Pages

Thursday, June 16, 2011

Tentera Syria kukuh penguasaan



DAMSYIK 15 Jun - Tentera Syria meningkatkan penguasaan di wilayah bergolak di barat laut negara ini, ketika komuniti global mengecam tindakan keras pihak berkuasa ke atas penunjuk perasaan antirejim Presiden Bashar al-Assad, yang setakat ini telah mengorbankan 1,297 penduduk awam.
Aktivis hak asasi manusia berkata, tentera terus memperkukuhkan kedudukan mereka di kampung-kampung dan pekan berhampiran bandar Jisr al-Shughur di wilayah Idlib, sehingga memaksa penduduk tempatan melarikan diri ke Turki.
"Tentera kini menuju ke Maaret al-Numan dan mereka datang dari bandar Aleppo dan Hama," kata ketua Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman.
Menurut saksi, tentera menghalang penduduk meninggalkan wilayah Idlib dan dilaporkan menembak mereka yang cuba mengelak daripada diperiksa di pusat pemeriksaan tentera.
Penunjuk perasaan menyifatkan operasi itu sebagai kempen 'bumi hangus', manakala segelintir anggota tentera Syria turut melarikan diri ke Turki meninggalkan tugas mereka dengan mendakwa mereka dipaksa bertindak kejam ke atas penunjuk perasaan.
"Seramai enam orang terkorban dalam tempoh beberapa jam lalu di Ariha," kata seorang aktivis di timur Jisr al-Shughur kepada AFP di Nicosia.
Mengikut Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia semalam, seramai 1,297 penduduk awam telah terbunuh sejak ketegangan tercetus di negara ini sejak pertengahan Mac lalu. - AFP, utusan

No comments: