Pages

Tuesday, July 3, 2012

Gadis bunuh bapa, adik

PATNA: Polis menahan seorang remaja perempuan di timur India atas tuduhan membunuh bapa dan adik lelakinya yang menentang hubungannya dengan lelaki berkasta rendah.
Ia kejadian yang berbeza berbanding ‘pembunuhan bermaruah’ yang biasa berlaku. 
Menurut polis, remaja berusia 14 tahun yang ditahan kelmarin, mengaku mencampurkan racun pada kari sayur yang disediakan untuk bapa dan adik lelakinya yang meninggal dunia setelah memakan hidangan itu.

Kejadian berlaku Sabtu lalu di Kampung Malpur, 75 kilometer dari Patna, ibu negeri Bihar.

Ibu gadis itu, Sunita Devi, memberitahu polis dia terselamat kerana sakit dan tidak berselera untuk memakan makanan itu.

Pegawai Kanan Polis, Upendra Kumar berkata: “Remaja itu mengambil langkah drastik kerana ahli keluarganya, termasuk bapa, adik lelaki dan ibunya, menentang hubungan cintanya dengan lelaki berkasta rendah dan rancangan mereka untuk berkahwin.”

Lelaki itu adalah dari komuniti Dalit.

Dalit atau dikenali juga sebagai ‘tidak boleh disentuh’ adalah kasta paling rendah dalam hiraki India.

Kebanyakan mereka hidup miskin dan melakukan kerja buruh yang dianggap kotor seperti mengangkat sampah.

Keluarga remaja itu tergolong dalam kasta tinggi, sebelum ini pernah memukul lelaki itu apabila mereka ditangkap cuba kahwin lari.

Kejadian seperti itu biasanya menyebabkan perbalahan hubungan antara kasta dengan lelaki dalam sesebuah keluarga akan membunuh anak atau adik perempuan yang dianggap mencemar ‘maruah’ keluarga.

Tidak ada angka rasmi mengenai pembunuhan bermaruah di India tetapi kajian persendirian pada 2007 mengesyorkan sebanyak 900 kes dilakukan setiap tahun di negeri utara India seperti Haryana, Punjab dan Uttar Pradesh. - Agensi

No comments: