MARANG – Berambut panjang dan kadangkala menutup kepala dengan kain batik, rupanya persis watak hantu Kak Limah dalam filem komedi Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mencetus fenomena dalam dunia perfileman negara.
Kak Limah muncul di Marang. Itulah yang diperkatakan sebuah keluarga di Kampung Temiang, Pengkalan Berangan, apabila lima sekeluarga tertekan dan ketakutan akibat diganggu lembaga wanita tua berambut panjang itu sejak lebih seminggu lalu.
Wanita misteri itu dikatakan sering menjelma dan dilihat merayau-rayau sekitar kawasan rumah di situ. Malah, kelibat menyeramkan itu dapat dirakam secara kebetulan oleh salah seorang ahli keluarga terbabit.
Ketua keluarga, Mazlan Ali, 55, mendakwa, lembaga itu berpakaian batik lusuh dengan rambut mencecah paras pinggang, sering merayau sekitar rumah anaknya dari waktu malam hingga ke subuh, sebelum menghilangkan diri.
Hantu Kak Limah minta tolong
Menurutnya, kesemua lima keluarga yang tinggal di kawasan itu adalah anaknya dan tinggal secara berasingan di rumah masing-masing kerana sudah berumah tangga.
“Ada antara mereka juga pernah melihat kelibat seorang wanita berambut panjang berdiri berdekatan paip air dan sekitar rumah sebelum menghilangkan diri.
“Boleh dikatakan setiap hari pasti ada anak saya yang melihat kelibat wanita itu. Bukan itu saja, malah semalam, (kelmarin) saya sendiri terdengar lembaga itu menjerit meminta tolong,” katanya.
Dua bulan sebelum ini, katanya, kejadian menyeramkan itu tidak pernah dialami ahli keluarganya. Kemunculan lembaga wanita berambut panjang itu dikatakan bermula selepas dia membawa balik beberapa keping papan serta tiang rumah ke rumahnya.
Menurutnya, kepingan papan dan tiang rumah itu diperoleh dari rumah pusaka ayahnya di Jerangau, Dungun, untuk dijadikan dinding rumah anaknya, Mohd Syawal, 22.
Diganggu selepas bawa balik papan
“Saya membawa pulang beberapa papan dan tiang itu ke rumah ini pada November lalu dan sejak itu gangguan lembaga misteri itu, bermula dan kami kerap diganggu dan kini kami sudah tidak tahan lagi dengan gangguan ini dan perlukan bantuan,” katanya.
Menguatkan lagi dakwaan itu, Mohd Syawal turut me-nunjukkan imej lembaga misteri wanita tua seperti bertongkat yang dirakam secara tidak sengaja oleh ahli keluarganya beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, kata Mohd Syawal, dia sendiri belum pernah melihat kelibat wanita misteri itu tetapi sering diganggu bunyi yang pelik dan menakutkan sehingga menyebabkan dua anaknya tidak dapat tidur serta asyik menangis.
“Bunyi seperti orang mencakar dinding kerap kedengaran di luar rumahnya pada sebelah malam, apabila saya turun tiada sesiapa di bawah. Kami buntu memikirkan cara untuk mengatasi gangguan ini,” katanya.
Imam nasihat buat solat Hajat
Sementara itu, Sinar Harian turut menemui beberapa penduduk berdekatan kawasan itu namun rata-rata memberitahu kelibat wanita misteri itu tidak pernah menggangu mereka.
Manakala, imam Mohamad Razak, 57, menasihatkan agar keluarga itu mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran dan bersolat lebih tekun bagi mengelak diganggu selain mengadakan solat Hajat bersama penduduk setempat.
Berikutan itu, kesemua keluarga terbabit berharap ada pihak yang dapat membantu mereka menangkap atau mengusir lembaga menyerupai wanita itu kerana mereka tidak tahu cara menangani gangguan tersebut.
Keluarga ini boleh dihubungi menerusi talian 014-8120040 (Mohd Syawal) dan 013-9488025. Tidak tahan diganggu hantu Kak Limah - Nasional - Sinar Harian:
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment