BANDA ACEH 8 Feb. - Pihak berkuasa Aceh mengeluarkan amaran kepada golongan belia di wilayah ini agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari ini kerana dikhuatiri akan mendorong perlakuan maksiat .
"Kami menasihati orang ramai agar tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine's Day.
"Hari Kekasih diharamkan kerana ia bukan sambutan mengenai kasih sayang, sebaliknya mendorong kepada perlakuan maksiat," kata Timbalan Datuk Bandar Banda Aceh, Illiza Sa'aduddin Djamal.
Sehubungan itu, sekolah-sekolah dan masjid dinasihatkan supaya memberi penekanan kepada golongan belia terutamanya mengenai latar belakang Hari Kekasih dan mengapa masyarakat Islam tidak dibenarkan meraikan sambutan tersebut.
Hari Kekasih yang disambut setiap 14 Februari setiap tahun itu sempena memperingati paderi Saint Valentine.
Ketua Majlis Perundingan Biasiswa Islam Aceh, Muslim Ibrahim turut bersetuju dengan amaran yang dikeluarkan.
"Kami menggesa umat Islam agar tidak terikut-ikut untuk meraikan Hari Kekasih kerana kita mempunyai budaya, adat dan perayaan tersendiri.
"Hari Kekasih mempunyai kaitan dengan perlakuan seks bebas yang ditegah dalam Islam," katanya. - DPA
No comments:
Post a Comment