebuah arahan selepas menemui beberapa askar Afghanistan yang cedera ketika sebuah misi dan menerbangkan mereka ke hospital.

Pegawai atasan membuat keputusan untuk tidak menghukum Niloofar kerana mengingkari arahan tersebut.

Selepas kejayaan Niloofar menyelamatkan askar-askar berkenaan diketahui umum, beliau menerima ugutan bunuh daripada Taliban dan ahli keluarganya sendiri kerana pilihan kerjayanya itu.

“Anda tidak boleh melihat diri anda sebagai seorang wanita sahaja, anda perlu percaya kepada diri anda sendiri,” kata Niloofar ketika ditemuramah WTKR.

Beliau bertegas akan terus meneruskan kerjayanya dan bercita-cita untuk menjadi tenaga pengajar untuk menggalakkan lebih ramai wanita menceburi pekerjaan tersebut.

CEO potong gaji sendiri, naikkan gaji pekerja


CEO potong gaji sendiri, naikkan gaji pekerja
Pekerja syarikat Gravity Payments meraikan pengumuman Dan Price. (Gambar kecil) Dan Price
SEATTLE - AMERIKA SYARIKAT. Seorang CEO membuat keputusan untuk memotong gajinya sendiri dan menaikkan gaji 120 orang pekerjanya, Isnin lepas.

Menurut Dailymail, Dan Price, CEO kepada syarikat Gravity Payments, sebuah syarikat pemprosesan kad kredit memperoleh pendapatan sebanyak USD 1 juta (RM3.7 juta) setahun sebelum pengumuman berkenaan.

Price mendapat ilham berkenaan selepas sebuah penyelidikan bagaimana kenaikan gaji mampu memberi kegembiraan untuk pekerja yang memperoleh pendapatan USD 70,000 (RM260,000) setahun.

"Adakah anda terkejut? Saya sendiri terkejut," beritahu Price kepada kakitangannya yang bersorak gembira dalam sebuah mesyuarat.

Price memberitahu THe Times bahawa beliau tertekan dengan kesusahan yang dialami oleh kawan-kawannya dan ahli keluarganya yang memperoleh pendapatan kurang USD 70,000 setahun.

"Mereka menceritakan kesusahan mereka kepada saya hampir setiap minggu. Saya terharu dan rasa tertekan," kata Price.

Price mengasaskan syarikat Gravity Payments pada 2004 ketika berusia 19 tahun.

Kanak-kanak lima tahun temui fosil dinosaurus

Kanak-kanak lima tahun temui fosil dinosaurus
Gambar fail Wylie Brys bersama bapanya.
TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun berjaya menemui fosil dinasaur setelah seringkali mengikut ayahnya menggali tanah untuk mencari ‘benda’ tersebut.

Washington Post melaporkan Wylie Brys menemui  fosil dinosaurus di halaman sebuah kawasan berhampiran pusat membeli belah  di Mansfield, Texas, AS, pada September 2014 lalu.

Pengkaji percaya, fosil ini berasal dari tulang belulang dinosaurus yang hidup sekitar 100 juta tahun lalu.

Sementara itu, menurut saintis dari Southern Methodist University (SMU) pihaknya akan membantu mengekstrak fosil dinosaurus tersebut. Kerja-kerja mengenainya sudah dimulakan pada Selasa lalu.

"Fosil dinasour  jarang ditemui di daerah seperti ini," ujar salah seorang saintis dari SMU.

Sementara menurut ayah kanak-kanak tersebut, selain menemui fosil dinosaurus itu, mereka juga telah menemui beberapa tulang ikan di lereng bukit. Kini fosil-fosil tersebut sudah dipindahkan ke SMU untuk menjalani proses ‘pengesanan’.

Pesawat Komersial Lakukan Bentuk 'Love' Gergasi Di Udara


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 7:52 AM

SEBUAH pesawat komersial Air Malta dikesan melakukan dua bentuk 'love' gergasi di udara yang berjaya dikesan oleh Flightradar24 di Kepulauan Mediterranean.
Berikutan tindakan itu, ramai pemerhati penerbangan bingung dengan tindakan juruterbang pesawat jenis AMC14JC itu.
Terdapat juga daripada mereka yang menyifatkan tindakan itu sebagai publisiti merbahaya yang dianjurkan oleh syarikat penerbangan tersebut.
Tindakan itu dipercayai dilakukan secara sengaja oleh Air Malta kerana syarikat itu telah mengadakan promosi 'Penerbangan Cinta' pada Februari lalu sebagai cara istimewa dan unik untuk menyambut hari kekasih.
Ketika pesawat itu dirakam melakukan dua bentuk 'love' gergasi, terdapat dua penerbangan komersial lain menuju ke lokasi tersebut dan ia boleh menimbulkan bahaya.
Syarikat Air Malta yang diminta memberi respon terhadap insiden itu bagaimanapun dilapor mendiamkan diri ketika ini.

Wanita Cedera Selepas Peluru Melantun Dari Kulit Armadillo


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 8:38 AM

SEORANG wanita cedera selepas sebutir peluru yang terkena kulit armadillo melantun kepadanya.
Kejadian yang berlaku di Lee County, Georgia, Amerika Syarikat itu berlaku apabila menantu Marry McElroy, 54, menembak seekor armadillo di belakang rumah mereka.
Lelaki itu, Carrol Johnson dilapor telah menembak armadillo berkenaan dengan menggunakan sepucuk pistol 9mm sebelum peluru yang membunuh binatang berkenaan melantun mengenai ibu mertuanya.
Marry bagaimanapun dilaporkan stabil dan polis setakat ini hanya mengambil keterangan Carrol tanpa menahannya.
Armadillo merupakan seekor binatang yang hidup liar di hutan tropika dan boleh mempertahankan dirinya seperti tenggiling.
Armadillo telah dipilih sebagai maskot bagi Piala Dunia Brazil pada 2014.

Pesakit Jantung Hidup Semula Selepas Direndam Dalam Ais


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 10:40 AM

SEORANG bapa kepada dua anak yang dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung, didakwa hidup semula selepas doktor memasukkan jasadnya ke dalam kolam ais.
Doktor tersebut memasukkan jasad Bulent Sonmez ke dalam ais selepas mereka gagal menghidupkan semula dengupan jantung lelaki itu yang terhenti.
Dalam kejadian itu, Bulent telah jatuh pengsan selepas mengalami serangan jantung dan doktor gagal menyelamatkannya melalui kaedah biasa.
Berikutan itu, doktor bertindak menggunakan rawatan therapeutic hypothermia dengan merendamkan jasadnya di dalam kolam ais bagi menurunkan suhu badan.
Sebaik sahaja jantungnya kembali berdegup, doktor bertindak mengekalkan dengupan itu selama 24 jam termasuk menjaga suhu badan bapa berusia 40 tahun itu.
Selepas lapan bulan kejadian itu berlaku, Bulent dari Ankara, Turki, kini kembali hidup bahagia bersama keluarganya.

Pengantin lelaki Arab Saudi dikehendaki solat 5 waktu

Calon pengantin lelaki yang ingin mendapat bantuan perkahwinan
CALON pengantin lelaki yang ingin mendapat bantuan perkahwinan daripada pertubuhan kebajikan di Arab Saudi disyaratkan menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid. AGENSI

RIYADH 14 April - Pertubuhan-pertubuhan kebajikan di Arab Saudi yang membantu pasangan muda di negara ini berkahwin ‘dikehendaki’ memastikan setiap calon pengantin lelaki supaya mengerjakan sembahyang lima waktu secara berjemaah di masjid.
Arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial Arab Saudi itu antara lain memerlukan imam di sesebuah kawasan perumahan yang didiami calon pengantin lelaki itu supaya menyediakan bukti tentang pelaksanaan ibadah berkenaan oleh lelaki muda tersebut.
Timbalan Pengarah Kementerian Hal Ehwal Sosial bagi Wilayah Timur, Mohammad Rajab Al-Zahrani berkata, mereka yang memohon bantuan perkahwinan itu akan disiasat termasuk perlu menyediakan jiran atau rakan bagi menjadi saksi tentang ibadah mereka.
Katanya, pertubuhan kebajikan perlu mempunyai anggota yang akan memeriksa ketulenan dokumen, dan sama ada calon pengantin lelaki melakukan sembahyang secara berjemaah di masjid di kawasan kediaman mereka.
‘’Pemeriksa itu yang akan berurusan dengan kementerian berkenaan juga perlu memastikan lelaki yang menerima bantuan kewangan itu telah berkahwin,’’ katanya menurut laporan media tempatan yang dipetik portal Arab News.
Kementerian Hal Ehwal Sosial kini menyelia sebanyak 650 pertubuhan kebajikan dengan 21 daripadanya mempunyai pengkhususan dalam kebajikan perkahwinan dan keluarga.
Sementara itu, Ketua Pengarah bagi Persatuan Perkahwinan dan Kebajikan di Al-Ahsa, Adel Al-Khoufi berkata, pertubuhannya tidak memerlukan imam untuk menyediakan bukti itu dan kelonggaran itu tidak bermakna mereka tidak mahu calon supaya tidak menunaikan solat.
Katanya, banyak orang tidak dapat bersembahyang pada setiap masa di masjid dan mungkin mereka mengerjakan solat di tempat kerja.
Bagaimanapun, katanya, pemohon perlu menyediakan kontrak perkahwinan mereka bagi membuktikan mereka serius untuk berkahwin.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pengantin-lelaki-arab-saudi-dikehendaki-solat-5-waktu-1.81024#sthash.td5NIK3K.dpuf

Tuesday, April 14, 2015

Nenek 65 tahun hamil kembar empat

Berlin: Seorang wanita berusia 65 tahun dan mempunyai 13 anak kini dilaporkan mengandung anak kembar empat.
Stesen televisyen RTL melaporkan, Annegret Raunigk mengambil keputusan untuk mengandung lagi selepas anak perempuan bongsunya yang berusia sembilan tahun mahukan adik.
Stesen televisyen itu menyiarkan temu bual dengan Annegret yang mempunyai tujuh cucu semalam dan akan merakamkan setiap detik kehamilan wanita itu.
Annegret berkata, sehingga kini dia tidak mengalami sebarang komplikasi dan dia dijangka melahirkan anaknya itu pada musim panas ini.
Sekiranya semuanya berjalan lancar, Annegret bakal menjadi ibu paling tua melahirkan bayi kembar empat.
Akhbar Bild am Sonntag pula melaporkan berita kehamilan Annegret di muka depan.
Annegret yang mempunyai anak sulung perempuan berusia 44 tahun memberitahu dia sangat teruja apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa dia hamil lagi.
“Lebih mengejutkan apabila doktor memberitahu bahawa saya mengandungkan bayi kembar empat,” katanya.
Annegret menjadi tajuk berita di Jerman kira-kira 10 tahun lalu apabila melahirkan anak ke-13 ketika berusia 55 tahun.
“Sebenarnya saya tidak takut untuk melahirkan bayi kembar empat ini kerana saya sihat dan cergas.
“Saya juga berpengalaman dan ini bukanlah perkara baru bagi saya,” tegasnya dalam satu wawancara. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:39 AM


ANNEGRET (duduk dua dari kiri) bersama anak dan cucunya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43615#sthash.4hjmQLQy.dpuf

Berebut kutip duit terbang dari lori


Berebut kutip duit terbang dari lori
Sedutan video yang dimuatnaik Joel Aldridge.
TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang pengguna jalan raya Joel Aldridge, 46, berjaya merakam gelagat beberapa pengguna jalan raya mengutip wang kertas yang bertaburan di atas jalan raya selepas beberapa beg plastik berisi wang kertas terjatuh dari sebuah trak.

Dalam rakaman video yang berdurasi 1 minit itu menunjukkan ramai pemandu memberhentikan kenderaan mereka untuk mengutip duit yang bertaburan di atas jalan raya.

Sementara itu, memetik laporan Reuters, pihak syarikat Brinks memberitahu polis, wang tunai tersebut diletakkan di dalam beg plastik itu terjatuh selepas pintu penumpang trak berkenaan terbuka.

Polis menyeru pengguna jalan raya yang terlibat supaya memulangkan semula wang tersebut.

Jurucakap polis, Chris Crawford berkata, tiada wang tunai yang masih berada di jalan raya tersebut.

“Setakat ini sebahagian besar daripada wang tersebut masih tidak dikembalikan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beruang diberi layanan istimewa dalam penerbangan


beruang koala
Koala yang diberi layanan istimewa Qantas Airlines - Foto Facebook Cantas Airlines
BRISBANE - AUSTRALIA. Empat beruang koala yang dipinjamkan sementara kepada Singapura oleh kerajaan Australia sempena sambutan kemerdekaan ke 50 tahun negara itu diberi layanan penerbangan kelas istimewa oleh Qantas Airlines.

Dalam satu foto yang dikongsi di laman sosial Facebook Qantas Airlines memaparkan haiwan tersebut dihidangkan minuman dan daun oleh krew penerbangan.

Koala yang diberi nama Paddle, Pellita, Chan dan Idalia akan di pinjamkan kepada Singapura  selama enam bulan di sebuah pameran di Zoo Singapura.

Koala tersebut tiba di Singapura hari ini, namun penyerahan rasmi akan berlaku pada 20 Mei selepas haiwan tersebut melengkapkan prosedur kuarantin yang ditetapkan.

Memetik laporan Channel News Asia, sepanjang perjalanan udara tersebut koala-koala tersebut dilengkapi dengan kandang yang dibina khas, kapsul kawalan iklim yang dilengkapi pokok dan daun yang berkualiti.

Sultan Brunei sambut perkahwinan anak bongsu

Sultan Brunei sambut perkahwinan anak bongsu
Majlis perkahwinan yang berlangsung di Istana Nurul Iman - Foto Reuters
BANDAR SERI BEGAWAN - BRUNEI. Anak lelaki Sultan Brunei selamat melangsungkan perkahwinan yang diraikan dalam satu majlis besar-besaran di Istana Nurul Iman di sini, semalam.

Sultan Hassanal Bolkiah yang memerintah Brunei sejak tahun 1967 dilihat bersama meraikan perkahwinan anaknya, Putera Abdul Malik, 31, dan pasangannya Dayangku Raabi'atul 'Adawiyyah Pengiran Haji Bolkiah, 22, yang juga merupakan bekas penganalisis sistem dan IT.

Putera Abdul Malik adalah anak bongsu Sultan Brunei dan isteri, Puteri Saleha.

Memetik laporan Al Arabia News, upacara perkahwinan tersebut akan berlangsung selama 11 hari dan turut diisi dengan persembahan keagamaan di dua lokasi yang berasingan di ibu negara Brunei.

Brunei ialah sebuah negara kecil yang kaya dengan sumber minyak dan mengamalkan pemerintahan monarki dan Sultan Hassanal Bolkiah turut tersenarai antara lelaki terkaya di dunia.

Tahun lepas, Sultan Brunei mengumumkan undang-undang dikenali sebagai Kod Penal Syariah.

Hampir 70 peratus daripada 400,000 rakyat negara itu adalah penduduk Islam manakala kira-kira 15 peratus adalah bukan Islam.

Lahir bayi dari sperma ayah yang meninggal dunia

Lahir bayi dari sperma ayah yang meninggal dunia
Bayi dikandung menggunakan sperma yang diambil selepas 48 jam bapanya meninggal dunia. - Foto Alamy
CANBERRA - AUSTRALIA. Seorang wanita telah melahirkan seorang bayi lelaki melalui kaedah 'In Vitro Fertilisation' (IVF) dengan menggunakan sperma yang diambil selepas 48 jam bapanya meninggal dunia.
Sebelum itu, ibu kanak-kanak tersebut terpaksa berjuang di Mahkamah Agung Australia untuk mendapatkan kebenaran untuk menggunakan sperma suaminya yang terbunuh dalam kemalangan motosikal.

Pada mulanya doktor tidak pasti sama ada prosedur tersebut akan berjaya kerana keputusan mahkamah mengambil masa selama dua hari.
Ia bukan kali pertama sperma diambil dari orang mati untuk melahirkan bayi, tetapi ia adalah 18 jam lebih lama daripada yang telah dilakukan pada masa lalu.

Pakar IVF, Steve Robson berkata, ia menjadi luar biasa untuk melibatkan diri dengan membantu seorang wanita yang mempunyai begitu banyak cinta dan keberanian.

“Sebagai sebuah kumpulan kami kagum dengan cinta yang dipunyai wanita ini dan mempunyai daya tahan yang luar biasa terhadap segala rintangan yang dihadapi beliau,” katanya dipetik metro.uk.

Bagaimanapun, wanita tersebut terpaksa pergi ke Canberra dari Adelaide untuk menjalankan prosedur berkenaan kerana prosedur ini diharamkan di Adelaide.