ROSLINA hilang sejak 22 April lalu. |
KUALA LUMPUR: “Pelbagai ikhtiar sudah saya lakukan termasuk berjumpa bomoh untuk mencari isteri saya,” luah Sabri Man, 38, suami kepada pegawai bank, Roslina Awang Kechik, 37, yang hilang dipercayai diculik hampir dua bulan lalu.
Bapa kepada empat anak itu berkata, beliau dengan bantuan polis dan penduduk di Jerantut turut membuat operasi mengesan Roslina baru-baru ini tetapi menemui jalan buntu.
“Sebaik mendapat maklumat daripada syarikat telekomunikasi Maxis bahawa isteri saya berada di Jerantut berdasarkan rekod panggilan terakhir yang dibuat, saya bergegas mendapatkan bantuan polis untuk mencarinya.
“Saya sudah buntu apa lagi usaha yang perlu dibuat untuk mendapatkan semula isteri saya.
“Ketika berjumpa bomoh baru-baru ini, saya dimaklumkan Roslina berada di kawasan Seremban,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Roslina dilaporkan hilang sejak 22 April lalu selepas keluar rumah menuju ke pejabatnya di Dataran Maybank, Bangsar.
Mangsa dikatakan keluar ke tempat kerja menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) jam 7.30 pagi selepas menghantar anak ke sekolah.
Beberapa minggu kehilangan Roslina, suaminya menerima SMS daripada telefon bimbit isterinya yang meminta supaya tidak mengganggu hidupnya dan tidak mencarinya.
Sabri yang bertugas sebagai anggota tentera berkata, beliau tidak berputus asa untuk mendapatkan semula isterinya demi kebahagiaan anak-anaknya.
“Saya kini berusaha mengesan lokasi kedudukannya dan akan membuat operasi kali kedua kerana percaya Roslina masih berada dalam negara.
“Sayu hati saya apabila melihat keadaan anak-anak yang sentiasa memanggil ibunya dan sering bertanya mengapa mama belum balik? Menyebabkan pelbagai alasan dan helah saya gunakan untuk menenangkan mereka.
“Bagaimanapun, saya perlu kuat di depan anak-anak walaupun dalam hati menangis kerana anak-anak hanya bergantung sepenuhnya kepada saya sekarang,” katanya. Berita Harian Online | ‘Kenapa dah lama mama tak balik’
No comments:
Post a Comment