Pages

Friday, February 10, 2012

Pemberontak Syria minta bantuan senjata

WASHINGTON: Pemberontak Syria semalam berkata, mereka memerlukan lebih banyak senjata, bukan tentera asing, bagi melengkapkan puluhan ribu pejuang, termasuk anggota tentera yang berpaling tadah untuk menggulingkan kerajaan Presiden Bashar al-Assad.

Dalam siaran secara langsung dari lokasi yang dirahsiakan di sekitar Damsyik dan disiarkan di Washington, pemerintah yang beroperasi di bawah Tentera Pembebasan Syria (FSA) berkata, Amerika Syarikat sepatutnya melaksanakan dasar yang lebih keras terhadap Bashar dan mencari jalan bagi menghantar senjata, pelancar roket dan senjata berat lain kepada pemberontak.


“Perkara paling penting ialah sokongan bahan logistik. Kami boleh melakukannya sendiri. Kami bukan meminta tentera,” kata seorang pemimpin FSA yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Mohammad kepada kira-kira 50 orang, termasuk wartawan dan pakar Asia Barat di Washington.

“Kami mahukan sokongan tentera. Kami mahukan bekalan. Kami mempunyai jumlah penyokong yang ramai. Kami cuma tidak mempunyai senjata,” katanya.


Selasa lalu, Senator kanan dari Parti Republikan, John McCain berkata, usaha diplomatik hampir berakhir dan sudah tiba masanya untuk menimbang penghuluran bantuan senjata kepada pemberontak.


Rumah Putih dan Jabatan Negara Amerika Syarikat bagaimanapun menolak cadangan itu.

“Kami tidak menimbang langkah itu buat masa ini,” kata jurucakap Presiden Barack Obama, Jay Carney. Mohammad juga berkata, penduduk Homs kini berdepan dengan bencana kemanusiaan yang akan bertambah buruk dalam masa beberapa hari lagi. - AFP

myMetro | Pemberontak Syria minta bantuan senjata:

'via Blog this'

No comments: