Pages

Monday, December 26, 2011

Pelajar nyaris rentung

PRIHATIN... Tengku Abdullah berangkat melawat rumah yang terbakar.
PRIHATIN... Tengku Abdullah berangkat melawat rumah yang terbakar.

KUANTAN: “Saya bersyukur kerana masih mampu melihat dunia. Jika tidak, mungkin saya bergelar arwah kerana ketika kejadian saya dan rakan tidur dalam rumah selepas penat mengulangkaji pelajaran.

“Saya hanya terjaga selepas jiran bertalu-talu mengetuk pintu menyuruh kami keluar kerana rumah terbakar. Dalam keadaan kelam-kabut, saya hanya mampu menyelamatkan diri manakala semua harta benda musnah sekelip mata,” kata Wan Mohd Faris Idris, 21.


Dia antara 20 penghuni lima rumah separuh papan di Kampung Batu Lima Jalan Kuantan-Gambang, di sini, yang musnah dalam kebakaran petang kelmarin, menyebabkan kerugian lebih RM90,000 selepas semua harta benda gagal diselamatkan.

Dalam kejadian jam 5 petang, sebaris rumah sewa milik penduduk setempat gagal diselamatkan apabila api dipercayai bermula dari sebuah rumah di bahagian tengah marak, menyebabkan penghuninya hanya mampu melihat.


Wan Mohd Faris berkata, dia dan rakan, Mohd Hafiz Zainul Abidin, 21, meninggalkan rumah sehelai sepinggang apabila api cepat merebak disebabkan angin kuat, yang turut memaksa mereka melupakan usaha membawa keluar harta benda demi menyelamatkan nyawa.


“Sebaik terjaga, saya bergegas keluar dari rumah dan dalam keadaan kelam kabut itu saya dan rakan berusaha membantu jiran menolak kenderaan diletakkan berhampiran rumah bagi mengelak disambar api.

“Saya kini hanya ada sehelai baju dan kain pelikat yang dipakai sementara semua harta benda, termasuk buku dan dokumen penting, musnah dalam masa beberapa minit saja,” kata penuntut Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas), di sini.


Seorang lagi mangsa, Junaini Loke Ibrahim Loke, 33, berkata dia bergegas keluar rumah ketika bersiap untuk menunaikan solat Asar selepas mendengar jeritan suaminya mengenai kebakaran yang dipercayai dari rumah bahagian tengah yang ketika itu tiada penghuni.

“Saya menghubungi bomba sebelum menyelamatkan beberapa dokumen penting, manakala harta benda lain musnah dan kami sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang,” katanya yang bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku.


Junaini berkata, dia sekeluarga kini menumpang sementara di rumah jiran sebelum mendapatkan rumah baru sebagai tempat berteduh.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Penguasa Kanan Bomba Satu, Zulfahmi Sutaji berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 5.20 petang.


Katanya, tiga jentera bersama 15 anggota dari Balai Kuantan, Taman Tas dan Indera Mahkota bergegas ke tempat kejadian.


Zulfahmi berkata, anggotanya berjaya mengawal kebakaran 30 minit kemudian, namun angin kencang ketika kejadian menyebabkan rumah separuh papan yang disewa empat keluarga dan pelajar Kipsas terbabit musnah.


“Kedudukan rumah yang sebaris menyebabkan api cepat merebak, selain itu tekanan air rendah melambatkan usaha mengawal kebakaran yang menyebabkan kerugian lebih RM90,000”, katanya.


“Kita masih menyiasat punca kebakaran yang didakwa bermula dari rumah pada bahagian tengah sebelum merebak ke kiri dan kanan,” katanya.


Sementara itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melawat mangsa kebakaran, petang semalam.

myMetroPelajar nyaris rentung:

'via Blog this'

No comments: