Pages

Monday, December 19, 2011

Pertempuran di Dataran Tahrir berterusan



Seorang lelaki melihat dari beranda rumahnya kebakaran di Dataran Tahrir ekoran pertempuran terbaru antara polis dan penunjuk perasaan di tengah Kaherah, semalam. - REUTERS


KAHERAH 18 Dis. - Pertempuran antara polis tentera dan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir masuk hari ketiga dengan 10 orang terbunuh dan beratus orang lagi cedera.

Aktivis berkata, tentera merempuh sekatan yang dibina di sekitar dataran itu dan bertempur dengan penunjuk perasaan sebelum subuh.

"Tentera menyerbu dan kemudian berundur," kata seorang penunjuk perasaan, Mostafa Fahmy di dataran itu ketika dihubungi melalui telefon.

Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di dataran itu sejak awal pagi dengan sekumpulan orang berada berdekatan unggun api untuk memanaskan badan selepas tentera memusnahkan khemah yang dibina oleh aktivis sejak mereka mula membantah pemerintahan tentera pada 18 November lalu.

Keganasan terbaru itu mendedahkan perbezaan pendapat di kalangan rakyat Mesir berhubung peranan tentera yang mengambil alih selepas Presiden, Hosni Mubarak digulingkan pada Februari lalu.

Aktivis berkumpul di jalan-jalan raya sejak beberapa minggu lalu kerana marah dengan tindakan tentera yang dilihat enggan melepaskan kuasa.

Bagaimanapun, sebahagian lagi rakyat Mesir menyokong tentera sebagai pihak yang diperlukan untuk mengekalkan kestabilan ketika peringkat peralihan negara ini kepada demokrasi.

Kenderaan tentera dan askar telah dikerahkan ke beberapa jalan menuju ke dataran berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan penunjuk perasaan dan tentera berulang kali bertempur antara satu sama lain. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'

No comments: