Pages

Saturday, September 10, 2011

Kempunan rokok sebelum ajal



Wai Keong


KUALA LUMPUR - Episod sedih mengenai kehidupan seorang lelaki kelainan upaya (OKU) yang terpaksa menggunakan tangan untuk bergerak berakhir apabila dia mati selepas tujuh hari dibelasah dengan rotan disyaki oleh orang yang enggan memberinya sebatang rokok.
Ng Wai Keong, 59, atau lebih dikenali sebagai Hong Kong Boy yang hidup merempat sejak rumah keluarganya di Sungai Besi terbakar beberapa tahun lalu, dilaporkan mati di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan paru-paru.
Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, kejadian berlaku pukul 11 pagi 3 September lalu di hadapan sebuah kelab malam di Sungai Besi apabila mangsa dikatakan meminta sebatang rokok daripada seorang lelaki berusia 34 tahun.
Bagaimanapun katanya, suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol enggan memberikan rokok tersebut hingga memaksa mangsa mendesaknya beberapa kali.
"Perbuatan mangsa itu telah menimbulkan kemarahan suspek yang terus memukul kepala mangsa hingga pengsan dengan menggunakan rotan yang diambil dari but keretanya. Mangsa kemudian dikejarkan ke HKL untuk rawatan," katanya di sini semalam.

No comments: