Pages

Sunday, September 4, 2011

‘Arwah terkulai di bahu saya’


ATAS: Noramfaizul Mohd. Nor yang cedera parah akibat terkena tembakan curi ketika detik cemas dibawa ke hospital di Mogadishu, Somalia, kelmarin.



KUALA LUMPUR 3 Sept. – Malang tidak berbau. Walaupun jarak perjalanan yang perlu ditempuhi oleh sebahagian petugas media dalam misi bantuan di Somalia sebelum diserang hendap semalam hanya tiga minit, namun tempoh itu tetap merupakan antara yang paling panjang yang pernah dilalui oleh jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan.
Ini kerana dalam perjalanan tiga minit itulah mereka ditembak sekurang-kurangnya dua kali dan salah satu daripadanya mengorbankan rakannya, jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, yang juga ketua pasukan media yang bertugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia.
Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan yang terkena tembakan curi
ditenteramkan oleh wartawan ntv7, Melissa Ong dan Muhamad
Solleh Ahmad Kamal di Mogadishu, Somalia, kelmarin. – BERNAMA

Menurut Aji Saregar, ketika kejadian, beliau dan Noramfaizul berada dalam kenderaan terakhir daripada tiga kenderaan yang bergerak dari hotel penginapan petugas media elektronik menuju ke hotel yang menempatkan petugas media cetak dan penulis blog.
“Sebelum memasuki pekarangan hotel itu dari hotel kami, saya terdengar bunyi tembakan dan sedar saya sendiri terkena tembakan di bahagian lengan kanan.
“Dalam kesakitan, saya memberitahu Noramfaizul bahawa kami diserang tetapi arwah tiba-tiba terkulai di bahu kanan saya. Saya dapat melihat bahu kanan arwah berlubang dan dia berada dalam kesakitan yang amat sangat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Aji Saregar menceritakan detik-detik cemas itu sebelum menaiki pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Mogadishu untuk pulang ke tanah air bersama jenazah Allahyarham Noramfaizul serta kesemua petugas media dan sukarelawan misi berkenaan.
Beginilah keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terkena tembakan curi
sehingga mengakibatkan Noramfaizul Mohd. Nor maut
manakala Aji Saregar Mazlan cedera. – BERNAMA
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan itu (10.30 malam tadi waktu Malaysia), konvoi tiga kenderaan termasuk sebuah kenderaan tentera kerajaan Somalia ditembak oleh penyerang tidak dikenali kira-kira 200 meter sebelum memasuki hotel berkenaan.
Tembakan yang terkena bahu kanan Noramfaizul itu dilaporkan menembusi paru-parunya dan menyebabkan Allahyarham meninggal dunia ketika dirawat di hospital berdekatan kira-kira pukul 6.07 petang waktu tempatan sementara Aji Saregar hanya cedera di lengan.

No comments: