Pages

Monday, November 25, 2013

Gelongsor air setinggi 17 tingkat dibina


Gelongsor air setinggi 17 tingkat yang sedang dibina di Kansas, Amerika Syarikat, bakal menjadi tarikan baharu kepada pengunjung. - Agensi
KANSAS 24 Nov. - Peminat permainan air pasti teruja apabila gelongsor air tertinggi di dunia kini sedang dalam pembinaan di bandar Kansas, Amerika Syarikat.
Gelongsor itu diberi nama Verruckt yang bermaksud 'gila' dalam bahasa Jerman dan pengunjung boleh menguji tahap keberanian meluncur dari ketinggian 42.6 meter bersamaan dengan bangunan 17 tingkat.
Pengunjung perlu mendaki sebanyak 264 anak tangga untuk sampai ke puncak gelongsor sebelum melakukan luncuran.
Tarikan taman tema terbaharu yang direka oleh Kumpulan Pembangunan Schlitterbahn itu juga dikatakan lebih tinggi daripada Air Terjun Niagara dan Statue of Liberty.
Pengarah Pemasaran dan Jualan Taman Tema Air Schlitterbahn, Larry Pitcher, memberitahu The Kansas City Star, pihaknya percaya gelongsor baharu itu akan menarik perhatian peminat permainan air.
Pembinaan taman tema tersebut dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun depan, dan akan memecahkan rekod gelongsor tertinggi di dunia yang sebelum ini dipegang oleh Taman Tema Kilimanjaro di Aguas Quentes Country Club, Rio de Janeiro, Brazil sejak tahun 2002.
Gelongsor tersebut dibina dengan ketinggian 41 meter atau bersamaan bangunan 14 tingkat.
Taman tema itu juga dikatakan mempunyai gelongsor paling curam di dunia dengan kelajuan 104 kilometer per jam.
Sementara itu, Channel Travel turut mengambil kesempatan menghasilkan dokumentari mengenai proses pembinaan gelongsor di Kansas itu untuk tontonan umum.
Bagaimanapun, ketinggian rasmi gelongsor baharu itu hanya akan didedahkan sebaik-baik pembinaan selesai. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131125/lu_08/Gelongsor-air-setinggi-17-tingkat-dibina#ixzz2le3nj5Cs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: