AMPANG: Enam belas wanita layak digelar samseng apabila sanggup memukul seorang wanita berusia 26 tahun dengan kayu hingga mangsa cedera dalam kejadian di Jalan Pandan Indah, di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berlaku di tangga ketika mangsa naik ke rumahnya sebelum didatangi 16 wanita yang tiba-tiba memukulnya tanpa sebarang sebab.
Akibat serangan itu, mangsa cedera di badan dan bengkak di lengan selepas terkena pukulan kayu serta menerima rawatan pesakit luar di klinik berdekatan.
Sumber polis berkata, mangsa yang baru pulang dari bekerja tiba-tiba didatangi suspek dan tanpa berbicara, mereka bertalu-talu memukulnya walaupun mangsa cuba mempertahankan diri dan bertanya kesalahannya.
“Tanpa menghiraukan pertanyaan mangsa, mereka tetap berkeras dan memukul mangsa hingga mencederakannya dan akan memukul lebih teruk sekiranya melawan.
“Mangsa yang pelik dengan kejadian itu cuba mempertahankan diri namun terus dipukul tanpa belas kasihan,” katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata, tidak tahan dengan pukulan itu, mangsa menjerit minta tolong dan beberapa penduduk datang membantu sebelum kesemua wanita itu lari menaiki motosikal.
“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah sejurus kejadian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
No comments:
Post a Comment