Pages

Wednesday, February 22, 2012

'Tak sedar kaki abang ipar putus'

Pesara tentera meninggal dalam perjalanan ke hospital

JELI: “Saya memeluknya tapi langsung tidak sedar yang sebelah kaki abang ipar sudah terputus selepas motosikal ditunggangnya bersama isteri dirempuh sebuah Hilux,” kata Shapei Mamat, 47, adik ipar mangsa kemalangan di Kilometer 35.5 Jalan Jeli Dabong, Kuala Balah di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa Mohamad Yusuff, 59, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Kuala Balah selepas kaki kanannya terputus, manakala isterinya, Fatimah Yakub, 52, patah kedua-dua kaki turut dikejarkan ke klinik sama sebelum dipindahkan ke Hospital Kota Bharu.
Mohamad yang juga bekas tentera dari Batalion 301 dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menoreh getah bersama isterinya tidak jauh dari tempat kejadian.

“Saya ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan oleh anak, dan mendapati arwah berada di bahu jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Sebaik tiba di klinik berkenaan barulah saya menyedari kaki kanannya terputus sebelum bergegas ke lokasi kejadian bagi mencari semula kaki terbabit.

“Kami menemui semula kaki terbabit berhampiran kawasan kemalangan sebelum membawanya semula ke klinik berkenaan,” katanya ketika ditemui malam kelmarin.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara ketika berkunjung ke kedai makan saya malam sebelum kejadian cuma mangsa ada mengatakan dia akan pergi mengail untuk kali terakhir pada keesokan harinya.
“Saya pun tidak menyangka kata-kata arwah ketika mengunjungi kedainya itu adalah yang terakhir sebelum arwah pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan, Sheik Azhar Sheik Omar, mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan kes ini disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian Online | 'Tak sedar kaki abang ipar putus':

'via Blog this'

No comments: