Pages

Monday, June 13, 2011

Dua sepupu, rakan maut


KERETA Perodua Myvi yang dinaiki tiga mangsa remuk teruk dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 46 Jalan Klang – Teluk Intan, dekat Sabak Bernam, semalam. Gambar bawah, dari kiri, Siti Aminah Ibrahim, Nor Aini Abdul Razak dan Muhammad Zulhelmee.
KERETA Perodua Myvi yang dinaiki tiga mangsa remuk teruk dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 46 Jalan Klang – Teluk Intan, dekat Sabak Bernam, semalam. Gambar bawah, dari kiri, Siti Aminah Ibrahim, Nor Aini Abdul Razak dan Muhammad Zulhelmee.


Kereta bertembung pacuan 4 roda

SABAK BERNAM: Dua bersaudara dan seorang rakan mereka maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda di Kilometer 46 Jalan Klang – Teluk Intan dekat Kampung Pancang Bedena, semalam.
Nor Aini Abdul Razak, 19, yang menaiki kereta Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala sepupunya, Siti Aminah Ibrahim, 19, dan seorang lagi rakan mereka, Muhammad Zulhelmee Muhammad Saidin, 22, yang menaiki kereta sama meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di sini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad, berkata kemalangan itu berlaku apabila kereta Perodua Myvi dari arah Klang dikatakan tiba-tiba masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Hilux dari arah Teluk Intan.

Dalam kemalangan itu, katanya, kereta Perodua Myvi remuk dan terbalik menyebabkan ketiga-tiganya cedera parah manakala pemandu Toyota Hilux cedera ringan.

Difahamkan Nor Aini yang tinggal di Taman Pertama di sini menuntut di Kolej Pendidikan Perdana Shah Alam manakala sepupu dan rakannya tinggal di Teluk Gong, Pelabuhan Klang ingin pulang ke kampung untuk mengambil peralatannya yang tertinggal di rumah.

Rakan karib Nor Aini, Fasha Erma Mohd Khomari, 19, dari Taman Muhibah ketika ditemui berkata, sahabatnya itu menelefonnya pada jam 1.05 tengah hari untuk bertemu setiba mereka tiba di pekan ini.
“Allahyarham meminta saya bersiap sementara dia dalam perjalanan dan memberitahu mahu ke klinik kerana kurang sihat,” katanya.

Fasha Erma berkata, selepas itu beliau tidak lagi menerima panggilan daripada Allahyarham sehingga menerima berita mereka bertiga terbabit kemalangan.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan rumah mayat HTAJ dengan kehadiran ahli keluarga ketiga-tiga mangsa yang sabar menunggu proses bedah siasat dijalankan.

Ibu Allahyarham Nor Aini, Siti Bastiah Samad, 42, berkata anaknya sempat bergurau seperti biasa sebelum keluar bersama Siti Aminah jam 9 pagi semalam.

“Sebaik menerima berita ini, kami terus berpatah balik dan datang ke HTAJ. Walaupun saya tidak dimaklumkan Nor Aini meninggal dunia, saya dapat menjangkakan Nor Aini sudah tiada dan kami reda dengan pemergiannya,” katanya.
Berita Harian Online | Dua sepupu, rakan maut

No comments: