Pages

Thursday, June 16, 2011

Filipina cabut penanda



Gambar yang diambil oleh agensi berita Vietnam dan dikeluarkan pada 14 Jun lalu merakamkan pemandangan di pulau Phan Vinh di Kepulauan Spratly. Vietnam turut memperkuatkan tenteranya di pulau itu berikutan ancaman China ke atas Kepulauan Spratly yang mencetuskan ketegangan di Laut China Selatan. - AFP


MANILA 15 Jun - Tentera laut Filipina mencabut penanda yang didirikan oleh pihak yang tidak dikenali di tiga terumbu dan beting di kawasan perairan yang menimbulkan pertikaian di Laut China Selatan.
Tindakan mencabut tiang-tiang kayu itu dilakukan pada Mei lalu, sejurus sebelum kerajaan secara rasmi membantah apa yang didakwa sebagai pencerobohan oleh tentera laut China di perairan Filipina, kata jurucakap tentera laut Filipina, Leftenan Kolonel Omar Tonsay, hari ini.
"Tiang-tiang itu adalah penanda asing kerana tidak didirikan oleh tentera atau kerajaan kami, dan kami mencabutnya kerana perairan berkenaan adalah sebahagian daripada wilayah Filipina," katanya.
Manila, baru-baru ini menuduh China mendirikan tiang-tiang dan meletakkan sebuah boya di kawasan perairan yang dituntut oleh Filipina, tetapi Tonsay berkata, tentera laut belum dapat memastikan siapa yang mendirikan tiang-tiang kayu yang dicabut pada Mei lalu itu.
"Tidak ada label atau cap 'Buatan China' pada tiang-tiang itu, tetapi hanya nombor yang tertera padanya," ujar beliau.
Penanda tersebut ditempatkan di Terumbu Boxall di Kepulauan Spratly, dan di Beting Amy Douglas dan Beting Reed berhampiran, kesemuanya terletak di perairan Laut China Selatan yang dituntut oleh Filipina dan China.
Ketegangan berhubung pertikaian berpanjangan itu meningkat sejak beberapa bulan lalu berikutan dakwaan Filipina dan Vietnam bahawa China semakin agresif dalam menyuarakan tuntutannya ke atas kawasan terlibat.
Filipina pada bulan ini menuduh China mengancam keamanan dan kestabilan di Asia dengan menghantar kapal-kapal tentera lautnya dekat Beting Reed untuk menakut-nakutkan bot dan kapal negara lain yang turut membuat tuntutan, dan memasang tiang dan boya di kawasan berdekatan.
Manila juga membantah berhubung beberapa insiden dari Februari hingga bulan lepas, dengan menuduh tentera laut China melepaskan tembakan ke arah nelayan Filipina dan mengancam sebuah kapal cari gali minyak negara ini.
Presiden Filipina, Benigno Aquino meningkatkan lagi ketegangan itu semalam apabila beliau membuat kenyataan bahawa negara ini memerlukan bantuan daripada sekutu lamanya, Amerika Syarikat (AS) dalam perbalahan dengan China. - AFP. utusan

No comments: