Maha Al Musa menyifatkan tindakannya menyusukan anaknya, Amina Al Musa pada usia enam tahun sebagai perkara semula jadi yang sempurna walaupun dia sudah berusia 52 tahun. AGENSI
SYDNEY 31 Mei – Seorang ibu di Australia mencuri perhatian media apabila disebut-sebut sebagai wanita tertua di dunia yang masih menyusukan anak perempuannya yang sudah berusia enam tahun.
Pada usia 52 tahun, Maha Al Musa tidak berasa kekok untuk memberi susu badan kepada anaknya, Amina pada setiap hari walaupun tindakannya itu turut mencetuskan kritikan daripada segelintir pihak yang beranggapan amalan memberikan susu badan selepas bayi mencecah usia setahun sebagai tidak praktikal.
Tetapi, Maha menepis kritikan tersebut dengan berkata, susu badan boleh mengawal kadar gula dalam darah kanak-kanak termasuk kelakuan mereka.
Sebagai contoh, wanita yang kini menetap di pekan Byron Bay itu berkata, anak yang suka mengamuk boleh ditenangkan jika ibu memberi susu badan kepada mereka.
“Kira-kira dua tahun lalu ketika usia saya 50 tahun dan Amina empat tahun setengah, saya pernah menghantar susu badan kepada jabatan biokimia di Universiti Western Australia yang melakukan kajian terhadap susu manusia.
“Kajian tersebut merupakan kali pertama dilakukan kepada wanita yang sudah berusia lebih 50 tahun dan saya difahamkan bahawa susu badan saya masih mempunyai khasiat untuk bayi,” katanya seperti laporan portal Oddity Central.
Maha menyifatkan tindakannya menyusukan Amina sebagai ‘perkara semula jadi yang sempurna walaupun dilakukan di tempat awam.
Bagi Amina, dia menikmati susu badan ibunya buat masa ini dan akan terus berbuat demikian sekurang-kurangnya dua tahun lagi.
“Minum susu badan merupakan perkara paling digemari saya pada waktu cuti sekolah.
“Kadang-kala susu ibu terasa manis dan saya rasa ramai kanak-kanak perlu mengikut jejak saya kerana banyak kebaikan yang boleh kita peroleh,” katanya.