Pages

Monday, January 6, 2014

Keunikan ‘batu bernyawa di Romania’


Trovants-growing stonesBatu-batu Trovants pelbagai saiz dan bentuk di Muzium Perlindungan Trovants Nasional. - AGENSI

ROMANIA merupakan sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian dan terkenal dengan keunikan budaya, landskap serta monumen tinggalan sejarah ketamadunan yang mengagumkan.
Selain itu, Romania juga mempunyai satu lagi daya tarikan yang boleh dikategorikan sebagai unik, batuan alam yang luar biasa.
Buktinya, negara itu memiliki Trovants, sejenis batu yang berupaya membesar dan ‘berpindah’ dari satu tempat ke satu tempat dengan sendiri atau istilah lebih mudahnya, ‘batu bernyawa’.
Trovants adalah satu fenomena biologi kerana ia terbentuk akibat daripada kejadian gempa bumi (aktiviti seisemik) yang memunculkan batuan tersebut sejak enam juta tahun yang lalu.
Perkataan Trovants sebenarnya adalah istilah biologi yang digunakan oleh penduduk Romania yang merujuk kepada ‘sedimen pasir’ yang menyatu dan membentuk batu.
Proses pembesaran Trovants berlaku disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah kandungan garam mineral dan air.
Trovants akan membesar ketika terkena air dan boleh mencapai sehingga enam ke 10 meter atau lebih.
Banyak teori yang diberikan sama ada dari sudut ilmiah hinggakan yang bersifat mistik tentang keanehan batuan itu.
Sehingga kini tiada satu pun teori berjaya dibuktikan, tetapi saintis yakin Trovants boleh membesar dengan bantuan air yang bertindak balas dengan garam mineral yang terkandung di dalamnya.
Ini kerana ketika permukaan batuan menjadi basah, kandungan kimia daripada garam mineral tersebut akan tersebar dan menekan pasir yang menjadikan batu menjadi bertambah besar.
Teori batuan tersebut membesar dapat dibuktikan apabila Trovants berkembang membentuk lingkaran mirip seperti akar pokok.
Menariknya, selain berbentuk mirip akar pokok, Trovants yang membesar juga menghasilkan reka bentuk yang sangat menarik seperti bentuk bulat, elips atau menyerupai angka lapan.
Penduduk tempatan dikatakan telah menyedari sifat batuan aneh itu lebih daripada 100 tahun lalu dan menggunakannya sebagai batu nisan dan bahan pembinaan.
Misteri Trovants kini menjadi tarikan pelancong yang berkunjung ke Romania dan Muzeul Trovantilator (Muzium Perlindungan Trovants Nasional).
Muzium itu ditubuhkan pada 2004 dan kini dilindungi Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140105/lu_02/Keunikan-batu-bernyawa-di-Romania#ixzz2pZLxIVbT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: