Pages

Monday, December 26, 2011

Rakyat Rusia teruskan protes


MOSCOW 25 Dis. – Berpuluh-puluh ribu rakyat Rusia berhimpun di bandar raya ini, semalam bagi menuntut diadakan pilihan raya bebas dan ditamatkan pemerintahan 12 tahun Perdana Menteri Vladimir Putin.

Perhimpunan itu adalah yang terbesar sejak tunjuk perasaan 20 tahun lalu yang menumbangkan Kesatuan Soviet.

Tunjuk perasaan tersebut juga adalah yang terbesar dan tersusun berbanding perhimpunan sama dua minggu lalu dan protes-protes kecil di seluruh negara yang dibangkitkan oleh pemimpin pembangkang ekoran pilihan raya pada 4 Disember lalu yang didakwa dicemari penipuan.

Penunjuk perasaan berhimpun sambil memekik nama Mikhail Gorbachev, pemimpin terakhir Soviet yang menamatkan Kesatuan Soviet pada 25 Disember 1991.

“Saya gembira dapat hidup untuk menyaksikan kebangkitan rakyat.

“Kebangkitan ini membawa harapan yang sangat besar,” kata Gorbachev kepada radio Ekho Moskvy.

Beliau turut menggesa Putin mengikut jejaknya dengan menyerahkan kuasa secara aman dan akan dikenang dengan perkara-peraka baik yang pernah dilakukannya.

Bekas pemimpin Soviet itu yang semakin lantang mengkritik Putin, bagaimanapun hanya mempunyai pengaruh yang kecil di Rusia ketika ini.

Kumpulan penunjuk perasaan pula tidak memiliki pemimpin atau calon yang berkemampuan untuk mencabar Putin yang bertegas mahu kembali memegang jawatan Presiden pada pilihan raya Mac ini.

Kremlin mengawal siaran televisyen mengenai perhimpunan itu, semalam dan tidak menyiarkan mengenai kritikan terhadap Putin.

Menurut polis, antara 30,000 hingga 120,000 orang menyertai perhimpunan itu dan kebanyakan mereka berkumpul di kawasan yang luas kira-kira 2.5 kilometer dari Kremlin. – AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: