Pages

Tuesday, July 3, 2012

Russia, musuh Bashar sedia berunding

MOSCOW: Russia akan mengadakan rundingan dengan kumpulan pembangkang Syria dan wakil PBB, Kofi Annan, akhir bulan ini.
Agensi berita Russia, RIA Novosti, melaporkan Timbalan Menteri Luar, Mikhail Bogdanov mengesahkan pemimpin pembangkang Syria, Michel Kilo, akan tiba di negara itu hujung minggu ini.

Katanya, pemimpin baru Majlis Kebangsaan Syria yang juga satu daripada kumpulan pembangkang negara itu, Abdulbaset Sieda, akan melawat Russia selepas 10 Julai ini.
“Rundingan ini penting kerana Russia perlu melakukan apa yang terdaya bagi melaksanakan pelan damai Annan dan persetujuan daripada persidangan di Geneva Sabtu ini,” katanya. Sementara itu, seorang diplomat Russia yang tidak didedahkan identitinya pula memberitahu RIA Novosti, Annan dijangka tiba di Moscow pertengahan bulan ini. Russia adalah sekutu penting Syria dan bertindak sebagai pelindung dan pembekal senjata untuk negara itu.

Harapan untuk mengembalikan keamanan di Syria bergantung kepada persetujuan Russia menerima pelan damai berkenaan.

Jika diterima, dinasti pemerintahan keluarga Presiden Bashar al-Assad akan berakhir selepas memerintah Syria lebih empat dekad. Dalam usaha mengekalkan sekutu terakhirnya di Timur Tengah, Moscow sering bertindak bercanggah dengan usaha dicadangkan AS dan Barat bagi menggantikan rejim Bashar dengan kerajaan demokratik. Sejak kebangkitan rakyat Mac tahun lalu, 16,500 didakwa terbunuh di Syria. - AP

No comments: