Pages

Friday, June 10, 2011

Pakistan Digegarkan Dengan Rakaman Askar Tembak Pemuda Tanpa Sebab


KARACHI: Pihak berkuasa Pakistan pada Khamis telah menahan lima anggota tentera setelah aksi mereka menembak mati seorang lelaki berusia 25 tahun di sebuah taman dirakam dan disiarkan oleh stesen televisyen dan mencetuskan kemarahan seluruh negara khususnya para pejuang hak asasi manusia.
Lima anggota dari Unit Ranger telah mengepung Sarfaraz Shah di sebuah taman di kawasan petempatan eksklusif di bandar ini dengan alasan dia cuba merompak satu keluarga anggota polis.
Paparan daripada rakaman itu yang dirakamkan oleh seorang jurukamera yang tidak didedahkan identitinya kemudiannya disiarkan tanpa putus oleh stesen-stesen televisyen dan kemudian dimuat naikkan dalam laman YouTube.
Lelaki malang itu memakai seluar gelap dan baju berwarna biru, dirakamkan sedang merayu kepada sekumpulan lima askar itu agar melepaskannya pada saat salah seorang daripada mereka mengacukan rifle ke arah lehernya.
Kemudian salah seorang askar kedengaran berkata; "Inilah lelaki itu..." dan lelaki itu menjawab: "Saya tak terdaya...tolong saya."
"Tolong jangan tembak saya, tolonglah...tolong," katanya sambil menangis.
Tetapi askar yang mengacukan senapang ke arahnya itu tidak mengendahkan rayuannya lalu melepaskan tembakan di tangan dan paha lelaki itu.
Dia mengerang kesakitan dan merayu lagi: "Tolong bawa saya ke hospital...tolong selamatkan saya."
Dia kemudiannya cuba bangun tetapi terus jatuh. Selepas itu seorang lagi askar kedengaran berkata: "Ok, cukup tu...".
Dan mereka terus melihatnya meraung kesakitan sampai mati.
Lewat Rabu, ahli keluarganya telah mengusung jenazah Shah ke rumah Ketua Menteri Wilayah Sindh yang mana Karachi adalah ibu negeri dan mendesak anggota-anggota renjer itu ditahan.
Abang kepada mangsa, Salik, adalah wartawan sebuah stesen televisyen berkata, Sarfaraz - adalah seorang pelajar yang sedang mencari pekerjaan sambilan untuk menanggung kos pembelajarannya.
"Dia tidak ada rekod jenayah untuk dituduh sebagai perompak,” kata abangnya lagi.
Pejuang hak asasi manusia di Pakistan dan peguam mengutuk perbuatan itu sebagai bukti bagaimana sifat kemanusiaan di negara itu telah musnah akibat pembunuhan, pertelingkahan antara etnik dan pemberontakan Taliban ke atas masyarakat Pakistan.
Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik kemudiannya mengeluarkan arahan agar kelima-lima renjer tersebut ditahan.
"Ini adalah satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak berlandaskan undang-undang. Kalau benar sekali pun pemuda itu disyaki merompak, dia tidak berhak dibunuh sebegitu rupa," kata Rehman kepada para pemberita.
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan Pakistan, Zohra Yusuf berkata, masyarakat Pakistan telah menjadi sebuah masyarakat yang "trigger-happy” yang mana menembak untuk membunuh seseorang telah menjadi satu norma dalam masyarakat termasuklah dalam agensi penguatkuasaan undang-undang.
"Negara ini sedang menjurus ke arah anarki (huru hara) dan kita semua patut bersatu untuk menghentikannya,” ujar Zohra.
Dalam pada itu, Amin Yousuf, Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Pakistan berkata, jurukamera yang merakamkan insiden itu kini hidup dalam bahaya dan ketakutan.
"Jurukamera itu kebetulan berada di situ untuk menyiapkan satu berita mengenai taman itu apabila dia menyaksikan insiden malang itu. Nalurinya sebagai seorang wartawan telah mendorong dia untuk terus merakamkan kejadian tersebut walaupun dia sedar bahaya yang bakal menimpanya,” kata Amin.
mStar Online : Pakistan Digegarkan Dengan Rakaman Askar Tembak Pemuda Tanpa Sebab

No comments: