Pages

Tuesday, October 12, 2010

Liu Xiaobo menangis terima Hadiah Nobel Keamanan


BEIJING 11 Okt. - Penerima Hadiah Nobel Keamanan dari China, Liu Xiaobo sambil menangis mendedikasikan anugerah tersebut kepada mangsa bantahan pro demokrasi di Dataran Tiananmen pada 1989, lapor aktivis ketika isterinya diletakkan di bawah tahanan rumah hari ini.
"Penghargaan ini ditujukan kepada mereka yang kehilangan nyawa semasa kejadian 4 Jun itu," lapor kumpulan Hak Kemanusiaan di China memetik Xiaobo ketika memberitahu isterinya, Liu Xia.
Pemimpin ikon demokrasi China itu merujuk kepada peristiwa berdarah 4 Jun 1989, semasa tindakan keras kerajaan terhadap demonstrasi demokrasi di Dataran Tiananmen.
Penulis berusia 54 tahun yang mula menjalani hukuman penjara selama 11 tahun sejak Disember 2009 selepas menulis satu petisyen berani yang menuntut pembaharuan demokrasi itu, dipilih sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan Jumaat lalu, sekali gus mencetuskan reaksi marah Beijing.
Melalui akaun Twitternya, Xia berkata, dia kini menjalani tahanan rumah di Beijing sejak Jumaat lalu dan selepas melawat suaminya di sebuah penjara di timur laut China bagi memaklumkan tentang anugerah yang diterima Xiaobo.
"Saudaraku, saya telah pulang ke rumah. Pada 8 Oktober lalu, saya diletakkan di bawah tahanan rumah. Saya tidak tahu bila saya boleh berjumpa orang.
"Telefon bimbit saya juga sudah rosak, jadi saya tidak boleh membuat atau menerima panggilan. Saya berjumpa Xiaobo Sabtu lalu di penjara dan memberitahu tentang hadiah yang dimenanginya. Saya akan beritahu lebih lanjut lagi kepada anda nanti. Harap anda boleh tinggalkan ulasan. Terima kasih," demikian kata Xia menerusi akaun Twitter.
Peguam ikon demokrasi itu hujung minggu lalu berkata, isteri Xiaobo dibawa ke penjara diiringi kawalan polis.
Sekurang-kurangnya 24 anggota polis, pegawai berpakaian preman dan kakitangan keselamatan ditempatkan di kawasan rumah Xia hari ini. Mereka turut menyoal siasat penduduk dan menghalang pemberita daripada memasuki kawasan rumah itu.
Xiaobo merupakan rakyat China pertama memenangi Hadiah Nobel Keamanan yang dikeluarkan jawatankuasa Nobel di Oslo dan China dengan segera mengutuk penghargaan itu dengan menyifatkannya sebagai 'pencabulan' dan melabelkan Xiaobo sebagai 'penjenayah'. - AFP

No comments: