Pages

Thursday, July 7, 2011

18 maut, tanah runtuh di China



Gambar bertarikh 4 Julai merakamkan seorang anggota bomba menggunakan tali untuk menyelamatkan sekumpulan 36 orang penduduk yang terkandas di sebatang jalan bertingkat roboh akibat tanah runtuh di daerah Yinxiu, barat laut wilayah Sichuan selepas hujan lebat. - AFP


BEIJING 6 Julai - Kira-kira 18 orang terbunuh, manakala dua lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat di utara China, semalam.

Menurut kenyataan kerajaan negeri, kejadian tanah runtuh tersebut berlaku di pekan Lueyang di wilayah Shaanxi, menyebabkan sebanyak 12 buah rumah tertimbus.

Jelasnya, pasukan penyelamat mengeluarkan 20 mayat di tempat kejadian manakala seorang mangsa mati di hospital.

Pegawai pusat meteorologi China hari ini memberi amaran hujan lebat dijangka turun berterusan di kawasan tersebut dan meminta pihak berkuasa tempatan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan lebih banyak kematian.

Tambahnya, wilayah barat daya, Sichuan, yang mengalami hujan lebat, turut diberi amaran yang sama.

Akhbar rasmi, China Daily menunjukkan foto sebuah jambatan di negeri Wenchuan, Sichuan yang terputus dua disebabkan tanah runtuh, dan orang ramai berdiri di bahagian selamat, tatkala banjir lumpur mengalir deras di bahagian sebelah lagi.

Setiap tahun, China dilanda hujan lebat pada pertengahan tahun.

Tahun lepas, hujan lebat menyebabkan banjir terburuk di negara ini dalam tempoh sedekad, mengakibatkan lebih 4,300 orang maut atau hilang.

Jumaat lalu, Kementerian Hal Ehwal Awam berkata, seramai 279 orang terbunuh di China dalam kejadian bencana alam sepanjang bulan Jun, membabitkan kejadian banjir dan tanah runtuh. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: