Pages

Thursday, March 1, 2012

Zionis serbu 2 stesen TV

myMetro | Zionis serbu 2 stesen TV: RAMALLAH: Tentera Israel menyerbu dua stesen televisyen Palestin sebelum merampas sejumlah komputer dan peralatan penyiaran, kata kakitangannya, semalam.

Israel mengesahkan serbuan itu dan mendakwa stesen terbabit bersiaran secara haram - tuduhan yang dinafikan Menteri Telekomunikasi Palestin, Mashour Abu Daqqa.


Serbuan dilakukan ke atas Televisyen Watan - sebuah stesen swasta, serta Televisyen Pendidikan Quds yang mempunyai kaitan dengan Universiti al-Quds.

Ketua Pengarang Watan, Ali Daraghmeh, berkata tentera Zionis itu tiba jam 2 pagi (8 pagi waktu Malaysia) dan mengambil kira-kira 30 komputer dan alat pemancar.


“Stesen ini terpaksa ditutup sepenuhnya,” katanya.


Ali berkata, seorang daripada pengawal di stesen berkenaan cuba menghalang serbuan itu tetapi tentera Zionis mendakwa mereka menerima arahan rasmi untuk menutup operasi pusat penyiaran berkenaan.

Pengarah Televisyen Pendidikan Quds, Haroun Abu Arra, berkata stesen berkenaan diserbu kira-kira jam 3 pagi dan mereka merampas semua pemancar yang ada.


“Stesen kami kini tidak dapat beroperasi,” katanya.

Ketua Pengarah Watan, Moammer Orabi, berkata tiada sebarang amaran diterima sebelum serbuan dilakuka.


“Kami masih tidak tahu mengapa mereka merampas peralatan dan menutup stesen ini walaupun ia operasi di kawasan milik Pihak Berkuasa Palestin (PA) serta memiliki lesen,” katanya.


Jurucakap tentera berkata, serbuan dibuat selepas menerima “beberapa permohonan” daripada Kementerian Komunikasi Israel.


“Tentera Israel menyertai operasi Kementerian Komunikasi menutup dua stesen televisyen swasta di Ramallah yang mengganggu siaran stesen sah lain, serta menjejaskan komunikasi kapal terbang,” katanya.


Sementara itu, Mashour berkata, Israel gagal membuat sebarang aduan melalui saluran sewajarnya kepada PA.


“Mereka semua penipu,” katanya.


Menurut Mashour, jika ada masalah, kami mempunyai jawatankuasa penyelaras Israel - Palestin untuk membincangkan sebarang isu.


“Kami percaya tentera Israel mahu mengubah realiti dan mengabaikan semua jawatankuasa yang dibentuk,” katanya. - AFP


'via Blog this'

No comments: