Pages

Sunday, February 12, 2012

‘Senduk, periuk nasi bom Bali’

2012/02/12

JAKARTA: Suspek pengganas Indonesia dikenali sebagai Demolition Man kerana kepakarannya mengendalikan bahan letupan memberitahu penyiasat dia menggunakan bahan asas di rumah termasuk senduk nasi dan penimbang dapur untuk menghasilkan bom besar yang memusnahkan kelab malam di Bali.

Selepas lebih sebulan menjalankan kerja dengan berhati-hati, Umar Patek meletakkan bom seberat 700 kilogram itu di dalam empat kabinet yang dipasang di dalam van yang memusnahkan dua kelab malam pada 12 Oktober 2002, membunuh 202 orang, menurut dokumen yang memperincikan soal siasat ke atasnya. Kebanyakan mangsa adalah pelancong asing.

Patek dibicarakan esok (Isnin) kerana dakwaan pembabitannya dalam pengeboman di Bali dan tindakan ganas lain berikutan sembilan tahun melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa yang membawanya dari Indonesia ke Filipina dan Pakistan.
Warga Indonesia berusia 45 tahun itu akhirnya ditangkap pada Januari 2011 di bandar sama di Pakistan yang menyaksikan pembunuhan Osama bin Laden oleh tentera Amerika Syarikat beberapa bulan kemudian.

Patek, suspek pembuat bom paling terkenal Asia Tenggara, bersembunyi dalam bilik di bilik di atas sebuah rumah di Abbottabad, ketika tentera Pakistan yang bertindak atas maklumat Agensi Perisikan Pusat menyerbu. Ganjaran AS$1 juta (RM3 juta) diberikan untuk kepalanya.

Selepas pertempuran yang menyebabkan Patek cedera, dia ditangkap dan diekstradisi ke Indonesia.

Penangkapannya dilihat sebagai kayu pengukur kejayaan yang dicapai pasukan keselamatan Asia, dengan bantuan Amerika, menentang pertubuhan Jemaah Islamiyah, yang dikaitkan dengan al-Qaeda, yang didakwa mendalangi pengeboman di Bali dan beberapa serangan lain di Indonesia. Semua pemimpin lain pertubuhan itu dihukum bunuh, dibunuh oleh pasukan keselamatan atau menanti hukuman mati.
Patek didakwa dengan pembunuhan terancang, menyembunyikan maklumat mengenai keganasan, memiliki bahan letupan secara haram dan konspirasi melakukan keganasan dan kini berdepan kemungkinan dijatuhkan hukuman mati. Pendakwaan juga menuduh Patek menyediakan bahan letupan yang digunakan dalam serangan menjelang Krismas ke atas gereja pada tahun 2000 yang meragut 19 nyawa. – AP
Berita Harian Online | ‘Senduk, periuk nasi bom Bali’:

'via Blog this'

No comments: