Pages

Monday, December 26, 2011

Korea Utara penuh misteri

korea
Kekurangan alat komunikasi moden di negara penuh rahsia, Korea Utara, menyukarkan kuasa Barat, terutama Amerika Syarikat untuk mendapatkan maklumat. Tetapi pada masa sama, Pyongyang sebenarnya cukup canggih untuk melancarkan perang siber.

Penjual burger Amerika Syarikat (AS), Robert Egan, antara individu yang tahu bagaimana Agensi Perisikan Pusat AS (CIA) terdesak untuk mendapatkan walau sedikit maklumat mengenai Korea Utara.

Ini kerana Egan kerap melayani diplomat Korea Utara di restorannya di Hackensack, New Jersey, sejak 15 tahun lalu dan pernah beberapa kali melawat Pyongyang, ibu negara Korea Utara.

Dia juga yang memberi maklumat mengenai pelanggannya dari negara Asia itu kepada pihak berkuasa AS.

Tidak cukup dengan itu, Egan pernah diarah untuk mengambil helaian rambut daripada baju mereka supaya AS boleh menggunakannya untuk mengesan DNA diplomat Korea Utara.

Menurut Egan, 53, agensi perisikan AS menggunakan ‘lelaki yang memasak burger’ untuk cuba memahami Korea Utara.

Peranan Egan sebagai duta rakyat itu menunjukkan betapa AS mahukan apa sahaja maklumat mengenai Korea Utara, negara dengan senjata nuklear yang dianggap paling sukar untuk diintip dan menjadi lohong hitam bagi semua agensi risikan.

Dan ini disahkan dengan bukti terbaru apabila agensi risikan AS tidak tahu bahawa pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il, telah meninggal dunia pada 17 Disember lalu, sehingga 51 jam selepas kematiannya.

Washington hanya mengetahui mengenai kematian Jong-il apabila ia diumumkan di stesen televisyen Korea Utara.
Kini, AS sedang sibuk pula mencari pelbagai maklumat mengenai anak bongsu Jong-il, Kim Jong-un yang dinamakan sebagai pengganti pemimpin komunis itu.
Tidak banyak diketahui mengenai lelaki bertubuh montel itu selain dia berumur 27 tahun dan suka bermain permainan video.

Selain itu, di sebalik penggunaan satelit pengintip tanpa henti ke atas Korea Utara, agensi risikan AS juga terkejut apabila diberitahu oleh pegawai Israel pada 2007 bahawa saintis Korea Utara kononnya membantu Syria membina reaktor nuklear rahsia di kawasan gurun negara Arab itu.

Tentu sekali, walaupun tidak dapat dipastikan kesahihan dakwaan itu, Israel terus melancarkan serangan pengeboman ke atas tapak pembinaan loji nuklear di Syria itu selepas AS enggan melakukannya.

Bukan itu sahaja, AS juga langsung tidak tahu pegawai Korea Utara membawa saintis AS, Siegfried Hecker melawat loji pengkayaan uranium yang baru dibina di negara itu pada November lalu, sehingga saintis itu sendiri yang menulis mengenai pengalamannya.

Lawatan Hecker ke loji yang sedang menghasilkan minyak reaktor pada tahap rendah itu membuatkan Washington terdiam tanpa kata-kata kerana kegagalan mereka mengesan rancangan Korea Utara lebih awal.

AS menganggap kesukaran untuk melakukan pengintipan di negara berfahaman komunis itu adalah kerana alat komunikasi moden hampir tidak wujud, dan tidak ramai rakyatnya dibenarkan keluar negara serta pelawat asing tidak diterima.

Bijak simpan rahsia

“Masyarakat Korea Utara sendiri tidak berhubung dengan baik. Kerajaan mereka juga tidak berhubung sesama sendiri. Setiap perkara dipecah-pecahkan kepada beberapa bahagian kecil,” menurut Mike Rogers, pengerusi Jawatankuasa Perisikan Kongres AS.

Bruce Klingner, penganalisis kanan CIA mengenai Korea Utara dari 1996 hingga 2001 berkata, memahami Korea Utara sama seperti menyusun suai gambar.

Tetapi Klingner menyangkal kepercayaan ramai bahawa Korea Utara adalah negara miskin dan kuno jadi ia bukanlah lawan yang perlu digeruni kuasa Barat.

“Kita sering menganggap Korea Utara sebagai negara yang kekurangan teknologi tetapi mereka sebenarnya menekankan kemodenan teknologi dalam beberapa aspek penting,” katanya.

Menurut Klingner, keupayaan Pyongyang untuk melancarkan perang siber ke atas negara lain dilihat sama seperti keupayaan CIA.

Pada April lalu, lebih 30 juta pengguna bank Nonghyup di Korea Selatan, iaitu musuh tradisi Korea Utara, tidak boleh menggunakan kad ATM atau mengakses akaun bank mereka secara dalam talian buat beberapa hari.

Dan gangguan itu disyaki berpunca daripada serangan siber dilakukan kerajaan Korea Utara ke atas bank itu.

Cabaran kepada agensi perisikan Barat untuk mendapatkan maklumat mengenai Korea Utara memang besar.

Tidak seperti Iran, di mana kumpulan pembangkang negara itu sering menyalurkan maklumat berharga kepada Barat, Korea Utara adalah negara berfahaman komunis tanpa parti pembangkang.

Washington juga tidak mempunyai kedutaan di Pyongyang untuk digunakan sebagai samaran kepada CIA atau agensi risikan lain dan beberapa pegawai diplomat Barat atau pekerja bantuan asing yang tinggal di negara Asia itu dipantau secara dekat oleh badan keselamatan Korea Utara.

Cubaan untuk mengintip alat komunikasi juga tidak akan berjaya. Tidak ramai penduduk Korea Utara yang menggunakan telefon bimbit dan tiada akses kepada Internet serta sistem komunikasi dicipta kerajaan Korea Utara tidak mudah untuk dipintas.

Keadaan muka bumi Korea Utara yang dipenuhi gunung-ganang turut menyukarkan intipan satelit dilakukan oleh Barat dan markas tentera negara itu disembunyikan di dalam jaringan terowong bawah tanah.

Semua halangan ini menyebabkan agensi perisikan AS gagal untuk meramal dan akan terus berteka-teki mengenai bentuk kepimpinan baru di Korea Utara selepas kematian Jong-il. - Los Angeles Times. Korea Utara penuh misteri - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

No comments: