Pages

Saturday, October 2, 2010

Segenggam Tanah Setitis Darah



Oleh WB Rendra
wbrendra.blogspot.com
2010/08/21

"CICIT-CICITKU mahu mendengar kelangsungannya?" Buyut menghulurkan piring berisi nagasari. Disambut seorang cicit perempuan dan diletakkan di sisi juadah berbuka puasa. Buyut duduk perlahan-lahan. 

“Ya, Buyut. Ini kesinambungan tempoh hari? Bagaimana nasib segenap penghuni Desa?” Dedaun tanya seorang cicit lelaki jatuh lembut di deria dengar Buyut. Membetulkan duduk punggung dan tumpuan mata. Busur panah cicit-cicitnya tertancap di bibir Buyut yang rekah seribu rahsia, menyampai kisah dan cerita bukan sia-sia.
“Oh, cicit masih mengingati ya? Kita mesti mengambil erti dari jalan cerita ini. Buyut ada rentetannya. Seusai kisah ini, hantarkan sepiring kuih ke rumah sebelah.” Buyut mengerling ke dalam kolam makna mata cicitnya yang masih setia mendengar kisah-kisah epik yang diamati Buyut. Buyut khuatir masa hadapan mereka – cicit-cicitnya. “Cicit dengar ini, 'Segenggam Tanah Setitis Darah'.”
1 

BAPA mula resah memerhatikan kepul-kepul asap hitam. Bapa melihatnya jauh. Tebal. Mengapung lambat. Dalam fikiran anak yang mengiringi bapa tertanya-tanya asap apakah itu? Seperti asap dari getah yang terbakar. Bergumpal, berkumpul, naik ke udara – putih awan bertukar kelabu dan hitam. Langit yang biru, hitam. 

“Sekali dipandang persis cendawan gergasi,” runsing anak memandang bapa. 

“Jika melihat dari arahnya, asap itu dari kawasan tasik.” Bapa mengecilkan sedikit kelopak mata. Cahaya menjelang petang membiaskan silau di celah pohon-pohon besar. 
“Tasik yang dihuni naga itukah, ayah?” Anak memohon kepastian daripada bapa. Anak berusia lingkungan belasan tahun itu bimbang – apa yang terjadi? 

“Ya.” 

“Jika begitu, apakah mungkin kawasan Desa yang terbakar?” 

“Mungkin, anakku.” Bapa menggeleng. Kelat durjanya lapisan bimbang. 

“Bagaimana boleh terbakar, ayah? Apakah naga-naga yang menghuni tasik mula ....” 

“Benar, naga-naga itu mula bangun dari habitatnya. Mengeluarkan api, membalun dengan ekor dan segala yang disembunyikan. Naga mula menyalakan nyali.” 

“Api! Api!! Api!!!” Suara-suara marhaen dan jelata mula bergabung menjadi guruh yang kuat. Tetapi, naga-naga di dalam tasik menggunakan kelebihan dan kekuatan yang dimiliki. Penduduk Desa yang dahulunya begitu memanjakan naga mulai tersentak dan terkejut. Naga seakan meronta. Asap kelabu nipis keluar dari mulut naga. Api menjilat Desa. Rintik-rintik hujan di atas permukaan tasik tidak mampu lagi menerbitkan panorama tenang. 

Kain panjang yang mengerdip kerlip bersilang di leher naga menjadikan penduduk serba rencam tanda tanya. Kain satin apakah itu? Atau kain berenda? Atau kelihatannya seperti sari? Mengapa naga itu bersilangkan sari di lehernya? Pundak semua penghuni Desa dibebani bungkah-bungkah tanya yang berat. Penghuni Desa terbongkok-bongkok dibebani angkuh sikap dan sifat. Mereka tertanya-tanya. Mengapa begini? 

Gabungan suara seakan tidak lagi mampu menewaskan naga. Mengapa? Beberapa orang marhaen yang dahulunya ketawa menafikan kewujudan naga dan memperkecilkan tentang betapa utamanya penghuni Desa - jelata, marhaen, pengiring, pengikut, hulubalang, pemikir dan pendeta - perlu bersatu semula mula mengalirkan air mata darah. Berjurai-jurai. Deras. Terus menitis masuk ke dalam tasik. Naga-naga seraya mendapat tenaga dengan darah-darah air mata penduduk Desa. Naga-naga seperti menghamburkan ketawa melihat penduduk Desa menangis dengan air mata darah. Inilah peluangnya. Sesekali perlakuan naga persis manusia, berperasaan. Mencuri kesempatan dan merentap peluang. Aneh. 

Dalam celah-celah belantara berhampiran tasik; ketika naga-naga mengeluarkan api menghembuskan asap, menghayunkan ekor tajam untuk membalun, tidak semena-mena melintas seekor singa yang seakan tersenyum-sengih kepada naga yang sedang membakar itu. Singa itu seakan-akan jinak, liar atau berbaur – ia sebenarnya berpura-pura. Singa itu barangkali sahabat kepada naga. Singa itu berpura-pura. Fikir seorang pendeta yang sempat memerhatikan tingkah singa itu, berulang kali. “Celaka!” Sentap pendeta. Cuma dengan kata-kata. Sebelum menggeleng ralat. Kesal. Kecewa. Kesah. Meratapi kemusnahan. 

Dalam kekalutan yang menghambat, Paduka Raja mengumpulkan penghuni dan penduduk Desa. Juga beberapa orang kanan, hulubalang dan pengiring. Di sebalik rimba kecil yang di kelilingi pohon-pohon sederhana besar. Jauh sedikit dari tasik. 

“Apakah ini mimpi?” Mendongak sambil melihat langit biru kian bertukar merah. 

“Tidak Paduka Raja. Sesungguhnya kita sudah terlambat.” Singkap seorang pemikir yang telah lama menjangka situasi itu akan berlaku. Tetapi seringnya, kata-kata nasihat si pemikir itu tidak diambil dengar. 

“Inilah kenyataan yang memang didamba sebahagian penghuni Desa.” Seorang pengiring memuntahkan kata-kata yang lama terpendam. Melihatkan tingkah laku saudara-maranya yang lebih suka mengadu domba – tentu, kehancuran ini yang didamba. 

“Inilah timbal balas sifar sifat syukur yang dicipta. Inilah hasil yang dicari seusai tidak pernah mengirim rama-rama terima kasih, lantaran mencungkil-tuding silap saudara.” Seorang nenek tua melutut, memerhatikan kemusnahan yang terjadi dari celah-celah semak-samun sembunyi. Lantaran apakah lagi yang boleh diharapkan daripada sebuah kehancuran? Api marak mengunyah atap-atap rumbia. Rumah limas yang kukuh sebelum ini, rebah menjadi arang, bara dan debu. 

“Apakah mereka alpa? Mencari kesalahan sahaja? Lantas mencalitkan sedikit luka, menanarkan seluruh lumpur ke tubuh penggawa.” Sedu-sedan menyebabkan bahunya terhinggut-hinggut. Tersengguk-sengguk menahan sebal. Pengiring membisikkan suaranya. 

“Sudah begitu, marhaen tidak gemar bersatu. Leka. Yang muda gemarnya bernyanyi-tari di peterana libur. Yang berusia menuding silap dan bersetuju tanpa usul periksa.” Suara-suara berpusu seoalah-olah mula membariskan kenyataan yang menyebabkan naga-naga itu bangun muncul membakar Desa yang lewa; santai alpa. Naga mencuri peluang. 

“Tidak hulubalang! Mulutmu usah terlalu pantas bicara begitu.” Paduka Raja menggenggam amarah. Bersilang tangan kanan-kirinya di belakang pinggang. 

“Mengapa Paduka Raja sukar menerima. Ini kenyataan. Bagaimana harapan kita?” Seorang pengikut bangun dari tempat duduk, menganjak ke hadapan Paduka Raja. 

“Lihat itu. Marhaen dan jelata di Desa kita. Ya Allah, berlari sedang tubuhnya terbakar. Apakah memang sejak dahulu kita seringnya 'berlari'? Tidak! Tidak!” Mengacungkan tangan kanannya ke arah penghuni Desa dikenal pasti berkhidmat di menara Paduka Raja namun sering menyebarkan hikayat cerita samar. 

“Naga-naga ini memang tidak sedar untung. Sudah diberi makan dan habitat semasa kecil, sekarang sudah dewasa dan sebesar gunung, kita dibakar api dan dibalun ekornya.” 

“Nagakah yang tidak sedar untung atau manusia yang tidak sedar syukur?” Suara garau seorang lagi marhaen kedengaran. Antara celah-celah rimba mereka memerhatikan Desa sekelip mata musnah. Segala retorik frasa dan polemik kosa-kota hanya tinggal sejarah. 

“Bukankah, telah ada insan yang lebih berusia itu tempoh hari menasihatkan. Kita tidak mendengar.” Seorang pemegang tombak mengingatkan apakala kesedihan mula menggunung. Penyesalan hilang. Tiada makna. Tindakan menjadi tumpul oleh kata-kata. 

“Kita dapatkan Cahaya Purnama. Kitakah yang akan ke sana. Atau wakil Cahaya Purnama yang akan menemui kita?” Pandangan seorang jelata yang masih tetap setia memegang kepada akar seluhur wangsa dan sesuci agama. 

“Yang pentingnya adalah kesedaran bersama, Paduka Raja.” 

“Demi Desa!” 

“Keris Pekaka! Keris Pekaka!” Jerit seorang pengiring Paduka Raja berlari membawa Keris Pekaka diambil semula dari Rumah Pameran. Pernah dihebah, magis kebenarannya apakala Keris Pekaka dan Cahaya Purnama ditemukan dapat menewaskan naga-naga itu. 

“Pengiring, ayuh kita perlu cepat.” 

“Apakah naga-naga itu akan penat?” 

“Lengkara! Mustahil!” 

“Malah naga itu akan bertambah kuat. Tidakkah naga-naga itu berada di dalam satu tasik? Naga berapi, naga jadian, naga balun, segala bagai naga.” 
“Jika dapat ditemu-jodohkan Cahaya Purnama dan Keris Pekaka, alangkah ...” seorang marhaen mengorak langkah. Sesekali beberapa orang marhaen terbatuk-batuk kecil oleh debu yang berterbangan. Asap memedihkan mata kanak-kanak, mengekang penglihatan orang tua. 

“Seharusnya kita mengambil iktibar. Sekeliling tasik yang sudah terbakar oleh naga berapi itu – kita cermin sikap kita,” hulubalang Paduka Raja mencelah. 
“Lihat, naga-naga itu pun mulai mendapat resa. Kembali ke dalam tasik. Kerana hanya nawaitu gabungan antara Keris Pekaka dan Cahaya Purnama.” Naga mulai diam, menyusup ke dasar tasik. Senyap. Keanehan mula mengepung Desa di tepian tasik. 

“Lantaran itu membawa kepada kesatuan yang berterusan. Bermula di sini. Kesatuan yang mengukuh-jaminkan kebahagiaan hidup Desa dan isinya.” Tambah pendeta. 

“Melaksanakan tidak semudah bicara, pendeta.” Fikir Paduka Raja. 
“Kita belajar daripada kehancuran, Paduka Raja.” Tenang pendeta, melihat sinar bersatu melorongi jalan utama Desa.

2 

“Bukankah ini ketika terbaik untuk mereka berbaik-baik?” Anak yang memerhati asap dan mendengar kata-kata bapanya, spontan mengeluarkan tutur. 
“Benar. Ayah juga berharap mereka penduduk dan penghuni Desa mengambil iktibar ini.” Bara-bara api di dahan dan kayu dengan debu dan asap bertindan terbang dari jauh tasik menghampiri anak dan bapa. Anak mengipas dengan tangan menepis asap dan debu. 

“Kita doakan moga mereka belajar daripada sejarah. Ayah percaya jika mereka berpecah-telagah, Desa di tepi tasik itu akan terbakar terus menerus – yang tinggal hanyalah debu dan nama. Sejarah tiada maknanya lagi.” 

“Benar, ayah.” Anak mula belajar memahami apa yang ingin dikongsi oleh bapa. 
“Kita mesti belajar daripada apa yang terjadi kepada Desa yang berhampiran dengan tasik itu. Kemusnahan itu sukar untuk disembuhkan. Khuatir tidak akan ada jalan menyembuhkannya.” 

“Genggamlah tanah ini, kejap. Erat, seerat-eratnya.” Bapa tunduk mengepal tanah yang berpasir keras kerikil dengan tangannya. 

“Ayah, darah menitis dari genggaman tangan ayah!” 

“Ayah cinta akan tanah ini … kau jagalah tanah ini seperti kami – ayah dan nendamu menjaganya dahulu. Usah lupa, seperti yang terjadi pada Desa sebelah tasik itu.” 

Kirmizi menjelma tanda waktu berbuka puasa tiba. Tidak jauh dari tangga, seorang anak jiran menghulurkan sepiring kuih untuk berbuka. Kedengaran suara kanak-kanak memberi salam. “Pak cik, Buyut kirim sepiring nagasari juadah untuk berbuka.” 

Biodata Penulis: 
WAHYU Budiwa Rendra lahir di Johor Bahru pada 15 Syawal 1399 Hijrah. Berkelulusan Bacelor Pentadbiran Perniagaan UPM. Berkarya sejak 2002, selepas mengikuti Bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi. Mazhab Cinta (DBP, 2008) meraih Hadiah Kumpulan Cerpen Remaja Hadiah Sastera Darul Takzim 2009. Penerima Anugerah Penulis Muda Johor oleh Persatuan Penulis Johor (PPJ) pada 2007, kini bertugas di YWJ Citra Holdings Sdn Bhd. Buku Warkah Alam (Ameen Books, 2010) menghimpunkan cerita motivasi karya bersama-sama Mohd Fadzli Abu Bakar. Blognya boleh dilayari di wbrendra.blogspot.com

Di Hujung Musim Darurat



Oleh Ismas Saring

2010/08/28

SUDAH lama dia tidak ke Kuala Lumpur. Bandar raya yang pernah dihuninya lebih 20 tahun dulu yang tidak pernah dijenguknya akhir-akhir ini kerana keadaan baginya yang sudah tidak begitu memerlukan lagi terutama dari segi kesihatannya yang usianya kini menongkah 72 tahun. 

Dalam usia emas itu tentunya fizikalnya tidak begitu mengizinkan untuknya bergelandangan di kota yang serba maju dan canggih dengan pembangunan pesat itu. Usia sedemikian bagi golongan berada tentu tidak menjadi masalah. Bagi golongan itu usia 72 tahun baru semacam anak remaja 27 tahun sahaja. Masih segak. Masih bergaya.
Tetapi dia bukan daripada golongan senang atau kaya dalam status kehidupan masa kini. Ketika usia mudanya dia bekerja keras membanting tulang. Melakukan pelbagai kerja kasar termasuk kerja kampung dan buruh binaan. Walaupun dia berkelulusan sekolah menengah Inggeris tahun lima puluhan, tetapi nasibnya kurang baik, dia tidak dapat menjawat jawatan yang baik ketika itu seperti menjadi kerani atau pegawai rendah di jabatan kerajaan. Itulah di antara pekerjaan paling tinggi dan mulia di kalangan orang Melayu biasa sewaktu zaman penjajah.
Bagaimanapun dia tak mengenal putus asa dan akhirnya dapatlah juga dia bekerja di Kota Besar Kuala Lumpur yang menjadi buah mulut masyarakat ketika itu. Masa itu jika seseorang bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur, statusnya sudah bagaikan taukeh gula atau taukeh beras sekarang ini. Gula dan beras dua bahan makanan ruji rakyat. 

Entah bagaimana, hatinya bagai ditarik-tarik untuk berkunjung ke Kuala Lumpur dalam masa menyambut Hari Ulang Tahun (HUT) kemerdekaan tahun itu. Dia cuba menghubungi anaknya yang tinggal di Puchong Perdana agar dapat membawanya ke Kuala Lumpur pada hari sambutan kemerdekaan tahun itu diadakan. Ingin rasanya dia menyaksikan perayaan HUT kemerdekaan yang mana pernah disambutnya pada kali pertama pada 31 Ogos 1957, di Padang Besar Teluk Datuk Banting, Kuala Langat Selangor yang kini dinamakan Stadium Jugra. 

Lepas menelefon anaknya dan memberitahu hasratnya, dia kembali duduk dan ketika itu ingatannya mengetuk pintu hati dan terbukalah kenangan lamanya sewaktu dia masih lagi berkhidmat dalam pasukan keselamatan di hujung musim darurat. 

Kenangan kembali mengimbau di kepala otaknya yang seketul cuma. Sejak lahir dan hingga berusia 72 tahun hanya otak itu sahajalah yang dimiliki. Dia tidak tahu kalau orang lain mempunyai dua atau tiga otak yang berlainan dalam sepanjang jangka hayatnya. Tetapi baginya, itulah saja seketul otaknya yang telah merakam segala peristiwa dan pengalaman hidupnya. 
Bagaikan benang yang kusut, dia kembali menyelusuri dan memilihnya benang kenangan itu satu persatu. Segala tergambar jelas bagaikan baru semalam berlaku. Segala peristiwa dan kenangan mula terbungkah dan dia amat bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya dia terselamat daripada beberapa insiden pertempuran dengan pengganas komunis. Tuhan masih sayangkan dia dan memberinya peluang menyaksikan hasil perjuangan menghapuskan gerakan pengganas komunis bagi mendapatkan kemerdekaan negara. 

Kenangan kembali mengenang di satu senja berbunga. Ketika itu dia ditempatkan bersama anggota lain dalam satu pasukan operasi di Broooklyn Estate sebuah penempatan anggota keselamatan di kawasan hitam di Daerah Kuala Langat, Selangor. 

Tugas unitnya ialah menjalankan operasi keluar masuk hutan bagi menjamin keselamatan penduduk kampung dan memastikan tiada pengganas komunis berkampung di kawasan hutan dan di pinggir perkampungan itu. 

Waktu itu dia baru sahaja kira-kira enam jam balik daripada satu operasi di hutan Sepang selama lima hari. Kesempatan balik ke berek digunakan sepenuhnya oleh semua anggota berehat setelah selama kira-kira seminggu bukan sahaja tidak mandi tetapi juga berembun di bawah naungan pepohon hutan yang menyeramkan dan menjadi umpan nyamuk. 

Sedang dia masak untuk menyiapkan makanan malam menjelang waktu Maghrib dan memang tidak terlintas di hatinya bakal ada arahan keluar lagi menjalankan operasi baru kerana lazimnya setelah seminggu di hutan akan rehat sekurang-kurangnya tiga hari baru diberi arahan baru. 

Tiba-tiba dia mendengar loceng gila berbunyi. Berdenting berkali-kali memanggil anggota pasukan operasi berkumpul berbaris untuk mendengar dan menerima arahan baru. 

“Ada arahan baru, kita terpaksa keluar semula operasi ke kawasan 69. Semua mesti siap sedia sekarang juga,” Sarjan Parman memberitahu anggota sebaik mereka semua beratur dan mendengar pengumuman dengan berdebar, sepuluh minit dari sekarang semua mesti siap dan berada di sini,” perintah lagi Sarjan Parman. Tegas. 

Tanpa membantah kesemua anggota operasi bersiap sedia dan sebelum 10 minit mereka sudah siap sedia dengan senjata masing-masing. Mereka menaiki dua buah kenderaan GMC dan mula bergerak meninggalkan berek menuju kawasan 69 yang tidak tahu di mana letaknya. Suasana senja mula melabuhkan tirainya pada hari yang damai. 

Kenderaan berhenti di sebuah kawasan pinggir hutan dan hari sudah malam. Mereka meredah masuk kawasan hutan dan bermalam setelah kira-kira sejam perjalanan dalam rimba yang sudah menjadi sandang pangan anggota pasukan yang lazimnya bertilamkan bumi dan berpayungkan langit. 

Tiga hari tiga malam berikutnya dia dan anggota operasinya di hutan itu terpaksa balik ke berek kerana dua orang daripada anggota pasukan mengalami kecederaan dalam pertempuran dengan pengganas komunis pada hari yang ketiga. Bagaimanapun kedua-dua mereka terselamat daripada maut akibat penangan peluru rifel .303 komunis dan hanya singgah di bahu serta di bahagian paha anggota terbabit. Mereka diganti dengan unit lain bagi meneruskan operasi di kawasan itu. 

Sepanjang perkhidmatan di hujung musim darurat itu, dia bernasib baik tidak mengalami mala petaka. Sehinggalah Kuala Langat diisytiharkan kawasan putih dan pasukannya di tukar ke satu lagi kawasan hitam di daerah Hulu Selangor. Dia masih ingat, daerah Hulu Selangor adalah daerah terakhir di Selangor diisytiharkan kawasan putih. Ertinya selepas itu seluruh negeri Selangor bebas daripada kawasan hitam. Berakhirnya perjuangan pengganas komunis di Selangor walaupun masih ada tempiasnya sehingga 1962, tetapi sudah mulai terkawal. 

“Jika umur panjang, ke mana kau nak pergi selepas tamat perkhidmatan tiga tahun kita ini?” tanya Barjo anak dari Tanjung karang, “nak sambung jadi polis?” sambungnya lagi. 

“Aku? Aku tak tahu lagi. Nak sambung jadi polis pun, kalau asyik 24 jam dalam uniform jelak aku dan nyawa terus-terusan terancam,” jawab Kudus spontan sambil membersih senjatanya jenis Carbine .22, “kau bagaimana?” Tanyanya balik pada Barjo. 

“Aku rasa, jika susah sangat dapat kerja lain, baik aku sambung. Bukan senang nak dapat tawaran seperti ini,” Barjo membayangkan hasratnya. Kerana baginya kalau balik kampung pun tiada kerja yang boleh menjamin masa depannya ketika itu. Baik dia sambung jadi polis dan hanya perlu menjalani latihan lanjutan untuk diserap menjadi anggota polis biasa. 

Memang ketika itu ada tawaran kepada semua anggota keselamatan bantuan dalam pasukan Special Constable (SC) untuk diserap ke dalam pasukan polis biasa kepada yang berkelayakan dan hanya perlu menyambung perkhidmatan dengan terus mengikuti latihan lanjutan di Polis Depot sebagai anggota polis biasa (Regular Police). 

“Aku. Aku masih muda. Kalau ditakdirkan usia aku panjang dan tak mampus dibaham komunis, aku ingat aku nak melanjutkan pelajaran semula,” jawab Kudus tenang, “jika tamat perkhidmatan, umur aku baru 21 tahun. Aku boleh sambung pelajaran. 
Kerjalah apa-apa yang boleh tanggung sara hidup dan meneruskan pelajaran aku,” sambung Kudus melahirkan cita-citanya. Dia tidak mahu perjuangan menentang pengganas komunis selama kira-kira tiga tahun itu tidak bakal merasai erti perjuangan yang dilakukan dan dialami. 

Akhirnya dia berhenti dan meneruskan hidupnya dengan bekerja sebagai buruh dan melanjutkan pelajaran di sekolah swasta di Kuala Lumpur. Dia tersenyum mengingat segalanya dan bersyukur masih hidup dan menyaksikan HUT kemerdekaan negara tahun itu dalam usia emas dengan segala rakaman peristiwa dan pengalaman di hujung musim darurat. 

Kudus tersenyum menatap sekeping surat penghargaan yang diterimanya daripada Kementerian Dalam Negeri yang diterimanya bersama wang sagu hati RM1,000. 
Itulah satu-satunya terima kasih dan penghargaan negara kepada perjuangan separuh matinya. Dia terus membelek surat penghargaan yang berbunyi: 

“Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa dan khidmat bakti pengorbanan tuan yang telah disumbangkan bagi mempertahankan keselamatan dan keamanan negara semasa darurat (1948-1962). Sesungguhnya perjuangan dan pengorbanan yang diberikan amat besar kepada agama, bangsa dan negara. Saya berdoa semoga tuan senantiasa dilimpahkan kebahagiaan hidup dan berada di dalam sihat sejahtera.” 

Dia menatap surat penghargaan itu sepuas-puasnya. Dia bersyukur negara kini tidak lagi diganggu oleh ancaman dan keganasan pengganas komunis dan dia tidak tahu berapa ramai rakan seperjuangannya yang gugur dengan tulang-tulang berserakan dalam menghapuskan perjuangan pengganas komunis untuk membebaskan negara bukan sahaja daripada penjajah British tetapi juga daripada ancaman pengganas komunis yang tidak pernah dialami oleh pemimpin dan generasi hari ini. 

Dan dia tersenyum sinis menjadi salah seorang daripada beribu pejuang sisa darurat yang masih bernafas dan dilupakan dalam gema dan gelombang teriakan “MERDEKA!’. 

INFO 

ISMAS Saring atau nama sebenarnya, Saring Sirad, berpengalaman sebagai Polis Khas (SC) ketika darurat 1956 hingga 1959. Dilantik sebagai Penolong Pengarang Angkatan Baru Kuala Lumpur pada 1966 hingga 1967 dan Penolong Pengarang Syarikat Karyawan Kuala Lumpur (1968). Berkhidmat sebagai wartawan Berita Harian pada 1977 hingga 1993 sebelum beralih sebagai Penulis Kembara (1994-2003). Menerima Anugerah Tokoh Kebudayaan (media massa) Negeri Selangor pada 2005 dan Anugerah Tokoh Kewartawanan Negeri Selangor (2006).

Pulangnya Sang Putera



Oleh Peter Augustine Goh

2010/09/25

DIA terkejut seperti musang yang terkena jerat pelanduk. Sakit dan pedih bisa. Sakit, kerana orang yang disayanginya tidak lagi tinggal di rumah tiga bilik yang belum habis dibayar itu. Sudah didiami keluarga lain. Rumah yang banyak meninggalkan kenangan manis. Dan tidak kurang pahit. Pedih bisa, kerana orang yang dikasihinya itu juga tidak lagi merupakan wanita yang bernama ibu seperti dulu-dulu. Sudah jauh berbeza. Seperti langit dengan bumi. 

Sebaik saja berita itu terhambur, dia rasa hatinya hancur. Terasa kunci pintu keterharuan terbuka. Gerimis kesepian tertempias ke hatinya yang sebak. Perlahan-lahan gerimis itu kian garang dan menjadi hujan kepiluan yang lebat. Basah dengan air hiba yang mencurah-mencurah.
Tidak lama selepas itu, dia menjadi macam kucing hendak beranak. Ke arah lif tidak kena, ke arah tangga dari tingkat lima juga tidak kena.
Ibuuu! 

Jelas jeritan itu hanya bersipongang dalam diri. Bersahut-sahutan dari satu relung ke satu relung dalam hatinya yang robek. Dia akhirnya memutuskan untuk turun melalui tangga dengan amat payah. Terasa kakinya menggeletar. Lemah satu macam. Sesampai saja di tingkat tiga, dia terduduk kebodoh-bodohan di salah satu anak tangga. Dia membiarkan saja angin dua petang yang berhembus tajam dan berhaba panas menyapu-nyapu mukanya yang bujur sirih dan mengusap-ngusap rambutnya yang jarang. 

Mak Eton menggeleng-geleng, tanda amat mengerti akan keadaannya yang meninggalkan koridor tadi dengan wajah yang mencerminkan semacam kemuraman. Ada percikan simpati berbunga di mata hati bekas jiran keluarganya suatu masa dahulu. 

Dia masih terduduk kebodoh-bodohan. Bahunya terenjut-enjut galak. Air mata menjujuh terus. Di anak tangga dekat dinding itu, dia bagaikan ternampak kota Los Angeles atau LA menaruh kesayuan di ruang kecil yang berjeriji. Di Kota Singa ketika dia di LA pula melagukan irama menyayat hati. Manakan tidak? Kerana irama belasungkawa rupa-rupanya terisi di rumah tiga bilik enam tahun yang lalu. 
Ayahhh! 

Kalau aku tak merengkuk di LA dulu, aku tak akan jadi macam ini, bisik hatinya. Ibu tak jadi macam ini juga! Ayah sempat aku lihat dan selamat dikebumikan. 
Mata: Apa gunanya melimpahkan air jernih? Apakah mahu menunjukkan kepada satu dunia yang kau kaya dengan air mata? Ah, menjengkelkan. 

Hati: Tahukah kau sesal memang tak berguna lagi? 

Kaki: Kaulah yang membuat aku terobek kalbu kini. Kalau kau tak nakal dan gatal hendak meninggalkan tanah air kerana patah hati dek seorang perempuan semata-mata, aku sudah boleh menjaga ibu sekarang. Biar penat, biar lelah. Demi ibu, aku rela! Tapi apa gunanya kesal kini. 

Hati:Mengapa pedih sampai tak terkata? 

Kaki: Kenapa masih lemah dan menggeletar terus? 

“Razali, ayah kau telah berpulang enam tahun yang lalu. Sejak itu, ibu kau amat kesepian. Dia macam patah sayap. Menantikan kau pulang siang dan malam.” 
Kata-kata Mak Eton yang menghambat hati tadi terngiang-ngiang jelas, seolah-olah lebih mengejeknya daripada menjala simpati. Dia dapat merasakan Mak Eton melaknatinya. Pada tahap itu, dia ingin menjelaskan bahawa dia bukannya anak lelaki tunggal yang seperti kacang lupakan kulit. Tidak sesekali. Memang dia telah senyap-senyap ke LA setelah mendapat tahu Asmah berkahwin dengan Harun, lelaki pilihan keluarganya. Dia mahu berhijrah ke bumi Amerika. Di sana kata kawannya, Murad, dia boleh mendapat banyak wang walaupun bekerja sebagai penyembelih daging. Dia boleh merekomenkannya kerana dia sudah menjadi rakyat tetap dan isterinya rakyat tempatan di sana. Apa gunanya memberitahu Mak Eton yang dia mahu menaburkan wang di mata keluarga Asmah betapa dia juga boleh sekaya Harun. Nanti Mak Eton akan mengecap dia cuba memancing simpati. Lebih buruk lagi cuba menegakkan benang basah. Lebih buruk lahi (JANGAN TUKAR MAKSUDNYA LALAI), kerana seorang perempuan, dia habis! 

Bodoh! 

Tiada gunanya! 

Iya, apa gunanya memberitahu kebodohannya kalau hanya meremukkan lagi hatinya kini yang sudah terobek dan berdarah. Mak Eton, bisik hati kecilnya. Di LA aku rasakan aku rajin bekerja. Kumpul banyak duit. Bila sudah berada, boleh buka mata Asmah dan keluarganya. Anak pemandu teksi juga boleh berjaya. 

Hati: Bersabarlah. Aku tahu tangkai kau macam hendak terputus bila memikirkan tak berapa lama bekerja sebagai penyembelih daging, tuan kau ini bagaikan ‘disembelih’ nasib yang malang. 

Iya, aku telah berada di tempat dan pada masa yang salah. Tidak, memang tidak salah aku berada di luar pub, tapi ada seorang pelacur dibunuh orang dan aku disalahkan. Aku tersalah masa. Ketika itu, aku sedang berjalan pulang, mabuk-mabuk ke apartmen yang aku sewa. Aku tak sedarkan diri. Kepalaku dihantuk kuat dari belakang dengan sesuatu yang bulat dan keras. Bila terjaga, ada pisau di tangan kananku. Di sebelahku, ada seorang pelacur dengan mata terbeliak. Kata orang mati begitu tandanya mati yang tidak puas. 

Apakah mangsa itu tahu aku bukan penyembelih nyawanya? Aku dikhianati. Aku dianiayai. Darah di pangkal susunya yang subur itu padan dengan darah di pisau dan tanganku. Aku benar-benar kehilangan punca dan tidak dapat nafikan ujian DNA pengesah bicara pada malam selasa di pinggir kota LA sekali gus menutup kes hasil para penyiasat yang bijaksana. Inikah LA yang kononnya boleh menjadikan aku kaya raya? 

Murad! 

Di mana kau bila aku tersepit? 

Inikah yang dikatakan kawan? 

Aku tersasar. Indah khabar daripada rupa. Atau inikah balasan membelakangi ibu bapa? 

Tangan: Kalau kau boleh berkata-kata, alangkah indahnya nasibku. Tak akan aku terpaksa mengaku pada dakwaan atau pertuduhan cuba membunuh tanpa niat ke atas pelacur kulit putih berambut perang muda. Aku tahu aku tak berwang untuk mendapatkan guaman yang cekap lagi hebat dan cara mudah ialah mengaku saja pada pertuduhan itu. Mudah untuk semua pihak. 

Iya, biarlah aku merengkuk sepuluh tahun daripada dipenjara seumur hidup atau diragut nyawa terus. 

Hati: Kau tahu ketika di ruang berjeriji aku mahu cepat-cepat pulang. Mahu bertaubat. Mahu meminta maaf kepada ayah dan ibu. Dari satu Hari Raya ke satu Hari Raya, dari satu musim ke satu musim, kau pedih tak keruan. Dan kali ini bila ada peluang berhari raya bersama, kau berdarah maha hebat. Terusik dahsyat. 

Ibuuu! 

Ayahhh! 

Tapi arwah ayah dan ibunya tidak dapat mendengar jeritan dalam dirinya. Tidak tahu dia di perantauan dan telah disembelih keadaan yang kejam. Masyarakat banyak yang buruk sangka. Menuduh dia tak kenang jasa orang tua. Ikut emosi dan hati saja. Kerana seorang perempuan memang dia habis semua. 

“Razali, tak lama selepas ayah kau kembali ke Rahmatullah, percakapan ibu kau tak lagi lancar. Nasibnya baik, kerana dia sembuh daripada angin ahmar, walaupun percakapannya masih terjejas sedikit. Dia mendapat bantuan badan kebajikan sebanyak $200/- sebulan. Dapat makan tiga kali sehari. Tapi ....” 

“Tapi apa mak cik?” 

“Tapi dia kesepian. Dia mungkin cukup makan minum tapi dia laparkan kemesraan dan dahagakan kasih sayang kau! Dia menantikan kau siang malam di muka pintu. Ibu kau sebelum kena demensia, dia kerap ke kedai kopi di bawah sana tu. Dia berharap ada kawan yang lalu dan berbual-bual mengisi masa untuk menghalau kesepian itu. Tapi bila dia pulang, dia akan tunggu kau di situ,” tingkah Mak Eton panjang lebar sambil menunjukkan ke daun pintu rumah sebelah, semakin ke hujung semakin bergetar panjang. Satu tanda dia benar-benar turut terharu. 

Tanpa ditanya lagi, Mak Eton terus menyambung bila melihat Razali menekur lantai kebodoh-bodohan, “Ibu kau bela kucing. Lihat tu, kucingnya di atas sofa dekat TV. Bila mak kau kena demensia dan dijaga oleh rumah penjagaan untuk pesakit-pesakit demensia, mak cik ambil dan membelanya. Tahukah kau kucing yang mak kau kutip di longkang dulu itu, pandai mengiau, memanggil mak kau ‘mama’?” 

Ya Allah. Pada tahap itu Razali merasakan Mak Eton seperti mentertawakannya penuh serius. Manakan tidak? Kerana kucing jalanan berwarna kelabu lebih berguna mengusir kesepian seorang ibu tua daripada anak dari darah daging sendiri yang hanya pandai merengkuk di penjara LA selama 10 tahun. 

Huhhh! 

Razali mengeluh panjang. Sepuluh tahun bukan satu tempoh waktu yang singkat. Dalam 10 tahun banyak perkara yang baik-baik dan mulus-mulus boleh dilakukan. Lebih-lebih lagi menabur budi dan bakti kepada orang tua sendiri. 

Kini Razali seperti mendapat tenaga baru. Dia menyeka air matanya yang laju membasahi pipi. Jauh di dasar hatinya yang amat terusik, dia bertekad bulat, “Aku akan menemui ibu di rumah kebajikan itu. Akan aku dekatinya sepanjang masa. Walaupun ibu tak lagi kenal aku kerana demensia, aku akan sujud di kakinya. Meminta ampun. Akan kukucupnya. Akan aku dakapnya sepuas-puasnya.” 
Razali sudah melewati tangga-tangga dan kolong flat. Pantas berjalan ke arah pinggir jalan. Menahan teksi untuk membawa dia ke rumah kebajikan yang dimaksudkan Mak Eton. 

Dalam teksi, Razali dapat melihat bangunan-bangunan pencakar langit yang tersergam indah dan gah serta pokok-pokok yang menghiasi jalan seperti berlari-lari ke belakang. Sekali gus mengingatkan dia untuk berlari juga meninggalkan kisah silam yang pahit. 

Ibuuu! 

Saya datang! 

Anak ibu sudah pulang! 

Kini, ibunya bagaikan datang merapat ke ruang matanya dalam teksi yang dipandu lelaki Cina. Ibunya pernah berpesan, “Razali, ibu dan ayah sudah tua. Entah bila akan dipanggil Allah. Ibu cuma ada satu pesan. Biar sesat jalan, jangan hilang. Kalau sesat, boleh kembali ke pangkal jalan. Sesat boleh berubah menjadi baik. Sesat boleh insaf dan bertaubat. Tanyalah mereka yang sesat jalan. Sesat akidah. Tapi kalau dah hilang sesuatu yag berharga dan bermakna, sukar hendak ditemui. Atau dipulih. Sukakah kau kalau hilang kuasa? Hilang arah? Hilang iman? Hilang ingatan?” 

Bercakap tentang hilang ingatan, Razali kembali gundah. Ibunya yang menghidapi demensia sukar untuk dipulihkan dan dia menjadi semakin pilu. 

Kepiluan itu bagaikan sampai di puncak apabila sampai saja di katil di mana ibunya sedang bangun duduk, Razali seperti mahu menjerit keterharuan. Lupa sekejap untuk melutut dan bersujud di kaki ibunya yang kelihatan lebih tua daripada usianya yang mencecah 75 tahun. Rambutnya kusut dan wajahnya yang layu dan kering berkedut. Matanya terperosok ke dalam. Mulutnya ternganga luas menampakkan gusi yang bergigi tak seberapa. Pipinya yang cengkung dan tubuhnya yang kurus benar-benar memancing simpati. Lupa sekejap meminta maaf. Lupa sekejap untuk mengucup dahi ibu dan lupa sekejap untuk mendakap erat-erat melepas rindu. 

“Beginilah dia selalu, Encik Razali,” ujar pekerja wanita 30 tahun, 25 tahun lebih muda daripada Razali. “Ibu encik suka bermain-main dengan anak patung. Dia amat sayang dan rindukan anak patung itu.” 

Razali terasa terpukul, seolah-olah kini giliran pekerja wanita itu pula untuk mentertawakannya penuh sinis. Perlahan-lahan dia mendekati ibunya. Ibunya tak mengendahkannya. Tak kenal dia siapa. Dia hanya kenal si anak patung dan terus didakapnya erat-erat. Dalam hati Razali, dia merasakan anak patung itu adalah dia sendiri. Dia memanggil ibunya. Tapi ibunya memandang kosong kepadanya, seolah-olah memberitahunya dia tidak kenal langsung. Pada tahap itu, dia memang seberani angan-angan ketika dalam teksi tadi. Dia bersujud di kaki ibu dan pekerja wanita menyaksikan bahunya terenjut-enjut hebat. Hebat sekali. Dan wanita gebu bangsa India itu turut sekaki. Tanda dia amat mengerti, walaupun si ibu tua tidak mengerti apa-apa, ada seorang puteranya bergelar anak bersujud dan mengucup kakinya. 

INFO Penulis 

PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura. Bidang penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanakkanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel, novel kanakkanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenanginya ialah Hadiah Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003. Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan Pustaka Nasional dicalonkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai (1999) dan antologi cerpen, Teruskan Ceritamu Pak Dalang (1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura 2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP.

Detik Sakratulmaut Dek ‘Kemerdekaan Maya’



Oleh Dr Adnan Abd Rashid

2010/09/04

Nazak 

SEJAK petang lagi hujan turun renyai-renyai menyiram pokok-pokok di Taman Fairuz yang kelayuan dan kekeringan sejak seminggu yang lalu. Meskipun berita di beberapa negara di dunia mengalami banjir dan taufan seperti di China, di Vietnam dan di sana-sini hujan lebat yang tak terhingga, tapi Taman Fairuz hanya menerima hujan renyai-renyai yang menakungi airnya di hujung dedaun pokok bagaikan embun di hujung rumput yang menanti saat dan ketika untuk menitis ke bumi. Fenomena ini seolah-alah satu simbolik akan perginya seorang insan menemui Tuhannya dengan rohnya akan menitis di lembaran malaikat maut. Bendera jalur gemilang yang dipasang oleh penduduk di Taman Fairuz sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-51 menerima titisan hujan dengan lemah longlai terkibar-kibar pada kesuraman senja yang mulai melabuh tirai. Taman Fairuz inilah terletaknya kediaman Mak Zu selama ini dan berkemungkinan meninggalkannya buat selama-lamanya dunia yang fana ini. Laungan kemerdekaan dan nyanyian jalur gemilang dari televisyen rumah jiran Mak Zu sayup-sayup kedengaran sekali-sekala yang mencetus keheningan dan kemerahan senja. Pada saat itu, Mak Zu terkumat-kamit menyebut sesuatu bagi menghadapi saat getir kehidupannya sebagai manusia yang tertipu dengan ‘kemerdekaan mayanya’ selama ini dan beberapa detik lagi berkemungkinan bertemu dengan Ilahi serta berpisah dengan dunia yang fana ini buat selama-lamanya. Bagi Mak Zu, pada usia mudanya dunia inilah memberikan kepuasan nafsu serakah dan ‘kemerdekaan maya’ kepada dirinya.
Ustaz Hj Non dan jemaah surau baru selesai membaca surah Yasin bagi memudahkan perjalanan roh Mak Zu ke alam barzakh (alam kubur) iaitu alam yang pasti ditempuhi oleh setiap insan sama ada husnul khatimah (sebaik-baik kematian) atau suul-khatimah (seburuk-buruk kematian). “Kul nafsin za iqatul maut,” tiap-tiap yang hidup (bernyawa) pasti akan mati,” kata Ustaz Hj Non semasa mengajar pada kuliah Magribnya di surau Taman Fairuz. Tegasnya lagi semasa mengajar kitab ‘Tanbihul Ghafilin’, “syaitan akan mengambil kesempatan untuk memesongkan akidah dan keimanan anak-anak Adam pada saat sakratul maut, barang siapa yang membuat persiapan rapi dengan mematuhi dan mentaati Allah semasa hidupnya insya-Allah terselamat daripada fitnah itu.” Justru itu pesan Ustaz Hj Non,” janganlah kita lalai dengan kehidupan di dunia ini, dunia jangan dikejar biar dunia mengejar kita.” Jemaah surau selalu mengangguk tanda kefahaman di dalam kuliah Maghrib Ustaz Non macam nak minum kopi angguk. “angguk ! angguk! kopi angguk! tanda kefahaman dan amalan dalam kehidupan belum tentu lagi. Mentalqinkan Mak Zu
USTAZ Hj Non dan Pak Imam Hj Hashim masih di rumah Mak Zu dalam usaha mentalqinkan lagi Mak Zu yang masih nyawa-nyawa ikan. Kata Ustaz Hj.Non “ini adalah sunnah Rasullullah SAW iaitu seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Hendaklah kamu mentalqinkan orang yang sedang menghadapi maut,” bukan talqin atas kubur! seperti yang lazim diamalkan sesetengah orang masa ini, nak ajar orang dah mati … nak buat apa? tegasnya yang nak jawab dalam kubur tu malam si mati tu …, bila dah mati harta, keluarga sudah tidak berguna lagi melainkan amalan dan doa anak yang soleh. Kata-kata inilah selalu diungkapkan oleh Ustaz Hj Non ketika membicarakan tajuk kematian di dalam kuliahnya kerana masa ini banyak sangat amalan bidaah berlaku ketika kematian termasuk kenduri arwah yang mengikut bilangan hari tertentu. Justeru itu tegas Ustaz Hj Non lagi, “kita yang sepatutnya beri makan kepada keluarga simati tapi sebaliknya berlaku, sesungguhnya bersedekah kepada keluarga simati bagi meredakan kesedihan mereka.” Memakan jamuan di rumah simati adalah memakan harta anak yatim, sekiranya itulah peninggalan arwah suami kepada isteri dan anak-anaknya, jelas Ustaz Hj Non di dalam kuliahnya. 
Pada saat senja melabuh tirainya, Ustaz Hj Non tidak berputus asa bersama-sama Imam Hj Hashim untuk mentalqinkan Mak Zu yang tidak mampu melafaz dan mengucap kalimah syahadah, sedangkan kalimah ini adalah pasport ke Syurga. Namun keanehan berlaku pada Mak Zu bila ditalqinkan dengan kalimah “Lailahaillallah” ia tidak mampu mengikut kalimah syahadah itu, sebaliknya Mak Zu yang dalam suara kelemahan dan keampuhan nyawa ikan itu masih bertenaga untuk berkata “aku tak boleh bercakap”. Ustaz Hj Non kehairanan dan bertanya Pak Imam surau Taman Fairuz, Hj Hashim: “yang dia dok bercakap tu apa?” Imam Hj Hashim menggeleng-geleng kepala tanda tidak dapat memberikan jawapan kepada Ustaz Hj Non. Ahli jemaah surau yang hadir juga kehairanan dengan kelakuan aneh Mak Zu. Tiap-tiap kali ditalqinkan Lailahaillah, Mak Zu tetap berkata: “aku tak boleh bercakap.” Waktu senja menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53 serta kemerahan senjanya yang semakin pudar di ufuk langit menandakan waktu Maghrib bakal berlabuh dengan waktu Isyak, seakan-akan sangsi dengan suasana ketika itu. Detik-detik itu sangsi dengan hamba Allah yang bakal melintasi sempadan kehidupan dengan kematian tanpa pasport iman yang asli. Seperti juga masa kini banyak kesangsian demi kesangsian dan korupsi demi korupsi dalam banyak sektor di dalam negara. Tengok sajalah … kad pengenalan disangsikan kerana kepalsuannya, lesen memandu disangsikan dengan kepalsuannya, duit disangsikan dengan kepalsuannya, alat solek disangsikan dengan kepalsuannya, ubat-ubatan pun palsu, makan minum dan macam-macam lagi di dalam kesangsian kepalsuannya. Sama juga masyarakat manusia kini juga dalam kesangsian diri sendiri, budaya, agama dan iman lebih-lebih lagi pada era dunia globalisasi tanpa batasan ini yang penuh dengan kepalsuan hidup seperti yang pernah dilalui dan dialami oleh usia muda Mak Zu dengan ‘kemerdekaan mayanya’ suatu ketika dulu. Mak Zu telah mengejar ‘kemerdekaan maya’ yang kini tidak memberi apa-apa makna kepada dirinya. Ke mana pergi ‘auranya’ yang tersohor suatu ketika dulu? kini tidak dapat membantu. Sama juga dengan remaja-remaja masa kini hilang jati diri, mahukan kebebasan dan ‘kemerdekaan maya’ seperti Mak Zu, jadi mat rempit atau minah rempit, kupu-kupu malam, tukang urut epal, urut sentuhan batin dan macam-macam lagi istilah yang berakhir dengan penyesalan tiada berkesudahan kerana maruah sudah tergadai. Tiada lagi ihsan diri, anak luar nikah dicampak di dalam tong sampah, dalam longkang dan di sana sini tanpa belas kasihan. Zina dan rogol bunuh berlaku saban hari, Apa nak jadi? Jahiliah? Iblis? Teguran Ustaz Hj Non dalam kuliah maghribnya di surau Taman Fairuz dalam mengulas fenomena membuang bayi masa kini. 

Malaikat Maut Menghampiri Jasad 

KEGELAPAN malam mengamit-gamit suasana hening yang memenuhi ruang tamu rumah teres Mak Zu bagaikan kegelapan bakal ditempuhi roh Mak Zu pada saat itu. Suasana ruang tamu rumah teres yang dibeli oleh Mak Zu dua puluh tahun yang lalu semakin hening bagaikan Malaikat Maut sedang menghampiri jasad Mak Zu yang semakin kaku dan kesejukan bagi batang pisang yang baru di tebang. Matanya kuyu separa celik merenung jauh bagaikan teringat pengalaman dan nostalgianya yang lalu … tapi sebenarnya tidak, renungan Mak Zu berhadapan saat getir kesudahan hidupnya yang palsu daripada ‘kemerdekan mayanya’. Macam juga cinta palsu anak muda masa kini hingga sanggup meninggalkan dan mengenepikan ibu bapa serta sanak saudara. Ada yang lari mengikut lelaki ke seberang, ke Lombok akhirnya menyesal tiada kesudahan. Ini semua gara-gara ‘kemerdekaan maya’ yang dikejar. Ada yang mengejar ‘kemerdekaan maya’ dengan menelan pil kuda, menghisap ganja, pil ecstacy, menghidu gam, menghidu tahi lembu dan lain-lain. Aduh! Apa nak jadi anak muda masa kini, macam Mak Zu ...!?. mengejar ‘kemerdekaan maya’ tanpa kesudahan dan hujung pangkal. Sanak-saudara Mak Zu dan kaum ibu yang bertudung nipis yang juga kawan-kawan Mak Zu suatu ketika dulu bercakap perlahan-perlahan sesama mereka tentang Mak Zu. Mereka tak baca Yasin atau ayat-ayat suci al-Quran mungkin tak tahu agaknya. Macam zaman sekarang ni, ramai di kalangan anak-anak muda dan sesetengah orang dewasa pun tidak pandai membaca al-Quran, tapi bila bab majlis khatam Quran merekalah yang paling sibuk. Kalau saudara terdekat meninggal, maka kelam kabut mencari Pak Imam, Pak Bilal dan jemaah surau untuk membaca al-Quran dan membaca surah Yasin. Itulah padahnya jika tidak mau mengaji al-Quran. Ada yang membayar upah mengaji empat puluh hari berturut-turut di atas kubur mencecah ribuan ringgit. Sesetengahnya pula berkata, apa nak dirisaukan sangat sekiranya berlaku kematian, telefon saja ‘wafat consultant’ iaitu pakej pengurusan jenazah A hingga Z dan siap duit semuanya beres. Apalah jahil sangat masyarakat masa kini bukan jahil tak tahu membaca al-Quran saja. tapi juga jahil dalam ilmu dan hal-ehwal agama. “Yang dok baca Quran atas kubur tu buat apa? Awat tak boleh baca kat rumah … pahala tak sampai ke?” ‘Tengok la ni mati pakai ‘wafat consultant’ keluh Ustaz Non ketika mengajar bab Aqidah di surau di Taman Fairuz. 
‘Kemerdekaan maya’ Yang Palsu 

“Lailahaillallah” Ustaz Hj Non terus mentalqinkan Mak Zu yang semakin hampir ajalnya. Mak Zu dengan nada yang lemah dan terkedu-kedu tetap dengan cetusan dari mulutnya, “ aku tak boleh bercakap” Ustaz HjNon menggeleng-geleng kehairanan dengan suasana dan keadaan di depan matanya sendiri. Ustaz Hj Non bingkas bangun dan mencari warisnya yang terdekat ingin bertanya sesuatu. Pak Dali sepupu Mak Zu tampil menghampiri Ustaz Hj Non dan mengajaknya ke ruang yang lain untuk berbicara. Ustaz Hj Non bertanya sesuatu kepada Pak Dali mengenai kisah-kisah silam Mak Zu sehingga susah baginya untuk melafazkan kalimah “lailahaillallah” walaupun beberapa kali diajar. “Mak Zu nama sebenarnya ialah Zuhaidah .…” Pak Dali memulakan ceritanya. “Ia seorang cantik dan rupawan pada usia remajanya dan pandai dalam masakan kampung, masak kari rempah giling, masak ikan darat dengan ubi kemili, masak kurma, masak nasi daging, maka ayam merah semuanya boleh serta berbakat pula dalam kesenian tambah pula suaranya merdu bagaikan buluh perindu. Bila ia melagukan bacaan Quran dalam majlis agama di kampungnya ramai orang kampung terpegun dengan kefasihan dan rentak lagu taranum bacaannya, yang memang tiada tandingan. Kalau ada Akademi al-Quran ketika itu sudah tentu dia memenangi anugerahnya. Ramai anak-anak muda kampung tergilakannya kerana segala-gala ada padanya. Ibu dan bapa Mak Zu begitu suka sekali di atas kebolehan dan anugerah rupa parasnya daripada Allah kepada anak mereka. Disebabkan pada usia remaja Mak Zu yang sebegitu dan dikagumi ramai menyebabkan ia suka kepada glamor dan publisiti. Ia mula berjinak-jinak dengan majalah sensasi, hiburan dan terdetik di hatinya menjadi seorang model dan penyanyi terkenal. Habis majalah-majalah hiburan dan sensasi menjadi tatapan Mak Zu ketika itu, meskipun perbuatan tidak disukai oleh arwah ayahnya, dan ibunya yang kini masih tinggal di kampung dalam usia yang menjangkau lapan puluhan tanpa diambil peduli oleh Mak Zu. Ibunya tersisih di kampung seorang diri bagaikan tiada waris. Macam juga hari ini sesetengah ibu disisihkan oleh anak-anak mereka di rumah kebajikan. Ibunya pernah beberapa kali menegur dan menasihatinya supaya lupakan saja glamor dan cita-cita keseniannya tetapi tak diendahkannya. Mak Zu juga telah melibatkan diri dengan kumpulan Ghazal Parti Zenkulana alunan irama Hindustan dan padang pasir, di kampungnya sebagai penyanyi utama. Alangkah seronok Mak Zu ketika itu kerana namanya semakin tersohor di kampung sekitarnya sebagai penyanyi pujaan ramai. Masa tu tidak ada AF3 dan AF4, kalau ada sudah tentu dia mendapat undian SMS tertinggi. Semasa menyanyi di pentas di rumah kenduri suara merdu Mak Zu memukau penonton kecil, tua dan muda di tambah pula dengan gelekan Man Jebong sebagai penari iringan. Dengan itu Ghazal Parti Zenkulana semakin tersohor dan Mak Zu semakin liar mengejar kegilaannya untuk mencari glamor selama ini. Hati Haji Zul ayah Mak Zu menjadi semakin sempit dengan dengan kelincahan Mak Zu yang melampaui batas. Berbuih mulutnya memberi kata-kata nasihat, tetapi tidak dihirau oleh Mak Zu yang bagaikan kerasukan syaitan dan iblis. Itupun Mak Zu tak minum air daun ketum, kalau tidak tentu lebih ligat lagi. “Zu! cukuplah dengan apa yang kau capai tuu … ingat Allah banyak-banyak, mengucap banyak-banyak,” nasihat Hj Zul pada anaknya. “Alaaah ayah ni sibuk laa … tak habis-habis membebel … kan menyanyi ni boleh dapat rezeki … Alhamdulillah nanti duit banyak boleh Zu hantar ayah ke Makkah bagi kali yang kedua,” balas Zu. “Astagfirullah al-Aziim”! terpancul dari mulut Hj Zul dengan kata-kata Mak Zu itu. “Biarlah aku tak ke Makkah lagi dengan duit haram kau tu ….” balas Hj Zul dengan tegas dan marah. Haji Zul naik berang dan dengan tidak semena-mena tangannya telah hinggap ke pipi Mak Zu yang putih gebu bertukar merah seperti merah jambu air yang ditanam oleh Hj Zul di belakang rumahnya. Mak Zu ketika itu terlolong kesakitan, tidak tertahan dengan kepedihan penampar Hj Zul bagaikan tergigit jeruk cili api muda yang selalu dimakannya bersama dengan bihun sup di kedai Pak Kadir di hujung kampungnya. Ibu Mak Zu datang memeluk badan Hj Zul bagi menenang dan meredakan kemarahannya yang bengang dengan kelakuan dan perangai anaknya Zu yang sudah melampau. “Kalau dia mengaji dan masuk musabaqah al-Quran tu tak apa … walaupun tak faham pengertiannya … aku tak larang tapi ni dok melalak dengan Ghazal Parti Zenkulana tak tentu hala … itu syaitan dan iblis namanya …,” rengus Hj Zul. Isterinya hanya diam dan tidak membalas sepatah kata pun sambil merenggangkan pelukannya. Dia tahu sifat Hj Zul yang dikahwininya 19 tahun yang lalu, yang dapat diredakan kemarahannya dengan pelukan yang erat, mesra dan sayang. Isteri Hj Zul tak pernah belajar ilmu psikologi di universiti pun pandai mententeramkan jiwa suaminya yang keberangan. Masa kini kebanyakan isteri dan suami yang pernah belajar psikologi pun, tak pandai nak tenteramkan jiwa suami atau isteri, masing-masing stres sebab itu pertelingkahan rumah tangga tak habis-habis terpapar di media cetak dan elektronik. Tendang isterilah! Curah cuka getahlah! Dan macam-macam lagi kerenah stres rumah tangga. Kebetulan pula isteri Hj Zul selalu menjadi sumber rujukan suri rumah dan orang-orang di kampungnya kerana kepandaiannya dalam ilmu rumah tangga dan sikap kesabarannya yang menggunung. 
Sejak dari peristiwa ditempeleng oleh Hj Zul, Mak Zu bertekad melarikan diri dari rumahnya bersama Man Jebong menuju ke Kuala Lumpur dengan hati yang pilu dan ngilu. Namun begitu demi mencari kepuasan nafsu dan ‘kemerdekaan maya’ semua itu terubat jiwanya. Ketika itu dirasakan dirinya ‘merdeka’ daripada segala-galanya tiada lagi pergantungan kepada sesiapa lagi, tapi itu sebenarnya ‘kemerdeka maya’. Mulai saat itu, Mak Zu dah tak kenal dosa dan noda, hidupnya hanyut di tengah-tengah sampah sarap kota yang penuh pancaroba, dosa dan noda bersama dengan ‘kemerdekaan maya’ yang dicarinya. Sejak dari itu juga ibu-bapanya sudah tiada di hatinya lagi kerana mengejar kepuasan yang di cari selama ini. Kegilaan seperti inilah berlaku kepada anak-anak remaja kita masa kini. Demi cinta monyet dan ‘kemerdekaan maya’ yang palsu, sanggup melarikan diri dengan teman lelaki. Bila perut dah terbojol baru menyesal diri sendiri. Anak dibuang sesuka hati. Tegas Pak Dali kepada Ustaz Hj Non. 

Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu 

“PAK Dali! ... Pak Dali!” suara memanggil namanya dan ia memberhentikan ceritanya pada Ustaz Hj Non. “Hah ada apa hal pulak,” bingkas pak Dali sambil meminta izin daripada Ustaz Hj Non bangun menuju kepada orang yang memanggil namanya di celah-celah orang ramai yang datang menziarah Mak Zu. Ustaz HjNon mengekorinya dari belakang masih lagi mencari jalan penyelesaian bagi penyudah kehidupan Mak Zu. Itulah sifat para ulama, kasih sesama insan tidak luput di hati. “Pak Dali …!, Mak Bedah dah sampai …! Mak Bedah adalah ibu Mak Zu yang baru tiba dari kampung terengsot-engsot berjalan dengan tongkat kerana kakinya bengkak terkena penyakit gout dan kencing manis, macam juga penyakit kronik yang dihadapi orang ramai hari ini seperti penyakit kencing manis, penyakit buah pinggang, darah tinggi, sakit jantung, penyakit strok dan bermacam-macam lagi. Pak Dali membimbing tangan Mak Bedah menuju ke bilik di mana jasad Mak Zu sedang bertarung dengan kesakitan sakratul maut dan pautan syaitan laknatullah terhadap diri Mak Zu. Ustaz Hj Non berkata sesuatu kepada Mak Bedah sambil di angguk-angguk oleh Mak Bedah. Air matanya mengalir membasahi pipinya sambil berkata, “ibu masih sayangkan kau nak … meskipun engkau tak pedulikan ibu … ibu tahu engkau nakkan ‘kemerdekaan’ tapi kemerdekaanmu itu adalah ‘kemerdekaan palsu’ yang tak menjanjikan kebebasan sebenarnya kepadamu nak! Ibu ampunkan segala dosa-dosa mu nak! … agar rohmu merdeka dalam erti kata sebenarnya dan keimanan kepada Allah.” Ustaz HjNon terus berusaha mentalqinkan Mak Zu dengan kalimat penyelamat lailahailallah pasport ke Syurga. Inilah daya upayanya yang dapat di usahakan untuk memerdekakan Mak Zu daripada terus kekal di dalam Neraka Jahanam di akhirat kelak sekiranya mati tanpa kalimah iman, meskipun begitu ia akan melalui seksaan di dalam Neraka kerana ‘kemerdekaan mayanya yang palsu’ semasa hidup di dunia yang fana ini. Terkumat kamit dengan nada suara yang terketar-ketar keluar dari mulut Mak Zu menyebut ‘lailahaillallah’. 
Alhamdulillah! Bersyukur pada Allah tercetus dari mulut Ustaz Hj Non dan di ikuti oleh Pak Dali dan Pak Imam Hj Hashim. Mak Bedah kesedihan merebahkan mukanya ke pipi Mak Zu yang kini bagaikan batang pisang yang keras lagi sejuk, kini menuju ke alam Barzakh (kubur) yang tidak lagi mencari ‘kemerdekaan maya’ yang palsu. Detik masa untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-51 belum lagi berlalu, kini jasad Mak Zu terbujur kaku … di detiknya juga yang pilu lagi terharu kerana ‘kemerdekaan maya’ yang palsu tidak membantu. ‘Kemerdekaan maya’ yang diburu segenap penjuru rupanya palsu! Palsu! Palsu! Tiada membantu, kepada Allah jua kita menuju. Inna lillah wa inna alaihi rajiuun. 

Biodata: Dr Adnan Abd Rashid 
DILAHIRKAN pada 8 Mei 1959 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, berjinak-jinak dalam dunia penulisan kreatif sebagai kegemaran masa lapang di samping menulis rencana ilmiah untuk jurnal dan prosiding persidangan. Cerpennya, Pak Ngah Pasca Merdeka, pernah disiarkan dalam Berita Minggu. Guru pelatih Maktab Perguruan Lembah Pantai Kuala Lumpur 79/80, kini berkhidmat sebagai Pensyarah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pakar Program Pendidikan di ISESCO, Rabat, Morocco 2010.