“Israel perlu menjamin keselamatannya sendiri, ini peranan kami sebagai tentera. Israel perlu mempertahankan diri sendiri,” kata Leftenan Jeneral Benny Gantz kepada stesen televisyen kerajaan, TV Satu. “Kita perlu mengikuti perkembangan di Iran dan projek nuklearnya, tetapi secara menyeluruh dengan mengambil kira apa yang dilakukan dunia, apa yang diputuskan Iran dan apa yang akan kita lakukan atau tidak lakukan,” katanya. Sejak beberapa minggu lalu, terdapat spekulasi bahawa Israel hampir melaksanakan serangan terlebih dahulu terhadap program nuklear Iran walaupun rejim Zionis itu menafikan mencapai keputusan sedemikian. Ketegangan antara Iran dan Israel semakin memuncak apabila kapal perang Iran memasuki Laut Mediterranean melalui Terusan Suez dalam usaha menunjukkan kekuatanya, langkah yang akan dipantau dengan teliti oleh rejim Zionis. Rabu lalu, Iran berkata ia telah memasang 3,000 lagi pengempar bagi meningkatkan keupayaan pengayaan uranium dan menambah proses sari kuning uranium. Israel menyalahkan ejen Teheran bertanggungjawab terhadap serangan yang mensasarkan diplomat negara Zionis itu baru-baru ini di New Delhi, Georgia dan Bangkok, tetapi tuduhan itu dinafikan Iran. Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Tom Donilon semalam memulakan perbincangan dengan pegawai Israel mengenai pelbagai isu termasuk Iran, dua minggu sebelum Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melawat Washington untuk berunding dengan Presiden Barack Obama mengenai isu sama. Artikel yang diterbitkan Washington Post, baru-baru ini menyebut Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta berpendapat Israel mungkin menyerang kemudahan loji nuklear Iran dalam beberapa bulan akan datang.
Menurut Gantz, Iran bukan saja menjadi masalah kepada Israel, tetapi juga masalah kepada dunia dan rantau itu.
Sabtu lalu, Menteri Pertahanan Israel Ehud Barak menyeru dunia mengukuhkan sekatan ke atas Iran sebelum negara itu memasuki “zon imuniti” bagi memusnahkan program nuklear Republik Islam itu. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment