BRUSSELS: Nato memberi jaminan pertubuhan itu memiliki sumber mencukupi untuk meneruskan kempen serangan udara ke atas Libya walaupun Muammar Gaddafi terus berdegil mempertahankan kuasa pemerintahannya.
Jurucakap Nato, Oana Lungescu, berkata pertubuhan itu akan terus mengekalkan kekerapan operasi di Libya selama tiga bulan seperti dirangka sebelum ini.
“Adalah jelas Nato memiliki sumber mencukupi untuk terus memberi tekanan kepada rejim Gaddafi.
“Nato tahu kempen ini memakan masa,” katanya kepada media, semalam.
Jaminan itu dibuat beberapa hari selepas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, menegur Nato dan mengingatkan, kekurangan bajet mengancam masa depan Libya dan pertubuhan berkenaan.
“Sejujurnya, banyak sekutu Nato tidak terbabit dalam operasi Libya bukan kerana tidak mahu, sebaliknya kerana mereka memang tak mampu,” katanya.
Sebagai contoh, minggu lalu Norway mengumumkan untuk mengurangkan pembabitan tenteranya dalam operasi ke atas Libya.
Denmark juga dilaporkan kekurangan bom dan terpaksa meminta bantuan Belanda menambah bekalan. - AFP
No comments:
Post a Comment