Ben Ali, yang diguling Januari lalu dan tidak hadir dalam perbicaraan kerana berada di Arab Saudi, turut dikenakan denda AS$78,500 ($95,750).
Bulan lalu, bekas pemimpin itu dan isterinya, Cik Leila Trabelsi, dijatuhi hukuman penjara 35 tahun atas kesalahan menyalah guna dana awam selepas sejumlah besar wang tunai dan barangan kemas ditemui polis di kediaman mereka.
Dalam perbicaraan kelmarin, hanya Encik Ben Ali dihadapkan dengan tuduhan memiliki dadah dan senjata di istananya di kejiranan Carthage, utara Tunis.
Selepas perbicaraan selama empat jam, mahkamah menjatuhi hukuman 10 tahun bagi kesalahan memiliki dadah; lima tahun kerana memiliki senjata dan enam bulan kerana memiliki artifak purba tanpa izin.
'Perbicaraan hari ini (kelmarin), sama seperti perbicaraan sebelum ini dan 93 lagi perbicaraan yang dijadualkan kelak, palsu kerana ia melanggar semua piawaian bagi perbicaraan adil,' kata peguam Ben Ali, Encik Hosni Beiji, dalam satu kenyataan yang dibacakan sebelum hukuman itu dijatuhkan.
'Perbicaraan hari ini sebahagian daripada kempen politik bagi mencemar Presiden Ben Ali, yang bertujuan menggambarkan beliau sebagai seorang penyeludup dadah, senjata dan mata wang,' tambahnya.
Menurut Encik Beiji, sebahagian besar daripada senjata yang dijumpai di istana Ben Ali merupakan hadiah daripada para pemimpin dunia, termasuk Presiden Algeria, Encik Abdelaziz Bouteflika, dan Menteri dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef Ben Abdel Aziz.
Ben Ali juga mendakwa dadah yang dijumpai di pejabatnya sengaja diletak di situ selepas beliau meninggalkan Tunisia.
Seorang peguam tidak terlibat dalam kes itu, Encik Naceur Laouini, berkata tindakan mahkamah menjatuhkan hukuman dengan segera akan menjejas sebarang usaha mengekstradisi Ben Ali.
'Dengan perbicaraan serupa ini, kami akan terlepas peluang membawa pulang Ben Ali dari Arab Saudi dan ia menyukarkan usaha itu,' katanya.
Akhbar setempat tidak memberi laporan meluas mengenai perbicaraan itu, mencerminkan pendirian rakyat Tunisia yang telah jemu akan perkembangan tersebut.
'Ia menggambarkan apa yang sedang berlaku di negara ini. Hanya lebih banyak sandiwara,' kata seorang penduduk, Encik Ali Ayouni, 20 tahun. -- AP, AFP, Reuters.
Cyberita Online Luar Negara
No comments:
Post a Comment