Pages

Sunday, June 24, 2012

Mohammed Mursi Presiden baru Mesir

Mohammed Mursi Presiden baru Mesir
Farouk Sultan mengumumkan keputusan pemilihan Presiden Mesir hari ini. – Foto EPA
Mohammed Mursi Presiden baru Mesir
Mohammed Mursi Presiden baru Mesir
KAHERAH - Wakil Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi diisytihar memenangi pemilihan Presiden Mesir yang pertama selepas Hosni Mubarak digulingkan awal tahun lalu.
Mohammed, yang mewakili Parti Kebebasan dan Keadilan, memperoleh 51.73 peratus undi atau lebih 13 juta undi manakala pencabarnya di pusingan kedua pemilihan, Ahmed Shafiq, yang juga bekas Perdana Menteri era Hosni, mengumpulkan 48.27 peratus undi atau lebih 12 juta undi.
Menjelang pengumuman hari ini, yang mula dibuat sejak jam 9 malam tadi (waktu Malaysia), protes diadakan di Dataran Tahrir ekoran pengumuman Majlis Agung Angkatan Tentera (Scaf) bahawa pihaknya mahu mengurangkan atau mengehadkan kuasa presiden dan pada masa yang mengukuhkan kuasa tentera.
Pemilihan pusingan kedua diadakan awal minggu lepas. Sebaik sahaja pengundian berakhir, kedua-dua calon itu mengisytiharkan diri mereka sebagai pemenang.
Keputusan pemilihan sepatutnya diumumkan Khamis lalu, tetapi ditangguhkan ekoran aduan daripada calon-calon yang bertanding berhubung proses pengundian dan kiraan kertas undi.
Pusingan pertama pemilihan diadakan bulan lalu.
Seramai 50.3 juta pengundi layak mengundi pada pemilihan kali ini. Kira-kira 37,000 kertas undi telah dibatalkan, kata Ketua Suruhanjaya Pemilihan Presiden, Farouk Sultan yang membacakan mukadimah kira-kira 90 minit sebelum mengumumkan nama pemenang sekitar jam 10.30 malam (waktu Malaysia).
Katanya, suruhanjaya itu menerima sebanyak 452 rayuan daripada kedua-dua calon.
Pengumuman itu membawa kepada kegembiraan di kalangan penyokong Mohammed yang berhimpun di Dataran Tahrir sejak beberapa hari lalu.
Kelewatan pengumuman mencetuskan rasa gelisah dan ketegangan di Mesir khususnya di kalangan penyokong dan pengikut Mohammed.
Pengumuman dibuat di sebalik kawalan ketat ekoran kebimbangan bahawa keputusan pemilihan boleh membawa kepada pergaduhan, sekali gus mencetuskan keadaan tidak terkawal sebagaimana disaksikan awal tahun lalu - ketika kebangkitan rakyat yang membawa kepada kejatuhan kepimpinan Hosni.
Keputusan pemilihan pusingan kedua ini diumumkan kira-kira dua minggu selepas Hosni dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan hampir seminggu selepas pihak pemerintah tentera mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada presiden baru, tetapi mengekalkan beberapa kuasa penting di pihak mereka.
Kuasa presiden dihadkan manakala perlembagaan pula belum dirangka.

Pengguna kini boleh sunting komen di Facebook

SAN FRANCISCO - Bagi pengguna yang kerap membuat kesalahan tidak sengaja dan memalukan semasa mengemas kini status atau menghantar komen di Facebook, kini mereka boleh menarik nafas lega.

Kelmarin, laman sosial gergasi itu mengumumkan, pengguna kini boleh menyunting komen mereka tanpa perlu memadamkan keseluruhan status atau komen seperti sebelum ini.
Jurucakap Facebook, Johanna Peace berkata, proses penyuntingan tersebut tidak akan menjejaskan secara langsung keseluruhan perbualan kerana mereka turut menyediakan semakan kepada pengguna.

"Mereka boleh menggunakan aplikasi penyuntingan itu dalam masa beberapa hari lagi," katanya.

Tumor dikeluarkan dari mulut janin

Tumor dikeluarkan dari mulut janin - Global - Sinar Harian:

Tumor dikeluarkan dari mulut janin
Hasil ujian ultra bunyi berjaya mengesan gelembung (tumor) pada mulut Leyna
FLORIDA - Sekumpulan pakar bedah di sebuah hospital di Florida berjaya mengeluarkan tumor dari mulut janin berusia empat bulan dari dalam kandungan ibunya menerusi pembedahan pertama seumpama itu di dunia.
Difahamkan, pembedahan tersebut dilakukan pada Mei 2010 tetapi kejayaannya baru diumumkan, kelmarin selepas laporan penuh itu diterbitkan di dalam Jurnal Obstetrik dan Ginekologi.

"Saya berada dalam keadaan sedar semasa prosedur mengeluarkan tumor sebesar kotak mancis tersebut dilakukan," kata Tammy Gonzalez, 39.

Anaknya, Leyna Mykaella kini membesar dengan cergas selepas menjalani pembedahan laser tersebut walaupun ia sememangnya berisiko tinggi.
Doktor Ruben Quintero dan Dr Efitichia memaklumkan keadaan seperti itu hanya berlaku sekali dalam 100,000 kehamilan.

Hospital tawar RM2,510 derma sperma, ovum

BEIJING - Sebuah hospital di Jiangsu, China menawarkan kira-kira 5,000 yuan (RM2,510) kepada penderma sperma untuk memenuhi permintaan pasangan mandul.
Menurut sumber, penderma ovum pula dibayar tiga hingga empat kali ganda lebih tinggi kerana proses pengekstrakan telur didakwa lebih rumit.
Penderma juga perlu mengikat kontrak di hospital itu bagi mengelakkan mereka menderma sperma atau ovum di pusat lain.
Difahamkan, mereka hanya boleh menderma 10 kali seumur hidup manakala pihak hospital mempunyai hak untuk menghamilkan lima wanita menggunakan sperma daripada individu yang sama.

Syarat tersebut perlu dipatuhi bagi mengelakkan berlaku sumbang mahram antara penderma dan 'anak' mereka pada masa hadapan.  

Sampah tsunami bawa spesies asing ke AS

Sampah tsunami bawa spesies asing ke AS - Global - Sinar Harian: "SAN FRANCISCO - Ahli sains di Amerika Syarikat khuatir sampah tsunami yang dihanyutkan oleh tsunami di Jepun pada tahun lalu akan membawa pelbagai spesies hidupan akuatik asing ke perairan rantau itu.

Mereka mendakwa sampah terbesar yang ditemui terdampar di pantai Oregon pada awal bulan ini turut membawa puluhan spesies marin asing merentasi Lautan Pasifik.

Presiden syarikat perunding marin di Oakland, Liz Taylor berkata, Teluk San Francisco kini tercemar dengan organisma asing yang dibawa oleh kapal kargo dari seluruh dunia sebelum ini.

"Penyelidikan awal kami mendapati spesies asing itu sebenarnya boleh menjejaskan ekosistem dan biodiversiti hidupan semula jadi di sini. Ia sememangnya bakal menjadi ancaman baru," katanya."

'via Blog this'

Keputusan malam ini. Ahmad isytihar dirinya 'Presiden Mesir'

Keputusan malam ini. Ahmad isytihar dirinya 'Presiden Mesir' - Global - Sinar Harian:

Keputusan malam ini. Ahmad isytihar dirinya 'Presiden Mesir'
Dua calon pemilihan Presiden Mesir pusingan kedua (dari kiri) Mohammed Morsi dan Ahmed Shafik. Keputusan rasmi jam 9 malam ini (waktu Malaysia).
KAHERAH - Sementara rakyat Mesir dan seluruh dunia menanti keputusan rasmi pusingan kedua pemilihan presiden negara itu, bekas Perdana Menteri Ahmed Shafik membuat deklarasi 'terbuka' menerusi laman sosial Facebook bahawa dirinya - "Presiden Ahmed Shafik, Mesir 2012."

Keputusan itu dijadual akan diumumkan oleh suruhanjaya pemilihan presiden pada jam 9 malam ini (waktu Malaysia).

Ahmed, yang dikaitkan dengan rejim bekas Presiden Hosni Mubarak yang digulingkan awal tahun lalu, membuat deklarasi ini ketika muncul laporan bercanggah siapa yang memenangi pemilihan presiden.

Minggu lalu, beliau dan wakil Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan, Mohammed Morsi mendakwa telah memenangi pemilihan julung kali diadakan ini.
Keputusan itu sepatutnya diumumkan Khamis lalu tetapi ditangguhkan.
"Adakah kita benar-benar akan mengadakan satu revolusi jika Ahmed menang?" soal novelis disegani Alaa al-Aswany menerusi Twitter, dipetik oleh laporan CNN.

Jawi cekup 4 wanita Islam jadi penari pusat hiburan

Jawi cekup 4 wanita Islam jadi penari pusat hiburan - Semasa - Sinar Harian:

KUALA LUMPUR - Hanya kerana bayaran RM100, empat wanita Islam sanggup memakai pakaian tidak sopan sambil mempersembahkan tarian kepada pengunjung sebuah pusat hiburan di sini ketika kelab itu diserbu oleh  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) malam tadi.
Seorang daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Baby, 27, berkata beliau hanya datang ke pusat hiburan sekiranya mendapat undangan dan menari hanya untuk suka-suka disamping menambah wang saku kerana  kebetulan, beliau mengambil jurusan tarian ketika belajar di sebuah institusi pengajian swasta satu ketika dulu.

Katanya, ada ejen yang ditugaskan untuk mencari penari dan membayar mereka mengikut ketetapan yang ditentukan.
"Kalau ada undangan, baru saya datang menari kerana bayaran juga mahal untuk 10 ke 15 minit. Saya tidak tertumpu pada pusat hiburan ini saja namun kalau ada undangan di tempat lain dengan bayaran lumayan juga, saya akan sertai," katanya kepada pemberita setelah diambil keterangan oleh pegawai penguatkuasa Jawi ketika serbuan itu.

Seorang lagi wanita yang enggan dikenali berkata beliau menari atas desakan hidup untuk mencari wang saku disamping menghiburkan pengunjung biarpun beliau menyedari tindakannya itu salah di sisi agama Islam.
"Saya hanya menari untuk mencari wang saku dan bukan untuk disentuh oleh pengunjung dan jauh sekali untuk menggadai maruah diri," katanya sambil menambah bahawa beliau menari sejak setahun lalu.
Dalam operasi itu yang bermula pada 10.30 malam dan berakhir 2 pagi itu, 40 anggota penguatkuasa JAWI dengan kerjasama polis dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Chulan dan dua lagi di Jalan Dooraisamy.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi Wan Jaafar Wan Ahmad berkata dalam serbuan itu 10 notis pemberitahuan hadir ke JAWI  dikeluarkan untuk siasatan lanjut atas beberapa kesalahan terhadap enam lelaki dan empat wanita beragama Islam.

Katanya, enam lelaki yang berumur lingkungan 25 hingga 45 tahun itu diberikan notis kerana melanggar Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 iaitu meminum minuman keras manakala empat wanita berumur lingkungan 18 hingga 27 tahun tersebut pula diberi notis menurut Seksyen 29 akta yang sama iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.
"Kami menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung salah laku orang Islam di sekitar Lembah Klang seperti minum minuman keras dan wanita menjadi pelayan pelangggan (GRO)," katanya kepada pemberita  selepas serbuan itu.
Wan Jaafar berkata tujuan serbuan dibuat adalah untuk menyedarkan orang Islam bahawa perbuatan mereka itu salah di sisi agama dan sesi kaunseling akan diberikan untuk mendidik mereka agar bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
"Sekiranya mereka tidak hadir ke sesi kaunseling tersebut tanpa sebarang sebab yang paling munasabah, kami akan buat tindakan susulan dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka," katanya.- Bernama


'via Blog this'

Bayi lelaki ditemui di kawasan semak

Bayi lelaki ditemui di kawasan semak - Kelantan - Sinar Harian: "KOTA BHARU - Seorang bayi lelaki seberat 2.25 kilogram ditemui oleh orang awam di kawasan semak berhampiran Sekolah Kebangsaan Tanjung Mas, di Jalan Kubang Human dekat sini, jam 7 pagi tadi.

Bayi yang dibalut dengan surat khabar masih bertali pusat dan tiada kecacatan serta sihat.

Berdasarkan maklumat yang diterima, bayi itu kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II jam 8.45 pagi tadi.

"

'via Blog this'

Isteri Ben Ali dedah rahsia

Kandungan buku ini turut menjawab segala persoalan dan khabar angin yang tersebar selama ini.
Kandungan buku ini turut menjawab segala persoalan dan khabar angin yang tersebar selama ini.
PARIS - Isteri bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali, Leila mendakwa rancangan pegawai atasan keselamatan menjadi punca suaminya digulingkan semasa revolusi kebangkitan rakyat pada Januari tahun lalu.

Perkara itu didedahkan menerusi buku berjudul My Truth hasil tulisannya yang dilancarkan di Perancis, kelmarin.

Isteri kedua Ben Ali berumur 55 tahun itu turut mengakui gaya hidupnya yang terlalu mewah turut mengakibatkan kejatuhan pemerintahan selama 23 tahun bekas presiden tersebut.

"Kelemahan dan kesilapan dilakukan oleh keluarga saya termasuk skandal rasuah dijadikan alat oleh pihak luar untuk menjatuhkan kami," katanya.

Kandungan buku itu turut mendedahkan mereka melarikan diri ke Arab Saudi atas desakan pegawai keselamatan Presiden, Ali Seriati yang disyaki sebagai dalang utama mencetuskan revolusi di negara Afrika Utara tersebut sehingga merebak ke Timur Tengah.

"Kami sedia pulang semula ke Tunisia jika diberi jaminan akan dibicarakan secara adil," jelasnya lagi.

Minggu lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Ben Ali selepas didapati bersalah mengarahkan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan

Keputusan pemilihan Presiden Mesir hari ini

mesir undi
Rakyat Mesir mengundi dalam pemilihan pertama selepas Hosni Mubarak digulingkan.
KAHERAH - Keputusan pusingan kedua pemilihan jawatan presiden, yang ditangguhkan sehingga mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat, dijangka diumumkan hari ini - sekitar 9 malam (waktu Malaysia).
Suruhanjaya pilihan raya Mesir sedang mempertimbangkan rayuan daripada kedua-dua calon iaitu Mohammed Mursi, 60, dari Ikhwanul Muslimin dan bekas Perdana Menteri Ahmed Shafiq, 70.
Kedua-dua mereka mendakwa telah mencapai kemenangan. Keputusan sepatutnya diketahui Khamis lalu.
"Faruk Sultan, ketua suruhanjaya pemilihan presiden akan mengumumkan keputusan pusingan kedua pemilihan presiden pada Ahad, jam 3 petang (9 malam waktu Malaysia)," kata Setiausaha Agung Suruhanjaya, Hatem Bagato dalam satu kenyataan semalam.
Penyokong-penyokong Mohammed terus berhimpun di Dataran Tahrir sejak Jumaat lalu sebagai tanda memprotes ke atas langkah kerajaan sementara tentera mengambil alih bebereapa kuasa pentadbiran negara.

Bahrain guna peluru getah surai protes


MANAMA 23 Jun - Pasukan keselamatan Bahrain melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan satu demonstrasi yang diketuai parti pembangkang, Al-Wefaq, semalam.
Ketua parti pembangkang itu, Sheikh Ali Salman cedera terkena peluru getah dan gas pemedih mata dalam pertempuran dengan polis antirusuhan, kata parti itu dalam satu kenyataan.
Parti Syiah itu menuduh kerajaan meningkatkan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan.
Saksi berkata, sejumlah anggota polis dikerah untuk menghentikan perarakan penunjuk perasaan itu.
Mereka melihat polis melepaskan gas pemedih mata dan penunjuk perasaan pula melemparkan bom petrol.
Anggota kanan Parti Wefaq, Matar Matar berkata, pasukan keselamatan sebelum ini mengambil tindakan secara profesional menangani masalah dengan pemimpin politik.

Bank NatWest alami kerosakan

Seorang wanita yang sedang mendukung anak memerhatikan mesin ATM Bank NatWest yang rosak di Olney, Buckinghamshire. - AGENSI
LONDON 23 Jun - Berjuta-juta penduduk Britain, tidak boleh mengakses wang mereka sejak tiga hari lalu selepas sebuah bank utama di negara ini, NatWest mengalami kerosakan komputer.
Kejadian itu menyebabkan mereka tidak boleh membayar bil, membeli barangan keperluan harian malah sejumlah orang dihalau dari rumah kerana tidak membayar yuran.
Masalah yang dijangka berlanjutan sehingga hujung minggu ini berlaku selepas kakitangan bank tersebut cuba memuat turun perisian terkini sistem pemprosesan pembayaran tetapi menyebabkan berlakunya kerosakan sistem.
Keadaan itu menyebabkan pelanggan yang memeriksa akaun mereka tiga hari lalu mendapati ia tidak dikemaskini dan tidak menunjukkan pembayaran baru termasuk mereka yang bergantung kepada kemasukan gaji tidak boleh membayar pinjaman mereka dan bil-bil lain.
Tiga hari kemudian masalah itu masih gagal dibaiki menyebabkan pelanggan bank akan dikenakan caj penalti kerana lewat membuat pembayaran.
Kira-kira 7.5 juta pelanggan peribadi, pelanggan perniagaan selain 100,000 pelanggan Ulster Bank menjadi mangsa masalah tersebut.
Laman web NatWest semalam dipenuhi pelbagai aduan termasuk mereka yang gagal mengeluarkan gaji atau kad kredit mereka tidak boleh digunakan.
Seorang penduduk, Lance King bersama keluarganya berkata, mereka tiada rumah selepas masalah di bank itu menyebabkan pembelian rumah baru tidak dapat dilakukan.
‘‘Saya telah menjual rumah lama kami tetapi tidak boleh pindah ke rumah baru kerana masalah bank itu kerana wang pembelian itu tidak wujud di akuan penjual rumah. Saya dan keluarga telah dipaksa keluar dari rumah lama kami,’’ katanya.
NatWest berkata, pihaknya masih berusaha membaiki kerosakan tersebut dan memberi jaminan pelanggan mereka tidak akan dikenakan denda atas kelewatan yang berlaku. - AGENSI

Serangan Israel, seorang kanak-kanak Palestin maut

Serangan Israel, seorang kanak-kanak Palestin maut:


Penduduk Palestin menguruskan jenazah kanak-kanak berusia enam tahun, Ali Al-Shwaf di Hospital Nasser di Khan Younis untuk dikebumikan. Kanak-kanak itu terbunuh dalam serangan Israel di selatan Gaza, semalam. - REUTERS
GAZA 23 Jun - Seorang kanak-kanak Palestin terbunuh dan 20 lagi cedera termasuk seorang bayi dalam serangan udara Israel ke atas sasaran keselamatan pergerakan Hamas di Gaza, hari ini.
Seorang pegawai perubatan Hamas berkata, kanak-kanak berumur enam tahun itu terbunuh di sebuah padang bola sepak berdekatan bandar Khan Younis dan mencederakan dua yang lain.
Di Rafah, seorang bayi cedera dalam serangan Israel di bandar dekat sempadan Mesir itu.
Peningkatan keganasan di wilayah itu mengancam perjanjian damai Israel-Palestin yang dianjurkan oleh Mesir pada minggu ini.

Anak saudara Saddam Hussein mohon suaka Austria

VIENNA 23 Jun - Anak saudara lelaki kepada pemimpin diktator Saddam Hussein, memohon suaka politik di Austria selepas ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah, lapor Menteri Dalam Negeri.
Lelaki berusia 42 tahun itu dikenali sebagai Bashar N. dikehendaki oleh pihak berkuasa Iraq sejak tahun 2006.
Akhbar Tabloid Austria Kronen Zeitung berkata, dia ditahan semalam semasa kawalan rutin dan mendapati tidak mempunyai pasport dan akan dikenakan tindakan sebagai pengganas . - DPA

40 terbunuh di Daarat Azza

BEIRUT 23 Jun - Sekurang-kurangnya 40 terbunuh di Syria semalam, termasuk 26 kumpulan bersenjata pro kerajaan.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, militan yang dikenali dengan Shabihaa itu terbunuh di utara Aleppo iaitu kawasan yang menjadi sasaran tentera kerajaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Laporan media tempatan berkata, kumpulan bersenjata itu telah menculik dan membunuh 25 penduduk di Daarat Azza yang terletak di wilayah utara Aleppo.
Sementara itu, 24 orang awam terbunuh kerana tentera Syria mengebom kubu kuat pemberontak di wilayah Homs, Daraa dan Idlib yang berdekatan dengan sempadan Turki. - DPA

Syria tembak pesawat Turki

Pesawat pejuang Turki F-4 berlepas dari lapangan terbang Erhac di timur wilayah Malatya sebelum terputus hubungan. Syria mengesahkan menembak jatuh pesawat itu, semalam. - AGENSI
DAMSYIK 23 Jun - Syria hari ini mengesahkan pihaknya menembak jatuh sebuah pesawat pejuang Turki yang memasuki ruang udara negara ini, mencetuskan krisis baru antara dua negara jiran itu.
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, pihaknya akan mengambil semua langkah sepatutnya selepas Syria mengesahkan fakta pesawat pejuang F-4 itu ditembak di kawasan perairan Laut Mediterranean semalam.
Perdana Menteri Turki mengadakan satu pertemuan khas dengan ketua tentera dan agensi perisikan serta menteri-menteri utama sejurus selepas hubungan terputus dengan pesawat itu.
‘‘Turki akan mengumumkan tindakannya selepas mengambil tindakan sepatutnya setelah semua hal berhubung kejadian itu dijelaskan,’’ katanya selepas pertemuan tersebut.
Hubungan antara kedua-dua negara jiran itu menjadi tegang ketika Ankara mengambil tindakan tegas berhubung tindakan kekerasan Damsyik terhadap pemberontakan rakyat dengan memberikan perlindungan kepada askar Syria yang berpaling tadah.
Agensi berita rasmi Syria, SANA mengesahkan Damsyik menembak pesawat pejuang tersebut dalam laporannya awal pagi ini.
‘‘Satu sasaran tidak dikenal pasti memasuki ruang udara Syria dari arah barat dengan terbang rendah dan pada kelajuan tinggi di kawasan perairan,’’ kata agensi berita tersebut yang memetik seorang jurucakap tentera.
Jurucakap itu berkata, pasukan anti-pesawat melepaskan tembakan dan mengenai pesawat itu ketika ia berada kira-kira satu kilometer dari tanah besar.
‘‘Ia terhempas kira-kira 10 kilometer dari wilayah Latakia di kawasan perairan Syria,’’ tambahnya.
Tentera laut kedua-dua negara tersebut kini bekerjasama mencari dua anak kapal pesawat pejuang itu, lapor SANA. - AFP

Arab Saudi dan Qatar biayai pemberontak Syria

JEDDAH 24 Jun - Arab Saudi dan Qatar dilaporkan membiayai pasukan pemberontak di Syria yang menentang rejim Presiden Bashar al-Assad.
Menurut seorang diplomat Arab Saudi yang identitinya tidak didedahkan, pembiayaan tersebut telah berlangsung selama sebulan dan persetujuan dibuat pada 2 April lalu oleh kedua-dua negara yang terlibat.
"Pembiayaan tersebut bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai tentera Syria berpaling tadah selain menguruskan Tentera Pembebasan Syria (FSA) dan mengawal organisasi tersebut daripada disertai mana-mana kumpulan radikal," katanya. - REUTERS

Anak badak ke-4 dilahir dalam 10 tahun

RATU melahirkan anak jantan.
RATU melahirkan anak jantan.
JAKARTA: Badak sumbu spesies Sumatra yang hampir pupus, dilahirkan di tempat perlindungan di Indonesia, kelahiran keempat dalam kurungan direkod sejak lebih 10 tahun, memberi harapan kepada ahli pemuliharaan, bilangan spesies ini akan bertambah.
Ahli pemuliharaan Widodo Ramono yang bekerja di tempat perlindungan di Pulau Sumatera, berkata, “Ratu melahirkan seekor anak jantan pada 12.45 malam semalam. Ibu dan anak berada dalam keadaan baik.”
Tiga kelahiran badak sumbu spesies Sumatra sebelum ini direkodkan di Zoo Cincinnati, Ohio, Amerika Syarikat. Bapa kepada anak badak itu, Andalas, adalah yang pertama dihantar di pusat perlindungan dalam 112 tahun. Menurut zoo itu, dia dilahirkan pada September 2001.

Andalas dibawa ke Indonesia untuk mengawan dengan Ratu, badak betina yang hidup liar tetapi keluar dari hutan dan kini tinggal di Tempat Perlindungan Badak Sumbu Sumatra di Taman Negara Kambas.

Populasi badak sumbu Sumatra jatuh 50 peratus sejak 20 tahun lalu disebabkan pemburuan haram dan pemusnahan habitat mereka. - AFP

Jet pejuang keluar dari sempadan

DAMSYIK: Presiden Turki, Abdullah Gul berkata semalam, jet pejuang yang ditembak jatuh oleh Syria mungkin masuk ke ruang udara negara itu.
“Ia perkara biasa untuk pemandu jet pejuang keluar masuk sempadan... apatah lagi dengan kelajuan mereka,” katanya kepada agensi berita Anatolia. 
“Ia bukan dibuat dengan niat tidak baik tetapi di luar kawalan disebabkan kelajuan jeti itu,” katanya.

Katanya, Syria melihat sebuah pesawat di ruang udaranya dan “mengambil tidakan mengikut undang-undang dalam situasi itu” dan pesawat itu kemudian terhempas di Laut Mediterranean.

Tentera Laut Turki dan Syria kini dalam operasi mencari dua kru pesawat itu.

Abdullah juga berkata, mereka sedang menghubungi Syria, walaupun sudah meminta duta masing-masing keluar dari kedutaan mereka di Damsyik Mac lalu dan menghalau duta dari kedutaan di Ankara selepas keganasan di Syria berterusan.

“Kami meminta semua rakyat kami keluar dari Syria atas sebab keselamatan. Ini tidak bermakna kami tidak mempunyai hubungan dengan Damsyik,” katanya.

Pesawat pejuang itu hilang dari radar kira-kira jam 0900 GMT, kelmarin selepas berlepas dari lapangan terbang tentera di bandar Malatya.

Syria mengesahkan ia menembak jatuh pesawat itu dan kerajaan Turki di Ankara akan mengambil langkah sepatutnya sebaik saja ia mendapat fakta kejadian itu.

Perdana Menteri, Recep Tayyib Erdogan berkata mereka akan mengambil langkah sepatutnya.


Dia mengesahkan pesawat itu terhempas kira-kira lapan batu dari bandar Latakia di Syria.

Syria sebelum ini mengesahkan ia menembak jatuh pesawat pejuang Turki yang “masuk ke perairannya.”

Jet F4 Phantom hilang dari radar di Mediterranean kelmarin, satu potensi untuk provokasi krisis baru di jiran Timur Tengah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh tentera dan diedarkan oleh media, ia berkata, “Pertahanan kami berhadapan dengan sasaran yang masuk ke ruang udara kami kelmarin dan menembak jatuh pesawat itu. Ia adalah pesawat ketenteraan Turki.” - Agensi

Gempa 6.6 magnitud landa Aceh

BANDA ACEH: Gempa bumi sekuat 6.6 pada skala Richter melanda Aceh pada jam 11.34 pagi waktu tempatan, semalam.
Gempa yang berpusat di Kota Subulussalam ini dikatakan agak kuat tetapi tidak menjadikan warga Aceh panik. 
Data dari Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) mengatakan gempa itu berada pada 24 kilometer barat laut Kota Subulussalam dengan kedalaman 103 kilometer.
Ramai penduduk keluar dari bangunan, rumah dan kedai tetapi hanya sebilangan yang merasa gegaran itu kerana mereka sedang sibuk melakukan urusan. - Kompas.commyMetroGempa 6.6 magnitud landa Aceh:

Bunuh diri lepas rahsia terbongkar

LONDON: Seorang pengurus pasar raya yang menyembunyikan rahsia mempunyai dua keluarga berbeza selama 20 tahun dan 12 anak, membunuh diri selepas isteri dan kekasihnya mengetahui hal yang sebenar.
Andrew Ingham, 50, mengalami tekanan perasaan teruk selepas dua isterinya meninggalkannya pada Disember tahun lalu selepas mengetahui rahsianya dan dia ditinggalkan berseorangan di sebuah rumah pangsa kecil. 
Walaupun telah berkahwin dengan isterinya Jackie selama 30 tahun, Ingham tetap menjalinkan hubungan dengan teman wanitanya, Anita Barret, selama 21 tahun.

Dia ayah kepada empat anak bersama wanita simpanannya dan lapan bersama isterinya. Anak sulungnya bersama isterinya berusia 27 tahun sementara yang bongsu berusia lapan tahun.

Dalam inkues kematiannya di Mahkamah Koroner Chelmsford, Jackie, 48 dan Anita, 42 duduk agak jauh di antara satu sama lain.

Ingham membunuh diri selepas merasa tertekan mengenai “kejadian yang berlaku dalam kehidupan peribadinya.”

Sebelum membunuh diri dia meninggalkan beberapa nota yang dialamatkan kepada “sesiapa yang berkenaan.”

Ingham tinggal bersendirian di rumah pangsa di atas restoran di Waltham Abbey dan mayatnya ditemui oleh rakannya, Stuart Pride.

Pride, tuan punya rumah itu merasa sangsi apabila menemui surat saman di kereta Ingham kerana kawannya itu sentiasa berhati-hati untuk tidak disaman.
Dia menggunakan kuncinya sendiri untuk masuk ke rumah Ingham dan menemui mayat rakannya.
Pride berkata, “Saya melangkah ke bilik. Saya lihat ada beberapa nota di atas katil. Saya mengintai ke dalam dan nampak tubuh Andrew tergantung dari alang.” - DMmyMetroBunuh diri lepas rahsia terbongkar:

Presiden ada empat anak luar nikah disingkir

Fernando Lugo
Fernando Lugo



ASUNCION: Kongres Paraguay semalam menyingkirkan Presiden Fernando Lugo daripada jawatannya, selepas satu undi tidak percaya yang beliau dakwa sebagai rampasan kuasa, tetapi memberi jaminan akan menerimanya. 

Lugo, bekas paderi yang bertanding jawatan presiden, didapati bersalah berikutan kesilapannya mengendalikan pertempuran bersenjata berkaitan perebutan tanah yang menyebabkan 17 polis dan petani terbunuh minggu lalu, selain skandal seks membabitkan empat anak luar nikah yang dilahirkan beberapa teman wanitanya.
“Walaupun undang-undang yang ada diputarbelitkan, saya menerima keputusan Kongres.
“Sejarah Paraguay memang sudah lama tercemar,” kata Lugo ketika menyampaikan ucapan ke seluruh negara yang disiarkan secara langsung. 

Beliau digantikan timbalan presidennya yang berhaluan kiri Federico Franco, bagi melengkapkan tahun terakhir beliau menyandang jawatan. 

Ketika berkempen dalam pilihan raya presiden empat tahun lalu, Lugo berikrar untuk menjadi wira penduduk miskin Paraguay, membabitkan perebutan tanah dan eksport soya, tetapi agenda pembaharuannya terjejas berikutan cengkaman pembangkang di Kongres. 

Sekutu politik Lugo menjauhinya minggu lalu, ketika pertumpahan darah memuncak di timur laut negara itu, manakala senat mengundi 39-4 untuk menyingkirkannya kelmarin selepas satu usul dibentangkan di Dewan Rakyat. 
Ribuan penyokong Lugo berhimpun di luar bangunan Kongres di Asuncion dan cuba merempuh sekatan polis ketika keputusan diumumkan. – Reuters

ANC bingung elaun isteri Zuma

PRESIDEN Jacob Zuma memotong kek hari jadi beliau bersama empat orang isterinya dari kiri, Bongi Ngema, Nompumelelo Ntuli, Thobeka Mabhija dan Sizakele MaKhumalo.

PRESIDEN Jacob Zuma memotong kek hari jadi beliau bersama empat orang isterinya dari kiri, Bongi Ngema, Nompumelelo Ntuli, Thobeka Mabhija dan Sizakele MaKhumalo.
Parti pemerintah Afrika Selatan anggap bayaran RM6 juta terlalu tinggi 

JOHANNESBURG: Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma, mungkin kehilangan £1.2 juta (RM6 juta) yang dibayar pembayar cukai untuk menampung empat orang isterinya.
Anggota parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pimpinan presiden berusia 70 tahun itu, mencadangkan elaun saraan isteri yang diterimanya buat masa ini, sepatutnya dihadkan kepada seorang isteri saja.
Ini kerana elaun saraan yang diterima berjumlah hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding presiden sebelum ini. 

Walaupun semua isteri Zuma tidak mengambil bahagian mengiringi presiden itu ketika membuat lawatan, mereka menetap di rumah individu yang mewah di kampung atau di kawasan bandar. 

Akhbar The Times di Afrika Selatan melaporkan anggota ANC bercadang membangkitkan isu itu dalam pertemuan minggu depan. 

Ia melaporkan pegawai ANC tidak dinamakan, memberitahu akhbar Daily Dispatch mereka marah dengan pembaziran dana awam. 
Satu delegasi yang dijadualkan menghadiri persidangan dasar parti itu berkata beberapa aktivis percaya Zuma perlu mengeluarkan belanja sendiri untuk menampung kehidupan tiga lagi isterinya. 

“Apa yang ditunjukkan dengan jelas ketika perbincangan itu ialah, sebagai pembayar cukai, kami tidak mampu terus membiaya ramai isteri. 

“Cuma isteri pertama sepatutnya mendapat faedah. Pemahaman kami ialah apabila memutuskan untuk memiliki lebih seorang isteri, anda mampu menanggung yang lain,” katanya. 

Laporan The Times menyatakan keadaan membabitkan isteri Zuma berikutan perbincangan mengenai kehidupan peribadi presiden oleh delegasi persidangan ANC dari wilayah Cape Timur Afrika Selatan. 

Sekumpulan aktivis mengadakan pertemuan Isnin lalu untuk membincangkan kemungkinan perubahan dasar menjelang persidangan utama parti minggu depan. 

Dilaporkan anggota suruhanjaya pembaharuan ekonomi wilayah Cape Timur menyokong cadangan pembayar cukai cuma perlu menanggung seorang saja isteri presiden. 

Sumber parti berkata, dasar baru yang dicadangkan itu akan dibincangkan lagi oleh anggota wilayah itu semalam. 

Jika delegasi Cape Timur bersetuju memanjangkan isu itu, ia mungkin dibentangkan untuk perbincangan minggu depan pada persidangan dasar kebangsaan ANC di Johannesburg. 

Zuma, presiden Afrika Selatan pertama yang mengamalkan poligami adalah anggota puak Zulu dan dibenarkan berkahwin lebih daripada seorang oleh undang-undang. 
Dia berkahwin enam kali dan kini mempunyai empat isteri. 

Kontroversi memuncak tahun lalu berikutan laporan kerajaan memperuntukkan kira-kira £60,000 (RM294,000) untuk menyewa kereta mewah di seluruh negara untuk semua isteri Zuma. – Agensi

Assad keluarkan dekri tubuh kerajaan baharu


AKSI Assad ketika berucap pada persidangan Parlimen di Damsyik 3 Jun lalu.


DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar al-Assad semalam mengeluarkan dekri untuk membentuk kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Syria, Dr. Riad Hijab, kurang dua bulan selepas pilihan raya parlimen yang kontroversi diboikot oleh parti pembangkang.
Menteri Luar, Walid al-Muallem serta Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Syria kekal dengan jawatan masing-masing.
Dekri itu turut mewujudkan beberapa kementerian baharu seperti Kementerian Perdagangan Dalaman dan Pelindungan Pengguna, Kementerian Ekonomi Luar serta Kementerian Pembangunan.
Hijab yang sebelum ini merupakan Menteri Pertanian dilantik sebagai Perdana Menteri ketika keganasan terus berleluasa di Syria.
Semalam, sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam serangan tentera sementara 119 orang lagi, termasuk 69 orang awam terbunuh pada Jumaat, lapor Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.
Sejak bermulanya kebangkitan rakyat pada Mac 2011, keganasan telah membunuh lebih 15,000 penduduk negara tersebut. - AFP

44 ahli parlimen Zimbabwe bersunat


SEORANG doktor (kiri) bersedia untuk menjalankan prosedur berkhatan ke atas seorang ahli parlimen di dalam sebuah klinik sementara yang didirikan di luar bangunan Parlimen di Harare, Zimbabwe kelmarin.


HARARE - Seramai 44 orang ahli parlimen Zimbabwe mengambil bahagian dalam majlis bersunat secara beramai-ramai semalam sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran HIV/AIDS.
Dalam satu perpaduan politik yang jarang berlaku, ahli parlimen daripada parti ZANU-PF pimpinan Presiden Robert Mugabe dan ahli parti pembangkang MDC berbual-bual ketika mereka beratur di luar sebuah klinik sementara yang didirikan di luar bangunan parlimen.
Pengerusi Ahli Parlimen menentang Aids, Blessing Chebundo memberitahu tindakan itu dibuat bagi menggalakkan rakyat untuk turut bersunat. Chebundo merupakan individu pertama menjalani prosedur yang mengambil masa selama sepuluh minit itu.
Pengarah Unit Aids dan TB, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Kanak-Kanak Zimbawe, Dr. Owen Mugurungi memuji semua ahli parlimen yang terlibat.
Penyelidikan UNAids dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan bersunat boleh mengurangkan risiko penyebaran HIV dan Aids sehingga 60 peratus.
Lebih sejuta penduduk Zimbabwe dikatakan HIV positif dengan sekitar 500,000 orang menerima rawatan anti-retroviral. - Agensi