Penolong Pengarah Kastam Selangor itu turut mengakui menerima suapan antara RM50 hingga RM100 sebulan daripada seorang lelaki dikenali sebagai Zainal dari Schenker Logistic Sdn. Bhd.
Perkara itu diberitahu oleh Ahmad Sarbaini kepada Penolong Penguasa Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad iaitu pegawai yang merakamkan percakapannya pada sebelah pagi, 4 April lalu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini.
Ia didedahkan oleh Ketua Unit Siasatan SPRM di ibu negara, Penolong Penguasa Mohamad Fauzi Husin, 46, semasa menjadi saksi inkues kelapan pada prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbaini di Mahkamah Koroner yang masuk hari keempat hari ini.
Namun begitu menurut Mohamad Fauzi, Ahmad Sarbaini telah datang semula ke pejabat SPRM itu sehari selepas pengakuannya itu pada 6 April lalu difahamkan untuk mengubah semula kenyataannya kepada tidak menerima sebarang suapan.
Beliau berkata, hasil rakaman percakapan pertama yang dirakam oleh Mohd. Rosly Mohd. Saupi, Ahmad Sarbaini turut mengakui memiliki tiga buah rumah seperti yang ditaklimatkan kepadanya pada 2 April lalu.
''Namun dalam mesyuarat apabila mendapati pegawai penyiasat tidak memperincikan tentang pemilikan harta disebabkan kesuntukan masa, saya telah mengarahkan supaya allahyarham dipanggil semula untuk mengisytiharkan harta mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM,'' ujarnya.
Terdahulu, saksi tersebut berkata, dalam kes membabitkan Ahmad Sarbaini, pihak SPRM mendapati terdapat catatan RM100 yang diberikan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang meluluskan borang taksiran cukai tersebut.
Lanjutan daripada itu, kata Mohamad Fauzi, hasil Operasi 3B yang dijalankan oleh ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pasukan itu telah menyita beberapa dokumen milik Ahmad Sarbaini dan ahli keluarganya.
''Ahmad Sarbaini telah dihantar ke lokap polis di Bukit Jalil pada hari tersebut. Allahyarham dibawa semula ke pejabat SPRM pada sebelah pagi, 2 April lalu sebelum dia dibebaskan, Penguasa Rosli perlu merakamkan percakapannya,'' katanya.
Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas mengenai keperluan Ahmad Sarbaini pergi semula ke SPRM setelah dibebaskan, saksi itu berpendapat, mungkin lelaki itu mahu mengubah kenyataannya kerana rasa bersalah terhadap JKDM.
Oleh kerana Ahmad Sarbaini datang secara mengejut, katanya, beliau tidak membuat sebarang arahan sebaliknya meminta pegawai penyiasat bertanya tujuan lelaki itu mahu berbuat demikian apatah lagi Zainal juga dalam perjalanan dari Klang ke pejabat itu.
Sementara Penolong Penguasa SPRM, Kamal Awang Besar, 31, dalam keterangannya menyatakan, dia diarahkan oleh Mohamad Fauzi menjaga Ahmad Sarbaini di Aras 3 sebelum kejadian berlaku.
Menurutnya, dia kemudian pergi ke bilik Penolong Penguasa Henritta Serai Anak Andrew Lenggie selepas mendapati pegawai penyiasat kes itu, Abdul Ghani Ali sedang berbual di telefon dengan seseorang.
Ujarnya lagi, Abdul Ghani kemudian mengajaknya minum dahulu sementara menunggu Zainal dan mereka bersetuju agar Ahmad Sarbaini turut menyertai mereka minum pagi.
''Selepas lebih kurang empat minit saya bertemu Abdul Ghani, saya kembali ke bilik saksi, namun Ahmad Sarbaini sudah tiada di situ, yang ada cuma sebuah fail hijau di atas meja.
''Saya fikir mungkin dia pergi ke tandas, namun setelah mencari di tandas dia tiada, saya terus melihat di beberapa bilik lain lagi namun tidak berjumpa,'' katanya.
Menurut Kamal, dia memberitahu Henritta dan Abdul Ghani mengenai kehilangan Ahmad Sarbaini dan ketiga-tiga mereka mencari lelaki itu di semua bilik di Aras 3 itu.
''Henritta memeriksa pantri dan dia keluar semula menemui saya dengan wajah cemas sambil berkata 'Dia di bawah sudah, Pok (panggilan untuk Kamal)'.
''Saya sangka cepat sungguh Allahyarham turun ke aras bawah tapi selepas saya masuk ke pantri dan melihat ke tingkap, ada sekujur tubuh terbaring di gelanggang badminton dan saya yakin itu Ahmad Sarbani melalui pakaiannya,'' katanya.
Inkues di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani bersambung esok.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah
No comments:
Post a Comment