Pages

Monday, November 11, 2013

Haiyan landa China, Vietnam


Beberapa penduduk memerhatikan kesan kemusnahan akibat Taufan Haiyan, ketika beberapa yang lain berdiri di atas sebuah kapal yang terdampar di daratan akibat impak taufan di Anibong, Tacloban, timur Kepulauan Leyte, Filipina, semalam. - AFP
HANOI 11 Nov. - Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan 39,000 lagi dipindahkan selepas Taufan Haiyan yang membawa hujan lebat serta angin kencang melanda wilayah Hainan di selatan China, hari ini.
Kekuatan Haiyan bagaimanapun dilaporkan berkurang sejak membadai Filipina hujung minggu lalu dan menyebabkan sekurang-kurangnya 10,000 orang maut, tetapi tetap menjejaskan lebih 480,000 orang di wilayah Hainan.
Namun Haiyan turut menyebabkan berpuluh-puluh rumah musnah dan beratus-ratus lagi rosak, menurut Biro Hal Ehwal Awam Wilayah Hainan.
Tujuh krew sebuah kapal kargo pula dilaporkan hilang di luar perairan Hainan, kawasan yang berhampiran dengan Vietnam.
Haiyan yang turut menjejaskan wilayah Guangxi dan Guangdong, melanda China awal hari ini dengan membawa angin kencang kira-kira 120 kilometer sejam dan hujan sebanyak 291 milimeter dalam tempoh 24 jam.
Sementara itu, Pusat Ramalan Hidro Meteorologi Vietnam menjelaskan, wilayah Quang Ninh di pantai timur negara itu turut dilanda Haiyan awal hari ini yang membawa angin pada kelajuan 133 kilometer sejam.
Hujan lebat dan banjir dilaporkan berlaku di kawasan pantai timur dan tengah Vietnam, tetapi tidak menyebabkan sebarang kematian, meskipun 13 orang dilaporkan maut dan 81 lagi cedera ketika persiapan menghadapi taufan.
Perkhidmatan bot ke destinasi pelancongan popular di Ha Long Bay turut dihentikan hari ini, tetapi dijangka akan disambung semula esok.
Di Filipina pula, pasukan penyelamat yang bergelut untuk menyalurkan bantuan makanan, khemah dan ubat-ubatan, berdepan dengan halangan untuk ke kawasan bencana ekoran jalan raya dan lapangan terbang yang rosak.
Tiga hari selepas Haiyan melanda, kesan kemusnahan kini dapat dilihat dengan mayat tercampak di atas pokok dan bergelimpangan di jalan raya serta tidak kurang juga yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Kanak-kanak (UNICEF) Filipina, Tomoo Hozumi berkata, mereka sedang menghantar bekalan kepada mangsa bencana, tetapi sukar untuk sampai ke kawasan yang terjejas. - DPA/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131112/lu_04/Haiyan-landa-China-Vietnam#ixzz2kUaAhgt4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: